Bilakah al-Quran mula diturunkan?

Firman Allah:

﴿ شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ﴾

Bulan Ramadhan yang mana padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan penjelasan tentang petunjuk itu serta pembeza (antara kebenaran dan kebathilan). [Al-Baqarah : 185]

﴿ إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1(﴾

Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam al-Qadar. [Al-Qadr : 1]

﴿ وَالْكِتَابِ الْمُبِينِ (2) إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ (3( ﴾

Kitab yang jelas (2) Sesungguhnya kami telah menurunkannya pada malam yang diberkati. Sesungguhnya kami pemberi peringatan. [Ad-Dukhan : 2-3]

Ketiga-tiga ayat ini tidaklah saling bertentangan antara satu sama lain. Kesemuanya menunjukkan kepada maksud yang sama iaitu al-Quran diturunkan pada malam yang diberkati, iaitu satu malam yang berlaku dalam bulan Ramadhan. Persoalannya, ayat ini seolah-olah bercanggah dengan realiti yang berlaku kerana diketahui al-Quran turun secara beransur-ansur kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam selama 23 tahun.

Terdapat tiga pandangan ulama dalam hal ini:

  • Pertama: Ayat-ayat di atas merujuk kepada turunnya al-Quran dari Baitul ‘Izzah ke langit dunia sekaligus. Kemudian dari langit dunia al-Quran diturunkan kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam melalui perantaraan Jibril secara beransur-ansur selama 23 tahun. Ini merupakan pendapat Ibn ‘Abbas dan majoriti ulama.

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ ـ رضى الله عنهما ـ قَالَ بُعِثَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لأَرْبَعِينَ سَنَةً، فَمَكُثَ بِمَكَّةَ ثَلاَثَ عَشْرَةَ سَنَةً يُوحَى إِلَيْهِ، ثُمَّ أُمِرَ بِالْهِجْرَةِ فَهَاجَرَ عَشْرَ سِنِينَ، وَمَاتَ وَهُوَ ابْنُ ثَلاَثٍ وَسِتِّينَ‏.‏

Daripada Ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhuma, beliau berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam diangkat menjadi rasul ketika berusia 40 tahun. Baginda tinggal di Mekah selama 13 tahun dan ketika itu wahyu diturunkan kepada baginda. Kemudian baginda disuruh berhijrah, lalu baginda berhijrah selama 10 tahun. Baginda meninggal ketika berumur 63 tahun. [Sahih al-Bukhari, Kitab Manaqib al-Ansar, hadis no: 3902]

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ، قَالَ : ” أُنْزِلَ الْقُرْآنُ جُمْلَةً وَاحِدَةً إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ، ثُمَّ أُنْزِلَ بَعْدَ ذَلِكَ بِعِشْرِينَ سَنَةً

Daripada Ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhuma, beliau berkata: Al-Quran diturunkan ke langit dunia sekaligus pada malam al-Qadar. Kemudian diturunkan selepas itu selama 20 tahun. [Al-Mustadrak, Kitab at-Tafsir, no: 2879, hadis sahih. Disahihkan jua oleh adz-Dzahabi]

  • Pendapat yang kedua: Ketiga-tiga ayat di atas menunjukkan permulaan al-Quran diturunkan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Kemudiannya, al-Quran diturunkan secara bertahap-tahap selama 23 tahun. Pendapat kedua dan yang pertama tidaklah terdapat perbezaan yang sangat besar.
  • Pendapat yang ketiga: Al-Quran diturunkan pada setiap malam lailatulqadar pada setiap tahun ke langit dunia. Turunnya ke langit dunia pada malam al-Qadar itu membawa sejumlah wahyu yang akan diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sepanjang tahun itu. Pendapat ini tiada dalil padanya.

Kesimpulannya:

  • Al-Quran diturunkan sekaligus ke Baitul ‘Izzah pada malam al-Qadar
  • Kemudian al-Quran diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

Turunnya al-Quran beransur-ansur

Firman Allah:

﴿ وَقُرْآنًا فَرَقْنَاهُ لِتَقْرَأَهُ عَلَى النَّاسِ عَلَى مُكْثٍ وَنَزَّلْنَاهُ تَنْزِيلًا (106(﴾

Dan Al Qur’an itu telah Kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian. [Al-Isra’: 106]

