Masjid Dan Wanita Di Zaman Nabi

Adalah penting untuk kita melihat bagaimanakah hubungan antara kaum Muslimah di zaman Nabi s.a.w dengan masjid. Hal ini dapat diketahui dengan melihat hadis-hadis yang berkaitan wanita dan masjid.

 ‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata:

أَعْتَمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً بِالْعِشَاءِ ، وَذَلِكَ قَبْلَ أَنْ يَفْشُوَ الْإِسْلَامُ ، فَلَمْ يَخْرُجْ ، حَتَّى قَالَ عُمَرُ : نَامَ النِّسَاءُ وَالصِّبْيَانُ فَخَرَجَ ، فَقَالَ لِأَهْلِ الْمَسْجِدِ : مَا يَنْتَظِرُهَا أَحَدٌ مِنْ أَهْلِ الْأَرْضِ غَيْرَكُمْ .

Terjemahan: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melewatkan solat Isya, hal ini berlaku sebelum Islam tersebar luas. Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam tidak keluar untuk mendirikan solat melainkan sehingga ‘Umar radiallahu ‘anhu telah berkata: Kaum wanita dan kanak-kanak telah tertidur, baru lah baginda sallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam berkata kepada yang ada di masjid: Tiada seorang pun selain kalian yang menanti solat ini.[1]

 ‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata:

كُنَّ نِسَاءُ الْمُؤْمِنَاتِ يَشْهَدْنَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَاةَ الْفَجْرِ مُتَلَفِّعَاتٍ بِمُرُوطِهِنَّ، ثُمَّ يَنْقَلِبْنَ إِلَى بُيُوتِهِنَّ حِينَ يَقْضِينَ الصَّلَاةَ لَا يَعْرِفُهُنَّ أَحَدٌ مِنَ الْغَلَسِ

Wanita-wanita beriman menghadiri solat Subuh bersama-sama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam keadaan berselubung dengan kain-kain mereka. Kemudian mereka pulang ke rumah dalam keadaan mereka tidak dapat dikenali kerana keadaan yang gelap.[2]

Anas bin Malik radiallahu ‘anhu berkata bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

” إِنِّي لَأَدْخُلُ فِي الصَّلَاةِ وَأَنَا أُرِيدُ إِطَالَتَهَا، فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ فَأَتَجَوَّزُ فِي صَلَاتِي مِمَّا أَعْلَمُ مِنْ شِدَّةِ وَجْدِ أُمِّهِ مِنْ بُكَائِهِ

Sesungguhnya aku mendirikan solat dan aku mahu memanjangkannya. Lalu aku terdengar suara tangisan bayi, lalu aku meringkaskan solatku kerana aku tahu kesukaran yang dialami ibunya disebabkan tangisan itu.[3]

Hadis-hadis di atas secara jelas menunjukkan kehadiran wanita ke masjid di zaman Rasulullah s.a.w, bahkan mereka hadir bersama anak kecil mereka.

Adakah Suami Berhak Melarang Isteri Daripada Pergi Ke Masjid?

‘Abdullah bin ‘Umar radiallahu ‘anhuma meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِذَا اسْتَأْذَنَتِ امْرَأَةُ أَحَدِكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلاَ يَمْنَعْهَا

Apabila isteri salah seorang daripada kami meminta izin (untuk ke masjid), janganlah dia menghalangnya.[4]

 ‘Abdullah bin ‘Umar radiallahu ‘anhuma berkata:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ، قَالَ: ” كَانَتِ امْرَأَةٌ لِعُمَرَ تَشْهَدُ صَلَاةَ الصُّبْحِ وَالْعِشَاءِ فِي الْجَمَاعَةِ فِي الْمَسْجِدِ ، فَقِيلَ لَهَا : لِمَ تَخْرُجِينَ وَقَدْ تَعْلَمِينَ أَنَّ عُمَرَ يَكْرَهُ ذَلِكَ وَيَغَارُ ، قَالَتْ : وَمَا يَمْنَعُهُ أَنْ يَنْهَانِي ، قَالَ : يَمْنَعُهُ قَوْلُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَا تَمْنَعُوا إِمَاءَ اللَّهِ مَسَاجِدَ اللَّهِ ” .

