ADAKAH DOSA DIGANDAKAN PADA 10 HARI AWAL ZULHIJJAH.

Secara asasnya, pahala akan digandakan sehingga berlipat kali ganda, manakala dosa tidak digandakan.

Dalilnya:

مَن جَآءَ بِٱلْحَسَنَةِ فَلَهُۥ عَشْرُ أَمْثَالِهَا ۖ وَمَن جَآءَ بِٱلسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَىٰٓ إِلَّا مِثْلَهَا وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ ١٦٠
Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun). [Al-An’am, 6:160].

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ ـ رضى الله عنهما ـ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِيمَا يَرْوِي عَنْ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ قَالَ قَالَ ‏ “‏ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ، ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ، وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً
Ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhuma meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berkata: Allah berfirman: Sesungguhnya Allah telah menulis kebaikan dan kejahatan. Kemudian Dia menerangkannya. Sesiapa yang berazam melakukan kebaikan, tetapi tidak melakukannya. Maka Allah menulis untuknya satu kebaikan yang sempurna. Seandainya dia berazam melakukan kebaikan, lalu dia melakukannya, maka Allah menulis untuknya sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus kali ganda dan sehingga gandaaan yang sangat banyak. Sesiapa yang berazam melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya. Allah telah menulis untuknya satu kebaikan yang sempurna. Seandainya dia berazam melakukan kejahatan lalu dia melakukannya, maka Allah menulis untuknya satu kejahatan.
[Sahih al-Bukhari, Kitab ar-Riqaq, hadis no: 6491]

Lalu bagaimana dengan dosa-dosa yang dilakukan di waktu-waktu mulia seperti bulan-bulan haram, Ramadhan, atau di tempat-tempat mulia seperti Mekah dan lain-lain.

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) [At-Taubah : 36]

Tokoh-tokoh tafsir seperti Ibn ‘Abbas, Ali bin Abi Talhah berkata:
فجعلهنَّ حرماً، وعظم حُرماتهنَّ، وجعل الذَّنبَ فيهنَّ أعظمَ، والعمل الصالح والأجر أعظم
Allah telah menjadikan bulan-bulan itu penuh kehormatan, dan sangat besar kehormatan bulan-bulan itu. Allah telah menjadikan dosa pada bulan itu besar, dan amalan soleh dan pahala pada bulan itu juga besar. [Tafsir al-Qur’an al-Azhim, 4:148]

Begitu juga dosa akan menjadi besar menurut tahap atau darjat kedudukan seseorang manusia, sama ada dia manusia yang berilmu atau jahil. Ini sebagaimana firman Allah kepada isteri-isteri Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ مَنْ يَأْتِ مِنْكُنَّ بِفَاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ يُضَاعَفْ لَهَا الْعَذَابُ ضِعْفَيْنِ وَكَانَ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرًا
Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan (hukuman) yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya. [Al-Ahzab : 30]

Imam al-Zamakhsyari dalam Tafsir al-Kasyaf menyebutkan:

وإنما ضوعف عذابهنّ لأن ما قبح من سائر النساء كان أقبح منهنّ وأقبح ، لأن زيادة قبح المعصية تتبع زيادة الفضل والمرتبة وزيادة النعمة على العاصي من المعصى،
Sesungguhnya digandakan azab mereka kerana perkara apa yang buruk untuk dilakukan oleh wanita lain, maka ia akan jadi lebih buruk jika dilakukan oleh isteri-isteri Nabi s.a.w, ini kerana darjat keburukan itu bertambah mengikut darjat kedudukan pelakunya, dan bertambah mengikut pertambahan nikmat pada pelaku maksiat itu.

وليس لأحد من النساء مثل فضل نساء النبي صلى اللّه عليه وسلم ولا على أحد منهنّ مثل ما للّه عليهن من النعمة ، والجزاء يتبع الفعل ،
Tiada seorang pun wanita yang semisal dengan kelebihan isteri-isteri nabi s.a.w, dan tiada wanita yang mendapat nikmat daripada Allah melebihi nikmat yang mereka perolehi. Balasan kepada amalan bergantung kepada perbuatan yang dilakukan.

وكون الجزاء عقابا يتبع كون الفعل قبيحا ، فمتى ازداد قبحا. ازداد عقابه شدّة ، ولذلك كان ذم العقلاء للعاصي العالم : أشدّ منه للعاصي الجاهل ، لأن المعصية من العالم أقبح ، ولذلك فضل حدّ الأحرار على حد العبيد
Kadar hukuman akan mengikut kepada sejauh mana buruknya perbuatan, apabila bertambah buruknya perbuatan itu, maka hukuman akan bertambah berat. Oleh sebab itu celaan kepada pelaku maksiat yang alim lebih keras daripada pelaku maksiat yang jahil kerana maksiat yang dilakukan si alim lebih buruk daripada maksiat si jahil. Begitu jua lebihnya hukuman hudud ke atas orang merdeka berbanding golongan hamba. [Tafsir al-Kasyaf, 3:536].

Para ulama menerangkan bahawa dosa tidak digandakan daripada sudut bilangan. Akan tetapi besarnya dosa itu berbeza-beza dan digandakan. Dosa dilakukan di waktu dimuliakan lebih besar daripada dosa di waktu lain.

Al-Shaikh Abdul Aziz bin Baz berkata:

فالسيئات لا تضاعف من جهة العدد، لا في رمضان ولا في الحرم ولا في غيرها، بل السيئة بواحدة دائمًا، وهذا من فضله سبحانه وتعالى وإحسانه.
Dosa-dosa tidak digandakan daripada sudut bilangannya, tidak kira sama ada ia dilakukan dalam bulan Ramadhan, di Tanah Haram, atau di waktu atau tempat yang lain. Bahkan, dosa itu sentiasa kekal satu. Ini merupakan daripada kurniaan Allah s.w.t.

ولكن سيئة الحرم وسيئة رمضان وسيئة عشر ذي الحجة أعظم إثمًا من السيئة فيما سوى ذلك، فسيئة في مكة أعظم وأكبر وأشد إثمًا من سيئة في جدة والطائف مثلًا، وسيئة في رمضان وسيئة في عشر ذي الحجة أشد وأعظم من سيئة في رجب أو شعبان ونحو ذلك.
Akan tetapi dosa di Tanah Haram, Ramadhan, 10 awal Zulhijjah, lebih besar daripada dosa di waktu atau tempat yang lain. Dosa di Mekah lebih besar dan teruk daripada dosa di Jeddah atau Thaif misalnya. Dosa dalam bulan Ramadhan, 10 awal Zulhijjah, lebih besar dan teruk daripada dosa dalam bulan Rejab, Sya’ban dan waktu yang lain.

فهي تضاعف من جهة الكيفية لا من جهة العدد، أما الحسنات فهي تضاعف كيفية وعددًا بفضل الله سبحانه وتعالى
Oleh itu gandaan untuk dosa adalah dalam bentuk besarnya dosa itu, dan bukan daripada sudut bilangan. Adapun kebaikan, ia berlipat kali ganda pada sudut besarnya pahala dan bilangan pahala itu sendiri, dengan kurniaan daripada Allah. [ Rujuk: https://binbaz.org.sa/fatwas/120/مضاعفة-الحسنات-كما-وكيفا-ومضاعفة-السيىات-كيفا-لا-كما ]