Hukum-Hakam Korban
Dalil-dalil pensyariatan
Firman Allah:
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ (2(
Dirikanlah solat dan sembelihlah korban. [Al-Kautsar : 2]
لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ
Daging-daging dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai [keredhaan] Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. [al-Haj : 37]
عَنْ أَنَسٍ، قَالَ ضَحَّى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ، فَرَأَيْتُهُ وَاضِعًا قَدَمَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا يُسَمِّي وَيُكَبِّرُ، فَذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ.
Daripada Anas radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menyembelih dua ekor kibas yang mempunyai warna hitam dan putih. Aku melihat baginda meletakkan kakinya di atas sisi kibas itu, baginda menyebut nama (Allah), bertakbir, lalu menyembelih kedua kibas itu dengan tangannya. [Sahih al-Bukhari, Kitab Al-Adhohiy, Bab Man Dzabaha al-Adhohiy Bi Yadihi, hadis no: 5558].
عَنْ جُنْدَبٍ، قَالَ صَلَّى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَوْمَ النَّحْرِ ثُمَّ خَطَبَ، ثُمَّ ذَبَحَ فَقَالَ “ مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيَذْبَحْ أُخْرَى مَكَانَهَا، وَمَنْ لَمْ يَذْبَحْ فَلْيَذْبَحْ بِاسْمِ اللَّهِ ”.
Daripada Jundab radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam mendirikan solat pada hari An-Nahr kemudian baginda berkhutbah kemudian baginda menyembelih. Lalu baginda bersabda: Sesiapa yang menyembelih sebelum mendirikan solat, hendaklah menyembelih yang lain untuk menggantikannya. Sesiapa yang belum menyembelih hendaklah menyembelih dengan nama Allah. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Eidain, Bab Kalam al-Imam wa an-Nas Fi Khutbah al-‘Eid…, hadis no: 985].
عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ “ إِذَا دَخَلَتِ الْعَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَمَسَّ مِنْ شَعَرِهِ وَبَشَرِهِ شَيْئًا ”
Daripada Ummu Salamah radiallahu ‘anha, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Apabila masuknya sepuluh hari (awal Zulhijjah), dan salah seorang daripada kalian mahu melakukan korban, janganlah dia mencabut bulu atau kukunya. [Sahih Muslim, Kitab Al-Adhohiy, Bab Nahy Man Dakhala ‘Alaihi ‘Asyr Dzulhijjah…, hadis no: 1977].
Hukum Melakukan Korban
Di sisi mazhab Syafie ibadah korban adalah sunat muakkad kepada mereka yang berkemampuan. Ini juga adalah pendapat yang dipegang oleh majoriti ulama seperti Sa’id bin al-Musayyib, ‘Atho’, ‘Alqamah, Al-Aswad, Malik, Ahmad, Abu Yusuf, Ishaq, Abu Tsaur, Al-Muzani, Daud dan lain-lain. Ia hanya menjadi wajib apabila seseorang bernazar untuk melakukannya.
Sebahagian ulama berpendapat bahawa hukumnya wajib bagi mereka yang berkemampuan
Bilakah waktu boleh melakukan korban?
عَنِ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ ـ رضى الله عنهما ـ قَالَ خَطَبَنَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَوْمَ الأَضْحَى بَعْدَ الصَّلاَةِ فَقَالَ ” مَنْ صَلَّى صَلاَتَنَا وَنَسَكَ نُسُكَنَا فَقَدْ أَصَابَ النُّسُكَ، وَمَنْ نَسَكَ قَبْلَ الصَّلاَةِ فَإِنَّهُ قَبْلَ الصَّلاَةِ، وَلاَ نُسُكَ لَهُ ”.
Daripada Al-Bara’ bin ‘Azib radiallahu ‘anhuma, beliau berkata: Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam berkhutbah kepada kmi pada hari Aidil Adha selepas solat. Baginda bersabda: Sesiapa yang mendirikan solat seperti kami dan menyembelih korban seperti kami, maka dia telah melakukan korban. Sesiapa yang melakukan korban sebelum solat, sesungguhnya ia sebelum solat, maka ia tidak dikira korban untuknya.
[Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Eidain, Bab al-Akl Yaum an-Nahar, hadis no: 955].
Di sisi mazhab Syafie, masa sembelihan korban adalah pada pagi Aidil Adha bermula pada waktu selepas terbit matahari kira-kira dalam tempoh masa yang cukup untuk mendirikan solat dua rakaat yang ringkas dan dua khutbah yang ringkas. Tidak menjadi syarat agar imam telah mendirikan solat hari raya dan tidak juga menjadi syarat agar si pemilik korban telah mendirikan solat raya. Tempohnya pula tamat apabila terbenamnya matahari pada hari tasyriq yang ketiga (13 Zulhijjah). Ulama mazhab Syafie bersepakat bahawa dibenarkan menyembelih dalam tempoh ini tidak kira siang ataupun malam hanya sahaja dimakruhkan pada waktu malam berdasarkan beberapa riwayat yang kesemuanya dhaif.
