Terdapat beberapa hadis berkaitan hal ini akan tetapi kesemuanya adalah dhaif.

عَنْ جَابِرٍ ، قَالَ : خَرَجْنَا فِي سَفَرٍ فَأَصَابَ رَجُلًا مِنَّا حَجَرٌ فَشَجَّهُ فِي رَأْسِهِ ثُمَّ احْتَلَمَ ، فَسَأَلَ أَصْحَابَهُ ، فَقَالَ : هَلْ تَجِدُونَ لِي رُخْصَةً فِي التَّيَمُّمِ ؟ فَقَالُوا : مَا نَجِدُ لَكَ رُخْصَةً وَأَنْتَ تَقْدِرُ عَلَى الْمَاءِ ، فَاغْتَسَلَ فَمَاتَ . فَلَمَّا قَدِمْنَا عَلَى النَّبِيِّ ﷺ أُخْبِرَ بِذَلِكَ ، فَقَالَ : ” قَتَلُوهُ قَتَلَهُمُ اللَّهُ ، أَلَا سَأَلُوا إِذْ لَمْ يَعْلَمُوا ، فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ ، إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيهِ أَنْ يَتَيَمَّمَ وَيَعْصِرَ أَوْ يَعْصِبَ شَكَّ مُوسَى عَلَى جُرْحِهِ خِرْقَةً ثُمَّ يَمْسَحَ عَلَيْهَا وَيَغْسِلَ سَائِرَ جَسَدِهِ

Daripada Jabir radiallahu ‘anhu, kami keluar dalam satu musafir, lalu salah seorang daripada kami kepalanya terkena batu lalu tercedera, kemudian lelaki ini mengalami mimpi basah. Dia bertanya kepada sahabatnya: Adakah ada rukhsah untuk aku bertayamum? Mereka menjawab: Kami tidak melihat adanya keringanan untuk engkau, dan engkau mampu menggunakan air. Lalu dia pun mandi wajib lalu mati. Apabila mereka tiba bertemu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, baginda diberitahu tentang hal itu lalu baginda berkata: Mereka telah membunuhnya, mereka telah membunuhnya. Hendaklah mereka bertanya jika tidak tahu. Ubat kepada kebodohan ialah bertanya. Sesungguhnya cukup untuk dia bertayamum dan membalut atas lukanya, kemudian menyapu di atas balutan itu, kemudian membasuh seluruh tubuhnya [Sunan Abi Daud, Kitab at-Thaharah, hadis no: 284]

عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ قَالَ: انْكَسَرَتْ إِحْدَى زَنْدَيَّ، فَسَأَلْتُ النَّبِيِّ – ﷺ -، فَأَمَرَنِي أَنْ أَمْسَحَ عَلَى الْجَبَائِرِ

Maksudnya: Daripada ‘Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu berkata: Salah satu lenganku patah, lalu aku bertanya kepada nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, lalu baginda menyuruh aku menyapu di atas balutannya. [Sunan Ibn Majah, Abwab Al-Tayammum, no: 657].

Riwayat Ali bin Abi Talib di atas sangat dhaif, bahkan para ulama hadis sepakat dengan kedhaifannya kerana padanya terdapat perawi bernama Amru bin Khalid yang merupakan seorang Kazzab di sisi Imam Ahmad dan lain-lain. Riwayat Jabir adalah lebih kuat akan tetapi ia jua dhaif. Imam al-Baihaqi menyatakan kesemua riwayat dalam bab ini adalah tidak sahih.[1]

Selain itu terdapat riwayat yang mawquf yang sahih daripada Ibn ‘Umar.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ ، أَنَّهُ كَانَ يَقُولُ : ” مَنْ كَانَ لَهُ جُرْحٌ مَعْصُوبٌ عَلَيْهِ تَوَضَّأَ وَمَسَحَ عَلَى الْعَصَائِبِ , وَيَغْسِلُ مَا حَوْلَ الْعَصَائِبِ ” .

