Panjang Bacaan Dalam Solat Terawih

Apabila masuk Ramadhan, akan ada rungutan sebahagian jemaah apabila imam baca panjang. Realitinya, kita duduk di Malaysia, masjid dan surau banyak. Pengalaman saya, kebanyakan masjid dan surau tidak baca panjang pun. Jika dalam daerah tu, nak jumpa masjid atau surau yang baca 1 juzuk 1 malam tu, memang kena cari betul-betul sebab kebanyakan tak buat begitu. Bahkan ada yang sangat ringkas sampai 1 muka surat al-Quran dibahagi kepada 4 rakaat.

Jadi, bila ada sebahagian tempat imamnya baca panjang, 1 juzuk 1 malam, biarlah. Sekurangnya ada tempat yang memberi pilihan kepada yang nak imam baca panjang, sebab kebanyakan tempat bacaannya pendek.

Saya kongsikan beberapa riwayat dan kata-kata ulama berkaitan isu ini.

Imam Malik dalam al-Muwatta’ membawakan beberapa riwayat dalam Kitab al-Solah Fi Ramadhan, antara riwayat yang beliau bawakan ialah:

أَمَرَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ وَتَمِيمًا الدَّارِيَّ أَنْ يَقُومَا لِلنَّاسِ بِإِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً قَالَ : وَقَدْ كَانَ الْقَارِئُ يَقْرَأُ بِالْمِئِينَ ، حَتَّى كُنَّا نَعْتَمِدُ عَلَى الْعِصِيِّ مِنْ طُولِ الْقِيَامِ ، وَمَا كُنَّا نَنْصَرِفُ إِلاَّ فِي فُرُوعِ الْفَجْرِ.
Umar al-Khattab mengarahkan Ubay bin Ka’ab dan Tamim ad-Dari untuk mengimami manusia sebanyak sebelas rakaat. Imam ketika itu membaca ratusan ayat sehingga kami terpaksa berpegang kepada tongkat kerana lamanya berdiri. Kami tidaklah selesai solat melainkan apabila sudah hampir dengan waktu fajar.

Al-A’raj berkata:
«وَكَانَ الْقَارِئُ يَقْرَأُ سُورَةَ الْبَقَرَةِ فِي ثَمَانِ رَكَعَاتٍ فَإِذَا قَامَ بِهَا فِي اثْنَتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً رَأَى النَّاسُ أَنَّهُ قَدْ خَفَّفَ»
“Dan dahulu seorang qari membaca Surah al-Baqarah dalam lapan rakaat. Maka apabila dia membacanya dalam dua belas rakaat, orang ramai melihat bahawa dia telah meringankan (bacaan itu).”

Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra dalam bab باب قَدْرِ قِرَاءَتِهِمْ فِى قِيَامِ شَهْرِ رَمَضَانَ Kadar Panjang Bacaan Mereka Dalam Solat Terawih:

Abi Uthman al-Nahdi, beliau berkata:
دَعَا عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ بِثَلاَثَةِ قُرَّاءٍ فَاسْتَقْرَأَهُمْ ، فَأَمَرَ أَسْرَعَهُمْ قِرَاءَةً أَنْ يَقْرَأَ لِلنَّاسِ ثَلاَثِينَ آيَةً ، وَأَمَرَ أَوْسَطَهُمْ أَنْ يَقْرَأَ خَمْسًا وَعِشْرِينَ آيَةً ، وَأَمَرَ أَبْطَأَهُمْ أَنْ يَقْرَأَ عِشْرِينَ آيَةً.
‘Umar menjemput tiga orang Qari al-Quran, lalu meminta mereka membaca al-Quran (menjadi imam solat terawih). Beliau meminta yang paling cepat bacaannya untuk membaca kepada manusia tiga puluh ayat, dan menyuruh yang sederhana bacaannya untuk membaca dua puluh lima ayat, dan menyuruh yang perlahan bacaannya untuk membaca dua puluh ayat.

