SELAWAT JIBRIL. WUJUDKAH?

Saya dari dulu mencari-cari apa maksud selawat Jibril, sebab ramai dok share kelebihan amal selawat Jibril.

Saya asyik terfikir, apa istimewanya selawat Jibril ini berbanding selawat-selawat lain yang ada dalam hadis-hadis Nabi SAW.

Pastinya dalam beragama, kita kena kembali kepada asas iaitu sumber. Jadi mana datangnya selawat Jibril.

Saya tidak menemui sumber hadisnya.

Tetapi saya menemui satu penjelasan yang baik, rasional dan logik, yang disampaikan oleh seorang ustaz aliran tasawwuf.

Beliau memberitahu, selawat Jibril itu hanya penamaan sahaja, sebahagaimana hadis rukun Islam, Iman dan Ihsan dinamakan hadis Jibril.

Selawat Jibril diberi nama kerana ada beberapa hadis Nabi SAW di mana Jibril datang kepada Nabi SAW dan memberitahu tentang kelebihan selawat kepada baginda.

Ini antara hadis itu.

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ قَالَ: أَتَيْتُ النَّبِيَّ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَطَالَ السُّجُودَ قَالَ: «أَتَانِي جِبْرِيلُ قَالَ: مَنْ صَلَّى عَلَيْكَ صَلَّيْتُ عَلَيْهِ، وَمَنْ سَلَّمَ عَلَيْكَ سَلَّمْتُ عَلَيْهِ فَسَجَدْتُ لِلَّهِ شُكْرًا »
Daripada Abdul Rahman bin ‘Awf RA, beliau berkata: Aku menemui Nabi SAW ketika baginda sedang dalam keadaan sujud, dan baginda SAW memanjangkan sujudnya. Baginda bersabda: Jibril telah datang kepada ku dan menyatakan: Sesiapa yang berselawat kepada kamu, aku berselawat kepadanya. Sesiapa memberi salam kepada kamu, aku memberi salam kepadanya.
(Kata Nabi SAW): Lalu, aku pun sujud kepada Allah sebagai tanda bersyukur. (Fadhl al-Solat ‘Ala al-Nabiy, al-Albani menyatakan ia sahih lighairihi).

Bahkan tanpa hadis ini pun, memang pensyariatan selawat dan salam ada diajarkan kepada Nabi SAW melalui Jibril AS. Sebab Allah menyebutkan dalam al-Quran:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas nabi. Wahai orang beriman, berselawatlah dan ucaplah salam ke atas baginda. [Al-Ahzab : 56]

Ini kerana Nabi SAW hanya mendapat wahyu al-Quran melalui perantaraan Jibril AS. Nabi SAW tidak mendapat al-Quran melalui ilham dan lain-lain jalan penurunan wahyu selain al-Quran.

Oleh itu, maka bolehlah disimpulkan SEMUA SELAWAT adalah selawat Jibril. Bukan lafaz-lafaz tertentu sahaja.

Sebahagian lafaz selawat Jibril yang disebarkan sebenarnya bercampur dengan lafaz qasidah. Misalnya ada yang menyebutkan:

صَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّد صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
أَنْتَ شَمْسٌ أَنْتَ بَدْرٌ
أَنْتَ نُوْرٌ فَوْقَ نُوْرِ

Hakikatnya, lafaz selawat dan salam ke atas Nabi SAW itu hanyalah pada bahagian ini ‘
صَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّد صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ’

Lafaz selawat adalah luas, sebab itu para ulama mengarang lafaz selawat dengan pelbagai variasi yang ditambah dengan pujian kepada Nabi SAW. Yang penting pada lafaz selawat tu mesti ada permohonan kepada Allah untuk Nabi SAW. Akan tetapi di dalam solat perlu ‘strict’ lagi, hanya menggunakan lafaz selawat yang diajar kepada para sahabat oleh Nabi SAW.

Adakah Nabi SAW ada mengajar lafaz selawat kepada para sahabat?

Ada. Boleh lihat hadis-hadis berkaitan selawat ketika tasyahud akhir.

