Tun M terus istiqamah/konsisten dalam pendiriannya ke atas sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Dalam tulisan Tun M, bertarikh 31 Mac 2018, Tun Dr.Mahathir menyatakan perkara-perkara berikut:

  1. Hadis Nabi termasuk dalam bahagian sunnah dalam Islam. Mengamal sunnah adalah baik dan mendapat pahala untuk akhirat. Tetapi jika tidak mengamalnya tidak berdosa. Tidak ada larangan jika diutamakan Al-Quran apabila ada kelainan antara hadis dengan Al-Quran.

Daripada kefahaman beliau bahawa wujudnya sunnah yang bercanggah dengan al-Quran, dan sunnah tidak wajib diikuti, maka beliau menolak hukum seperti rejam, 4 orang saksi untuk sebahagian kes hudud dan lain-lain.

Semua boleh dibaca dalam tulisan yang sama di pautan berikut: http://chedet.cc/?p=2832

Tulisan 31 Mac 2018 ini telah dijawab oleh para ilmuan Islam lain seperti dipautan berikut:

Dr. Ahmad Sanusi- USIM https://www.facebook.com/ahmad.sanusi.usim/posts/1707632542663524

Dr. Rozaimi Ramle- UPSI https://www.facebook.com/DrRozaimiRamle/posts/2045521525475337

Sekali lagi, selepas menjadi Perdana Menteri buat kali ke 2, Tun Dr. Mahathir mengeluarkan lagi kenyataan yang mempertikaikan autoriti sunnah sebagai sumber hukum. Boleh rujuk video di FB Sinar Harian ( https://www.facebook.com/SinarHarian/videos/10156775727029883/ )

Dalam video di atas, Tun M menyatakan tiga perkara:

  • Kita perlu ikut al-Quran
  • Tidak perlu ikut sunnah yang bercanggah dengan al-Quran
  • Sunnah itu sunat, boleh buat, dan boleh tidak buat.

Insya-Allah tulisan di bawah akan cuba merungkaikan salah faham kepada 3 perkara di atas.

Tulisan di bawah merupakan petikan daripada kertas kerja yang saya sediakan untuk Seminas Asas Ilmu Hadis anjuran Al-Kahfi Services dengan sedikit penambahan.

Kedudukan As-Sunnah atau Al-Hadis Dalam Islam

 

 Sesungguhnya sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Islam. Ini diceritakan sendiri oleh Allah dalam al-Quran.

 

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang wajib ditaati, diikuti dan dicontohi

 

Firman Allah:

 

مَنْ يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ تَوَلَّى فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا (80(

Barangsiapa yang mentaati Rasul itu, sesungguhnya ia telah mentaati Allah. Dan barangsiapa yang berpaling [daripada ketaatan itu], maka Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pemelihara bagi mereka . [an-Nisa’ : 80]

 

قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ (32(

Katakanlah: Taatilah Allah dan rasul. Seandainya kalian berpaling, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang kafir. [Ali ‘Imran : 32]

 

Allah bukan sekadar menyuruh kita semua mentaati Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, bahkan menjadikan mengikuti baginda sebagai syarat untuk mencintai Allah. Firman Allah:

 

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ (31(

Katakanlah: Seandainya kalian mencintai Allah, ikutlah aku, nescaya Allah akan mencintai kalian dan mengampuni dosa-dosa kalian. Allah Maha Pengampun lagi Penyayang. [Ali ‘Imran : 31]

 

Allah telah menjadikan mengikuti baginda sebagai syarat mendapat hidayah daripadanya. Firman Allah:

 

قُلْ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ يُحْيِي وَيُمِيتُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (158(

Katakanlah: Hai manusia sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semua, iaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; tidak ada Tuhan [yang berhak disembah] selain Dia, Yang menghidupkan dan mematikan, maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul Nya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimat-Nya [kitab-kitab-Nya] dan ikutilah dia, supaya kamu mendapat petunjuk. [Al-A’raf : 158]

 

Allah juga menceritakan dalam al-Quran bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam merupakan sebaik-baik contoh ikutan. Firman Allah:

 

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا (21)

Sesungguhynya pada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam itu merupakan contoh yang baik untuk kalian, buat sesiapa yang mengharapkan untuk bertemu Allah dan hari kiamat, dan banyak mengingati Allah. [Al-Ahzab : 21]

 

Tiada Keimanan Kepada Yang Tidak Berhakim Dengan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam

 

Allah menafikan keimanan kepada sesiapa yang tidak menjadikan Allah dan rasul sebagai pemutus kepada sesuatu perkara, firman Allah:

 

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا (65)

Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya. (65) [An-Nisa : 65]

 

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا (36)

Dan tidaklah patut bagi lelaki-lelaki yang beriman dan tidak [pula] bagi wanita-wanita yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan [yang lain] tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.  [Al-Ahzab : 36]

 

Allah telah menjadikan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sebagai sumber syariat

 

الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الْأُمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِنْدَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ يَأْمُرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ وَيَضَعُ عَنْهُمْ إِصْرَهُمْ وَالْأَغْلَالَ الَّتِي كَانَتْ عَلَيْهِمْ فَالَّذِينَ آمَنُوا بِهِ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذِي أُنْزِلَ مَعَهُ أُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (157)

[Iaitu] orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi yang [namanya] mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang ma’ruf dan melarang mereka daripada mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya [Al-Quran], mereka itulah orang-orang yang beruntung. (157 [Al-A’raf : 157]

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا (59)

Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul [Nya], dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah [Al-Quran] dan Rasul [sunnahnya], jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama [bagimu] dan lebih baik akibatnya. [An-Nisa’ : 59]

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam merupakan penafsir yang menjelaskan maksud al-Quran

 

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bukanlah sekadar posmen yang membawa wahyu daripada Allah, bahkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berperanan mengajarkan dan menerangkan maksud-maksud isi kandungan al-Quran. Firman Allah:

 

بِالْبَيِّنَاتِ وَالزُّبُرِ وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ (44)

Keterangan-keterangan [mu’jizat] dan kitab-kitab. Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan [An-Nahl : 44]

 

لَا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ (16) إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ (17) فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ (18) ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا بَيَانَهُ (19)

Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk [membaca] Al Qur’an karena hendak cepat-cepat [menguasai] nya [3]. (16) Sesungguhnya atas tanggungan Kami-lah mengumpulkannya [di dadamu] dan [membuatmu pandai] membacanya. (17) Apabila Kami telah selesai membacakannya maka ikutilah bacaannya itu. (18) Kemudian, sesungguhnya atas tanggungan Kami-lah penjelasannya. (19) [Al-Qiyamah : 16-19]

Mereka yang mendakwa mengikut al-Quran sahaja tanpa mengikut sunnah secara jelasnya tidak mengikut al-Quran kerana ayat-ayat al-Quran seperti disebutkan di atas telah menjelaskan kewajipan mengikut Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Hubungan As-Sunnah Dengan Al-Quran

 

1-         Memperkuatkan lagi apa yang ada dalam al-Quran. Banyak perkara-perkara yang telah disyariatkan melalui al-Quran, diulangi lagi hal itu dalam as-Sunnah. Ini untuk memperkuatkan dan menunjukkan kepentingan hal tersebut. Ia seperti kewajipan solat, puasa, zakat, pengharaman memakan harta orang lain, larangan berzina, berbuat baik kepada ibu bapa dan banyak lagi.

 

2-         As-Sunnah akan memperincikan lagi apa yang diterangkan secara ringkas di dalam al-Quran. Ia hadir dalam pelbagai bentuk

a-         Menerangkan perincian tatacara bagaimana mahu melakukan sesuatu perkara yang telah disyariatkan dalam al-Quran. Ini sebagaimana tatacara solat.

b-         Menerangkan maksud perkataan dalam al-Quran yang mungkin boleh difahami dengan maksud yang banyak. Seperti maksud zalim dalam ayat yang menunjukkan maksudnya ialah syirik.

c-         Memperincikan sesuatu yang mutlaq. Contohnya dalam al-Quran menyebutkan pencuri akan dipotong tangannya. As-Sunnah menerangkan pula had tangan yang dipotong.

Begitu juga dalam al-Quran mensyariatkan wasiat, as-Sunnah menerangkan hadnya kepada 1/3 sahaja.

d-         Mengkhususkan apa yang ‘am di dalam al-Quran. Contohnya larangan memakan darah dalam surah al-Baqarah ayat 173. Dikhususkan oleh hadis membenarkan memakan hati dan limpa.

 

Selain daripada memperincikan apa yang telah sedia ada dalam al-Quran. As-Sunnah juga berdiri dengan sendirinya kerana padanya jua ada perkara-perkara yang tidak ada di dalam al-Quran, antaranya:

 

1-         Kenabian Nabi Adam dan nabi-nabi yang lain yang tidak disebutkan dalam al-Quran.

2-         Kelebihan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di atas nabi-nabi yang lain.

3-         Syafaat al-‘Uzma di padang masyhar.

4-         Syafaat kepada pelaku dosa besar.