Ibnu Hajar al-Haitami menyatakan:
وقد أَفْتَى ابن عبد السَّلَامِ وابن الصَّلَاحِ وَغَيْرُهُمَا بِأَنَّ قِرَاءَةَ الْقَدْرِ الْمُعْتَادِ في التَّرَاوِيحِ هو التَّجْزِئَةُ الْمَعْرُوفَةُ بِحَيْثُ يُخْتَمُ الْقُرْآنُ جَمِيعُهُ في الشَّهْرِ أَوْلَى من سُورَةٍ قَصِيرَةٍ وَعَلَّلُوهُ بِأَنَّ السُّنَّةَ الْقِيَامُ فيها بِجَمِيعِ الْقُرْآنِ
Sesungguhnya Ibn ‘Abd al-Salam, Ibn al-Salah dan selain kedua-duanya telah berfatwa bahawa kadar bacaan yang biasa dalam solat tarawih ialah pembahagian (al-Quran) yang masyhur, iaitu dengan cara mengkhatamkan keseluruhan al-Quran dalam tempoh sebulan. Itu lebih utama daripada (sekadar) membaca satu surah yang pendek. Mereka menyatakan sebabnya adalah kerana sunnah dalam solat tersebut ialah mendirikan dengan membaca keseluruhan al-Quran. (al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra).

Al-Kasani berkata:
السُّنَّةُ أَنْ يُخْتَمَ الْقُرْآنُ مَرَّةً فِي التَّرَاوِيحِ وَذَلِكَ فِيمَا قَالَهُ أَبُو حَنِيفَةَ، وَمَا أَمَرَ بِهِ عُمَرُ فَهُوَ مِنْ بَابِ الْفَضِيلَةِ وَهُوَ أَنْ يُخْتَمَ الْقُرْآنُ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا وَهَذَا فِي زَمَانِهِمْ. وَأَمَّا فِي زَمَانِنَا فَالْأَفْضَلُ أَنْ يَقْرَأَ الْإِمَامُ عَلَى حَسَبِ حَالِ الْقَوْمِ مِنْ الرَّغْبَةِ وَالْكَسَلِ فَيَقْرَأُ قَدْرَ مَا لَا يُوجِبُ تَنْفِيرَ الْقَوْمِ عَنْ الْجَمَاعَةِ؛ لِأَنَّ تَكْثِيرَ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ تَطْوِيلِ الْقِرَاءَةِ،
Sunnahnya ialah mengkhatamkan al-Quran sekali dalam solat tarawih, sebagaimana yang disebut oleh Abu Hanifah. Adapun apa yang diperintahkan oleh Umar, maka itu termasuk dalam bab kelebihan (fadilah), iaitu mengkhatamkan al-Quran sebanyak dua kali atau tiga kali, dan hal itu berlaku pada zaman mereka.
Manakala pada zaman kita, maka yang lebih utama ialah imam membaca mengikut keadaan jemaah, dari segi semangat dan keletihan mereka. Maka hendaklah dia membaca sekadar yang tidak menyebabkan orang ramai menjauhkan diri daripada solat berjemaah; kerana memperbanyakkan jemaah adalah lebih utama daripada memanjangkan bacaan. (Badai’ al-Sonai’).

Al-Dardir berkata:
نُدِبَ لِلْإِمَامِ (الْخَتْمُ) لِجَمِيعِ الْقُرْآنِ (فِيهَا) أَيْ فِي التَّرَاوِيحِ فِي الشَّهْرِ كُلِّهِ لِيُسْمِعَهُمْ جَمِيعَهُ
Digalakkan untuk imam mengkhatamkan keseluruhan al-Quran dalam solat terawih agar dapat memperdengarkan keseluruhan bacaan al-Quran kepada jemaah. (al-Sharh al-Kabir)

Al-Imam Ibn Qudamah menyebutkan dalam Al-Mughni:

قَالَ أَحْمَدُ ، رَحِمَهُ اللَّهُ : يَقْرَأُ بِالْقَوْمِ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ مَا يَخِفُّ عَلَى النَّاسِ ، وَلَا يَشُقُّ عَلَيْهِمْ ، وَلَا سِيَّمَا فِي اللَّيَالِي الْقِصَارِ ، وَالْأَمْرُ عَلَى مَا يَحْتَمِلُهُ النَّاسُ .وَقَالَ الْقَاضِي : لَا يُسْتَحَبُّ النُّقْصَانُ عَنْ خَتْمِهِ فِي الشَّهْرِ ؛ لِيَسْمَعَ النَّاسُ جَمِيعَ الْقُرْآنِ ، وَلَا يَزِيدُ عَلَى خَتْمِهِ كَرَاهِيَةَ الْمَشَقَّةِ عَلَى مَنْ خَلْفَهُ .وَالتَّقْدِيرُ بِحَالِ النَّاسِ أَوْلَى ؛ فَإِنَّهُ لَوْ اتَّفَقَ جَمَاعَةٌ يَرْضَوْنَ بِالتَّطْوِيلِ وَيَخْتَارُونَهُ ، كَانَ أَفْضَلَ .كَمَا رَوَى أَبُو ذَرٍّ ، قَالَ : { قُمْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى خَشِينَا أَنْ يَفُوتَنَا الْفَلَاحُ يَعْنِي السُّحُورَ .وَقَدْ كَانَ السَّلَفُ يُطِيلُونَ الصَّلَاةَ ، حَتَّى قَالَ بَعْضُهُمْ : كَانُوا إذَا انْصَرَفُوا يَسْتَعْجِلُونَ خَدَمَهُمْ بِالطَّعَامِ ، مَخَافَةَ طُلُوعِ الْفَجْرِ ، وَكَانَ الْقَارِئُ يَقْرَأُ بِالْمِائَتَيْنِ
Imam Ahmad berkata: Imam membaca al-Quran pada bulan Ramadhan, pada kadar yang ringan untuk jemaah, tidak memberatkan mereka terutamanya di musim yang malamnya pendek (musim panas). Hal ini bergantung kepada keadaan jemaah. Al-Qadhi- Abu Ya’la- berkata: Tidak digalakkan untuk mengurangi daripada mengkhatami al-Quran di dalam bulan Ramadhan, ini bertujuan agar Jemaah dapat mendengar keseluruhan al-Quran, dan tidak pula ditambah melebihi kadar khatam al-Quran, kerana ia menimbulkan kesulitan kepada jemaah, dan mengambil kira keadaan jemaah itu lebih utama. Sesungguhnya, jika jemaah bersepakat untuk redha dan memilih bacaan yang panjang, maka itu lebih utama. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Dzar: Kami solat bersama nabi sehingga kami berasa takut akan terlepas sahur. Generasi Salaf memanjangkan solat mereka sehingga sebahagian daripada mereka berkata: Apabila mereka selesai solat, pembantu-pembantu mereka tergesa-gesa menyediakan makanan sahur kerana takut masuknya waktu fajar.

Oleh itu kita akan dapati memanjangkan bacaan solat terawih dengan tujuan untuk khatam al-Quran adalah perkara yang disepakati dalam 4 mazhab.

Ibn Taimiyyah berkata:

وَأَمَّا قِرَاءَةُ الْقُرْآنِ فِي التَّرَاوِيحِ فَمُسْتَحَبٌّ بِاتِّفَاقِ أَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ بَلْ مِنْ أَجْلِ مَقْصُودِ التَّرَاوِيحِ قِرَاءَةُ الْقُرْآنِ فِيهَا لِيَسْمَعَ الْمُسْلِمُونَ كَلَامَ اللَّهِ. فَإِنَّ شَهْرَ رَمَضَانَ فِيهِ نَزَلَ الْقُرْآنُ وَفِيهِ كَانَ جِبْرِيلُ يُدَارِسُ النَّبِيَّ ﷺ الْقُرْآنَ وَكَانَ النَّبِيُّ ﷺ أَجْوَدَ النَّاسِ وَكَانَ أَجْوَدَ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ .
Adapun membaca al-Quran dalam solat tarawih maka hukumnya adalah sunat menurut kesepakatan para imam kaum Muslimin. Bahkan antara tujuan utama solat tarawih itu sendiri ialah membaca al-Quran di dalamnya supaya orang-orang Islam dapat mendengar kalam Allah.
Sesungguhnya bulan Ramadan adalah bulan yang padanya diturunkan al-Quran. Pada bulan itu Jibril sentiasa mengulangkaji (bertadarus) al-Quran bersama Nabi ﷺ. Nabi ﷺ adalah manusia yang paling pemurah, dan Baginda menjadi lebih pemurah lagi pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya lalu bertadarus al-Quran bersamanya. (Majmu’ al-Fatawa).

