1- Mandi Hari Raya
عَنْ مَالِك ، عَنْ نَافِعٍ ، أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ ” كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى “
Imam Malik meriwayatkan daripada Nafi’, bahawa ‘Abdullah Ibn ‘Umar radiallahu ‘anhu akan mandi pada hari raya aidilfitri sebelum bertolak ke musolla (tanah lapang tempat solat hari raya). [al-Muwatta’, Kitab al-Eidain, hadis no: 426].
Ulama mazhab Syafie menyatakan digalakkan untuk mandi pada pagi hari Raya. Ini berdasarkan atsar Ibn Umar di atas dan diqiaskan dengan hari Jumaat. Masa untuk mandi pula, pada pendapat yang paling kuat dalam mazhab Syafie ialah dibolehkan untuk mandi sama ada selepas fajar atau sebelum fajar.
Mandi ini digalakkan untuk semua sama ada yang hadir mendirikan solat raya mahupun yang tidak hadir. Begitu juga digalakkan berhias-hias, memotong kuku, berwangi-wangian sebagaimana dilakukan pada hari Jumaat.
[Al-Majmu’, 5/9].
2- Makan Sebelum Pergi Solat Raya
عَنْ أَنَسٍ ، قَالَ : ” كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ “
‘Anas bin Malik radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam tidak bertolak keluar pada pagi hari raya Aidilfitri melainkan selepas baginda sallallahu ‘alaihi wassalam sudah memakan kurma. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jum’ah, hadis no : 906]
عَنْ ابْنِ بُرَيْدَةَ عَنْ أَبِيهِ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – كَانَ لَا يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ، وَكَانَ لَا يَأْكُلُ يَوْمَ النَّحْرِ حَتَّى يَرْجِعَ
Daripada Burairah radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam tidaklah keluar pada pagi hari raya Aidilfitri melainkan baginda telah makan, dan pada raya Aidiladha pula tidaklah baginda makan melainkan selepas pulang. [Sunan Ibn Majah, Kitab al-Siyam, no: 1756, Shaikh al-Arnaouth berkata: Sahih Lighairihi]
Ulama-ulama mazhab Syafie bersepakat bahawa digalakkan makan sebelum mendirikan solat sunat Aidilfitri. Seandainya belum makan sebelum keluar, hendaklah makan sebelum mendirikan solat. Digalakkan memakan kurma dengan bilangan yang ganjil.
Untuk hari Aidiladha pula digalakkan melewatkan makan sehingga selepas solat raya.
Imam al-Syafie berkata dalam al-Umm:
وَنَحْنُ نَأْمُرُ من أتى الْمُصَلَّى أَنْ يَطْعَمَ وَيَشْرَبَ قبل أَنْ يَغْدُوَ إلَى الْمُصَلَّى وَإِنْ لم يَفْعَلْ أَمَرْنَاهُ بِذَلِكَ في طَرِيقِهِ أو الْمُصَلَّى إنْ أَمْكَنَهُ وَإِنْ لم يَفْعَلْ ذلك فَلاَ شَيْءَ عليه وَيُكْرَهُ له أَنْ لاَ يَفْعَلَ وَلاَ نَأْمُرُهُ بهذا يوم الأَضْحَى وَإِنْ طَعِمَ يوم الأَضْحَى فَلاَ بَأْسَ عليه.
Kami menyuruh sesiapa yang ke musolla untuk makan dan minum sebelum bertolak ke musolla. Jika dia tidak melakukannya, kami menyuruhnya melakukannya di dalam perjalanan atau di musolla seandainya dia boleh melakukannya. Jika dia tidak melakukan hal itu, tidak ada apa-apa masalah ke atasnya akan tetapi adalah dimakruhkan untuk dia tidak melakukan hal itu. Tidaklah kami menyuruh hal ini pada hari raya Aidiladha. Jika dia makan jua pada hari Aidiladha, tidak mengapa. [Al-Umm, 1/233].
Apakah tujuan hal ini?
Antara hikmahnya yang membezakan antara raya Aidiladha dan Aidilfitri ialah pada Aidilfitri disunnahkan untuk membayar zakat fitrah sebelum solat raya, lalu digalakkan makan pada pagi itu agar dapat bersama-sama dengan orang miskin pada waktu itu. Manakala bersedekah pada raya Aidiladha iaitu dengan mengagihkan daging korban berlaku selepas solat raya, makan digalakkan agar dapat bersamaan dengan orang-orang miskin.
