Terawih kilat=solat terawih laju yang tular itu, bila 2-3 kali fikir dah jadi macam penghinaan kepada agama Islam itu sendiri, menjadi bahan gelak ketawa orang.

Daripada solat terawih laju macam kilat itu secara berjemaah, lebih baik jemaah solat terawih sendiri-sendiri sahaja di rumah dengan tenang dan tertib.

Jika solat dengan sekadar baca ayat lazim pun masih okey kalau tak larat berdiri lama-lama. Tetapi sampai laju sampai dipanggil terawih kilat, macam tu ke cara kita beribadah? Itu ke adab kita dalam bulan Ramadhan.

Kita marah orang hina agama kita, jadikan agama kita bahan lawak jenaka, tetapi sebahagian orang Muslim beribadah dengan cara begini, yang mana orang yang tak ada niat nak hina Islam pun bila tengok akan rasa lucu dan kelakar cara umat Islam beribadah.

Jauh sungguh dengan contoh generasi terbaik.

Imam Malik meriwayatkan di dalam al-Muwatta’, daripada Abdul Rahman al-A’raj, beliau berkata: Aku mendengar ayahku berkata:

كُنَّا نَنْصَرِفُ فِي رَمَضَانَ ، فَنَسْتَعْجِلُ الْخَدَمَ بِالطَّعَامِ مَخَافَةَ الْفَجْرِ.
Ketika kami selesai melakukan solat terawih, pembantu-pembantu tergopoh-gapah menyediakan sahur kerana takut masuknya waktu Subuh. [Al-Muwatta’, jilid 1, m/s 172, no : 305]

Imam Malik meriwayatkan jua daripada as-Saib bin Yazid, beliau berkata:

أَمَرَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ وَتَمِيمًا الدَّارِيَّ أَنْ يَقُومَا لِلنَّاسِ بِإِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً قَالَ : وَقَدْ كَانَ الْقَارِئُ يَقْرَأُ بِالْمِئِينَ ، حَتَّى كُنَّا نَعْتَمِدُ عَلَى الْعِصِيِّ مِنْ طُولِ الْقِيَامِ ، وَمَا كُنَّا نَنْصَرِفُ إِلاَّ فِي فُرُوعِ الْفَجْرِ.
Umar al-Khattab mengarahkan Ubay bin Ka’ab dan Tamim ad-Dari untuk mengimami manusia sebanyak sebelas rakaat. Imam ketika itu membaca ratusan ayat sehingga kami terpaksa berpegang kepada tongkat kerana lamanya berdiri. Kami tidaklah selesai solat melainkan apabila sudah hampir dengan waktu fajar. [Al-Muwatta’, jilid 1, m/s 172, no : 302]

Imam al-Baihaqi pula meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abi Uthman al-Nahdi, beliau berkata:
دَعَا عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ بِثَلاَثَةِ قُرَّاءٍ فَاسْتَقْرَأَهُمْ ، فَأَمَرَ أَسْرَعَهُمْ قِرَاءَةً أَنْ يَقْرَأَ لِلنَّاسِ ثَلاَثِينَ آيَةً ، وَأَمَرَ أَوْسَطَهُمْ أَنْ يَقْرَأَ خَمْسًا وَعِشْرِينَ آيَةً ، وَأَمَرَ أَبْطَأَهُمْ أَنْ يَقْرَأَ عِشْرِينَ آيَةً.
‘Umar menjemput tiga orang Qari al-Quran, lalu meminta mereka membaca al-Quran (menjadi imam solat terawih). Beliau meminta yang paling cepat bacaannya untuk membaca kepada manusia tiga puluh ayat, dan menyuruh yang sederhana bacaannya untuk membaca dua puluh lima ayat, dan menyuruh yang perlahan bacaannya untuk membaca dua puluh ayat. [Al-Sunan Al-Kubra, jilid 2, bab bacaan dalam solat malam Ramadhan, m/s 497, no : 4808]

Al-Imam Ibn Qudamah menyebutkan dalam Al-Mughni:
قَالَ أَحْمَدُ ، رَحِمَهُ اللَّهُ : يَقْرَأُ بِالْقَوْمِ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ مَا يَخِفُّ عَلَى النَّاسِ ، وَلَا يَشُقُّ عَلَيْهِمْ ، وَلَا سِيَّمَا فِي اللَّيَالِي الْقِصَارِ ، وَالْأَمْرُ عَلَى مَا يَحْتَمِلُهُ النَّاسُ .وَقَالَ الْقَاضِي : لَا يُسْتَحَبُّ النُّقْصَانُ عَنْ خَتْمِهِ فِي الشَّهْرِ ؛ لِيَسْمَعَ النَّاسُ جَمِيعَ الْقُرْآنِ ، وَلَا يَزِيدُ عَلَى خَتْمِهِ كَرَاهِيَةَ الْمَشَقَّةِ عَلَى مَنْ خَلْفَهُ .وَالتَّقْدِيرُ بِحَالِ النَّاسِ أَوْلَى ؛ فَإِنَّهُ لَوْ اتَّفَقَ جَمَاعَةٌ يَرْضَوْنَ بِالتَّطْوِيلِ وَيَخْتَارُونَهُ ، كَانَ أَفْضَلَ .كَمَا رَوَى أَبُو ذَرٍّ ، قَالَ : { قُمْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى خَشِينَا أَنْ يَفُوتَنَا الْفَلَاحُ يَعْنِي السُّحُورَ .وَقَدْ كَانَ السَّلَفُ يُطِيلُونَ الصَّلَاةَ ، حَتَّى قَالَ بَعْضُهُمْ : كَانُوا إذَا انْصَرَفُوا يَسْتَعْجِلُونَ خَدَمَهُمْ بِالطَّعَامِ ، مَخَافَةَ طُلُوعِ الْفَجْرِ ، وَكَانَ الْقَارِئُ يَقْرَأُ بِالْمِائَتَيْنِ
Imam Ahmad berkata: Imam membaca al-Quran pada bulan Ramadhan, pada kadar yang ringan untuk jemaah, tidak memberatkan mereka terutamanya di musim yang malamnya pendek (musim panas). Hal ini bergantung kepada keadaan jemaah. Al-Qadhi- Abu Ya’la- berkata: Tidak digalakkan untuk mengurangi daripada mengkhatami al-Quran di dalam bulan Ramadhan, ini bertujuan agar Jemaah dapat mendengar keseluruhan al-Quran, dan tidak pula ditambah melebihi kadar khatam al-Quran, kerana ia menimbulkan kesulitan kepada jemaah, dan mengambil kira keadaan jemaah itu lebih utama. Sesungguhnya, jika jemaah bersepakat untuk redha dan memilih bacaan yang panjang, maka itu lebih utama. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Dzar: Kami solat bersama nabi sehingga kami berasa takut akan terlepas sahur. Generasi Salaf memanjangkan solat mereka sehingga sebahagian daripada mereka berkata: Apabila mereka selesai solat, pembantu-pembantu mereka tergesa-gesa menyediakan makanan sahur kerana takut masuknya waktu fajar. [Al-Mughni, jilid 3, m/s 392, no: 1097]

#MMMR