﴿ وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْلَا نُزِّلَ عَلَيْهِ الْقُرْآنُ جُمْلَةً وَاحِدَةً كَذَلِكَ لِنُثَبِّتَ بِهِ فُؤَادَكَ وَرَتَّلْنَاهُ تَرْتِيلًا (32) وَلَا يَأْتُونَكَ بِمَثَلٍ إِلَّا جِئْنَاكَ بِالْحَقِّ وَأَحْسَنَ تَفْسِيرًا (33) ﴾

Berkatalah orang-orang yang kafir: Mengapa Al Qur’an itu tidak diturunkan kepadanya sekaligus?; demikianlah supaya Kami perkuatkan hatimu dengannya dan Kami membacakannya secara tartil [teratur dan benar]. (32) Tidaklah orang-orang kafir itu datang kepadamu [membawa] sesuatu yang ganjil, melainkan Kami datangkan kepadamu suatu yang benar dan yang paling baik penjelasannya (33) [Al-Furqan : 32-33]

Jumhur ulama berpendapat bahawa berdasarkan ayat 32 surah al-Furqan, kitab-kitab terdahulu diturunkan sekaligus sehingga ia menimbulkan rasa pelik di kalangan orang kafir di zaman nabi sallallahu ‘alaihi wasallam apabila al-Quran diturunkan beransur-ansur.

Ø  Hikmah diturunkan al-Quran beransur-ansur

 

1-    Untuk menguatkan hati Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam menyampaikan dakwah.

Allah telah menunjukkan di dalam al-Quran bagaimana perasaan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam apabila dakwahnya ditentang oleh manusia;

﴿ فَلَعَلَّكَ بَاخِعٌ نَفْسَكَ عَلَى آثَارِهِمْ إِنْ لَمْ يُؤْمِنُوا بِهَذَا الْحَدِيثِ أَسَفًا (6( ﴾

Maka adakah kamu akan membunuh dirimu karena bersedih hati sesudah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini [Al Qur’an]. (6) [Al-Kahf : 6]

Lalu untuk meneguhkan hati Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam agar istiqamah di jalan dakwah, maka Allah menurunkan pelbagai ayat yang mengingatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bahawa apa yang baginda tempuhi hari itu telah dilalui oleh rasul-rasul sebelum itu.

﴿ قَدْ نَعْلَمُ إِنَّهُ لَيَحْزُنُكَ الَّذِي يَقُولُونَ فَإِنَّهُمْ لَا يُكَذِّبُونَكَ وَلَكِنَّ الظَّالِمِينَ بِآيَاتِ اللَّهِ يَجْحَدُونَ (33) وَلَقَدْ كُذِّبَتْ رُسُلٌ مِنْ قَبْلِكَ فَصَبَرُوا عَلَى مَا كُذِّبُوا وَأُوذُوا حَتَّى أَتَاهُمْ نَصْرُنَا وَلَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِ اللَّهِ وَلَقَدْ جَاءَكَ مِنْ نَبَإِ الْمُرْسَلِينَ (34(﴾

Sesungguhnya, Kami mengetahui bahawasanya apa yang mereka katakan itu menyedihkan hatimu, [janganlah kamu bersedih hati], kerena mereka sebenarnya bukan mendustakan kamu, akan tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat Allah . (33) Dan sesungguhnya telah didustakan [pula] rasul-rasul sebelum kamu, akan tetapi mereka sabar terhadap pendustaan dan penganiayaan [yang dilakukan] terhadap mereka, sampai datang pertolongan Kami kepada mereka. Tak ada seorangpun yang dapat mengubah kalimat-kalimat [janji-janji] Allah. Dan sesungguhnya telah datang kepadamu sebahagian daripada berita rasul-rasul itu. (34) [Al-An’am : 33-34]

﴿ فَإِنْ كَذَّبُوكَ فَقَدْ كُذِّبَ رُسُلٌ مِنْ قَبْلِكَ جَاءُوا بِالْبَيِّنَاتِ وَالزُّبُرِ وَالْكِتَابِ الْمُنِيرِ (184( ﴾

Jika mereka mendustakan kamu, maka sesungguhnya rasul-rasul sebelum kamupun telah didustakan [pula], mereka membawa mu’jizat-mu’jizat yang nyata, Zabur dan kitab yang memberi penjelasan yang sempurna [Ali ‘Imran : 184]