Isteri ‘Umar radiallahu ‘anhu pergi menunaikan solat Subuh dan Isya’ secara berjemaah di masjid. Dikatakan kepada beliau: Kenapa engkau keluar juga (ke masjid) sedangkan engkau tahu ‘Umar tidak suka dan dia seorang yang cemburu. Isteri ‘Umar radiallahu’ anhu menjawab: Apa yang menghalangnya daripada menghentikan aku? Yang lain menjawab: Yang menghalangnya ialah sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: Janganlah kalian menghalang hamba-hamba perempuan Allah daripada masjid-masjid Allah.[5]

Dalam riwayat Muslim disebutkan: Ibnu Umar berkata: Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لاَ تَمْنَعُوا نِسَاءَكُمُ الْمَسَاجِدَ إِذَا اسْتَأْذَنَّكُمْ إِلَيْهَا. وَاللَّهِ لَنَمْنَعُهُنَّ‏.‏ قَالَ فَأَقْبَلَ عَلَيْهِ عَبْدُ اللَّهِ فَسَبَّهُ سَبًّا سَيِّئًا مَا سَمِعْتُهُ سَبَّهُ مِثْلَهُ قَطُّ وَقَالَ أُخْبِرُكَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَتَقُولُ وَاللَّهِ لَنَمْنَعُهُنَّ.‏

Jangan kamu halang wanita-wanita kamu daripada ke masjid apabila mereka meminta izin untuk pergi. Lalu anak Ibnu ‘Umar iaitu Bilal menjawab: Demi Allah, kami akan menghalang mereka (daripada ke masjid)! (Lalu Salim, seorang lagi anak Ibnu ‘Umar) berkata: Lalu Abdullah bin Umar mencela Bilal dengan celaan yang tak pernah aku dengar beliau lakukan. Ibnu ‘Umar berkata: Aku memberitahu kepada kamu kata-kata nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, lalu kamu kata: Demi Allah kami akan halang mereka.[6]

 

 ‘Abdullah bin ‘Umar radiallahu ‘anhum meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

ائْذَنُوا لِلنِّسَاءِ بِاللَّيْلِ إِلَى الْمَسَاجِدِ

Izinkanlah wanita untuk pergi ke masjid pada waktu malam.[7]

Berdasarkan hadis-hadis di atas, majoriti ulama berpendapat bahawa wanita wajib meminta izin daripada suami, dan suami digalakkan untuk mengizinkan isteri ke masjid selagi mana keluarnya isteri tersebut dengan cara yang patuh syariah dan tiada sebarang kemudaratan. Larangan dalam hadis tersebut menunjukkan makruh untuk suami menghalang isteri ke masjid. Hal ini hanya khas untuk suami atau tuan kepada wanita itu.  Selain daripada suami adalah diharamkan menghalang wanita itu ke masjid apabila mereka telah memenuhi syarat yang ditetapkan. [8]

Adapun orang lain, tidak berhak menghalang wanita itu ke masjid. Antara hujahnya ialah apabila disuruh wanita meminta izin, itu bermaksud yang diminta izin mempunyai pilihan untuk mengizinkan atau menghalang.[9] Ibn Rajab menukilkan bahawa ulama sepakat  bahawa wanita wajib mendapatkan keizinan suami untuk ke masjid. Akan tetapi mereka berbeza pendapat adakah suami berhak menghalang. ‘Abdullah bin Al-Mubārak dan Imam Mālik berpendapat suami tiada hak menghalang, akan tetapi ulama mazhab Syafie dan Hanbali berpendapat suami berhak menghalang. Zahir hadis menunjukkan suami tidak boleh menghalang isteri ke masjid.[10]  Bahkan Ibn Hazm pula dengan tegas menyatakan haram untuk menghalang wanita daripada ke masjid apabila mereka telah mematuhi etikanya.[11] Selain daripada itu, ulama yang menyatakan suami berhak menghalang jua berhujah dengan hadis Ummu Humaid yang akan disebutkan nanti.

