Benarkah Menziarahi Kubur Termasuk Sunnah Yang Berkaitan Dengan Hari Raya?

Saya terbaca beberapa tulisan yang menggalakkan menziarahi kubur pada hari raya, yang berhujahkan dengan beberapa riwayat.

Di sini saya kongsikan sebahagian riwayat yang digunakan.

Imam al-Baihaqi meriwayatkan dalam al-Sunan al-Kubra:

وَأَخْبَرَنَا أَبُو الْحُسَيْنِ بْنُ بِشْرَانَ بِبَغْدَادَ، أنبأ أَبُو جَعْفَرٍ الرَّزَّازُ، ثنا كَثِيرُ بْنُ شِهَابٍ، ثنا مُحَمَّدُ بْنُ سَعِيدٍ هُوَ ابْنُ سَابِقٍ ثنا عَمْرُو بْنُ أَبِي قَيْسٍ، عَنْ مُطَرِّفٍ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنِ الْحَارِثِ، عَنْ عَلِيٍّ رضي الله عنه قَالَ: «الْجَهْرُ فِي صَلَاةِ الْعِيدَيْنِ مِنَ السُّنَّةِ، وَالْخُرُوجُ فِي الْعِيدَيْنِ إِلَى الْجَبَّانَةِ مِنَ السُّنَّةِ»

Daripada Ali RA, beliau berkata: Menguatkan bacaan di dalam solat dua hari raya adalah sunnah. Keluar ke ‘Jabbanah’ pada dua hari raya adalah sunnah.

Sanad riwayat ini adalah dhaif, kerana yang meriwayatkan daripada Ali RA adalah al-Harits bin Abdullah al-A’war. Beliau adalah perawi yang dhaif. Sebahagian ulama mentohmahnya sebagai pendusta/kazzab. [Rujuk: Al-Mizzi, Tahzib al-Kamal].

Ada jua yang berhujah dengan riwayat salaf ini:

Imam Ibnu Abi Shaibah meriwayatkan dalam al-Mushannaf:

٥٦١٢ – حَدَّثَنَا أَبُو الْأَحْوَصِ، عَنْ عَطَاءِ بْنِ السَّائِبِ، قَالَ: «صَلَّيْتُ الْفَجْرَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ فِي يَوْمِ فِطْرٍ، فَإِذَا أَبُو عَبْدِ الرَّحْمَنِ، وَعَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَعْقِلٍ، فَلَمَّا قَضَيْنَا الصَّلَاةَ، خَرَجَا وَخَرَجْتُ مَعَهُمَا إِلَى الْجَبَّانَةِ»

‘Atha’ bi al-Sa’ib berkata: Saya menunaikan solat Subuh di masjid ini pada hari raya Aidilfitri. Ketika itu terdapat Abu Abdul Rahman, dan Abdullah bin Ma’qal. Apabila kami telah menunaikan solat, mereka berdua keluar, dan saya pun keluar bersama mereka berdua ke jabbanah.

Riwayat Ali RA ini adalah diriwayatkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath dengan sanad yang lebih kuat:

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ أَحْمَدَ بْنِ أَبِي خَيْثَمَةَ قَالَ: نَا مُحَمَّدُ بْنُ شُجَاعٍ الْمَرْوَزِيُّ قَالَ: نَا وَكِيعٌ، عَنْ مِسْعَرٍ، عَنْ أَبِي قَيْسٍ، أَظُنُّهُ عَنْ هُذَيْلٍ، عَنْ عَلِيٍّ، رضي الله عنه قَالَ: «مِنَ السُّنَّةِ الصَّلَاةُ فِي الْجَبَّانِ»

لَمْ يَرْوِ هَذَا الْحَدِيثَ عَنْ مِسْعَرٍ إِلَّا وَكِيعٌ “

Daripada Ali RA, beliau berkata: Antara sunnah ialah mendirikan solat (raya) di Jabban.

 

Apakah maksud Jabbanah?

Dalam kedua-dua riwayat ini, digunakan perkataan jabbanah. Dalam tulisan dan poster yang tersebar, diterjemahkan maksud jabbanah sebagai perkuburan.

Ibnu al-Manzhur menyebutkan dalam Lisan al-Arab:

والجَبَّان والجَبَّانة، بِالتَّشْدِيدِ: الصَّحْرَاءُ، وَتُسَمَّى بِهِمَا الْمَقَابِرُ لأَنها تَكُونُ فِي الصَّحْرَاءِ تَسْمِيَةً لِلشَّيْءِ بِمَوْضِعِهِ.

“Al-Jabbān dan Al-Jabbānah ” dengan tasydid/sabdu bermaksud padang pasir. Perkuburan juga dinamakan dengan jabbanah kerana ia biasanya terletak di padang pasir. Ini merupakan satu bentuk penamaan sesuatu perkara berdasarkan tempatnya.”