Disebutkan jua antara hikmahnya ialah kerana sebelum Aidilfitri diharamkan makan dan minum, maka digalakkan makan sebelum solat agar dapat membezakan dengan hari sebelumnya. Manakala Aidiladha hari sebelumnya bukanlah hari terlarang makan dan minum. [Al-Majmu, 5/8]
4- Pergi dan Pulang Dari Masjid Dengan Jalan Yang Berbeza
عَنْ جَابِرِ ، قَالَ : ” كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ “
Jabir radiallahu ‘anhu berkata: Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam akan memilih jalan yang berbeza pada hari raya [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Eidain, hadis no : 986]
عَنِ ابْنِ عُمَرَ، أَنَّهُ كَانَ يَخْرُجُ إِلَى الْعِيدِ فِي طَرِيقٍ وَيَرْجِعُ فِي أُخْرَى وَيَزْعُمُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ كَانَ يَفْعَلُ ذَلِكَ .
Daripada Ibn ‘Umar radiallahu ‘anhuma, bahawa beliau pergi ke tempat solat raya dengan jalan lain dan pulang dengan jalan yang lain dan beliau menyatakan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam melakukan hal itu. [Sunan Ibn Majah, Kitab Iqamah al-Solah wa Al-Sunnah Fi Ha, no: 1299. Shaikh al-Arnaouth menyatakan ia hasan lighairihi].
Ulama membahaskan apakah hikmah pergi dan balik dengan jalan yang berbeza dengan pelbagai hikmah. Antaranya baginda s.a.w pergi dengan jalan yang lebih jauh dan pulang dengan jalan yang lebih dekat supaya lebih banyak pahala. Ada yang menyatakan baginda bersedekah pada jalan balik dan pergi. Ada yang menyatakan untuk memuliakan penduduk dua jalan itu. Ada yang menyatakan agar dua jalan itu menjadi saksi di akhirat kelak dan banyak lagi.
Seseorang tetaplah disunatkan mengamalkan sunnah ini walau dia tidak menemui atau mengetahui apa-apa hikmah padanya. [Al-Majmu’, 5/13].
5- Berhias dan memakai pakaian yang terbaik
أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ قَالَ : أَخَذَ عُمَرُ جُبَّةً مِنْ إِسْتَبْرَقٍ تُبَاعُ فِي السُّوقِ فَأَخَذَهَا ، فَأَتَى بِهَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ابْتَعْ هَذِهِ تَجَمَّلْ بِهَا لِلْعِيدِ وَالْوُفُودِ ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” إِنَّمَا هَذِهِ لِبَاسُ مَنْ لَا خَلَاقَ لَهُ فَلَبِثَ عُمَرُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَلْبَثَ ، ثُمَّ أَرْسَلَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِجُبَّةِ دِيبَاجٍ ، فَأَقْبَلَ بِهَا عُمَرُ ، فَأَتَى بِهَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّكَ قُلْتَ إِنَّمَا هَذِهِ لِبَاسُ مَنْ لَا خَلَاقَ لَهُ وَأَرْسَلْتَ إِلَيَّ بِهَذِهِ الْجُبَّةِ ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : تَبِيعُهَا أَوْ تُصِيبُ بِهَا حَاجَتَكَ ” .
‘Abdullah bin Umar radiallahu ‘anhu menyatakan bahawa Umar radiallahu ‘anhu mengambil sebuah jubah sutera yang dijual di pasar. Beliau membawa pakaian itu kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam, lalu Umar radiallahu ‘anhu berkata: “Wahai Rasulullah, belilah ini dan berhiaslah dengan pakaian ini untuk hari raya dan menyambut utusan-utusan.” Rasulullah Saallallahu ‘alaihi wa sallam pun bersabda: “Ini adalah pakaian orang yang tidak akan mendapat sebarang bahagian (di akhirat). Selepas sekian lama, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam menghantar sehelai jubah sutera kepada ‘Umar. Beliau terus membawa jubah itu kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam dan berkata: Ya Rasulullah ! Sesungguhnya engkau pernah menyatakan bahawa ini merupakan pakaian buat manusia yang tidak mendapat sedikit bahagian pun di akhirat, tetapi kenapa engkau hantar jubah ini kepada aku?
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam menjawab: Engkau boleh menjualnya, atau memenuhi keperluan engkau dengannya. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Eidain, hadis no : 902]
Imam Ibn Hajar al-Asqalani menghuraikan hadis di atas:
وأنها مأخوذة من تقريره صلى الله عليه و سلم على أصل التجمل وإنما زجره عن الجبة لكونها كانت حريرا
Galakan (untuk berhias pada hari raya difahami daripada) Diamnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam (di atas cadangan Umar untuk memakai pakaian yang cantik pada hari raya) menunjukkan asalnya ialah berhias. Sesungguhnya baginda menolak kerana pakaian itu daripada kain sutera. [Fathul Bari, 2/510].
Galakan memakai pakaian yang terbaik ini adalah sama untuk yang pergi keluar mendirikan solat raya dan yang duduk di rumah. Ini kerana hari raya adalah hari untuk berhias-hias. [Al-Majmu’, 5/10].