Sebahagian ulama turut menghadkan kebenaran ke masjid hanya untuk wanita yang tua sahaja, manakala yang muda terlarang daripada ke masjid[12] akan tetapi pendapat ini dibantah oleh Al-‘Adāwī kerana dalil-dalil di atas adalah umum merangkumi wanita tua dan muda dan tiada sebarang dalil yang membezakan wanita tua dan muda dalam hal ini.[13]

Perbincangan Tentang Kata-Kata ‘Aisyah r.a

 

‘Aisyah r.a berkata:

” لَوْ أَدْرَكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَحْدَثَ النِّسَاءُ لَمَنَعَهُنَّ كَمَا مُنِعَتْ نِسَاءُ بَنِي إِسْرَائِيلَ ” ، قُلْتُ : لِعَمْرَةَ أَوَ مُنِعْنَ ؟ قَالَتْ : نَعَمْ

Seandainya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melihat apa yang dilakukan oleh kaum wanita, nescaya baginda akan menghalang mereka sebagaimana dihalangnya wanita-wanita Bani Israel. Yahya bin Sa’id bertanya kepada ‘Amrah: Adakah mereka (iaitu wanita Bani Israel) dihalang (daripada ke masjid). ‘Amrah menjawab: Ya.[14]

Sebahagian pihak menggunakan hadis ini untuk melarang wanita ke masjid. Akan tetapi para ulama telah membantah penggunaan riwayat ini dengan beberapa sebab:[15]

1- Kata-kata ‘Aisyah r.a ini hanya terpakai untuk wanita yang keluar dari rumah dengan tidak mematuhi syariat seperti membuka aurat, bertabarruj, berwangi-wangian. Tidak boleh menggunakan riwayat ini ke atas seluruh Muslimah.

2- Jika wanita mahu dilarang ke masjid, maka lebih utama untuk mereka dihalang ke tempat lain seperti pasar dan sebagainya. Lebih menghairankan, apabila ada yang membenarkan wanita bermusafir sendirian tetapi melarang wanita ke masjid.

3- Alasan bahawa zaman kini banyak maksiat berlaku berbanding zaman Nabi s.a.w adalah tidak relevan. Ini kerana kes jenayah zina misalnya tetap ada berlaku di zaman nabi s.a.w, akan tetapi itu tidak mendorong nabi s.a.w untuk melarang wanita ke masjid. Bahkan jika ia dijadikan hujah, kaum lelaki pun perlu dihalang ke masjid.

4- Itu hanya sangkaan ‘Aisyah r.a, dan bukan sabda nabi s.a.w. Bahkan tiada bukti menunjukkan ‘Aisyah r.a pernah melarang wanita di zamannya ke masjid.

5- Allah tahu bahawa sebahagian wanita akan keluar tanpa patuh syariah, akan tetapi tetap sahaja Allah tidak menurunkan wahyu melarang wanita ke masjid.

 

Etika Wanita Di Masjid

Terdapat beberapa adab yang perlu ada apabila lelaki dan wanita berada di masjid.

Wanita Pulang Dahulu Selepas Selesai Solat Jemaah

 

 ‘Aisyah radiallahu ‘anha meriwayatkan

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا ، ” أَنّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي الصُّبْحَ بِغَلَسٍ ، فَيَنْصَرِفْنَ نِسَاءُ الْمُؤْمِنِينَ ، لَا يُعْرَفْنَ مِنَ الْغَلَسِ أَوْ لَا يَعْرِفُ بَعْضُهُنَّ بَعْضًا

Terjemahan: bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam solat Subuh ketika keadaan masih gelap. Kemudian, wanita beriman pun beredar (selepas selesai solat). Mereka itu tidak dapat dikenali kerana keadaan yang gelap, atau mereka itu tidak dapat kenal antara satu sama lain.[16]

Imam dan Jemaah Lelaki Menunggu Jemaah Wanita Pulang Dahulu

Ummu Salamah radiallahu ‘anha, iaitu salah seorang isteri Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menyatakan:

” أَنَّ النِّسَاءَ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُنَّ إِذَا سَلَّمْنَ مِنَ الْمَكْتُوبَةِ قُمْنَ ، وَثَبَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَنْ صَلَّى مِنَ الرِّجَالِ مَا شَاءَ اللَّهُ ، فَإِذَا قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ الرِّجَالُ

bahawa kaum wanita di zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam apabila selesai memberi salam daripada solat fardhu, mereka akan bangun, manakala Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan jemaah kaum lelaki akan tetap di tempat mereka selama mana yang Allah kehendaki. Apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bangun, maka jemaah lelaki pun bangun.[17]

Az-Zuhri berkata:

فَأُرَى وَاللَّهُ أَعْلَمُ أَنَّ مُكْثَهُ لِكَيْ يَنْفُذَ النِّسَاءُ قَبْلَ أَنْ يُدْرِكَهُنَّ مَنِ انْصَرَفَ مِنَ الْقَوْمِ .