Shaikh Ibn Bazz berkata:
ويمكن أن يفهم من ذلك أن قراءة القرآن كاملة من الإمام على الجماعة في رمضان نوع من هذه المدارسة، لأن في هذا إفادة لهم عن جميع القرآن، ولهذا كان الإمام أحمد رحمه الله يحب ممن يؤمهم أن يختم بهم القرآن، وهذا من جنس عمل السلف في محبة سماع القرآن كله، ولكن ليس هذا موجبا لأن يعجل ولا يتأنى في قراءته، ولا يتحرى الخشوع والطمأنينة، بل تحري هذه الأمور أولى من مراعاة الختمة.
Dan boleh difahami daripada hal tersebut bahawa bacaan al-Quran secara lengkap oleh imam kepada jemaah pada bulan Ramadan termasuk dalam bentuk tadarus itu, kerana dalam hal ini terdapat manfaat bagi mereka dengan mendengar keseluruhan al-Quran.

Oleh sebab itu, Imam Ahmad suka agar orang yang mengimami mereka mengkhatamkan al-Quran bersama mereka. Ini termasuk dalam amalan salaf yang gemar mendengar keseluruhan al-Quran.
Namun demikian, perkara ini tidaklah mewajibkan seseorang untuk tergesa-gesa dan tidak bertenang dalam bacaannya, serta tidak mengambil berat terhadap kekhusyukan dan ketenangan. Bahkan menjaga perkara-perkara tersebut adalah lebih utama daripada sekadar meraikan khatam al-Quran. (Majmu’ al-Fatawa).

Ini bukanlah bermaksud imam tidak perlu meraikan keadaan makmum. Shaikh Ibn Bazz menyatakan:

هل ينبغي للإمام مراعاة حال الضعفاء من كبار السن ونحوهم في صلاة التراويح؟
Soalan: Apakah hukum mengambil kira keadaan golongan lemah seperti warga emas dan wanita dalam solat tarawih?

Jawapan:
ج: هذا أمر مطلوب في جميع الصلوات، في التراويح وفي الفرائض لقوله – ﷺ -: «أيكم أم الناس فليخفف، فإن فيهم الضعيف والصغير وذا الحاجة (٢)» فالإمام يراعي المأمومين ويرفق بهم في قيام رمضان، وفي العشر الأخيرة، وليس الناس سواء، فالناس يختلفون فينبغي له أن يراعي أحوالهم ويشجعهم على المجيء وعلى الحضور؛
Perkara ini memang dituntut dalam semua solat, sama ada solat tarawih mahupun solat fardu. Hal ini berdasarkan sabda Nabi ﷺ:
“Sesiapa antara kamu yang menjadi imam kepada manusia, maka hendaklah dia meringankan (bacaan dan solat), kerana di belakangnya ada orang yang lemah, kanak-kanak, orang tua dan orang yang mempunyai keperluan.”
Maka imam hendaklah mengambil kira keadaan para makmum dan berlembut dengan mereka dalam qiyam Ramadan dan juga dalam sepuluh malam terakhir. Manusia itu tidak sama; mereka berbeza-beza. Oleh itu, imam hendaklah mempertimbangkan keadaan mereka, menggalakkan mereka untuk datang dan menghadiri solat.

فإنه متى أطال عليهم شق عليهم ونفرهم من الحضور، فينبغي له أن يراعي ما يشجعهم على الحضور ويرغبهم في الصلاة ولو بالاختصار وعدم التطويل، فصلاة يخشع فيها الناس ويطمئنون فيها ولو قليلا خير من صلاة يحصل فيها عدم الخشوع ويحصل فيها الملل والكسل.
Sekiranya imam terlalu memanjangkan solat sehingga menyusahkan mereka, hal itu boleh memberatkan dan menyebabkan mereka enggan hadir. Maka sewajarnya dia mengambil kira keadaan mereka, mendorong dan menarik minat mereka untuk bersolat, walaupun dengan cara memendekkan dan tidak terlalu memanjangkan bacaan. Solat yang orang ramai dapat khusyuk dan tenang di dalamnya, walaupun pendek, adalah lebih baik daripada solat yang panjang tetapi menyebabkan hilang kekhusyukan, serta menimbulkan rasa jemu dan malas.