Berdasarkan maksud ini, dapat difahami maksud asal perkataan Jabbanah/Jabban adalah padang pasir, dan bukannya perkuburan.

Mari kita lihat pula, dalam bab apa riwayat ini diletakkan.

Imam al-Baihaqi meletakkan riwayat Ali dalam Bab:

بَابُ الْجَهْرِ بِالْقِرَاءَةِ فِي الْعِيدَيْنِ وَذَلِكَ بَيِّنٌ فِي حِكَايَةِ مَنْ حَكَى عَنْهُ قِرَاءَةَ السُّورَتَيْنِ

Bab: Menguatkan Suara Dalam Bacaan Dalam Solat Dua Hari Raya. Perkara ini jelas dalam riwayat mereka yang menceritakan tentang bacaan dua surah oleh Rasulullah ﷺ.

Imam Ibnu Abi Shaibah meletakkan riwayat ‘Atho’ bin al-Saib dalam bab:

السَّاعَةُ الَّتِي يَتَوَجَّهُ فِيهَا إِلَى الْعِيدِ أَيَّةُ سَاعَةٍ؟

Waktu Bilakah Seseorang Menuju ke (Tempat Solat) Hari Raya?

Jika kita lihat ia diletakkan dalam bab solat hari raya, dan bukannya dalam bab menziarahi kubur di pagi raya.

Ini selaras dengan hadis Nabi SAW mendirikan solat raya di musolla, dan bukannya di masjid.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ ، قَالَ : ” كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى ، فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلَاةُ

‘Abu Sa’id al-Khudri radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam akan keluar ke musolla pada hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha. Perkara pertama yang beliau lakukan ialah solat [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Eidain, hadis no: 956]

Mari kita lihat pula, istilah jabbanah pada hari raya digunakan untuk maksud apa dalam kitab-kitab fiqh mazhab Syafie.

Imam Al-Juwayni (w. 478H) menyebutkan dalam Nihāyat al-Maṭlab fī Dirāyat al-Madhhab

والذي رأيته للأئمة أن صلاة العيد كصلاة الجمعة في القديم في الشرائط، إلا أن الجمعة لا تقام في الجبّانة البارزة من خِطة البلدة، وصلاة العيد تقام بارزة. وعمل الأئمة الماضين أصدق شاهد في ذلك. ولا يمتنع مع المصير إلى التسوية ضرب من الفرق، كما نبهنا عليه من وقت الخطبتين. وكان رسول الله ﷺ يقيم صلاة العيد بالمدينة في الجبَّانة.

Apa yang pernah aku lihat daripada para imam ialah solat hari raya dalam mazhab lama (qaul qadim) sama dengan solat Jumaat dalam syarat-syaratnya. Akan tetapi solat Jumaat tidak didirikan di al-Jabbānah, iaitu kawasan lapang di luar kawasan bandar, sedangkan solat hari raya didirikan di tempat terbuka. Amalan para imam terdahulu adalah bukti paling jelas dalam hal ini. Tidaklah ada sebarang masalah untuk adanya persamaan dalam aspek tertentu, tetapi ada perbezaan tertentu yang lain, sebagaimana yang telah kami nyatakan tentang waktu khutbah. Rasulullah ﷺ dahulu menunaikan solat hari raya di Madinah di al-Jabbānah.

Beliau menyebutkan dalam bab yang lain pula:

وأما صلاة العيد فسيأتي أن الأوْلى البروز فيها إلى الجبَّانة، والسبب فيه أن الإقامة أولًا ليست مشروطة في إقامتها.

Adapun solat hari raya, akan dijelaskan bahawa lebih utama untuk menunaikannya di al-Jabbānah. Ini kerana syarat menetap di satu tempat (bagi jemaahnya) bukanlah syarat untuk mendirikannya, begitu juga dengan kawasan kediaman, dan orang-orang berkuda pun turut serta menghadirinya.

Imam Al-Māwardi (w. 450H) menyebutkan dalam Al-Ḥāwī al-Kabīr:

فَإِذَا كَانَ الْجَدْبُ وَمُنِعَ النَّاسُ الْقَطْرَ فَيَنْبَغِي لِلْإِمَامِ أَنْ يَخْرُجَ لِلِاسْتِسْقَاءِ إِلَى الجبانة، وَحَيْثُ يُصَلِّي لِلْأَعْيَادِ، اتِّبَاعًا لِرَسُولِ اللَّهِ ﷺ َ – وَاقْتِدَاءً بِخُلَفَائِهِ ﵃، وَلِأَنَّ ذَلِكَ أَوْسَعُ وَأَوْفَقُ بِالنَّاسِ، لِكَثْرَةِ جَمْعِهِمْ

Apabila berlaku kemarau dan manusia terhalang daripada mendapat hujan, sepatutnya imam keluar untuk menunaikan solat Istisqa’ (memohon hujan) di al-Jabbānah, iaitu tempat yang digunakan untuk menunaikan solat hari raya. Ini dilakukan sebagai mengikuti sunnah Rasulullah ﷺ dan mencontohi para khalifah Baginda. Selain itu, tempat tersebut lebih luas dan lebih sesuai bagi orang ramai kerana mereka datang dalam jumlah yang ramai.

