Sambil berjalan-jalan dengan keluarga hari ini, saya membelek telefon pintar, dan terbaca satu berita kematian bayi ‘homebirth’ kerana Meconium Aspiration Syndrome (MAS). Apakah itu MAS?

Meconium Aspiration Syndrome (MAS) refers to breathing problems that a newborn baby may have when:

There are no other causes, and
The baby has passed meconium (stool) into the amniotic fluid during labor or delivery
MAS may occur if the baby breathes in (aspirates) this fluid into the lungs. [ https://medlineplus.gov/ency/article/001596.htm ].

Bahasa paling mudah yang saya faham ialah bayi termakan berak sendiri sama ada ketika dalam perut ibu atau ketika proses kelahiran.

Apakah puncanya?

Causes
Meconium is the early feces (stool) passed by a newborn soon after birth. It is passed from the body before the baby has started to digest breast milk (or formula).

In some cases, the baby passes meconium while still inside the uterus. This will happen when babies are “under stress” because their supply of blood and oxygen decreases. This is often due to problems with the placenta or the umbilical cord…

Risk factors that may cause stress on the baby before birth include:

“Aging” of the placenta if the pregnancy goes far past the due date
Decreased oxygen to the infant while in the uterus
Diabetes in the pregnant mother
Difficult delivery or long labor
High blood pressure in the pregnant mother

Secara mudahnya ia menerangkan bahawa bayi berak ketika dalam perut ibu kerana bayi sedang stress/tertekan disebabkan berkurangnya bekala darah dan oksigen.

Apakah yang boleh berlaku jika MAS terjadi?

Once the meconium has passed into the surrounding amniotic fluid, the baby may breathe meconium into the lungs. This may happen while the baby is still in the uterus, or still covered by amniotic fluid after birth. The meconium can also block the infant’s airways right after birth.

It can cause breathing problems due to swelling (inflammation) in the baby’s lungs after birth.

Ringkasnya ia boleh menyebabkan masalah pernafasan kepada bayi.

(Mohon para doktor perbetulkan jika ada kesalahan fakta di sini).
……………………………………………..

Saya ingin berkongsi cerita tentang kelahiran anak saya, Haura binti Mohd Masri. Pada hari Isnin, saya membawa isteri saya menjalani pemeriksaan rutin di Hospital Selayang. Doktor memeriksa, dan alhamdulillah, semuanya okey. Kami lega, sebab sebelum ini, bayi dalam kandungan songsang, tetapi alhamdulillah, dengan kuasa Allah, Haura akhirnya berada di posisi yang selamat untuk lahir secara normal.

Saya bertanya kepada doktor bilakah jangkaan masa isteri saya akan bersalin. Adakah dalam masa terdekat? Ini kerana esoknya, hari Selasa, isteri saya ada peperiksaan hujung semester. Doktor pun memeriksa bukaan isteri saya. Beliau memaklumkan, insya-Allah lagi seminggu, dan insya-Allah bukan esok (doktor tu tidak sebut Insya-Allah lah sebab beliau bukan Muslim).

Malam itu, saya menemani isteri saya mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan esoknya. Sehingga sekitar 1 pagi. Kemudian kami tidur.

Tiba-tiba pagi itu, isteri saya menggerakkan saya untuk bangun solat Subuh, dan beliau menyatakan bahawa katil basah. Saya tanya, cuba periksa air kencing ke. Tetapi basahnya itu sudah terlalu lenjun, pelik pula jika saya atau isteri terbuang air kecil ketika tidur sampai lenjun tilam begitu. Isteri ke bilik air. Beliau memanggil saya dan menyatakan air ketuban sudah pecah. Saya segera solat Subuh, dan kami bersiap terus ke Hospital Selayang.

Kami menunggu giliran di Hospital Selayang kerana ramai ibu-ibu lain yang akan melahirkan anak jua pada hari itu. Isteri saya keluar dan memaklumkan anak sudah berak ni. Jururawat memanggil saya masuk untuk menemani isteri saya. Semuanya nampak normal. Sekumpulan doktor datang memeriksa isteri saya lagi, dan tiba-tiba doktor berkata: “Anak awak sudah berak dalam perut ibu ni!”. Saya blurr, okey jika anak dah berak kenapa? Doktor kata: “Kami kena keluarkan bayi segera, takut dia termakan beraknya sendiri. Kalau dia termakan, bahaya!”. Saya terus bersetuju, isteri pun terus bersetuju.