Aku berpendapat, wallahu’alam, bahawa duduknya seketika baginda sallallahu ‘alaihi wasalam agar kaum wanita dapat beredar sebelum kaum lelaki dapat melihat mereka ketika kaum lelaki pula beredar.[18]

Hal ini menunjukkan bagaimana Islam menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan, dan percampuran antara lelaki dan perempuan tanpa keperluan bukanlah sesuatu yang digalakkan.[19]

Akan tetapi dengan melihat situasi di kebanyakan masjid Malaysia yang mempunyai pintu yang berasingan untuk kaum lelaki dan wanita, ditambah pula dengan mempunyai tirai sehingga kaum lelaki tidak dapat melihat mereka, maka tiada masalah untuk kaum wanita tetap duduk selepas solat untuk berzikir seperti kaum lelaki.[20]

Tidak berwangi-wangian

Zainab r.a (isteri kepada Ibn Mas’ud r.a) berkata:

قَالَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” إِذَا شَهِدَتْ إِحْدَاكُنَّ الْمَسْجِدَ ، فَلَا تَمَسَّ طِيبًا

Terjemahan: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berkata kepada kami: Apabila salah seorang daripada kalian pergi ke masjid, janganlah dia memakai wangian.[21]

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu meriwayatkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

” لَا تَمْنَعُوا إِمَاءَ اللَّهِ مَسَاجِدَ اللَّهِ ، وَلَكِنْ لِيَخْرُجْنَ وَهُنَّ تَفِلَاتٌ

 Terjemahan: Janganlah kalian menghalang hamba-hamba wanita Allah daripada pergi ke masjid-masjid Allah. Akan tetapi hendaklah mereka keluar tanpa memakai wangian.[22]

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

” إِذَا خَرَجَتِ الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَسْجِدِ ، فَلْتَغْتَسِلْ مِنَ الطِّيبِ كَمَا تَغْتَسِلُ مِنَ الْجَنَابَةِ

Terjemahan: Apabila seorang perempuan keluar ke masjid, hendaklah dia mandi daripada wangian sebagaimana dia mandi daripada junub.[23]

Larangan memakai wangian ini bukan hanya terhad di masjid, bahkan apabila berada bersama-sama bukan mahram tidak kira di mana sahaja. Jika ke masjid sahaja sudah terlarang, sudah pastilah ke pejabat, sekolah, pasar dan lain-lain dengan memakai wangian lebih terlarang.

Bahkan wanita yang memakai minyak wangi dengan tujuan menarik perhatian lelaki, bukan sahaja berdosa bahkan disamakan dengan perempuan zina.

Abu Musa al-Asya’ari radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

” أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ ” .

Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu berjalan melalui sesuatu kaum agar mereka dapat menghidu baunya, maka dia adalah perempuan zina.[24]

Benarkah Solat Wanita Di Rumah Lebih Afdhal?

Ibn ‘Umar radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

لَا تَمْنَعُوا نِسَاءَكُمُ الْمَسَاجِدَ وَبُيُوتُهُنَّ خَيْرٌ لَهُنَّ

 Janganlah kalian menghalang wanita kalian daripada pergi ke masjid. Tetapi rumah-rumah mereka adalah lebih baik untuk mereka.[25]

‘Abdullah bin Mas’ud radiallahu meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

صَلَاةُ الْمَرْأَةِ فِي بَيْتِهَا أَفْضَلُ مِنْ صَلَاتِهَا فِي حُجْرَتِهَا ، وَصَلَاتُهَا فِي مَخْدَعِهَا أَفْضَلُ مِنْ صَلَاتِهَا فِي بَيْتِهَا