Imam Abu Hamid al-Ghazali (w. 505H) menyebutkan dalam Al-Wasīṭ fī al-Madhhab

ووقتها مَا بَين طُلُوع الشَّمْس إِلَى زَوَالهَا وشروطها كَشَرط سَائِر الصَّلَوَات وَقَالَ فِي الْقَدِيم شَرطهَا كَشَرط الْجُمُعَة إِلَّا أَن خطبتها تتأخر ويحوز أَدَاؤُهَا فِي الْجَبانَة البارزة من خطة الْبَلَد

 

Waktunya (solat hari raya) adalah dari selepas terbit matahari sehingga waktu Zuhur. Syaratnya sama seperti syarat solat-solat lain. Namun, dalam mazhab lama (qaul qadim), syarat solat hari raya adalah seperti syarat solat Jumaat, kecuali bahawa khutbahnya dilakukan selepas solat. Dibenarkan untuk menunaikannya di al-Jabbānah, iaitu kawasan lapang di luar bandar.

Kesimpulan daripada penggunaan istilah jabbanah dalam bab hari raya ini, didapati ia bermaksud musolla atau kawasan lapang yang digunakan untuk mendirikan solat raya. Oleh itu terjemahan yang menyatakan ia ada tanah perkuburan adalah tidak tepat. Wallahua’lam.

Salahkah ziarah kubur di hari raya?

Ziarah kubur ini sunnah, digalakkan pada waktu-waktu yang kita mampu untuk pergi ke kubur.

Untuk mudah faham. Sama seperti membaca al-Quran. Membaca al-Quran adalah sunat, tetapi tidaklah apabila kita membicarakan tentang perkara sunat di hari raya, lalu kita masukkan sekali membaca al-Quran. Setakat saya baca, tak ada pun orang sebut “Disunatkan baca al-Quran pada hari raya”, tetapi banyak kali saya jumpa orang sebut “Antara perkara sunat di hari raya ialah menziarahi kubur”.

‘Perkara sunat di hari raya’ adakah perkara sunat yang ‘khusus’ berkaitan hari raya seperti solat raya, makan sebelum pi solat raya, mandi hari raya, takbir raya, dan lain-lain.

Alhamdulillah zaman ini, ramai dah faham ziarah kubur tak termasuk sunnah-sunnah berkaitan hari raya. Yang pi ziarah kubur pun ramai dah faham hal ni. Terima kasih para pendakwah yang selama ini sangat tegas dan konsisten menerangkan isu sebegini sehingga akhirnya dengan izin Allah, apa yang keliru semakin jelas.

 

Shaikh Bin Baz menyebutkan tentang isu ziarah kubur pada hari raya:

ليس لهذا أصل الخروج للقبور بعد صلاة العيد إنما عادة لبعض الناس, فإذا زاروا القبور يوم العيد, أو يوم الجمعة, أو في أي يوم ما في يوم مخصوص, تخصيص يوم العيد, أو تخصيص الجمعة, أو تخصيص يوماً آخر ليس له أصل, ولكن السنة أن يزور القبور دائماً بين وقت وآخر على حسب التيسير, إذا كان وقته يسمح في يوم الجمعة, في يوم العيد في أوقات أخرى يفعله, أما أن يظنوا أن لهذا اليوم خصوصية فلا, لكن السنة أن يزوروا القبور عندما يتيسر ذلك, لقوله – صلى الله عليه وسلم -: (زوروا القبور فإنها تذكركم الآخرة),

Amalan menziarahi kubur selepas solat raya tiada asalnya. Ia merupakan kebiasaan sekelompok masyarakat. Apabila mereka menziarahi kubur pada hari raya, hari Jumaat, atau pada mana-mana hari yang khusus. Pengkhususan hari raya, hari Jumaat atau hari-hari lain untuk menziarahi kubur adalah sesuatu yang tiada asalnya. Akan tetapi yang sunnah ialah sering menziarahi kubur pada waktu yang dia berkesempatan menziarahinya. Jika waktu itu bersamaan dengan hari Jumaat, hari raya, atau waktu-waktu yang lain, maka dia boleh melakukannya. Adapun jika sesiapa beranggapan bahawa hari itu adalah hari yang khusus, maka tidak boleh. Yang sunnah ialah menziarahi kubur pada waktu yang dia berkesempatan menziarahi. Ini berdasarkan sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam: Ziarahlah kubur. Sesungguhnya ia akan mengingatkan kalian kepada hari akhirat.

