Maksiat dan Kesannya terhadap Puasa

Puasa ialah ibadah yang berfungsi menyucikan jiwa, menghidupkan hati, menguatkan iman dan mempersiapkan orang yang berpuasa agar menjadi golongan yang bertakwa, sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

“Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertakwa.”

Oleh itu, wajib ke atas orang yang berpuasa untuk memelihara puasanya daripada perkara yang mencacatkannya, bahkan mungkin memunahkannya. Dia hendaklah menjaga pendengaran, penglihatan dan seluruh anggota badannya daripada perkara yang diharamkan oleh Allah Ta‘ala. Dia hendaklah menjaga lidahnya, tidak bercakap perkara sia-sia, tidak bercakap kotor, tidak bertengkar, tidak bertindak bodoh, dan tidak membalas kejahatan dengan kejahatan, bahkan menolaknya dengan cara yang lebih baik.

Hendaklah dia menjadikan puasa sebagai perisai yang melindunginya daripada dosa dan maksiat, seterusnya daripada azab Allah di akhirat.

Oleh sebab itu, para salaf berkata: puasa yang diterima ialah puasa yang seluruh anggota badan turut berpuasa daripada maksiat, bersama perut dan kemaluan yang berpuasa daripada syahwat.

Inilah yang telah diperingatkan oleh hadis-hadis yang mulia dan ditegaskan oleh para generasi madrasah kenabian (iaitu para sahabat).

Rasulullah ﷺ bersabda:

“Puasa itu perisai. Maka apabila salah seorang kamu berpuasa, janganlah dia berkata kotor dan jangan bertengkar – dalam riwayat lain: dan jangan bertindak bodoh. Jika seseorang mencacinya atau memeranginya, hendaklah dia berkata: ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa,’ dua kali.”
(Muttafaq ‘alaih daripada Abu Hurairah)

Baginda juga bersabda:

“Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan beramal dengannya, maka Allah tidak berhajat kepada dia meninggalkan makan dan minumnya.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Kitab al-Sawm)

Dan sabda baginda:

“Betapa ramai orang yang berpuasa, tidak ada baginya daripada puasanya kecuali lapar.”
(Diriwayatkan oleh al-Nasa’i dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah. Ahmad, al-Hakim dan al-Baihaqi meriwayatkannya dengan lafaz: “Betapa ramai orang yang berpuasa, bahagiannya daripada puasanya hanyalah lapar dan dahaga.”)

Demikian juga para sahabat dan salaf umat ini sangat menjaga agar puasa mereka menyuckan jiwa dan anggota badan, serta menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa.

Umar bin al-Khattab berkata:
“Puasa itu bukan hanya daripada minum dan makan semata-mata, tetapi juga daripada dusta, kebatilan dan percakapan sia-sia.”

Jabir bin ‘Abdullah al-Ansari berkata:
“Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa daripada dusta dan dosa. Tinggalkan menyakiti pembantu, dan hendaklah kamu bersikap tenang dan berwibawa pada hari puasamu. Janganlah kamu jadikan hari berbuka dan hari berpuasa itu sama.”

Diriwayatkan daripada Tulayq bin Qays, daripada Abu Dharr, beliau berkata:
“Apabila kamu berpuasa, maka jagalah dirimu semampunya.”

Tulayq apabila berpuasa, beliau masuk ke rumah dan tidak keluar kecuali untuk solat.

Abu Hurairah dan para sahabatnya apabila berpuasa, mereka duduk di masjid dan berkata:
“Kita membersihkan puasa kita.”

Daripada Hafsah binti Sirin, seorang tabi‘in, beliau berkata:
“Puasa itu perisai, selagi tidak dikoyakkan oleh tuannya. Dan yang mengoyakkannya ialah mengumpat!”

Daripada Ibrahim al-Nakha‘i, beliau berkata:
“Mereka dahulu berkata: Dusta membatalkan puasa orang yang berpuasa!”

Daripada Maimun bin Mihran:
“Puasa yang paling mudah ialah meninggalkan makan dan minum.”

(Kesemua athar ini disebut oleh Ibn Hazm dalam al-Muhalla, 6/475–476).

Oleh itu, sebahagian salaf berpendapat bahawa maksiat membatalkan puasa. Maka sesiapa yang melakukan perkara haram dengan lidahnya seperti mengumpat, mengadu domba dan berdusta, atau mendengar dengan telinganya perkara haram seperti ucapan keji dan palsu, atau melihat dengan matanya perkara haram seperti aurat dan kecantikan wanita ajnabi dengan syahwat, atau melakukan dengan tangannya perkara haram seperti menyakiti manusia atau haiwan tanpa hak, atau mengambil sesuatu yang tidak halal baginya, atau melakukan dengan kakinya perkara haram seperti berjalan menuju maksiat, atau selainnya daripada pelbagai bentuk keharaman, maka batal puasanya.

Menurut pandangan ini, lidah membatalkan puasa, telinga membatalkan puasa, mata membatalkan puasa, tangan membatalkan puasa, kaki membatalkan puasa, sebagaimana perut membatalkan puasa dan kemaluan membatalkan puasa.

