Alamak. Terlupa niat puasalah….
Mungkin ini yang sering timbul.
Perlu kita fahami niat itu di hati, dan ia automatik ada apabila kita mahu melakukan sesuatu dalam keadaan sedar dan kita tahu apa yang kita nak buat.
Jika malam tadi kita dah berazam nak bangun sahur, itu menunjukkan kita dah ada niat puasa dah.
Masalahnya ialah apabila kita keliru antara niat puasa dan lafaz niat puasa (iaitu seperti Nawaitu Sawma Ghadin…)
Niat di hati, dan ulama sepakat tentang hal ini.
Al-Khatib Al-Syarbiniy berkata:
والمعتمد أنه لو تسحر ليصوم، أو شرب لدفع العطش نهارا، أو امتنع من الأكل أو الشرب أو الجماع خوف طلوع الفجر، كان نية إن خطر بباله الصوم بالصفات التي يشترط التعرض لها، لتضمن كل منها قصد الصوم.
Pandangan yang muktamad (dalam mazhab syafie) jika seseorang bersahur untuk dia berpuasa, minum (waktu malam) supaya tidak dahaga pada siang esok hari atau meninggalkan makan, minum dan jimak kerana bimbang terbitnya fajar, maka semua itu adalah niat jika terlintas di jiwanya puasa dengan sifat yang disyaratkan untuk dilintaskan kerana semua perbuatan itu menunjukkan tujuan berpuasa. [Mughni al-Muhtaj, 1:621].
Al-Rafie berkata:
وهذا هو الحق إن خطر بباله الصوم بالصفات المعتبرة ، لأنه إذا تسحر ليصوم صوم كذا فقد قصده ، .
Inilah yang benar. Seandainya terlintas di hatinya puasa dengan sifat puasa yang muktabar. Ini kerana apabila seseorang bersahur untuk berpuasa pada hari tertentu, maka itulah niatnya. [Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, 6:314].
Kesimpulan:
Tidak perlu lagi keliru dengan isu ‘terlupa niat’. Al-Musili (seorang ulama mazhab Hanafi) berkata:
اعلم أن النية شرط في الصوم ، وهو أن يعلم بقلبه أنه يصوم ، ولا يخلو مسلم عن هذا في ليالي شهر رمضان
Ketahuilah bahawa niat adalah syarat puasa. Niat itu adalah seseorang mengetahui dengan hatinya bahawa dia berpuasa. Seorang Muslim tidak akan terlepas daripada niat ini pada malam-malam di bulan Ramadhan. [Al-Ikhtiyaar Li Ta’lil Al-Mukhtaar, 1:130].
Dr. Yusuf al-Qaradawi menerangkan dalam Fiqh as-Siyam:
والنية محلها القلب، لأنها عقد القلب على الفعل. والتلفظ باللسان ليس مطلوبًا، ولم يأت في نصوص الشرع ما يدل علي طلب التلفظ بها، لا في الصوم، ولا في الصلاة، ولا في الزكاة، إلا ما جاء في شأن الحج والعمرة. والإنسان في شؤونه الدنيوية لا يتلفظ بما ينويه، فيقول: نويت السفر إلى بلد كذا، أو نويت أن آكل كذا وكذا…. إلخ فكذلك أمور الدين. ولهذا لا تُعد النية مشكلة بالنسبة للمسلم الملتزم بالصيام فهو بطبيعته ناوٍ له، مصمم عليه، ولو كلفته ألا ينويه ما استطاع.
Niat itu tempatnya di hati. Ini kerana hati telah bertekad untuk melakukannya. Melafazkan ia denga lidah tidaklah dituntut. Tidak ada nas syara’ yang menunjukkan perlunya melafazkan niat, tidak ada dalam bab puasa, tidak ada dalam bab solat, tidak ada dalam bab zakat kecuali apa yang ada dalam hal umrah dan haji. Manusia dalam urusan dunianya tidak pernah pula melafazkan niat contohnya dengan berkata: Aku berniat untuk bermusafir ke negara ini, atau aku berniat untuk makan ini. Maka begitu jugalah urusan agama. Maka niat bukanlah masalah bagi seorang Muslim yang sudah biasa berpuasa kerana sudah secara tabiinya dia pasti sudah berniat untuknya.
ومن دلائل نيته قيامه للسحور، وتهيئته له وإن لم يقم، وإعداده ما يلزم لفطور الغد، وترتيبه أعماله ومواعيده على وفق ظروف الصيام. فلا داعي للإكثار من الكلام عن النية فهي حاضرة وقائمة لدى كل مسلم معتاد على الصوم.
Di antara petunjuk yang menunjukkan seseorang sudah berniat ialah bangunnya dia untuk sahur, bersedianya dia (untuk sahur) walaupun dia tidak terbangun, bersedianya dia untuk persiapan berbuka pada keesokan hari. Tertib amal dan jadual hariannya menunjukkan dia sedang berpuasa. Tidak perlu untuk berbicara terlalu banyak tentang hal niat kerana ia hadir dan wujud dalam setiap Muslim yang sudah biasa berpuasa.