﴿ فَاصْبِرْ كَمَا صَبَرَ أُولُو الْعَزْمِ مِنَ الرُّسُلِ وَلَا تَسْتَعْجِلْ لَهُمْ كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَ مَا يُوعَدُونَ لَمْ يَلْبَثُوا إِلَّا سَاعَةً مِنْ نَهَارٍ بَلَاغٌ فَهَلْ يُهْلَكُ إِلَّا الْقَوْمُ الْفَاسِقُونَ (35(﴾

Maka bersabarlah kamu seperti orang-orang yang mempunyai keteguhan hati dari rasul-rasul telah bersabar dan janganlah kamu meminta disegerakan [azab] bagi mereka. Pada hari mereka melihat azab yang diancamkan kepada mereka [merasa] seolah-olah tidak tinggal [di dunia] melainkan sesaat pada siang hari. [Inilah] suatu pelajaran yang cukup, maka tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik. [Al-Ahqaf : 35]

Allah menerangkan sendiri bahawa kisah-kisah ini diceritakan agar dapat menenangkan hati Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam

﴿ كُلًّا نَقُصُّ عَلَيْكَ مِنْ أَنْبَاءِ الرُّسُلِ مَا نُثَبِّتُ بِهِ فُؤَادَكَ وَجَاءَكَ فِي هَذِهِ الْحَقُّ وَمَوْعِظَةٌ وَذِكْرَى لِلْمُؤْمِنِينَ (120( ﴾

Dan semua kisah dari rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu; dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman. [Hud : 120]

2-    Sebagai mukjizat menyahut cabaran orang kafir

Orang-orang kafir sering menimbulkan persoalan-persoalan tentang sesuatu isu dengan tujuan untuk mencabar dan merendah-rendahkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu Allah menurunkan ayat-ayat berkaitan persoalan-persoalan itu untuk menangkis cubaan mereka mencabar dan merendah-rendahkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

Firman Allah:

﴿ وَلَا يَأْتُونَكَ بِمَثَلٍ إِلَّا جِئْنَاكَ بِالْحَقِّ وَأَحْسَنَ تَفْسِيرًا (33(﴾

Tidaklah orang-orang kafir itu datang kepadamu [membawa] sesuatu yang ganjil, melainkan Kami datangkan kepadamu suatu yang benar dan yang paling baik penjelasannya  [Al-Furqan : 33]

﴿ يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِنْدَ رَبِّي لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ ثَقُلَتْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَا تَأْتِيكُمْ إِلَّا بَغْتَةً يَسْأَلُونَكَ كَأَنَّكَ حَفِيٌّ عَنْهَا قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِنْدَ اللَّهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ (187(﴾

Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: “Bilakah terjadinya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat [huru-haranya bagi makhluk] yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba”. Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”. [Al-A’raf : 187]

3-    Memudahkan hafazan dan kefahaman

Al-Quran itu diturunkan ketika masyarakat itu sebahagiannya adalah buta huruf. Mereka tidak mampu menulis atau membaca. Apa yang mereka mampu ialah menghafaz apa yang mereka dengar. Dengan turunnya secara beransur-ansur, itu memudahkan mereka untuk menghafaz ayat al-Quran.

﴿ هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ (2(﴾

Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah [As Sunnah]. Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata, [Al-Jumu’ah : 2]

Bagaimana generasi awal Islam mempelajari dan menghafaz al-Quran sedikit demi sedikit dapat dilihat dalam riwayat berikut:

عَنْ أَبِي الْعَالِيَةِ قَالَ: قَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ: ” تَعَلَّمُوا الْقُرْآنَ خَمْسًا خَمْسًا، فَإِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلَامُ نَزَلَ بِالْقُرْآنِ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَمْسًا خَمْسًا ”

Daripada Abu al-‘Aliyah, ‘Umar radiallahu ‘anhu berkata: Pelajarilah al-Quran 5 ayat 5 ayat. Sesungguhnya Jibril menurunkan al-Quran kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam 5 ayat 5 ayat.

قَالَ عَلِيُّ بْنُ بَكَّارٍ: ” قَالَ بَعْضُ أَهْلِ الْعِلْمِ: مَنْ تَعَلَّمَ خَمْسًا خَمْسًا لَمْ يَنْسَهُ ”

(Perawi bernama_ ‘Ali bin Bakar berkata: Sebahagian ahli ilmu berkata: Sesiapa yang mempelajari al-Quran 5 ayat 5 ayat, dia tidak akan melupainya. [Syu’ab al-Iman, At-Taasi’ ‘Asyar Min Syu’ab al-Iman, Fasl Fi Ta’lim al-Quran, no: 1807. Shaikh al-Albani menyatakan ia dhaif dalam Dhaif Jami’ as-Saghir]

4-    Supaya manusia dengan mudah dapat mengikutnya.