5-         Mukjizat-mukjizat yang selain daripada al-Quran.

6-         Karakteristik dan sifat-sifat bentuk badan nabi sallallahu ‘alaihi wasallam

7-         Perkara-perkara khusus untuk nabi sallallahu ‘alaihi wasallam /khususiyyat

8-         Kisah permulaan wahyu diturunkan

9-         Hadis-hadis tentang sifat malaikat dan jin

10-       Senarai nama sahabat-sahabat yang dijamin syurga

11-       Soalan dalam kubur

Dan terlalu banyak lagi perkara yang hanya disebutkan dalam As-Sunnah atau Al-Hadis.

Bahkan termasuk juga di dalam perkara yang berkaitan hukum-hakam seperti

1-         Pengharaman menikahi ibu saudara isteri ketika si isteri masih hidup

2-         Pengharaman emas dan sutera ke atas lelaki

3-         Hukuman rejam kepada penzina yang sudah berkahwin

4-         Berhukum dengan saksi dan sumpah

5-         Pengharaman harta warisan ke atas waris yang membunuh si pemilik harta.

Adapun menyatakan bahawa ada al-Sunnah bercanggah dengan al-Quran, maka perlu dinilai semula benarkah itu percanggahan, atau sebenarnya tidak berlaku percanggahan sebaliknya ia penjelasan kepada sesuatu yang umum, dan sebagainya.

 

Antara Sunnah dan Sunat

 

Terdapat banyak istilah-istilah yang lazim digunakan apabila berbicara tentang ilmu hadis. Penuntut ilmu perlu memahami maksud istilah-istilah ini agar apa yang dibincangkan dapat difahami sebaik-baiknya. Disenaraikan di sini beberapa istilah yang lazim digunakan:

 

1-         Al-Hadis (الحديث): Ia bermaksud apa-apa sahaja yang disandarkan kepada nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berupa perbuatannya, perkataannya, persetujuan/taqrirnya, sifat bentuk tubuhnya, akhlaknya, sama ada sebelum dilantik menjadi rasul atau selepas dilantik.

2-         Al-Sunnah (السنة): Di sisi ulama hadis, ia mempunyai maksud yang sama dengan al-Hadis. Akan tetapi pada disiplin ilmu yang lain, ia membawa maksud yang berbeza:

 

Ulama Usul al-Feqh: As-Sunnah ialah apa yang disandarkan kepada nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sama ada perkataan, perbuatan, atau persetujuan baginda yang berkaitan dengan salah satu satu hukum taklifi; wajib, haram, sunat, makruh, harus.

 

Ulama feqh/Fuqaha’: As-Sunnah ialah lawan kepada wajib, iaitu sunat/mandub. Ia bermaksud pelakunya akan mendapat pahala, akan tetapi meninggalkannya tidaklah berdosa.

 

Ulama Aqidah: As-Sunnah ialah perkataan lawan kepada bid’ah. Oleh sebab itu terdapat banyak kitab-kitab aqidah menggunakan perkataan as-Sunnah.

 

Sebahagian orang menyatakan sunnah itu bukan sumber hukum dan boleh ditolak kerana ia sunat sahaja, dan tidak wajib dibuat. Ia merupakan satu kekeliruan yang fatal kerana mereka telah mencampur adukkan definisi sunnah yang digunakan oleh ulama fiqh dengan maksud sunnah yang dipegang oleh ahli hadis yang mana sunnah adalah hadis. Di dalam sunnah (menurut definisi ahli hadis) terkandung di dalamnya perkara yang wajib seperti bab akidah, bab hukum-hakam, di samping perkara yang melibatkan perkara sunat serta keperibadian dan sirah kehidupan nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.

 

Semoga Allah memberi kita semua kekuatan untuk istiqamah di atas jalan kebenaran, dan melembutkan hati kita semua untuk kembali ke pangkal jalan apabila sudah memilih kefahaman yang salah.

Khusus buat Tun Mahathir selaku pemimpin kita semua. Sama ada kita suka atau tidak, beliau adalah pemimpin kita. Ayuh doakan kebaikan untuk beliau, dan mereka iaitu ilmuan di sekeliling atau yang rapat dengan beliau hendaklah menjadi penasihat yang baik, dan bukan menjadi pembodek.

Imam al-Barbahari menukilkan dalam Syarhus Sunnah: Imam Fudhail bin ‘Iyad berkata:

 

لو كان لي دعوة مستجابة ما جعلتها الا في السلطان

Seandainya aku mempunyai doa yang mustajab, aku akan menjadikannya sebagai doa untuk pemerintah.