Ibn ‘Umar radiallahu ‘anhum berkata: Sesiapa yang ada luka yang dibalut, maka berwudhulah dan sapulah di atas balutan itu, dan basuhlah di bahagian sekeliling balutan itu. [Al-Sunan Al-Kubra, Jima’ Abwab Al-Tayammum, no: 1079].

Walaupun riwayat-riwayat ini dhaif, akan tetapi ia diqiaskan dengan menyapu di atas khuf, dan jika orang yang tanpa keuzuran dibenarkan menyapu di atas khuf, maka lebih utama lagi orang yang berbalut disebabkan keuzuran untuk diberikan keringanan ini.[2]

Tatacara menyapu di atas balutan[3]

  • Membasuh bahagian yang tidak berbalut.
  • Menyapu keseluruhan pembalut yang membaluti anggota wudhu.
  • Bertayamum apabila sampai kepada bahagian yang berbalut itu.
  • Solat itu perlu diqadha apabila berlaku salah satu perkara berikut:[4]
    • Apabila dibalut dalam keadaan tidak bersuci.
    • Balutan itu menutupi kawasan tayamum.
    • Apabila balutan itu melebihi kawasan yang cedera.

Apa yang disebutkan di atas adalah berdasarkan fiqh mazhab Syafie. Akan tetapi ia akan menimbulkan keberatan kepada yang sakit untuk mengqadha solat dalam jumlah yang banyak kerana kebiasannya balutan dipakaikan oleh petugas perubatan di hospital dan pesakit mungkin dalam keadaan tidak bersuci.

Dr. Wahbah al-Zuhaily menyatakan: Ulama-ulama mazhab Hanafi dan Maliki tidak mensyaratkan untuk memakai jabirah/pembalut dalam keadaan suci. Sama sahaja sama ada memakainya dalam keadaan sudah bersuci atau belum. Dibenarkan menyapu di atas pembalut itu dan tidak perlu diulangi solat tersebut apabila solat kerana ia sah untuk menolak kesukaran. Pendapat ini lebih diterima akal kerana pembalut itu biasanya dipasang secara tiba-tiba, maka mensyaratkan untuk dipasang dalam keadaan bersuci akan membawa kepada kesusahan dan kesukaran.[5]

Begitu juga di sisi mazhab Hanafi dan Maliki, tidak perlu bertayamum kerana sapuan di atas balutan sudah menggantikan basuhan. Manakala mazhab Hanbali memperincikan seandainya balutan itu melebihi kadar saiz keperluan, maka wajib tayamum, jika tidak, maka tidak perlu tayamum.[6]

Adapun menurut mazhab al-Zahiri, cukup sekadar bersuci pada anggota yang tidak berbalut, dan tidak perlu menyapu di atas balutan atau tayamum kerana hadis-hadisnya dhaif. Mereka menolak qias dengan hukum menyapu di atas khuf kerana qias bukan hujah di sisi mazhab Zahiri. Bahkan kata Ibn Hazm jika qias adalah hujah sekalipun, tetapi qias menyapu di atas balutan dengan menyapu di atas khuf adalah salah kerana menyapu di atas khuf hukumnya harus sahaja, sedangkan ulama yang mengqiaskan menyatakan menyapu di atas jabirah/balutan adalah wajib. Bahkan menyapu di atas khuf ada batas waktu, sedangkan tiada batas waktu menyapu di atas balutan. Ibn Hazm juga menolak hujah dengan perbuatan Ibn Umar kerana perbuatan sahabat bukan dalil. [7]

[1] Al-Baihaqi, Al-Sunan Al-Kubra, 1/349.

[2] Az-Zuhaily, Al-Fiqh Al-Islami, 1/441.

[3] Al-Fiqh Al-Manhaji, 1/68.

[4] Al-Fiqh Al-Manhaji, 1/70.

[5] Az-Zuhaily, Al-Fiqh Al-Islami, 1/444.

[6] Az-Zuhaily, Al-Fiqh Al-Islami, 1/447.

[7] Ibn Hazm, Al-Muhalla, 1/317-318.