Solat seorang perempuan di rumahnya lebih baik daripada di halaman rumahnya, solat di biliknya lebih baik daripada solat di rumahnya.[26]

Ummu Humaid radiallahu ‘anha berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّا نُحِبُّ الصَّلاةَ تَعْنِي مَعَكَ فَيَمْنَعُنَا أَزْوَاجُنَا، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” صَلاتُكُنَّ فِي بُيُوتِكُنَّ خَيْرٌ مِنْ صَلاتِكُنَّ فِي دُورِكُنَّ ، وَصَلاتُكُنَّ فِي دُورِكُنَّ أَفْضَلُ مِنْ صَلاتِكُنَّ فِي مَسْجِدِ الْجَمَاعَةِ

Ya Rasulullah. Sesungguhnya kami suka solat bersama engkau tetapi suami kami melarang kami. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berkata: Solat kalian di rumah kalian lebih baik daripada solat kalian di halaman rumah. Solat kalian di halaman rumah lebih baik daripada solat kalian di masjid secara berjemaah.[27]

Hadis Ummu Humaid ini menjadi hujah bahawa suami boleh menghalang isteri ke masjid, dan memberi keizinannya hanyalah digalakkan sahaja dan bukan kewajipan.

Kesemua hadis di atas tidak terlepas daripada kritikan para ilmuan hadis, akan tetapi dengan banyaknya riwayat yang membawa kesimpulan yang sama, maka ia saling menguatkan antara satu sama lain.

Akan tetapi terdapat hadis sahih yang menarik berkaitan dengan solat tarawih. Ia merupakan riwayat Abu Dzar r.a, dalam riwayat tersebut terdapat lafaz berbunyi:

 

وَدَعَا أَهْلَهُ وَنِسَاءَهُ فَقَامَ بِنَا حَتَّى تَخَوَّفْنَا الْفَلاَحَ ‏قُلْتُ لَهُ وَمَا الْفَلاَحُ قَالَ السُّحُورُ.‏

Baginda memanggil ahli keluarganya dan isteri-isterinya (untuk solat terawih berjemaah), lalu baginda mengimami kami hingga kami takut-takut jika akan terlepas al-Falah. Jubair bin Nufair bertanya kepada Abu Dzar: Apa maksud al-Falah. Dia menjawab: Sahur.[28]

Zahir hadith ini menunjukkan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam mengajak kaum wanita untuk turut sama berjemaah mendirikan solat terawih.

Imam Ibnu Khuzaimah membawakan riwayat ini dalam Sahihnya, dalam Kitab Al-Sawm, di bawah Bab:

بَاب اسْتِحْبَاب صَلَاةِ النِّسَاءِ جَمَاعَةً مَعَ الْإِمَامِ فِي قِيَامِ رَمَضَانَ، مَعَ الدَّلِيلِ عَلَى أَنَّ قِيَامَ رَمَضَانَ فِي جَمَاعَةٍ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْمَرْءِ مُنْفَرِدًا فِي رَمَضَانَ،

Bab Galakan Wanita Solat Berjemaah Bersama Imam Dalam Solat Qiyam Ramadhan/Terawih Dengan Dalil Bahawa Solat Qiyam Ramadhan Berjemaah Lebih Afdhal Daripada Solat Seseorang Bersendirian Dalam Ramadhan.[29]

Tajuk bab yang Imam Ibnu Khuzaimah letakkan ini secara jelas menyebutkan galakkan untuk wanita solat terawih secara berjemaah.

Sebagaimana disebutkan bahawa majoriti ulama berpendapat bahawa wanita lebih utama solat di rumah dan tidak diberatkan untuk ke masjid. Akan tetapi terdapat pengecualian berdasarkan keadaan atau situasi wanita tersebut, atau jika di masjid terdapat majlis-majlis ilmu.

Ibn Baz berkata:

Rumahnya lebih afdhal untuknya. Akan tetapi jika terdapat hajat yang menyebabkan dia keluar (solat terawih berjemaah di Masjid) kerana dia merasa malas bila berada di rumahnya, atau kerana dia mahu mendengar tazkirah dan zikir, maka tidak mengapa (untuk dia keluar).[30] Hal yang sama disebutkan oleh Al-Wadie’ dan Al-Qaradawi.