س: يلاحظ أيضا أن بعض المصلين يشتكي من أقل، لو قرأ الإمام وجها وزيادة قالوا: إنك تطول علينا، يعني حد أو ضابط؟
Soalan: Diperhatikan juga bahawa sebahagian jemaah mengadu walaupun imam membaca sekadar satu muka surat atau lebih sedikit, mereka mengatakan imam terlalu panjang. Adakah ada had atau garis panduan tertentu?
Jawapan:

ج: العبرة بالأكثرية والضعفاء، إذا كان الأكثرية يرغبون في إطالته بعض الشيء وليس فيهم من يراعى من الضعفة والمرضى أو كبر سنه فإنه لا حرج في ذلك، وإذا كان فيهم ضعيف من مرضى أو كبار السن فينبغي للإمام أن يراعي مصلحتهم، ولهذا في حديث عثمان بن أبي العاص قال له النبي ﷺ: اقتد بأضعفهم، وفي الحديث الآخر: فإن من ورائه الضعيف والكبير كما تقدم، المقصود الضعيف يراعي الضعفاء من جهة التخفيف، تخفيف القراءة والركوع والسجود، وإذا كانوا متقاربين يراعي الأكثرية.
Penilaian itu berdasarkan majoriti dan keadaan golongan yang lemah. Jika majoriti jemaah suka supaya bacaan dipanjangkan sedikit, dan tidak ada dalam kalangan mereka orang yang perlu diraikan seperti orang sakit, warga emas atau yang sangat uzur, maka tidak mengapa untuk dipanjangkan sedikit.
Namun jika terdapat orang yang lemah seperti pesakit atau warga emas, maka imam hendaklah mengambil kira maslahah mereka. Sebagaimana dalam hadis Uthman bin Abi al-As, Nabi ﷺ bersabda kepadanya:
“Jadikanlah yang paling lemah dalam kalangan mereka sebagai ukuran (imam kamu).”
Dan dalam hadis yang lain disebut:
“Sesungguhnya di belakangnya ada orang yang lemah dan orang tua.”
Maksudnya, imam hendaklah mengambil kira golongan lemah dari sudut meringankan solat, sama ada dalam bacaan, rukuk dan sujud. Jika keadaan jemaah hampir sama (tiada perbezaan ketara), maka hendaklah dia meraikan kehendak majoriti.
(Majmu’ al-Fatawa).

Adakah Nabi SAW pernah solat malam dengan bacaan yang panjang mengimami jemaah? Jawapannya ya.
Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab al-Tahajjud, Bab Thuli al-Qiyam Fi Sholat al-Layl:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: «صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً، فَلَمْ يَزَلْ قَائِمًا حَتَّى هَمَمْتُ بِأَمْرِ سَوْءٍ»، قُلْنَا: وَمَا هَمَمْتَ؟ قَالَ: هَمَمْتُ أَنْ أَقْعُدَ وَأَذَرَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Daripada Abdullah ibn Masud RA, beliau berkata: “Aku pernah solat bersama Nabi ﷺ pada suatu malam. Maka Baginda terus berdiri sehingga aku hampir-hampir berniat melakukan sesuatu yang tidak baik.” Kami (para perawi) bertanya: “Apakah yang engkau hampir lakukan itu?” Beliau menjawab: “Aku hampir-hampir duduk dan membiarkan Nabi ﷺ (terus berdiri seorang diri).” (Sahih al-Bukhari).

Kesimpulan:

Berdasarkan teks-teks di atas, kita akan dapati membaca surah yang panjang untuk mengkhatamkan al-Quran dalam solat terawih selama sebulan adalah perkara yang digalakkan. Imam juga digalakkan meraikan keadaan makmum pada kadar yang wajar.

Dalam konteks di Malaysia, kebanyakan tempat solat terawih dilakukan dengan ringkas, tidak sampai satu juzu’ satu malam. Bahkan ada yang membaca surah lazim dari Juz Amma, bahkan ada yang sangat pendek sehingga 1 muka surat dibahagi kepada 4 rakaat.

Oleh itu, umat Islam di Malaysia mempunyai pilihan memilih untuk solat di mana. Yang mahukan bacaan panjang perlu mencari di mana masjid yang ada bacaan panjang, manakala yang mahukan bacaan pendek, boleh memilih dan mempunyai banyak pilihan. Kita mempunyai banyak pilihan. Bahkan jika semua pilihan tidak sesuai dengan jiwa kita, selepas solat Isyak kita boleh pulang ke rumah, dan solat terawih bersama keluarga.

Syukurlah atas nikmat ini!

Dapatkan buku-buku agama berkualiti di Kedai Buku Masri Ramli ->https://t.me/kedaibukumasri 

Daftar Pengajian Mingguan Online di sini

Penulis mempunyai tauliah mengajar agama di Wilayah Persekutuan. Sebarang jemputan untuk ceramah atau kuliah agama boleh terus berhubung melalui whatsapp di talian 0132506391