Dengan diturunkan secara bertahap-tahap, manusia akan lebih mudah untuk mengikutinya berbanding diturunkan sekaligus. Apatah lagi jika ia diturunkan bersesuaian dengan sesuatu peristiwa, maka manusia lebih mudah untuk beriman dan beramal dengannya.

Ini dapat dilihat dalam perbezaan isi kandungan ayat-ayat yang diturunkan sebelum hijrah dan selepas hijrah.

‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata:

إِنَّمَا نَزَلَ أَوَّلَ مَا نَزَلَ مِنْهُ سُورَةٌ مِنَ الْمُفَصَّلِ فِيهَا ذِكْرُ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ حَتَّى إِذَا ثَابَ النَّاسُ إِلَى الإِسْلاَمِ نَزَلَ الْحَلاَلُ وَالْحَرَامُ، وَلَوْ نَزَلَ أَوَّلَ شَىْءٍ لاَ تَشْرَبُوا الْخَمْرَ‏.‏ لَقَالُوا لاَ نَدَعُ الْخَمْرَ أَبَدًا‏.‏ وَلَوْ نَزَلَ‏.‏ لاَ تَزْنُوا‏.‏ لَقَالُوا لاَ نَدَعُ الزِّنَا أَبَدًا‏.‏

Sesungguhnya yang awal diturunkan ialah surah al-Mufassal yang di dalamnya disebutkan tentang syurga dan neraka sehinggalah apabila umat Islam sudah semakin kuat Islamnya, turunlah ayat berkaitan halal dan haram. Seandainya yang awal diturunkan ialah ‘janganlah kalian minum arak’. Nescaya mereka akan berkata: Kami tidak akan meninggalkan arak selamanya. Seandainya yang turun ialah ‘jangan berzina’, nescaya mereka akan berkata: Kami tidak akan meninggalkan zina. [Sahih al-Bukhari, Kitab Fadhail al-Quran, hadis no: 4993]

Antara contoh hukum-hakam yang diturunkan secara beransur-ansur ialah pengharaman arak.

  • Fasa 1:

﴿وَمِنْ ثَمَرَاتِ النَّخِيلِ وَالْأَعْنَابِ تَتَّخِذُونَ مِنْهُ سَكَرًا وَرِزْقًا حَسَنًا إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَةً لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ (67( ﴾

Dan daripada buah kurma dan anggur, yang kamu jadikan minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda [kebesaran Allah] bagi orang yang memikirkan. (67) [An-Nahl : 67]

  • Fasa 2:

﴿يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا﴾

Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfa’at bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfa’atnya”. [Al-Baqarah : 219]

  • Fasa 3:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ﴾

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu shalat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan [An-Nisa’ : 43]

  • Fasa 4:

﴿ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (90) إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ (91(﴾

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya [meminum] khamar, berjudi, [berkorban untuk] berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. [Al-Maidah : 90]

5-    Bukti kehebatan al-Quran.

Kebiasaannya, apabila sesuatu tulisan itu ditulis dalam situasi yang pelbagai dan berasingan, ia akan menghasilkan tulisan yang tidak seragam dan tidak terdapat kesinambungan atau kaitan antara satu sama lain, dan akan muncul banyaknya pertentangan antara satu fakta dengan fakta yang lain.

Akan tetapi ini tidak berlaku kepada al-Quran.

﴿الر كِتَابٌ أُحْكِمَتْ آيَاتُهُ ثُمَّ فُصِّلَتْ مِنْ لَدُنْ حَكِيمٍ خَبِيرٍ ﴾

Alif Laam Raa, [inilah] suatu kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi serta dijelaskan secara terperinci, yang diturunkan dari sisi [Allah] yang Maha Bijaksana lagi Maha Tahu, [Hud : 1]

﴿ أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا ﴾

Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Qur’an? Kalau kiranya Al Qur’an itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya. [An-Nisa’ : 82]

﴿ قُلْ لَئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنْسُ وَالْجِنُّ عَلَى أَنْ يَأْتُوا بِمِثْلِ هَذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا ﴾

Katakanlah: “Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Al Qur’an ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengan dia, sekalipun sebagian mereka menjadi pembantu bagi sebagian yang lain”. [Al-Isra’ : 88]

*Diringkaskan daripada Mabahits Fi Ulum al-Quran karya Al-Shaikh Manna al-Qattan.

