Allah berfirman:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan [permulaan] Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza [antara yang hak dan yang bathil] [Al-Baqarah : 185]
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ، فَلَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ‏.‏
Ibnu Abbas radiallahu ‘anhuma berkata: “Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam adalah orang yang paling murah hati, lebih-lebih lagi ketika Jibril datang bertemunya pada malam bulan Ramadhan. Jibril datang bertemu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pada setiap malam Ramadhan dan mengajarnya al-Quran. Sesungguhnya sifat murah hati Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam lebih baik daripada angin yang bertiup.” [Sahih al-Bukhari, Kitab Bad’i al-Wahy, hadis no : 6]

LARANGAN NABI S.A.W DARIPADA MEMBACA KESELURUHAN AL-QURAN KURANG DARIPADA 3 HARI

Terdapat beberapa hadis berkaitan hal ini:

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرٍو ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ : صُمْ مِنَ الشَّهْرِ ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ .قَالَ: أُطِيقُ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ فَمَا زَالَ حَتَّى قَالَ :صُمْ يَوْمًا وَأَفْطِرْ يَوْمًا فَقَالَ اقْرَإِ الْقُرْآنَ فِي شَهْرٍ قَالَ إِنِّي أُطِيقُ أَكْثَرَ فَمَا زَالَ حَتَّى قَالَ فِي ثَلاَثٍ

‘Abdullah bin ‘Amru radiallahu ‘anhu meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Puasalah setiap bulan tiga hari. ‘Abdullah menjawab: Aku mampu melakukan lebih daripada itu. Hal itu berterusan sehinggalah baginda berkata: Puasalah sehari, dan tidak berpuasa sehari. Lalu baginda berkata pula: Bacalah (khatamlah) al-Quran dalam masa sebulan. ‘Abdullah menjawab: Aku mampu melakukan lebih daripada itu. Hal itu berterusan sehingga baginda berkata (khatamlah al-Quran) dalam masa tiga hari. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Sawm, hadis no: 1978]

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : اقْرَإِ الْقُرْآنَ فِي شَهْرٍ. قُلْتُ: إِنِّي أَجِدُ قُوَّةً حَتَّى قَالَ فَاقْرَأْهُ فِي سَبْعٍ ، وَلاَ تَزِدْ عَلَى ذَلِكَ

‘Abdullah bin ‘Amru radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Bacalah (khatamlah) al-Quran dalam masa sebulan. Aku menjawab: Sesungguhnya aku mampu (lebih daripada itu) sehinggalah baginda berkata: (khatamlah al-Quran) dalam masa seminggu, jangan engkau tambah melebihi itu. [Sahih al-Bukhari, Kitab Fadhail al-Quran, hadis no: 5054]

Ringkasan:

1- Berdasarkan hadis-hadis di atas, sebahagian ulama seperti Imam Ahmad, Abu ‘Ubaid, Ishak bin Rahuyah dan lain-lain berpendapat tidak boleh seseorang mengkhatamkan al-Quran kurang daripada tempoh 3 hari. Larangan ini juga datang daripada para sahabat seperti Mu’az bin Jabal, Abdullah bin Mas’ud radiallahu ‘anhum.

2- Telah datang banyak riwayat daripada generasi salaf di mana mereka pernah mengkhatamkan al-Quran kurang daripada 3 hari, bahkan sehingga ada yang 2 kali sehari dan lain-lain. Inilah yang diriwayatkan daripada Uthman bin ‘Affan, Tamim ad-Dari radiallahu ‘anhuma, Sa’id bin Jubair, ‘Alqamah, Mujahid, Al-Azdi, Al-Syafie, Al-Bukhari. Sebahagian daripada mereka akan menambahkan bacaan dalam bulan Ramadhan seperti Imam al-Syafie yang biasa khatam sehari sekali, dan dalam Ramadhan beliau khatam sehari 2 kali.