Abdul Rahman bin Abi Laila berkata: Ka’ab bin ‘Ujrah r.a bertemu dengan aku lalu berkata:
.
أَلاَ أُهْدِي لَكَ هَدِيَّةً سَمِعْتُهَا مِنَ النَّبِيِّ، صلى الله عليه وسلم فَقُلْتُ بَلَى، فَأَهْدِهَا لِي‏.
Patutkah aku memberi hadiah kepada kamu sesuatu yang aku dengar daripada Nabi s.a.w? Aku menjawab: Pasti, berikannya kepada ku.
.
‏ فَقَالَ سَأَلْنَا رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ الصَّلاَةُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الْبَيْتِ فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ عَلَّمَنَا كَيْفَ نُسَلِّمُ‏.‏ قَالَ ‏
Ka’ab berkata: Kami pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w, kami berkata: Ya Rasulullah, bagaimana cara berselawat ke atas kamu, ahli keluarga kamu. Sesungguhnya Allah telah mengajar kami bagaimana memberi salam. Baginda menjawab:
.
” اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Ya Allah, Engkau berikan selawat kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam, dan kepada keluarga Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Nabi Ibrahim ‘alihissalam dan keluarga Nabi Ibrahim ‘alaihissalam. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji. Ya Allah, berkatilah Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam dan keluarga Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana Engkau telah memberkati Nabi Ibrahim ‘alaihissalam dan keluarga Ibrahim ‘alaihissalam. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji. [Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadis al-Anbiya’, hadis no: 3370].
.
، عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ عُقْبَةَ بْنِ عَمْرٍو، قَالَ: أَقْبَلَ رَجُلٌ حَتَّى جَلَسَ بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَنَحْنُ عِنْدَهُ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَمَّا السَّلَامُ عَلَيْكَ فَقَدْ عَرَفْنَاهُ، فَكَيْفَ نُصَلِّي عَلَيْكَ إِذَا نَحْنُ صَلَّيْنَا عَلَيْكَ فِي صَلَاتِنَا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْكَ؟
Daripada Abu Mas’ud ‘Uqbah bin ‘Amr radiallahu ‘anhu, dia berkata: Seorang lelaki datang lalu duduk di hadapan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dan ketika itu kami ada bersama baginda. Lelaki itu bertanya: Ya Rasulullah, memberi salam kepada kamu, kami tahu. Bagaimana kami nak berselawat kepada kamu ketika kami mengucapkan selawat dalam solat kami, lalu Allah berselawat kepada kamu?
.
قَالَ: فَصَمَتَ حَتَّى أَحْبَبْنَا أَنَّ الرَّجُلَ لَمْ يَسْأَلْهُ ثُمَّ قَالَ: ” إِذَا أَنْتُمْ صَلَّيْتُمْ عَلَيَّ فَقُولُوا:
Baginda terdiam seketika sehingga kami suka jika dia tidak bertanya kepada baginda. Kemudian baginda bersabda: Apabila kamu berselawat, sebutlah:
.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ «.
Ya Allah, berikanlah rahmat kepada Muhammad Nabiy yang Ummiy, dan ke atas keluarga Muhammad, sebagaimana engkau memberikan rahmat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Berkatilah Muhammad Nabi yang Ummi, dan berkatilah keluarga Muhammad sebagaimana Kau berkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Kau Maha Terpuji. [Al-Mustadrak ‘Ala Al-Sahihain :988. Al-Hakim berkata ia hadis sahih atas Syarat Muslim. Adz-Dzahabi jua menyatakan begitu].

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani dalam Fathul Bari ketika menyebutkan tentang selawat berkata:

وَاسْتُدِلَّ بِتَعْلِيمِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَصْحَابِهِ الْكَيْفِيَّةَ بَعْدَ سُؤَالِهِمْ عَنْهَا بِأَنَّهَا أَفْضَلُ كَيْفِيَّاتِ الصَّلَاةِ عَلَيْهِ لِأَنَّهُ لَا يَخْتَارُ لِنَفْسِهِ إِلَّا الْأَشْرَفَ الْأَفْضَلَ
Berdasarkan tindakan Nabi s.a.w mengajar sahabat-sahabatnya cara berselawat selepas mereka bertanya kepadanya menunjukkan bahawa ia merupakan cara berselawat yang terbaik. Ini kerana baginda tidak akan memilih untuk dirinya melainkan yang paling mulia dan afdhal. [Fathul Bari, 11:166].

Kesimpulan:

– Semua selawat adalah selawat Jibril.
– Marilah banyakkan selawat ke atas Nabi SAW.

Dapatkan buku-buku agama berkualiti di kedai Shopee kami -> https://shopee.com.my/shop/325144389

Daftar Pengajian Mingguan Online di sini

Penulis mempunyai tauliah mengajar agama di Wilayah Persekutuan. Sebarang jemputan untuk ceramah atau kuliah agama boleh terus berhubung melalui whatsapp di talian 0132506391