Persoalannya, bila pula tarikh Nuzul al-Quran. Biasanya di Malaysia kita sambut pada 17 Ramadhan.

Boleh baca tulisan Dr. Ahmad Najib Abdullah al-Qari ini:

PERBINCANGAN TARIKH NUZUL AL-QUR’AN

Ulama’ berselisih pendapat berhubung bilakah al-Qur’an diturunkan.
Pendapat yang agak masyhur mengemukakan 17 Ramadhan sebagai tarikh nuzul Al-Qur’an.  Pendapat ini dipegangi sebahagian ulama’ sirah.

Antara ulama’ sirah yang kuat berpegang kepada pendapat ini ialah Syaikh al-Khudhari dalam karyanya; Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyyah.[1] Pendapat ini merujuk kepada suatu riwayat daripada al-Waqidi menerusi Abu Ja’far al-Baqir yang mengatakan bahawa (penurunan ) wahyu kepada Rasulullah s.a.w  bermula pada hari Isnin, 17 Ramadhan dan dikatakan pada 24 Ramadhan. Riwayat ini dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah:

روى الواقدي بسنده عن أبي جعفر الباقر أنه قال: كان ابتداء الوحي إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم الاثنين لسبع عشرة ليلة خلت من رمضان وقيل في الرابع والعشرين منه.[2]

Ada suatu hal yang agak menarik dalam kita membincangkan pendapat yang menyatakan 17 Ramadhan sebagai tanggal nuzul Al-Qur’an. Setelah saya meneliti kitab Sirah Ibn Hisyam berhubung tajuk “ Ibtida’ Tanzil Al-Qur’an” ( Bermulanya nuzul Al-Qur’an ), terdapat semacam satu kekeliruan apabila Ibn Hisyam ada membuat  catatan berikut:

قال ابن إسحاق: فابتدئ رسول الله صلى الله عليه وسلم بالتنزيل في شهر رمضان، يقول الله عز وجل: ] شهر رمضان الذي أنزل فيه القرءان هدى للناس وبينت من الهدى والفرقان [ وقال الله تعالى: ] إنا أنزلنه في ليلة القدر … [ …وقال تعالى: ] إن كنتم آمنتم بالله وما أنزلنا على عبدنا يوم الفرقان يوم التقى الجمعان [. وذلك ملتقى رسول الله صلى الله عليه وسلم والمشركون ببدر.

قال ابن إسحاق: وحدثني أبو جعفر محمد بن علي بن حسين: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم التقى هو والمشركون ببدر يوم الجمعة، صبيحة سبع عشرة من رمضان.

قال ابن إسحاق: ثم تتام الوحي إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم، وهو مؤمن بالله مصدق بما جاءه منه …إلخ[3]

Jika diperhatikan dan dihalusi, kenyataan di atas semacam mengaitkan elemen ‘al-furqan’ yang terdapat dalam al-Qur’an dengan ‘hari al-Furqan’yang membezakan antara haq dan batil yang merujuk kepada hari Peperangan Badr yang berlaku pada 17 Ramadhan. Oleh kerana perkara ini disebut di bawah tajuk “ Ibtida’ Tanzil al-Qur’an”, berkemungkinan ada pihak yang memahami bahawa nuzul Al-Qur’an juga berlaku pada tarikh yang sama.

Pendapat-pendapat lain tentang nuzul Al-Qur’an sebagaimana diutarakan oleh Syaikh Safiyy al-Rahman al-Mubarakfuri, ianya berlaku pada 7 Ramadhan, ada yang mengatakan 18 Ramadhan. Beliau sendiri membuat pilihan dan tarjih yang berbeza dengan ulama’ lain. Menurut beliau, nuzul Al-Qur’an jatuh pada 21 Ramadhan. Antara alasan yang dikemukakan seperti berikut:

1-         Semua ulama’ sirah atau majoriti dari kalangan mereka sepakat mengatakan bahawa Nabi s.a.w dibangkitkan pada hari Isnin berdasarkan hadith Abu Qatadah r.a dalam Sahih Muslim dan lain-lain.

