ADAKAH KITA LELAKI QAWWAM? Kita sering membaca ayat berkaitan lelaki sebagai ‘qawwam’. Persoalannya adakah kita salah seorang daripadanya.
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا (34)
Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. [An-Nisa’:34].
Allah menutup ayat suran an-Nisa di atas dengan perkataan:
إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا
Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.
Al-Imam Ibn Kathir menyatakan:
تهديد للرجال إذا بغوا على النساء من غير سبب، فإن الله العلي الكبير وليهن وهو منتقم ممن ظلمهن وبغى عليهن
Ia merupakan amaran kepada suami apabila mereka melampaui batas ke atas isteri-isteri mereka tanpa sebarang sebab. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi dan Besar. Allah akan membela mereka (iaitu isteri yang dizalimi) dan membalas dendam terhadap sesiapa yang menzalimi dan melampaui batas ke atas mereka. [Tafsir al-Quran al-Azhim].
Dalam ayat di atas jua Allah telah menerangkan salah satu ciri qawwam itu iaitu memberi nafkah kepada anak dan isteri. Bagaimanakah seorang lelaki mahu menganggap dirinya qawwam sedangkan dengan tubuh badan yang sihat, dia tidak berusaha mencari rezeki untuk menyara keluarganya.
Tugas seorang lelaki qawwam ialah melindungi keluarganya daripada bahaya di dunia dan akhirat. Bagaimanakah seorang lelaki menjadi qawwam jika dia itu sendiri adalah bahaya dan mudharat kepada anak dan isterinya?
Adalah memalukan apabila ada kaum lelaki berhujah dengan ayat al-Quran dan al-Hadis untuk mempertahankan apa yang dia lakukan kepada anak dan isterinya, sedangkan dia menyeksa anak dan isteri dengan pelbagai sudut.
Bagaimana seorang lelaki itu boleh dianggap qawwam jika dia sendiri tidak kisah anak dalam kandungan untuk digugurkan dengan alasan belum sampai 4 bulan?
Bagaimana seorang lelaki boleh dianggap qawwam jika makan minum anak isterinya tidak terjaga, dan mengemis makan di rumah orang sedangkan si lelaki masih muda, kuat dan mampu mencari rezeki?
.
Bagaimana seorang lelaki boleh dianggap qawwam jika dia berpoligami, dia bertindak tidak adil sehingga ke tahap apabila orang bertanya tentang anaknya, maka dia tidak mengakui itu anaknya kerana mahu menyembunyikan statusnya yang mempunyai lebih daripada 1 isteri?
Bagaimana seorang lelaki dianggap qawwam jika dia menempeleng isterinya, mahu menghentak kepala isteri ke dinding?
Status Qawwam kepada seorang lelaki bukanlah satu pujian semata-mata kita seorang lelaki. Sebaliknya ia status yang hanya layak disandang oleh kaum lelaki yang benar-benar layak memilikinya.
Persoalan, adakah kita lelaki qawwam?