Jururawat dan saya menolak katil sehingga ke pintu bilik pembedahan. Saya sangka saya boleh masuk, sebagaimana untuk kelahiran normal. Tiba-tiba jururawat kata: “Puan, boleh salam suami puan”. Saya terkejut sebab saya ingat saya akan masuk sekali, rupanya untuk pembedahan saya hantar sampai ke pintu sahaja. Saya salam, dan cium dahi isteri saya. Waktu itu perasaan dah bercampur-campur. Duduk di luar menanti berita daripada bilik pembedahan, itu satu saat yang sangat menakutkan. Waktu itulah, kita sedar, hanya Allah tempat bergantung. Kita sudah buat yang terbaik, sudah berusaha yang terbaik, keputusannya tetap di tangan Allah. Pergi ke surau, solat sunat, sebab waktu tu tak ada apa dah saya boleh buat. Doktor di dalam sana sedang berusaha menyelamatkan anak saya dan isteri saya. Saya di luar pula perlu berdoa agar Allah memberikan yang terbaik.

Dipendekkan cerita, alhamdulillah, semuanya baik-baik belaka. Saya mendapat anak perempuan. (Untuk tahu kisah kelahiran anak saya dan kebaikan warga Hospital Selayang, baca di sini –> http://mohdmasri.com/terima-kasih-hospital-selayang/ )

Kenapa saya menulis tentang Meconium aspiration syndrome (MAS)?

Saya bukan seorang doktor, bukan seorang doula, bukan jururawat atau mana-mana pakar perubatan. Akan tetapi dengan isu Meconium Aspiration Syndrome (MAS) sudah membuatkan saya sedar bahayanya memilih untuk melahirkan anak di rumah. Mari lihat kembali apa yang dilalui kami pada hari kelahiran Haura. Saya hanya mengetahui anak saya sudah berak kerana doktor memeriksa kandungan isteri saya. Saya hanya mengetahui bahawa jika anak tertelan najis tersebut ia sangat berbahaya kepada anak saya. Kenapa saya tahu? Kerana Allah telah mentakdirkan saya untuk memilih agar anak saya dilahirkan di hospital. Ya, di hospital kerana di situlah terdapat ramainya mereka yang berilmu dalam bidang perubatan. Bukankah Allah suruh kita menyerahkan urusan kepada orang yang berilmu dalam urusan tersebut? Allah menyebutkan sebanyak dua kali firmannya berikut:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Tanyalah kepada Ahli Zikir jika kalian tidak mengetahui. [Surah an-Nahl: 43, dan Surah al-Anbiya: 7].

Al-Shaikh Abdul Rahman bin Nasir al-Sa’di menyebutkan dalam tafsirnya kepada ayat surah al-Anbiya’ di atas:

وفي تخصيص السؤال بأهل الذكر والعلم نهي عن سؤال المعروف بالجهل
Pada ayat ini terdapat pengkhususan untuk bertanya kepada Ahli Zikir dan Ilmu, dan padanya larangan daripada bertanya kepada orang yang diketahui bodohnya. [Taisir al-Karim al-Rahman Fi Tafsir Kalam al-Mannan].

Seandainya saya memilih untuk melahirkan anak di rumah, bagaimanakah keadaannya? Adakah di rumah saya terdapat ahli ilmu yang dapat menerangkan bahawa anak saya sudah berak dan keadaan itu bahaya.

Ya, anak saya dijangka lahir secara normal pada sehari sebelum kelahiran. Bahkan dijangka lahir seminggu selepas itu dan bukan sehari selepas pemeriksaan itu. Tetapi Allah menunjukkan keluasan ilmunya dan keterbatasan ilmu manusia. Ini merupakan satu jawapan kepada mereka yang menyatakan ‘Tiada masalah untuk lahirkan anak di rumah seandainya doktor sudah sahkan anak okey, ibu okey, kelahiran normal dan sebagainya. Jika kecemasan baru pergi hospital, telefon ambulan’. Lihat apa yang terjadi kepada saya. Bukankah asalnya semua dijangka normal, tetapi disaat akhir keadaan berubah? Jika di rumah, sendirian tanpa doktor, bagaimana saya boleh tahu sedang kecemasan, anak dalam keadaan bahaya? Maka pengalaman ini mengajar saya bahawa melahirkan anak di hospital bukan satu pilihan mahu atau tidak, sebaliknya itu adalah satu keperluan bagi merealisasikan arahan meletakkan urusan dan bertanya kepada ahli ilmu dan merealisasikan arahan Tuhan untuk kita berusaha sebaik mungkin.

