Assalamualaikum w.b.t

Setiap hari di sekolah, saya akan bertanya kepada pelajar-pelajar saya sebelum masuk kelas. “Sudah solat Zuhur kah belum?”.

Kadang-kala sambil menanda buku mereka, saya akan berbual: “Pagi tadi awak solat Subuh atau tidak?”.

Bila mereka menjawab ya, saya akan berkata: “Alhamdulillah, bagus kalau begitu..”

Tetapi jika mereka kata tidak, saya akan bertanya: “Kenapa tidak?”

Pelbagai jawapan diberikan, bangun lewat, takut tertinggal bas, tidur lewat.
Sedih bila adik-adik menjawab bangun lewat. Tiada ibu bapakah yang mahu mengejutkan mereka? Takut tertinggal bas? Daripada mana datang kerisauan ini jika bukan daripada ibu bapa? Ibu bapa mereka lebih risau mereka lewat ke sekolah daripada risau tentang solat anak-anak mereka?

Kadang-kala bila saya soal dalam kelas, sudah solat Zuhur kah? Yang jawab belum akan menjawab terlewat sampailah ustaz, tadi pulang sekolah kebangsaan, mahu cepat ke sekolah agama. Alhamdulillah, tempat saya mengajar bersebelahan masjid, saya akan menyuruh mereka pergi solat walau ketika itu saya sedang mengajar.

Bagaimana kita mahu bercerita soal akhlak, sedangkan asas Islami iaitu solat kita abaikan? Sanggup kita mengutamakan sekolah anak-anak melebihi solatnya? Di mana Islam dalam diri kita?

Seribu satu soalan datang apabila mendengar jawapan adik-adik ini kenapa mereka tidak solat. Satu ketika dahulu saya pernah berprogram di sebuah sekolah di Negeri Sembilan. Saya bertemu seorang adik yang tidak pandai solat, saya bertanya:”Di rumah awak solat atau tidak?”. Jawabnya “Tidak”. Saya berkata lagi: “Emak tidak marah?”. Jawab dia: “Emak dengan ayah pun tidak solat…”. Saya terus diam. Tidak terkata apa.

Saya bukan seorang bapa, saya tiada anak dan isteri. Tetapi saya berasa sedih dengan hal ini. Apakah tujuan kita membina keluarga? Apakah tujuan kita menjadi suami dan isteri? Apakah tujuan kita menjadi ibu dan bapa?

Kita sedang mengheret anak-anak ini menuju mendekati pintu neraka sebagaimana kita sedang bergerak ke arahnya. Pengabaian kita kepada solat anak-anak ini adalah ‘jalan pintas’ kita ke neraka.

Tatkala kita menghantar anak-anak ini ke kelas tambahan, kelas tuisyen, aktiviti ko-kurikulum, sudahkah kita memikirkan sejauh mana hal ini mempengaruhi jadual solat mereka?

Tatkala kita guru-guru mengatur aktiviti sekolah, adakah kita memasukkan solat sebagai agenda utama, atau ia hanya agenda picisan bila ada masa lapang?

Tatkala kita melakukan kelas tambahan sehingga jam enam petang anak murid kita masih belum solat Asar, apakah yang sedang kita ajari mereka? Bukankah kita sedang mengajar mereka belajar itu lagi penting daripada solat? Bukankah kita sedang mengajar mereka solat itu kurang penting berbanding jumlah A dalam peperiksaan?

Tatkala latihan sukan, aktiviti sukan bermula jam empat petang sehingga enam petang, bukankah kita sedang mengajar anak-anak ini bola, ragbi, badminton, bola jaring itu semua lebih penting daripada solat?

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ ، عَنْ أَبِيهِ ، عَنْ جَدِّهِ ، قَال :

‘Amru bin Syu’aib meriwayatkan daripada ayahnya daripada datuknya:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ ،
Rasulullah s.a.w bersabda: Suruhlah anak kalian solat apabila umur mereka tujuh tahun.

وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ سِنِينَ ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ ”

Apabila umur mereka sepuluh tahun, pukullah mereka (jika mereka enggan solat) dan pisahkan tempat tidur mereka. [Sunan Abu Daud, Kitab As-Solat, Bab Bilakah Seorang Budak Itu Disuruh Mendirikan Solat, hadis no : 417]

(Tulisan di atas ditulis ketika saya menjadi guru KAFA di sebuah sekolah)