Inilah pandangan sebahagian salaf: bahawa semua maksiat membatalkan puasa, dan sesiapa yang melakukan maksiat ketika berpuasa wajib qadha. Ini zahir daripada apa yang diriwayatkan daripada sebahagian sahabat dan tabi‘in.

Ini juga merupakan mazhab Al-Awza‘i.

Dan ia turut disokong oleh Ibn Hazm daripada kalangan Zahiri.

Adapun jumhur ulama, mereka berpendapat bahawa maksiat tidak membatalkan puasa, walaupun ia mencacatkan dan mengurangkan kesempurnaannya, menurut kadar kecil atau besarnya maksiat tersebut.

Hal ini kerana maksiat tidak terlepas daripadanya seseorang pun, kecuali orang yang dipelihara oleh Tuhanmu, khususnya maksiat lidah. Oleh itu Imam Ahmad ibn Hanbal berkata: “Kalaulah mengumpat itu membatalkan puasa, nescaya tidak ada bagi kita puasa!”

Sedangkan Imam Ahmad itu sendiri terkenal dengan wara‘, zuhud dan ketakwaannya, maka bagaimana pula orang lain?

Para ulama ini menegaskan bahawa maksiat tidak membatalkan puasa seperti makan dan minum, tetapi ia boleh menghilangkan pahala dan ganjarannya.

Dan sesungguhnya kerugian ini bukanlah sesuatu yang kecil bagi orang yang berakal, dan hanya orang yang bodoh memandang enteng hal ini. Dia menahan lapar dan dahaga, menahan dirinya daripada syahwat, tetapi akhirnya keluar dengan sifar pahala!

Imam Abu Bakr ibn al-Arabi berkata ketika mensyarahkan hadis:

“Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan beramal dengannya, maka Allah tidak berhajat kepada dia meninggalkan makan dan minumnya.”

Maksud yang terkandung dalam hadis ini ialah: sesiapa yang melakukan perkara tersebut, maka dia tidak diberi pahala atas puasanya. Ertinya, pahala puasa tidak dapat menandingi dosa kedustaan dan perkara yang disebut bersamanya dalam timbangan.

Al-‘Allamah Al-Baydawi berkata:

Bukanlah tujuan pensyariatan puasa itu semata-mata lapar dan dahaga, tetapi apa yang mengiringinya iaitu mematahkan syahwat dan menundukkan nafsu ammarah kepada nafsu mutmainnah. Jika hal itu tidak tercapai, maka Allah tidak memandangnya dengan pandangan penerimaan. Maka sabda “Allah tidak berhajat” adalah kiasan kepada tidak diterimanya. Disebut sebab, tetapi yang dimaksudkan ialah natijahnya. Wallahua’lam.

Sesungguhnya puasa pada bulan Ramadan khususnya merupakan peluang untuk membersihkan diri daripada dosa sebelas bulan yang telah berlalu. Sesiapa yang berpuasa seperti puasanya orang-orang beriman yang ikhlas dan mengharapkan pahala, maka layaklah dia keluar daripada bulan itu dalam keadaan diampuni, disucikan daripada dosa-dosa, khususnya dosa-dosa kecil yang dilakukan manusia pada pagi dan petangnya, ketika keluar dan masuknya; dosa yang mungkin dipandang ringan oleh pelakunya, sedangkan dia tidak menyedari bahawa apabila dosa-dosa itu bertambah banyak, ia akan membinasakan dan menghancurkannya.

Rasulullah ﷺ bersabda: “Solat lima waktu, dari satu Jumaat ke Jumaat berikutnya, dan dari satu Ramadan ke Ramadan berikutnya, menjadi penghapus dosa di antara keduanya, selama dijauhi dosa-dosa besar.”
(Diriwayatkan oleh Muslim ibn al-Hajjaj daripada Abu Hurairah)

Dan telah disebut sebelum ini hadis muttafaq ‘alaih:

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan iman dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu.”

Maka sesiapa yang mencemarkan puasanya dengan maksiat pada pendengaran, penglihatan, lidah dan anggota badannya, dia telah mensia-siakan peluang untuk membersihkan diri, dan tidak layak mendapat keampunan yang dijanjikan. Bahkan mungkin dia ditimpa doa yang dipanjatkan oleh Jibril AS dan diaminkan oleh Nabi ﷺ:

“Sesiapa yang sempat menemui Ramadan tetapi tidak diampunkan baginya, maka Allah menjauhkannya (daripada rahmat-Nya).”

(Diriwayatkan oleh Ibn Hibban dalam Sahih-nya daripada al-Hasan bin Malik bin al-Huwayrith daripada ayahnya daripada datuknya. Hadis seumpamanya juga sabit daripada riwayat Abu Hurairah dan Ka‘b bin ‘Ujrah.)

(Fiqh al-Siyam)

Dapatkan buku-buku agama berkualiti di Kedai Buku Masri Ramli ->https://t.me/kedaibukumasri 

Daftar Pengajian Mingguan Online di sini

Penulis mempunyai tauliah mengajar agama di Wilayah Persekutuan. Sebarang jemputan untuk ceramah atau kuliah agama boleh terus berhubung melalui whatsapp di talian 0132506391