*Sahihkah Hadis Galakan Mengucapkan: Semoga Allah membalas kepada Penghulu Nabi Muhammad SAW bagi pihak kami apa yang layak untuk baginda*

Saya mendapat soalan ini di inbox FB saya.

Imam At-Thabrani meriwayatkan dalam Al-Mu’jam Al-Awsath (235):

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ رِشْدِينَ قَالَ: نا هَانِئُ بْنُ الْمُتَوَكِّلِ قَالَ: نا مُعَاوِيَةُ بْنُ صَالِحٍ، عَنْ جَعْفَرِ بْنِ مُحَمَّدٍ، عَنْ عِكْرِمَةَ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ قَالَ: جَزَى اللَّهُ عَنَّا مُحَمَّدًا بِمَا هُوَ أَهْلُهُ، أَتْعَبَ سَبْعِينَ كَاتِبًا أَلْفَ صَبَاحٍ»
Daripada Ibn Abbas r.a, diriwayatkan baginda s.a.w bersabda: (Ucapan) Semoga Allah membalas kepada Penghulu Nabi Muhammad SAW bagi pihak kami apa yang layak untuk baginda akan memenatkan 70 malaikat yang mencatat amalan selama 1000 hari (untuk mencatat amalan itu).

Hadis ini turut diriwayatkan oleh At-Thabrani jua dalam Al-Mu’jam Al-Kabir (11509), Ibn Syahin dalam At-Targhib Fi al-Fadhail (15), Abu Nu’aim dalam Hilyatul Awliya’ (3938), jua dalam Akhbar Asbahan (1589, 1819) Al-Khatib Al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (4441) kesemuanya daripada Hani’ bin al-Mutawakkil daripada Muawiyah bin Soleh daripada Ja’far bin Muhammad daripada ‘Ikrimah daripada Ibn ‘Abbas.

1- Hadis ini gharib. Ia hanya wujud daripada riwayat Hani’ bin al-Mutawakkil sahaja.

Imam at-Thabrani menyebutkan selepas membawakan hadis ini:

لَمْ يَرْوِ هَذَا الْحَدِيثَ عَنْ عِكْرِمَةَ إِلَّا جَعْفَرُ بْنُ مُحَمَّدٍ، وَلَا عَنْ جَعْفَرِ إِلَّا مُعَاوِيَةُ بْنُ صَالِحٍ، تَفَرَّدَ بِهِ: هَانِئُ بْنُ الْمُتَوَكِّلِ
Tidaklah meriwayatkan hadis ini daripada ‘Ikrimah kecuali Ja’far bin Muhammad, tidak jua daripada Ja’far kecuali Muawiyah bin Soleh. Hani’ bin al-Mutawakkil bersendirian dalam meriwayatkannya.

Kata Abu Nu’aim dalam Hilyatul Awliya’:

هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ مِنْ حَدِيثِ عِكْرِمَةَ وَجَعْفَرٍ وَمُعَاوِيَةَ، تَفَرَّدَ بِهِ هَانِي بْنُ الْمُتَوَكِّلِ الْإِسْكَنْدَرَانِيُّ
Hadis ini gharib daripada hadis ‘Ikrimah, Ja’far dan Muawyiyah. Hani’ bin al-Mutawakkil telah bersendirian dalam meriwayatkannya.

2- Oleh itu penting untuk mengetahui siapakah Hani’ bin al-Mutawakkil ini dan apakah statusnya di sisi para ulama.

Abu Hatim al-Razi berkata: Aku bertemu dengan beliau (iaitu Hani’) tetapi aku tidak mendengar hadis daripadanya. [Ibn Abi Hatim, Al-Jarh wa At-Ta’dil, 9:102].

Dalam Lisan al-Mizan, Ibnu Hajar menukilkan Abu Hatim berkata: Aku bertemu dengannya tetapi tidak menulis hadis daripadanya. [Ibn Hajar, Lisan al-Mizan, 8:321]

Ibn Hibban menyatakan bahawa dia banyak meriwayatkan riwayat munkar, dan tidak boleh berhujah dengannya. [Ibn Hajar, Lisan Al-Mizan, 8:320].

3- Oleh itu bagaimana dengan status hadis ini?

Status hadis ini adalah dhaif jiddan sebagaimana yang disebutkan oleh Al-Albani dalam Al-Silsilah Al-Dhaifah (1077). Beliau jua menyatakan ia Munkar (5109). Ini kerana Hani’ seorang tersangat lemah dan bersendirian pula meriwayatkan hadis ini.

Kesimpulan:

Hadis ini tersangat lemah dan tidak boleh disebarkan kecuali untuk memberitahu tentang kelemahannya. Tidak jua untuk fadhail al-A’mal kerana ia terlalu lemah, dan bukannya dhaif yang ringan.

Wallahua’lam.

#MMMR