dalam sesi Hisnul Muslim, saya mendapat soalan tentang ‘Sedekah Subuh’. Ustaz yang bertanya menimbulkan persoalan adakah orang yang sedekah sebelum masuknya waktu Subuh, akan dapat jua fadhilat ‘Sedekah Subuh’?
.
Jawapan saya:
.
Isu ‘Sedekah Subuh’ merujuk kepada hadis berikut:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ إِلاَّ مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا ‏
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: Setiap kali hamba-hamba Allah memasuki waktu pagi, dua malaikat akan turun. Salah satu malaikat itu berkata:

اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَيَقُولُ الآخَرُ اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا ‏”‏‏.
Ya Allah, berikanlah ganti (yang baik) kepada orang yang bersedekah’. Sedang malaikat yang satunya lagi mengatakan: ‘Ya Allah, timpakanlah kerugian kepada orang yang menahan hartanya. [Muttafaq ‘Alaih; Sahih al-Bukhari, Kitab al-Zakat, no: 1442, Sahih Muslim, Kitab al-Zakat, Bab no: 1010]

Hadis ini menunjukkan pada waktu awal pagi dua malaikat akan turun mendoakan kebaikan untuk orang yang bersedekah, dan mendoakan kerugian kepada yang kedekut daripada bersedekah.

Hadis ini tidak menghadkan fadhilat doa malaikat ini kepada orang yang bersedekah pada waktu Subuh sahaja. Waktu Subuh atau pagi yang disebutkan dalam hadis ini merujuk waktu malaikat itu berdoa, bukan merujuk waktu orang bersedekah. Tambahan pula terdapat hadis lain menunjukkan doa yang sama oleh malaikat pada waktu Maghrib.

نْ أَبِي الدَّرْدَاءِ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
Daripada Abu al-Darda’ r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

” مَا طَلَعَتْ شَمْسٌ قَطُّ إِلَّا بُعِثَ بِجَنْبَتَيْهَا مَلَكَانِ يُنَادِيَانِ، يُسْمِعَانِ أَهْلَ الْأَرْضِ إِلَّا الثَّقَلَيْنِ:
Tidaklah matahari terbit melainkan akan diutus dua malaikat di dua sisi matahari yang akan menyeru, lalu seruan itu didengari oleh penduduk bumi kecuali jin dan manusia.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ هَلُمُّوا إِلَى رَبِّكُمْ فَإِنَّ مَا قَلَّ وَكَفَى خَيْرٌ مِمَّا كَثُرَ وَأَلْهَى،
Wahai sekalian manusia, marilah kepada Tuhan kamu. Sesungguhnya apa yang sedikit dan mencukupi itu lebih baik daripada yang banyak tetapi melalaikan.

وَلَا آبَتْ شَمْسٌ قَطُّ إِلَّا بُعِثَ بِجَنْبَتَيْهَا مَلَكَانِ يُنَادِيَانِ يُسْمِعَانِ أَهْلَ الْأَرْضِ إِلَّا الثَّقَلَيْنِ:
Tidaklah tenggelam matahari kecuali diutus dua malaikat di dua sisi matahari, dua malaikat itu akan menyeru, lalu seruan itu didengari penduduk bumi kecuali jin dan manusia:

اللهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَأَعْطِ مُمْسِكًا مَالًا تَلَفًا
Ya Allah, berikanlah ganti (yang baik) kepada orang yang bersedekah’. Sedang malaikat yang satunya lagi mengatakan: ‘Ya Allah, timpakanlah kerugian kepada orang yang menahan hartanya.
[Musnad Ahmad, no: 21721, Al-Arna’ut menyatakan Isnadnya Hasan; Sahih Ibn Hibban, no: 3329, Al-Arna’ut berkata Isnadnya Sahih atas syarat Imam Muslim].

Oleh itu waktu Subuh dan Maghrib dalam dua hadis ini merujuk kepada waktu malaikat itu berdoa, bukannya merujuk waktu khusus untuk bersedekah agar mendapat fadhilat itu.

Setiap orang boleh bersedekah pada bila-bila masa yang sesuai dengan dirinya sama ada sebelum Subuh, waktu Subuh, selepas Subuh, pagi, petang, siang malam, insya-Allah, akan tetap mendapat doa daripada malaikat ini.

Wallahua’lam.