Saya mengajak pembaca semua untuk menyerahkan urusan kepada ahlinya. Sebagaimana hukum-hakam agama diserahkan kepada ahlinya, serahkan jua urusan perubatan kepada ahlinya. Jangan main semberono mencedok nasihat di sana sini. Ingatlah sabda nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam di bawah:

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ جَدِّهِ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ مَنْ تَطَبَّبَ وَلاَ يُعْلَمُ مِنْهُ طِبٌّ فَهُوَ ضَامِنٌ ‏”‏ ‏
Daripada ‘Abdullh bin ‘Amru bin al-‘As radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Sesiapa yang mengubati sedangkan dia tidak dikenali sebagai orang yang ahli dalam perubatan, maka dia akan dipertanggungjawabkan. [Sunan Abi Daud, Kitab al-Diyaat, no: 4586, Shaikh al-Arnaouth menyatakan ia hasan lighairihi].

Saya terkejut apabila membaca penghujahan seorang penyokong ‘homebirth’ yang mempertahankan tindakan melahirkan anak di rumah. Apabila kita mengkritik amalan melahirkan anak di rumah, dan memberikan contoh kes-kes kematian yang melibatkan kelahiran di rumah, penyokong ‘homebirth’ ini menulis seperti kata-kata di bawah:

“So kalau kat hospital baby ni ada kemungkinan hidup lagi tah ye?

Aku tak tau admin ni ugama apa, cuma nak bgtau Tuhan aku kata “Bila tiba ajal, takkan lebih walau sesaat dan takkan awal walau sesaat”

Saya sangka penyokong ‘homebirth’ akan mendatangkan data-data kajian menunjukkan kelahiran di rumah lebih selamat berbanding kelahiran di hospital. Akan tetapi malangnya penyokong ‘homebirth’ ini telah menggunakan sentimen agama Islam, qadha dan qadar dan sebagainya.

Ya, benar, ajal maut akan tiba bila masanya. Hatta lahir di rumah, di hospital, dalam kereta, dalam kandang kambing atau di mana sahaja. Itu bukan kerja kita. Akan tetapi, kerja kita ialah disuruh berusaha sebaik-baik yang mungkin. Melakukan yang terbaik untuk mencegah daripada kerosakan berlaku, menyediakan keadaan yang mengurangkan risiko kematian, berusaha menyelamatkan nyawa walau peluang tipis. Semua ini, Insya-Allah dapat dilakukan di hospital. Di rumah? Kita sedang dengan sukarela meletakkan diri dalam bahaya sebagaimana dalam kes anak saya jika saya memilih melahirkan anak di rumah. Jika berlaku situasi buruk di saat akhir, siapa yang akan berusaha menyelamatkan anak itu di rumah? Bandingkanlah dengan keadaan di hospital.

Jika penyokong ‘homebirth’ ini mahu menunggang rukun Iman ke 6, maka dipersilakan untuk tidak makan, minum, bekerja, bahkan jangan bersetubuh dengan isteri pun sebab kelahiran anak itu kerja Allah, jika Allah mahu anak akan lahir walau tanpa bersetubuh sekalipun! (Ini jika menurut kefahaman penyokong ‘homebirth’ tersebut). Itu jika mahu ikut fahaman mereka, dan saya tidak mahu ikut fahaman itu.

Islam yang diajar oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam mengajar kita untuk berusaha.

عَنْ جَعْفَرِ بْنِ عَمْرِو بْنِ أُمَيَّةَ ، عَنْ أَبِيهِ ، قَالَ : قَالَ رَجُلٌ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أُرْسِلُ نَاقَتِي وَأَتَوَكَّلُ ؟ ، قَالَ : اعْقِلْهَا وَتَوَكَّلْ.
Daripada ‘Amru bin Umayyah radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Seorang lelaki berkata kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam: Adakah aku biarkan sahaja unta ku dan aku bertawakkal? Baginda menjawab: Ikatlah unta itu dan bertawakkallah. [Sahih Ibnu Hibban, Kitab al-Raqaiq, Bab al-Wara’ wa at-Tawakkal, no: 731].

Dalam sebuah riwayat Mursal diriwayatkan bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Tidak boleh memudharatkan diri sendiri dan orang lain. [Imam Malik dalam Al-Muwatta’, Kitab al-Aqdhiyah, no: 1435].

Adapun, untuk ibu bapa yang memilih melahirkan anak dengan kelahiran di rumah. Jika selamat, alhamdulillah, banyakkan bersyukur kepada Allah dan jangan ulangi tindakan berbahaya tersebut.

