DOA BERBUKA PUASA
Imam Ibn Majah dalam Sunannya, dalam Bab Orang Yang Berpuasa Tidak Ditolak Doanya.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -:
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
“ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
3 golongan yang tidak ditolak doa mereka: Pemimpin yang adil, orang yang berpuasa hingga dia berbuka, doa orang yang dizalimi.
يَرْفَعُهَا اللَّهُ دُونَ الْغَمَامِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ،
Allah akan mengangkat doa itu ke atas awan pada hari kiamat,
وَتُفْتَحُ لَهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ،
dibuka untuknya pintu-pintu langit,
وَيَقُولُ: بِعِزَّتِي لَأَنْصُرَنَّكِ وَلَوْ بَعْدَ حِينٍ”
Allah berkata: Demi kekuasaanKu, Aku akan Membantu kamu walau selepas tempoh yang lama.
[Sunan Ibn Majah, Kitab al-Siyam, no: 1752, Al-Arna’ut berkata: Hadis Hasan Insya-Allah].
Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr r.a, Nabi s.a.w bersabda:
“إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ
Sesungguhnya orang yang berpuasa memiliki doa yang tidak tertolak ketika berbuka puasa. [Sunan Ibn Majah, Kitab al-Siyam, no: 1753, Al-Arna’ut: Isnadnya hasan].
Doa berbuka puasa yang ada dalam hadis.
1- ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتْ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ]
“Telah hilang rasa haus, dan telah basahlah urat-urat serta pahala telah tetap insyaAllah. (1)
2- اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ
Ya Allah, aku telah berpuasa untuk Mu, dan aku telah berbuka dengan rezekiMu. (2)
Shaikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin menerangkan:
Waktu berbuka puasa adalah salah satu waktu mustajab untuk berdoa, kerana ia berada di penghujung suatu ibadah. Selain itu, ketika berbuka, seseorang biasanya berada dalam keadaan paling lemah dari segi jiwa dan perasaan. Semakin seseorang itu merasa lemah jiwanya dan lembut hatinya, maka dia semakin dekat kepada sikap kembali dan tunduk kepada Allah ‘Azza wa Jalla.
Doa yang masyhur adalah: “اللهم لك صمت، وعلى رزقك أفطرت” (Ya Allah, kepada-Mu aku berpuasa, dan dengan rezeki-Mu aku berbuka.)
Antara doa lain juga adalah sabda Nabi ﷺ: “ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله” (Telah hilang dahaga, basah sudah urat-urat, dan tetaplah ganjaran (pahala), insyaAllah.)
Walaupun kedua-dua hadis ini mempunyai kelemahan dalam sanadnya, sebahagian ulama telah menghasankan (menganggapnya sebagai hadis hasan).
Walau apa pun, jika seseorang berdoa dengan doa-doa ini atau doa lain ketika berbuka puasa, maka itu adalah waktu mustajab untuk doa. (Majmu’ Fatawa Shaikh Ibn Uthaimin)
Sebahagian ulama berpendapat doa ini dibaca selepas berbuka puasa. Ibnu Hajar al-Haitami berkata dalam al-Minhaj al-Qawim:
يستحب ( أن يقول عنده ) يعني بعد الفطر ( اللهم لك صمت وعلى رزقك أفطرت ) اللهم ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله تعالى
Disunatkan (أن يقول عنده) – iaitu selepas berbuka puasa – untuk membaca doa.. (berbuka puasa).
Shaikh Abdul Muhsin al-Abbad berkata dalam Sharh Sunan Abi Dawud:
وهذا الذكر يقال قبل الإفطار أو بعده، والأمر في هذا واسع.
Zikir ini boleh dibaca sebelum berbuka atau selepasnya. Hal ini luas.
Boleh jua berdoa dengan apa-apa doa.
Ibn Abi Mulaykah berkata: Aku mendengar ‘Abdullah bin ‘Amr berkata ketika beliau berbuka puasa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي
Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu, agar Engkau mengampuni aku. (Sunan Ibn Majah)
—–
(1)
Imam Abu Daud meriwayatkan dalam Sunannya dengan sanadnya:
حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ يَحْيَى أَبُو مُحَمَّدٍ ، حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ الْحَسَنِ ، أَخْبَرَنِي الْحُسَيْنُ بْنُ وَاقِدٍ ، حَدَّثَنَا مَرْوَانُ يَعْنِي ابْنَ سَالِمٍ الْمُقَفَّعَ ، قَالَ : رَأَيْتُ ابْنَ عُمَرَ يَقْبِضُ عَلَى لِحْيَتِهِ فَيَقْطَعُ مَا زَادَ عَلَى الْكَفِّ، وَقَالَ : ” كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا أَفْطَرَ، قَالَ : ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ “
Marwan bin Salim al-Muqaffa’ berkata: Aku melihat Ibn Umar menggenggam janggutnya, kemudian memotong yang melebihi genggamannya. Ibn Umar berkata: Rasulullah SAW apabila berbukaa, baginda akan membaca: “Telah hilang rasa haus, dan telah basahlah urat-urat serta pahala telah tetap insyaAllah.
(Ad-Daraquthni menyatakan sanadnya hasan. Sebahagian pengkaji hadis mendhaifkan riwayat ini kerana Marwan al-Muqaffa’ adalah majhul, sebab itu Ibnu Hajar dalam al-Taqrib menyatakan dia maqbul).
(2)
Imam Abu Daud meriwayatkan dalam Sunannya dengan sanadnya:
حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ ، حَدَّثَنَا هُشَيْمٌ ، عَنْ حُصَيْنٍ ، عَنْ مُعَاذِ بْنِ زُهْرَةَ ، أَنَّهُ بَلَغَهُ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا أَفْطَرَ، قَالَ : اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ “
Daripada Mu’az bin Zuhrah, bahawa telah sampai kepadanya bahawa Nabi SAW apabila berbuka, baginda membaca: Ya Allah, aku telah berpuasa untuk Mu, dan aku telah berbuka dengan rezekiMu. (Hadis ini mursal kerana Mu’az bin Zuhrah adalah seorang tabi’in. Ibnu Hajar menyatakan beliau perawi maqbul. Selain daripada itu seorang perawinya iaitu Husyaim bin Basyir adalah seorang mudallis).
#MMMR
Dapatkan buku-buku agama berkualiti di Kedai Buku Masri Ramli ->https://t.me/kedaibukumasri
Daftar Pengajian Mingguan Online di sini
Penulis mempunyai tauliah mengajar agama di Wilayah Persekutuan. Sebarang jemputan untuk ceramah atau kuliah agama boleh terus berhubung melalui whatsapp di talian 0132506391