3- Imam an-Nawawi menyatakan hal ini berbeza-beza mengikut keadaan seseorang manusia:

A- Jika seseorang mahu memfokuskan untuk mentadabbur dan menghayati al-Quran, maka membaca dengan banyak dan laju sehingga khatam dalam tempoh kurang 3 hari, tidak akan mencapai matlamat tadabbur itu.

Hal ini dijelaskan dalam riwayat berikut:

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرٍو ، أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلًّمَ ، قَالَ : ” لَمْ يَفْقَهْ مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فِي أَقَلَّ مِنْ ثَلاثٍ
‘Abdullah bin ‘Amru meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Tidak akan mendapat kefahaman sesiapa yang membaca (khatam) al-Quran kurang daripada tiga hari. [Sunan at-Tirmizi, Kitab al-Qiraat, hadis no: 2949, hadis hasan sahih]

B- Jika seseorang itu ada urusan yang lebih penting seperti mengajar ilmu dan sebagainya yang mana jika dia sibuk mengkhatamkan al-Quran akan menyebabkan gagal menunaikan urusan penting itu, maka lebih utama dia menunaikan urusan itu dalam masa yang sama tetap setiap hari dia membaca al-Quran.

C- Jika seseorang tidak disibukkan dengan urusan lain, dan dia pula mahu memfokuskan kepada membanyakkan pahala melalui bacaan, maka dia boleh membaca sekerap mungkin sehingga boleh khatam lebih kerap, dalam masa yang sama masih mampu membaca dengan bacaan yang betul.

4- Al-Imam Ibnu Kathir dalam kitab Fadhail al-Quran menyatakan dua kemungkinan kenapa para imam ini ada yang mengkhatamkan kurang daripada tempoh 3 hari:

A- Boleh jadi hadis larang tidak sampai kepada mereka (akan tetapi ini sesuatu yang pelik sebab antara yang diriwayatkan pernah khatam sehari sekali ialah Imam al-Bukhari dan beliau sendiri meriwayatkan hadis larangan ini dalam sahihnya).

B- Boleh jadi mereka masih mampu mentadabburi al-Quran dalam keadaan membaca laju sebegitu rupa.

5- Larangan nabi s.a.w itu bukanlah larangan yang mengikat dengan jumlah hari tertentu kerana pada asalnya nabi s.a.w bertanya dan mengulangi soalan itu dengan pilihan-pilihan jumlah hari yang berbeza. Ini menunjukkan bahawa ia bergantung kepada kadar kemampuan setiap individu.

6- Usahlah kita membayangkan membaca al-Quran ini perlu menghadap mushaf sentiasa. Bagi mereka yang hafiz al-Quran, mereka sudah biasa membaca laju untuk mengulangi hafazan. Saya sendiri pernah membaca sambil melihat mushaf dan menghabiskan 1 juzu dalam tempoh 1/2 jam. Jadi, untuk menghabisi 30 juzu’ hanya memerlukan 15 jam, dan bagi seorang hafiz, ia mampu dilakukan sambil membuat kerja-kerja lain.

7- Saya berani berkata bahawa majoriti daripada kita termasuk yang menulis dan membaca status ini, nak khatam sekali sebulan pun susah, tetapi adakah dengan kurangnya kita khatam maksudnya tadabbur dan kefahaman kepada al-Quran kita bertambah? Tepuk dada, tanya diri sendiri.

Penutup:

Kita ada dua pilihan:

1- Kerap khatam dan kurang tadabbur
2- Jarang khatam tetapi bersama-sama tadabbur.

Dua-dua pilihan ini baik sebab tadabbur datang dengan faedah tersendiri, kerap khatam pula datang dengan faedah banyak daripada sudut pahala bacaan dan kelancaran hafazan.

Wallahua’lam.

Rujukan:

Al-Hafiz Ibnu Hajar, Fathul Bari.
Al-Imam An-Nawawi, Syarah Sahih Muslim
Al-Imam An-Nawawi, At-Tibyan Fi Adab Hamalati al-Quran
Al-Imam Ibnu Kathir, Fadhail al-Quran