 

[1] Hadith riwayat Al-Bukhārī, “Ṣahīh al-Bukhārī”, Kitab Mawāqīt al-Ṣolāt, Bab Faḍl al-‘Ishā’, 95, no. hadith: 566.

[2] Hadith riwayat Al-Bukhārī, “Ṣahīh al-Bukhārī”, Kitab Mawāqīt al-Ṣolāt, Bab Waqt al-Fajr, 96, no. hadith: 546.

[3] Hadith riwayat Al-Bukhārī, “Ṣahīh al-Bukhārī”, Kitab al-Adhān, Bab Man Akhaffa Al-Ṣolāt ‘Inda Bukāi Al-Ṣobī, 116, no. hadith: 709.

[4] Hadith riwayat Al-Bukhārī, “Ṣahīh al-Bukhārī”, Kitab an-Nikāh, Bab Isti’dhān al-Mar’ati Zawjahā Fī al-Khurūj Ilā Al-Masjidi Wa Ghairihi, 935, no. hadith: 5238.

[5] Hadith riwayat Al-Bukhārī, “Ṣahīh al-Bukhārī”, Kitab al-Jum’ah, Bab, 144, no. hadith: 900.

[6] Hadith riwayat Muslim, “Ṣahih Muslim”, Kitab al-Ṣolāt, Bab Khurūj al-Nisā’ Ilā al-Masājid Idha Lam Yatarattab ‘Alaihi Fitnah wa Annahā La Takhruj Muthayyabah, 1:327, no. hadith: 442

[7] Hadith riwayat Al-Bukhārī, “Ṣahīh al-Bukhārī”, Kitab al-Jum’ah, Bab, 144, no. hadith: 899.

[8] Rujuk Abū Zakariyyā Yahyā bin Sharf Al-Nawawi, “Al-Minhāj Sharh Ṣahih Muslim”, (Beirut: Dār Ihyā’ al-Turāth al-‘Arabī, 1392h), 4:161-162, dan “Al-Majmu’ Sharh Al-Muhadhdhab, (Damsyik: Dār al-Fikr, t.t), 4:199.

[9] Ibn Hajar al-‘Asqalānī, “Fathul Bārī Sharh Ṣahih al-Bukhārī”, 2:348.

[10] Abū al-Farj ‘Abdul Rahmān bin Shihābuddin bin Rajab Al-Hanbalī, “Fathul Bārī Sharh Ṣahih al-Bukhārī”, (Arab Saudi: Dār Ibn Jawzī, 1422h) 5:318-320.

[11] Abū Muhammad ‘Alī bin Aḥmad bin Ḥazm al-Ẓāhirī, “Al-Muḥallā Bi Al-Āthār”, (Beirut: Dār al-Fikr, t.t), 2:170.

[12] Al-Nawawi, “Al-Minhāj Sharh Ṣahih Muslim”, 4:161-162, dan “Al-Majmu’ Sharh Al-Muhadhdhab”, 4:199.

[13] Muṣṭafā al-‘Adāwī, “Jāmi’ Aḥkām al-Nisā’”, (Arab Saudi: Dār al-Sunnah Li Al-Nashr wa Al-Tawzi’, 1992), 1:278.

[14] Hadith riwayat Al-Bukhārī, “Ṣahīh al-Bukhārī”, Kitab al-Adhān, Bab Intiẓar al-Nās Qiyām al-Imām al-‘Ālim, 140, no. hadith: 869.

[15] Rujuk Ibn Hajar Al-‘Asqalāni, “Fathul Bārī Sharh Ṣahih al-Bukhārī”, 2:349-350 dan Ibn Hazm, “Al-Muḥallā Bi Al-Āthār”, 2:173-174.

[16] Hadith riwayat Al-Bukhārī, “Ṣahīh al-Bukhārī”, Kitab al-Adhān, Bab Ṣolāt al-Nisā’ Khalfa al-Rijāl, 141, no. hadith: 872.

[17] Hadith riwayat Al-Bukhārī, “Ṣahīh al-Bukhārī”, Kitab al-Adhān, Bab Khurūj al-Nisā’ Ilā al-Masājid Bi Al-Lail wa Al-Ghalās, 140, no. hadith: 866.