Bagi mereka yang memilih kelahiran di rumah, lalu kehilangan anak yang tersayang. Bersabarlah, dalam masa yang sama berubahlah, dan jauhi perkara-perkara yang membahayakan nyawa anda dan anak anda. Benar, anak anda akan berada di syurga sebagaimana hadis-hadis di bawah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ لِنِسْوَةٍ مِنَ الأَنْصَارِ ” لاَ يَمُوتُ لإِحْدَاكُنَّ ثَلاَثَةٌ مِنَ الْوَلَدِ فَتَحْتَسِبَهُ إِلاَّ دَخَلَتِ الْجَنَّةَ “. فَقَالَتِ امْرَأَةٌ مِنْهُنَّ أَوِ اثْنَيْنِ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ “أَوِ اثْنَيْنِ “.
Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda kepada wanita Ansar: Tidaklah mati tiga orang anak kepada salah seorang kalian, lalu si ibu itu menyerahkan hal itu kepada Allah melainkan wanita itu akan masuk syurga. Seorang wanita daripada mereka bertanya: Bagaimana jika dua orang ya Rasulullah? Baginda menjawab: Atau jika dua orang (si ibu tetap mendapat kelebihan itu). [Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, no: 2632]

Dalam riwayat Sahih al-Bukhari disebutkan bahawa ia merujuk kepada anak yang belum baligh:

يَمُوتُ لَهُ ثَلاَثَةٌ مِنَ الْوَلَدِ لَمْ يَبْلُغُوا الْحِنْثَ
Matinya tiga orang anak yang belum baligh…. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Janaiz, Bab Ma Qiil Fi Awlad al-Muslimin, hadis no: 1381].

عَنْ أَبِي حَسَّانَ، قَالَ قُلْتُ لأَبِي هُرَيْرَةَ إِنَّهُ قَدْ مَاتَ لِيَ ابْنَانِ فَمَا أَنْتَ مُحَدِّثِي عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِحَدِيثٍ تُطَيِّبُ بِهِ أَنْفُسَنَا عَنْ مَوْتَانَا قَالَ قَالَ نَعَمْ ” صِغَارُهُمْ دَعَامِيصُ الْجَنَّةِ يَتَلَقَّى أَحَدُهُمْ أَبَاهُ – أَوْ قَالَ أَبَوَيْهِ – فَيَأْخُذُ بِثَوْبِهِ – أَوْ قَالَ بِيَدِهِ – كَمَا آخُذُ أَنَا بِصَنِفَةِ ثَوْبِكَ هَذَا فَلاَ يَتَنَاهَى – أَوْ قَالَ فَلاَ يَنْتَهِي – حَتَّى يُدْخِلَهُ اللَّهُ وَأَبَاهُ الْجَنَّةَ
Daripada Abu Hassan, beliau berkata: Aku bertanya kepada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu: Sesungguhnya dua anak lelaki aku telah meninggal dunia. Bolehkah engkau sampaikan apa-apa hadis daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam yang akan melegakan diri kami di atas kematian dua anak kami?

Abu Hurairah menjawab: Ya. Kanak-kanak itu akan menjadi anak-anak di syurga. Apabila salah seorang mereka berjumpa dengan ayahnya atau kedua ibu bapanya, dia akan memegang pakaian atau tangan ibu bapanya sebagaimana aku memegang hujung baju kalian. Dia tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkannya dan ayahnya ke dalam syurga. [Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, no: 2635].

Akan tetapi, itu bukan alasan meletakkan anak kita dalam risiko kematian. Mereka sudah pasti di syurga, akan tetapi kita, entah ke mana kita pun tidak tahu. Syahid ketika berperang di jalan Allah dijanjikan syurga, akan tetapi tetap Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersiap sedia sebaik mungkin untuk peperangan.

Adapun, untuk mereka yang tidak setuju dengan ‘homebirth’, saya mohon, usah sakiti hati keluarga ibu bapa yang baru kehilangan anak dengan perkataan-perkataan yang tidak elok. Doakanlah kebaikan dan agar mereka dan kita semua mendapat hidayah.

Kesimpulan:

1- ‘Homebirth’ adalah berbahaya kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi disaat akhir walau ketika pemeriksaan rutin disahkan akan melahirkan anak secara normal.
2- Melahirkan anak di hospital adalah lebih selamat kerana disana terdapat ahli-ahli ilmu dalam bidang perubatan dan lebih cepat dapat bertindak jika berlaku kecemasan.
3- Melahirkan anak di hospital selari dengan tuntutan bertanya dan menyerahkan ilmu kepada ahlinya.
4- Melahirkan anak di hospital selari dengan tuntutan untuk kita berusaha sebaik mungkin.
5- Melahirkan anak di hospital tidak menafikan tawakkal.