Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam mulai sakit

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam mulai gering. Baginda bertanya kepada isteri-isterinya: “Giliranku esok di mana? “Di mana aku esok?”.

Isteri-isteri yang penuh kasih sayang memberikan pilihan kepada suami yang tercinta, untuk memlih di mana saja dia ingin berada. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam memilih rumah si pipi merah, Aisyah binti Abu Bakar Radiallahu ‘anhu. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam menghabiskan sisa-sisa hujung kehidupannya di rumah ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu..

Di rumahnya, ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu membacakan surahal-Falaq dan an-Nas serta doa-doa yang dihafalnya, sambil meniupkan ke seluruh tubuh baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam. Begitu kasihnya ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam.

Wasiat baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam

Sayangnya nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam kepada umatnya. Di saat akhir kehidupannya, lima hari sebelum nyawanya diambil, nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam meninggalkan pesanan yang mungkin dilupakan oleh ramai umatnya di zaman kini. Pesanan baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam berbunyi:

“Allah melaknat orang-orang Yahudi dan Nasrani. Mereka menjadikan kubur nabi-nabi mereka sebagai masjid”. Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam meneruskan nasihatnya: “Jangan kalian jadikan kuburku sebagai berhala yang disembah”.

Empat Hari Sebelum Saatnya Tiba

Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam tetap mengimami solat berjemaah sehinggalah solat maghrib pada hari keempat sebelum ajalnya tiba. Menjelang Isya’, sakit baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam semakin mencengkam. Sakitnya itu tetap tidak menghalang Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam daripada mengambil berat tentang solat Jemaah umatnya. Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam berkata:

“Adakah semua orang telah mendirikan solat?”

Jawab para sahabat: “Belum wahai Rasulullah, mereka sedang menunggumu.”

“Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam berkata: Sediakan bekas air untuk ku.” Lalu para sahabat melakukannya, nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam cuba menyegarkan dirinya dengan air tersebut. Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam cuba bangun, tetapi tidak mampu. Sakit masih mencengkamnya. Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam jatuh pengsan.

Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam terjaga, lalu bertanya:

“Adakah semua orang telah mendirikan solat?”

Para sahabat menjawab: “Belum wahai Rasulullah, mereka sedang menunggumu.”

Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam menyegarkan lagi dirinya dengan air, tetapi masih tidak terdaya. Baginda bertanya lagi berulang kali:

“Adakah semua orang telah mendirikan solat?”

Sahabat Radiallahu ‘anhu yang ada memberikan jawapan yang sama: Belum wahai Rasulullah, mereka sedang menunggumu.

Berulang kali soalan itu ditanya oleh nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam terlalu gering, tidak mampu untuk mengimami solat, walau sudah berulang kali baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam berusaha menyegarkan badannya. Akhirnya, nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh Abu Bakar Radiallahu ‘anhu mengimami solat menggantikan baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam. Abu Bakar Radiallahu ‘anhu memikul amanah itu, semenjak hari itu, dia telah mengimami sebanyak tujuh belas kali solat fardhu.

Senyuman Subuh Terakhir

Umat Islam sedang mendirikan solat Subuh bersama Abu Bakar Radiallahu ‘anhu. Tiba-tiba Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam menyingkap tabir di bilik ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu lalu memandang ke arah mereka. Baginda tersenyum dan tertawa.

Abu Bakar Radiallahu ‘anhu dengan penuh hormat mengundurkan dirinya kerana menyangka Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam ingin bersolat bersama mereka.

Kerana terlalu gembira, para sahabat sehingga mahu berhenti solat ketika itu. Tetapi Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam memberikan isyarat agar solat diteruskan. Kemudian baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam masuk semula ke dalam biliknya, dan menutup tirainya.

Tangisan dan ketawa Fatimah Radiallahu ‘anhu

Pagi itu, nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam membisikkan sesuatu di telinga Fatimah Radiallahu ‘anhu. Fatimah menangis mendengarnya. Kemudian nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam memanggil puterinya sekali lagi, lalu berbisik. Kali ini Fatimah ketawa keriangan.