Ulama mazhab Syafie juga bersepakat bahawa tidak sah sembelihan korban itu apabila dilakukan sebelum waktunya.
Di sisi mazhab Malik pula, korban hanya sah apabila dilakukan selepas imam selesai mendirikan solat dan khutbah dan imam selesai menyembelih korbannya.
Di sisi mazhab Ahmad pula tidak boleh kecuali selepas imam mendirikan solat.
Ibn al-Munzir menyatakan bahawa ulama bersepakat bahawa tidak sah sembelihan korban sebelum terbitnya matahari pada hari Aidil Adha.
Mereka yang menyatakan hanya sah sembelihan korban selepas imam mendirikan solat berdalilkan hadis berikut:
عَنِ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ، قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ” إِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ فِي يَوْمِنَا هَذَا أَنْ نُصَلِّيَ، ثُمَّ نَرْجِعَ فَنَنْحَرَ، فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَقَدْ أَصَابَ سُنَّتَنَا، وَمَنْ نَحَرَ قَبْلَ الصَّلاَةِ فَإِنَّمَا هُوَ لَحْمٌ قَدَّمَهُ لأَهْلِهِ، لَيْسَ مِنَ النُّسْكِ فِي شَىْءٍ ”. فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ يُقَالُ لَهُ أَبُو بُرْدَةَ بْنُ نِيَارٍ يَا رَسُولَ اللَّهِ، ذَبَحْتُ وَعِنْدِي جَذَعَةٌ خَيْرٌ مِنْ مُسِنَّةٍ. فَقَالَ ” اجْعَلْهُ مَكَانَهُ، وَلَنْ تُوفِيَ أَوْ تَجْزِيَ عَنْ أَحَدٍ بَعْدَكَ ”.
Daripada Al-Bara’ bin ‘Azib radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Sesungguhnya perkara pertama kita lakukan pada hari kita ini ialah mendirikan solat. Kemudian kita pulang lalu menyembelih korban. Sesiapa yang melakukan hal itu, dia telah melakukan sunnah kami. Sesiapa yang menyembelih sebelum solat, sesungguhnya itu adalah daging yang diberikan kepada keluarganya, dan tidak dikira sebagai korban sedikit pun. Seorang lelaki Ansar yang bernama Abu Burdah bin Niyar berkata: Ya Rasulullah, aku telah menyembelih, dan aku memiliki kambing betina yang lebih baik daripada kambing tua. Baginda menjawab: Jadikanlah ia sebagai ganti kepada sembelihan awal tadi. Hal ini tidak boleh untuk orang lain selepas kamu.
[Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Eidain, Bab al-Khutbah Ba’da al-‘Eid, hadis no: 965].
Manakala ulama mazhab Syafie menyatakan bahawa hadis seperti di atas menunjukkan tempoh waktu membolehkan sembelihan korban, dan bukannya syarat bahawa ia hanya boleh dilakukan selepas solat raya didirikan.
Daripada sudut tempoh hari dibolehkan melakukan korban. Mazhab Syafie seperti telah disebutkan bahawa masanya sehingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah. Malik, Abu Hanifah dan Ahmad berpendapat bahawa ia hanya boleh dilakukan sehingga 12 Zulhijjah. Muhammad bin Sirin pula berpendapat ia hanya boleh dilakukan pada hari raya AidilAdha sahaja.
Agihan Daging Korban
Firman Allah:
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ (28)
Maka makanlah sebahagian daripadanya dan [sebahagian lagi] berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir. [Al-Hajj : 28]
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (36)
maka makanlah sebahagiannya dan beri kepada orang yang tidak meminta dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan haiwan korban itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur. [Al-Hajj : 36]
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
كُلُوا وَأَطْعِمُوا وَادَّخِرُوا
Makanlah (daging korban itu), berikan ia kepada orang lain, dan simpanlah ia. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adhahi, hadis no: 5569]
فَكُلُوا وَادَّخِرُوا وَتَصَدَّقُوا
Makanlah, simpanlah dan sedekahkan lah ia.
[Sahih Muslim, Kitab al-Adhohi, hadis no: 1971]
Imam An-Nawawi berkata:
وقال عامة أصحابنا يجب أن يبقى منها قدر ما يقع عليه اسم الصدقة لان القصد منها القربة فإذا اكل الجميع لم تحصل القربة له
Majoriti ulama mazhab Syafie menyatakan wajib untuk mengambil sebahagian (daripada daging korban sebagai sedekah) sebanyak jumlah yang dianggap sebagai sedekah. Ini kerana tujuan melakukan korban adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Seandainya seseorang memakan kesemua hasil korbannya, maka dia tidak memperoleh ibadah mendekatkan diri kepada Allah. [Al-Majmu’ Sharh Al-Muhazzab].