2-         Hari Isnin pada tahun Nabi s.a.w dibangkitkan jatuh sama ada pada hari 7 Ramadhan, 14 Ramadhan, 21 Ramadhan dan 28 Ramadhan. Hadith-hadith yang sahih ada menyebut bahawa malam al-Qadr tidak berlaku melainkan pada malam-malam ganjil, sepuluh malam terakhir Ramadhan.

3-         Setelah dibuat perbandingan antara firman Allah: ( إنا أنزلنه في ليلة القدر ) dan riwayat Abu Qatadah tentang penentuan hari Isnin sebagai hari Nabi s.a.w dibangkitkan serta dipadankan dengan perhitungan taqwim yang tepat bilakah sebenarnya jatuh hari Isnin pada bulan Ramadhan tahun kebangkitan Nabi s.a.w, jelaslah bahawa baginda dibangkitkan pada malam 21 Ramadhan.[4]

Pendapat seterusnya, nuzul Al-Qur’an jatuh pada 24 Ramadhan. Pendapat ini berdasarkan hadith berikut:

قال الإمام أحمد: حدثنا أبو سعيد مولى بني هاشم، حدثنا عمران أبو العوام عن قتادة عن أبي المليح  عن واثلة ابن الأسقع أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: أنزلت صحف إبراهيم عليه السلام في أول ليلة من رمضان، وأنزلت التوراة لست مضين من رمضان، والإنجيل لثلاث عشرة خلت من رمضان، وأنزل الله الفرقان لأربع وعشرين خلت من رمضان.[5]

Hadith di atas dihukumkan hasan oleh Syaikh al-Albani, manakala Syaikh Ahmad Shakir menghukumkan sanad hadith ini sebagai sahih.

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar, hadith di atas bertepatan dengan firman Allah SWT   (Surah al-Baqarah: Ayat 185):

شهر رمضان الذي أنزل فيه القرءان

Dan firmanNya ( Surah al-Qadr : Ayat 1 ) :

إنا أنزلنه في ليلة القدر

Kata beliau,  berkemungkinan lailah al-Qadr berlaku pada tahun kebangkitan Nabi s.a.w pada malam tanggal 24 Ramadhan di mana Al-Qur’an diturunkan secara sekali gus ke langit dunia dan pada masa yang sama ( 24 Ramadhan ) wahyu pertama diturunkan, iaitu firman Allah SWT :

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ [6]

Imam al-Tabari juga ada menyebut satu riwayat dengan sanadnya menerusi Sa’id Bin Jubair daripada Ibn Abbas r.a katanya: Al-Qur’an diturunkan sekali gus dari Lauh Mahfuz pada malam 24 Ramadhan, kemudiannya ia ditempatkan di Bait al-‘Izzah.[7]

Imam al-Qurtubi pula menyebut hadith Wathilah Bin Al-Asqa’ di atas dan menyatakan bahawa hadith tersebut merupakan dalil atau hujah yang terhadap pendapat Hasan al-Basri yang menegaskan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadhan.[8]

Al-Hafiz Ibn Kathir juga ada membawa hadith Wathilah ini dalam mentafsirkan maksud ayat 185, Surah al-Baqarah, kemudian beliau menyatakan bahawa Ibn Mardawaih juga ada meriwayatkan hadith daripada Jabir Bin ‘Abdullah r.a seumpama hadith Wathilah dengan sedikit perbezaan pada matan hadith berkenaan.[9] Beliau juga ada menyebut hadith ini dalam al-Bidayah wa al-Nihayah  dan menyatakan bahawa berdasarkan hadith Wathilah ini, sebahagian ulama’ dari kalangan para sahabat dan tabi’in berpendapat bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadhan.[10]

Turut menyebut hadith Wathilah ,Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di mana beliau mengambil hadith ini  bagi menjelaskan nuzul Al-Qur’an berlaku pada tanggal 24 bulan Ramadhan.[11]

Kesimpulan yang dapat dibuat setelah meneliti pendapat-pendapat yang dikemukakan di atas berhubung hari nuzul Al-Qur’an seperti berikut :

1-         Pendapat yang menyebut nuzul Al-Qur’an jatuh pada 17 Ramadhan bersandarkan riwayat al-Waqidi. Menurut ulama’ al-Jarh wa al-Ta’dil, al-Waqidi ( m. 207 H ), nama penuh beliau: Muhammad Bin Umar Bin Waqid al-Aslami  seorang perawi yang lemah ( matruk ) dan tidak diterima riwayatnya[12]. Pendapat ini juga ditolak oleh Syaikh al-Zurqani kerana ia bercanggah dengan pendapat yang masyhur lagi sahih.[13]