Aisyah Radiallahu ‘anhu dan isteri yang lain kehairanan lalu bertanya kepada Fatimah Radiallahu ‘anhu. Dia menjawab:

“Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam membisikkan kepada ku bahawa baginda akan wafat dengan sakit yang dihadapinya, lantas aku pun menangis. Kemudian baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam membisikkan kepada ku bahawa akulah ahli keluarganya yang pertama akan menyusul selepasnya, aku pun ketawa.

Fatimah Radiallahu ‘anhu puteri Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam berasa kasihan kepada ayahnya yang kesakitan, lalu dia berkata kepada ayahnya:

“Alangkah deritanya ayah..”

Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Selepas ini tiada lagi penderitaan ke atas ayah mu.”

Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam meninggalkan nasihat buat umatnya: “Jagalah solat, jagalah solat, dan hamba-hamba yang dimiliki.”

Di atas pangkuan ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu

Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam berada dalam pelukan isteri tercinta, ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu. Saudara lelaki ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu, Abdul Rahman bin Abu Bakar muncul sambil membawa sebatang kayu sugi.

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam memandang ke arah Abdul Rahman. Si isteri tercinta memahami isi hati suaminya. ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu tahu nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam ingin kan kayu sugi tersebut.

‘Aisyah Radiallahu ‘anhu bersuara:

“Mahukah aku ambilkan kayu sugi untukmu?”. Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam menganggukkan kepala setuju.

‘Aisyah Radiallahu ‘anhu mengambil kayu sugi, lalu menghulurkannya kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu menyedari kayu sugi itu terlalu keras, lalu dia mengambilnya kembali.

Dia bertanya lagi:

“Mahukah jika aku lembutkannya untuk mu?”. Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam mengangguk tanda bersetuju.

Lalu, ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu melembutkan kayu sugi itu dengan menggigit-gigit hujungnya. Lalu ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu memggosokkan giri Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dengan kayu tersebut.
Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam wafat atas pangkuan ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu, dengan bersatunya air liur ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu dan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam.

Akhirnya…

Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam berasa sakit. Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam mencelup tangannya di dalam air, kemudian menyapu mukanya, lalu berkata: Tidak ada Tuhan selain Allah. Sesungguhnya pada kematian itu ada kesakitan.

Selesai sahaja bersugi, baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam mengangkat tangan atau jarinya ke langit, lalu menyebut: “Bersama orang-orang yang engkau berikan nikmat kepada mereka, daripada kalangan nabi-nabi, siddiqin, syuhada’ serta solihin. Ya Allah, ampunilah diri ku, rahmatilah diri ku. Temukanlah aku dengan Teman Yang Tertinggi, Ya Allah Teman Yang Tertinggi”.

Tangisan Para Sahabat

Anas bin Malik Radiallahu ‘anhu berkata: Tidak pernah aku melihat hari yang paling baik dan berseri-seri melainkan hari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam sampai kepada kami, dan tidak pernah aku melihat hari yang paling buruk dan gelap melainkan pada hari kewafatan nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam.

Berita kematian nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam tersebar, tangisan tidak tertahan lagi. Air mata sahabat bercucuran.

Fatima, puteri Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam Radiallahu ‘anhu berkata: Duhai ayahanda kesayanganku, yang telah menyahut panggilan Tuhannya, duhai ayahanda kesayanganku, syurga Firdaus tempat kembalinya, duhai ayahanda kesayanganku, kepada Jibril kami sampaikan berita kewafatannya.

Umar Radiallahu ‘anhu hilang pertimbangan, kecintaannya kepada nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam membuatkan dia seakan tidak sedar apa yang dia katakan. Umar Radiallahu ‘anhu berteriak dengan suara yang lantang:

“Ada orang-orang munafiq yang mendakwa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam telah wafat. Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam tidak mati, tetapi baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam pergi bertemu Tuhannya sebagaimana Musa bin ‘Imran yang menghilangkan diri daripada kaumnya selama empat puluh hari. Kemudian dia kembali semula kepada kaumnya setelah orang berkata dia telah mati. Demi Allah! Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam akan kembali dan memotong tangan dan kaki orang yang mengatakan baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam telah mati!”.