[18] Hadith riwayat Al-Bukhārī, “Ṣahīh al-Bukhārī”, Kitab al-Adhān, Bab Ṣolāt al-Nisā’ Khalfa al-Rijāl, 141, no. hadith: 872.

[19] Rujuk Muhammad bin ‘Alī Al-Shaukānī, “Nailul Awṭār”, (Kaherah: Idārah al-Ṭabā’ah al-Munīriyyah, 1926) 2:357, Ibn Qudāmah al-Maqdisī, Al-Mughni”, 1:632.

[20] Al-‘Adawī, “Jāmi’ Aḥkām al-Nisā’”, 1:287.

[21] Hadith riwayat Muslim “Ṣahih Muslim”, Kitab al-Ṣolāt, Bab Khurūj al-Nisā’ Ilā al-Masājid Idhā Lam Yatarattab ‘Alaihi Fitnah Wa Annahā Lā Takhruj Muṭayyabah, 1:328, no. hadith: 443.

[22] Hadith riwayat Abū Daud, Kitab al-Ṣolāt, Bab Mā Jāa Fī Khurūj Al-Nisā’ Ilā Al-Masjid, no. hadith: 565. Al-Arna’ut menyatakan hadith ini Ṣahīh Li Gharihi. Lihat Abū Daud Sulaimān bin Al-Ash’ath, “Sunan Abi Daud”, ed. Shu’aib al-Arna’ut (Beirut: Dār al-Risālah al-‘Alāmiyyah, 2009), 1:423.

[23] Hadith riwayat Al-Nasāi, “Sunan al-Nasāi”, Kitab Al-Zīnah Min Al-Sunan, Bab Ightisāl Al-Mar’ati Min Al-Ṭīb, no. hadith: 5127, Al-Albānī menyatakan ia ṣahīh, 8:153.

[24] Hadith riwayat Al-Nasāi, “Sunan al-Nasāi”, Kitab Al-Zīnah Min Al-Sunan, Bab Mā Yukrah Li al-Nisā’ Min al-Ṭīb, no. hadith: 5126, Al-Albānī menyatakan ia hadith ḥasan, 8:153.

[25] Hadith riwayat Abū Daud, “Sunan Abī Daud”, Kitab al-Ṣolāt, Bab Mā Jāa Fī Khurūj al-Nisā’ Ilā al-Masjid, no. hadith: 567, Al-Arna’ut menyatakan Isnādnya ṣahīh, 1:424.

[26] Hadith riwayat Abū Daud, “Sunan Abī Daud”, Kitab al-Ṣolāt. Bab Al-Tashdīd Fī Dhālik, no. hadith: 570, Al-Arna’ut menyatakan isnādnya ḥasan, 1:426.

[27] Hadith riwayat Al-Baihaqī, Kitab al-Ṣolāt, Bab al-Ikhtiyār Li Al-Zawj Idhā Ista’dhanati Imraatuhu Ilā Al-Masjid An La Yamna’aha, no. hadith: 5577. Lihat Abū Bakr Ahmad bin Al-Hussain Al-Baihaqī, “Al-Sunan Al-Kubrā” (Hyderabad: Majlis Dāirah al-Ma’ārif al-Niẓamiyyah, t.t), 3:132.

[28] Hadith riwayat Al-Tirmidhī, “Sunan al-Tirmidhī”, Kitab al-Sawm, Bab Mā Jāa Fī Qiyām Shahr Ramadān, no. hadith: 806, Al-Tirmdhī berkata ia hadith haṣan ṣahīh, 3:160.

[29] Abū Bakr Muhammad bin Isḥāq bin Khuzaimah, “Ṣahīh Ibn Khuzaimah”, ed. Muhammad Musṭafā al-A’ẓāmī, (Damsyik: Al-Maktab Al-Islāmī, 2003), 2:1056.

[30] ‘Abdul ‘Azīz bin ‘Abdullah bin Bāz, “Fatāwā Nūr ‘Alā al-Darb”, ed. Muhammad bin Sa’ad al-Shuwai’ar (Arab Saudi: Al-Riāsah Al-‘Āmmah Lil Buḥuth Al-‘Ilmiyyah Wa Al-Iftā’, 2007) 9:490.