2-         Pendapat Syaikh Safiyy al-Rahman al-Mubarakfuri yang menyatakan nuzul Al-Qur’an jatuh pada tanggal 21 Ramadhan merupakan cetusan ijtihad beliau semata-mata berdasarkan penelitian beliau terhadap hadith Abu Qatadah dan perkiraan taqwim yang dipegangi beliau. Malam al-Qadr boleh berlaku pada malam-malam genap dan juga boleh berlaku pada malam-malam ganjil di sepuluh hari terakhir Ramadhan.

3-         Pendapat yang menyebut bahawa nuzul Al-Qur’an jatuh pada 24 Ramadhan adalah kuat dan rajih. Ini berdasarkan kepada perkara-perkara berikut:

I-           Pendapat ini bersandarkan hadith marfu’ yang sahih dan diperakui oleh tokoh-tokoh dalam bidang hadith. Sebagaimana yang termaklum, apa jua permasalahan dalam Agama Islam perlu dirujuk kepada nas Al-Qur’an dan hadith. Dalam hal ini, hadith Wathilah Bin al-Asqa’ adalah rujukan utama dalam menentukan bilakah berlakunya nuzul Al-Qur’an.

II-        Matan hadith dengan jelas menyebut bahawa al-Qur’an diturunkan pada 24 Ramadhan.

III-     Maksud atau mafhum hadith diterima pakai oleh ulama’ muktabar dari kalangan ahli hadith dan para mufassirin dan dijadikan hujah bagi menetapkan tanggal 24 Ramadhan sebagai tarikh tepat bagi nuzul Al-Qur’an. Rujuk kata-kata al-Hafiz Ibn Hajar, Imam al-Qurtubi dan al-Hafiz Ibn Kathir.

Oleh:

Dr. Ahmad Najib Abdullah – Pensyarah UM, Nilam Puri.

anis_alqari@yahoo.com

[1] Lihat: al-Mubarakfuri, Syaikh Safiyy al-Rahman, al-Rahiq al-Makhtum, Beirut : al-Maktabah al-Thaqafiyyah, h77.

[2] Al-Dimisyqi, Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Beirut : Dar al-Fikr, 3/6.

[3] Ibn Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyyah,1/239-240.

[4] Lihat: al-Rahiq al-Makhtum, h.77

[5] Imam Ahmad,al-Musnad , Beirut : al-Maktab al-Islami 4/107, al-Baihaqi , al-Sunan al-Kubra 9/188, al-Tabarani, al-Mu’jam al-Kabir, No 185. Al-Tabari, Ibn Jarir, Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi al-Qur’an, ( Tahqiq: Ahmad Shakir ),al-Qahirah: Dar al-Ma’arif, 3/446, Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, No 1575. Lihat : Yasin, Dr. Hikmat Bashir,( 1994 ), Marwiyyat al-Imam Ahmad Bin Hanbal Fi al-Tafsir, Riyadh: Maktabah al-Muayyad, 1/128.

[6] Al-‘Asqalani, Ibn Hajar,( 1988 ), Fath al-Bari, al-Qahirah: Dar al-Rayyan li al-Turath  8/621.

[7] Al-Tabari, Jami’ al-Bayan 3/445.

[8] Al-Qurtubi, Muhammad Bin Ahmad al-Ansari, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, Beirut: Muassasah Manahil al-‘Irfan 2/198

[9] Al-Dimisyqi, Ibn Kathir, ( 2004 ),Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Riyadh: Dar ‘Alam al-Kutub,  2/180, lihat juga: 14/411

[10] Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/6

[11] Al-Albani, Muhammad Nasiruddin,( 1421 H ), Sahih al-Sirah al-Nabawiyyah, Amman : al-Maktabah al-Islamiyyah, h.90

[12] Al-Baghdadi, al-KhatibTarikh Baghdad, 3/31, al-Zahabi, Muhammad Bin Ahmad Bin Uthman, ( 1992 ), Siyar A’lam al-Nubala’,Beirut : Muassasah al-Risalah,  9/454, 469, Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Ta’dil, 8/20

[13] Lihat: Manahil al-‘Irfan, 1/52