Al-Quran itu petunjuk kepada semua manusia atau orang beriman sahaja?
شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. [Al-Baqarah: 185].
Ia adalah kitab yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w supaya baginda menyampaikan isinya untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan.
الٓر ۚ كِتَـٰبٌ أَنزَلْنَـٰهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ ٱلنَّاسَ مِنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَىٰ صِرَٰطِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَمِيدِ
Alif Lām Rā. (Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia dari gelap gulita kepada cahaya terang benderang dengan izin Tuhan mereka, (yaitu) menuju jalan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji. [Ibrahim : 1].
Walaupun al-Quran itu petunjuk kepada semua manusia, disampaikan kepada semua manusia, didengari dan difahami semua manusia. Tidaklah semua manusia memanfaatkan petunjuk di dalam al-Quran. Siapakah manusia yang memanfaatkan petunjuk dalam al-Quran?
Mereka ialah orang yang beriman.
وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلْقُرْءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌۭ وَرَحْمَةٌۭ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارًۭا
Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. [al-Isra’ : 82]
قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ هُدًۭى وَشِفَآءٌۭ ۖ وَٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ فِىٓ ءَاذَانِهِمْ وَقْرٌۭ وَهُوَ عَلَيْهِمْ عَمًى ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ يُنَادَوْنَ مِن مَّكَانٍۭ بَعِيدٍۢ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman; dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (AL-Quran itu) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar); dan ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi). Mereka itu – (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran Al-Quran, tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh (masakan mereka dapat mendengar dengan betul atau melihat dengan nyata)”. [Fusshilat: 44]
Ia umpama ubat yang diberikan kepada manusia. Ada manusia yang mengambil ubat itu, dan memakannya mengikut dosnya, maka ubat itu, dengan izin Allah bermanfaat untuknya. Ada pula yang memakan ubat itu, tetapi tidak sepenuhnya mengikut arahan yang diberikan. Ada pula yang selepas diterangkan panjang lebar tentang kepentingan ubat itu, dia membuangnya begitu sahaja. Maka dialah orang yang rugi.
Bukan sekadar petunjuk dan penawar kepada yang beriman. Allah mengkhususkan lagi dengan orang yang bertaqwa.
ذَٰلِكَ ٱلْكِتَـٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًۭى لِّلْمُتَّقِينَ
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa [Al-Baqarah : 1].
Menunjukkan orang beriman pun, bertingat-tingkat beza hidayah yang ditemui dalam al-Quran. Semakin bertaqwa kita, semakin banyak petunjuk dapat dimanfaatkan daripada al-Quran. Semakin kita taat kepada Allah, semakin kita meninggalkan maksiat, semakin banyaklah kesan positif akan didapati dalam diri kita apabila mentadabburi al-Quran. Sebaliknya, jika didapati hati kita keras, tidak terasa apa-apa apabila dibacakan ayat al-Quran, wajarlah diperiksa perilaku kita dalam hidup seharian. Adakah kita sudah tenggelam dalam dosa sehingga taqwa kita semakin rendah, sehingga tertutupnya hati kita daripada mendapat hidayah yang ada dalam al-Quran.