Abu Bakar Radiallahu ‘anhu bergegas pulang tatkala mendengar berita kematian Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Dibukanya kain yang menutupi nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam, dipeluk dan diciumnya nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam.

Abu Bakar menenangkan umat..

Umar Radiallahu ‘anhu masih lagi mengungkapkan kata-katanya tadi. Abu Bakar Radiallahu ‘anhu berkata kepada Umar Radiallahu ‘anhu: “Duduklah Umar!”. Tetapi Umar Radiallahu ‘anhu enggan untuk mendengar arahan Abu Bakar Radiallahu ‘anhu.

Abu Bakar Radiallahu ‘anhu terus berkata: “Sesiapa di kalangan kamu yang menyembah Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam, sesungguhnya Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam telah mati. Sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah Hidup dan tidak mati.” Beliau terus membaca surah Ali Imran, ayat 144:

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).

Para sahabat terpaku. Mereka tersedar daripada lamunan mereka. Mereka mulai sedar hakikat nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam telah meninggalkan mereka. Kata-kata Abu Bakar Radiallahu ‘anhu menyentap jiwa mereka yang sedang kesedihan, mengambalikan mereka kepada kewarasan.

“Demi Allah! Seakan-akan manusia tidak mengetahui bahawa ayat ini pernah diturunkan sehinggalah Abu Bakar membacanya. Lalu semua orang mengambil ayat itu daripada Abu Bakar. Lantas semua orang yang mendengar ayat itu dibaca, turut membacakannya”, demikian kata Ibnu ‘Abbas Radiallahu ‘anhu.

Umar Radiallahu ‘anhu yang tadi terlalu sedih hingga mengeluarkan kata-kata yang yang menggoncang akidah umat Islam, tersedar daripada kesilapannya. Ayat itu menyentap jiwanya kembali, menenangkan kembali hatinya yang sedang berkecamuk:

“Demi Allah, sebaik sahaja aku mendengar Abu Bakar membacakan ayat itu, aku menjadi lemah longlai sehingga tidak berdaya untuk berdiri. Akhirnya aku rebah ke bumi apabila mendengar Abu Bakar membacakannya. Maka yakinlah aku, nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam telah wafat”.

[Ringkasan daripada ar-Rahiq al-Makhtum susunan Shaikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri. Edisi terjemahan bertajuk Sirah Nabawiyyah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)] ———————

Akhirnya 12 Rabi’ul Awal tahun 11 Hijrah, hari Isnin, perginya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam meninggalkan umatnya.

Mana mungkin umatnya tidak menangis tatkala baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam meninggal dunia, sedangkan ketika hidupnya baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam menempuh 1001 ujian dan seksaan hanya kerana menyampaikan Islam kepada umatnya.

Bagaimana nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam yang sebelumnya dipercayai oleh semua penduduk Mekah, akhirnya ditolak dan dicerca tatkala berdiri di Bukit Safa, menyeru kaumnya kembali kepada Allah.

Bagaimana mungkin kita lupa, ketika nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam sedang sujud di Masjidil Haram, lalu kaum musyrikin meletakkan najis dan kotoran di atas batang tubuh nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu munculnya Fatimah Radiallahu ‘anhu menangis sambil membersihkan tubuh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam.

Bagaimana kita boleh lupa, nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam ketika pertama kali mengajak penduduk Thaif kepada Islam, baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam dibalas dengan lontaran batu. Setiap penjuru jalan yang baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam lalui, kanak-kanak, hamba dan kaum wanita menanti sambil melemparkan batu-batu ke arah nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu malaikat menawarkan tawaran untuk memusnahkan mereka yang menyakiti nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam, tetapi nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam menolak tawaran itu, kerana masih yakin akan datang masanya generasi kemudian menerima dakwah beliau.

Bagaimana kita boleh lupa…………….