Kata beliau lagi:

ولكن المؤمن يتحرى الأوقات التي يحصل له فيها فرصة؛ لأن الإنسان قد تشغله المشاغل, فإذا تيسر له فرصة في الجمعة, أو في يوم العيد أو في غير ذلك فعل ذلك زار القبور

Akan tetapi orang beriman adakalanya terpaksa mencari waktu yang kosong (untuk menziarahi kubur). Ini kerana mereka sibuk dengan urusan kehidupan. Jika hari yang mereka berkelapangan itu jatuh pada hari Jumaat, atau hari raya, atau hari-hari yang lain, maka bolehlah dia menziarahi kubur. [ http://www.binbaz.org.sa/mat/20371 ]

Antara majlis fatwa yang mengingatkan agar berjaga-jaga dalam isu ziarah kubur pada hari raya agar tidak termasuk dalam pengkhususannya pada hari raya ialah Majlis Fatwa Baitulmaqdis, boleh dibaca di sini http://www.fatawah.net/Questions/13952.aspx

 

Paling penting sekali adalah kita menjaga perilaku ketika menziarahi kubur.

*Adab-Adab Menziarahi Kubur*

1- Memahami objektif menziarahi kubur:
Daripada Buraidah radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا

Aku pernah melarang kalian daripada menziarahi kubur, sekarang ziarahilah ia.
[Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab Isti’zan an-Nabiyy sallallahu ‘alaihi wa sallam Rabbahu Fi Ziarah al-Qubur, hadis no: 977]

Dalam riwayat At-Tirmizi disebutkan:

فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الآخِرَةَ

Sesungguhnya ia (iaitu menziarahi kubur) akan mengingatkan diri kepada akhirat. [Jami’ at-Tirmizi, Kitab al-Janaiz, Bab Ma Jaa Fi ar-Rukhsah Fi Ziarah al-Qubur, hadis no: 1054, hasan sahih]

كَانَ عُثْمَانُ إِذَا وَقَفَ عَلَى قَبْرٍ بَكَى حَتَّى يَبُلَّ لِحْيَتَهُ ، فَقِيلَ لَهُ : تُذْكَرُ الْجَنَّةُ وَالنَّارُ فَلَا تَبْكِي وَتَبْكِي مِنْ هَذَا ، فَقَالَ : إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ” إِنَّ الْقَبْرَ أَوَّلُ مَنْزِلٍ مِنْ مَنَازِلِ الْآخِرَةِ ، فَإِنْ نَجَا مِنْهُ فَمَا بَعْدَهُ أَيْسَرُ مِنْهُ ، وَإِنْ لَمْ يَنْجُ مِنْهُ فَمَا بَعْدَهُ أَشَدُّ مِنْهُ

Apabila Uthman radiallahu ‘anhu berhenti di kubur, dia akan menangis hingga basah janggutnya. Dia disoal: Disebutkan tentang syurga dan neraka kepada engkau, tetapi engkau tidak menangis. Lalu engkau menangis untuk hal ini pula? Uthman menjawab: Sesungguhnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: Sesungguhnya kubur merupakan tempat persinggahan yang pertama daripada tempat-tempat di akhirat. Seandainya seseorang selamat daripadanya, maka apa yang berlaku selepas itu adalah lebih mudah untuknya. Sesiapa yang tidak terselamat daripadanya, maka apa yang akan berlaku selepas itu lebih teruk daripadanya.
[Sunan at-Tirmizi, Kitab az-Zuhd, hadis no: 2240, hasan gharib]

Dengan memahami objektif ini, maka tindak tanduk kita di kubur hendaklah selari dengan objektif ini. Tidak wajar kubur dijadikan tempat bersuka ria, berpesta, bergendang dan sebagainya.

2- Mendoakan si mati.

Daripada Buraidah radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam pernah mengajar sahabat-sahabat apabila mereka keluar untuk pergi ke tanah perkuburan untuk membaca:

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَلَاحِقُونَ أَسْأَلُ اللَّهَ لَنَا وَلَكُمْ الْعَافِيَةَ.

Kesejahteraan ke atas kalian wahai penduduk tempat ini daripada kalangan orang beriman dan muslim. Sesungguhnya kami, Insya-Allah, akan menyertai kalian. Aku memohon kepada Allah kesejahteraan untuk diri kami dan diri kalian.
[Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab Ma Yuqal ‘Inda Dukhul al-Qubur wa ad-Dua’ li Ahliha, hadis no: 975].

‘Aisyah radiallahu ‘anha pernah mengekori Nabi sallallahu ‘alaihi wa salam pada waktu malam sehingga tiba di perkuburan Baqi’, ‘Aisyah radiallahu ‘anha menceritakan:

ثُمَّ انْطَلَقْتُ عَلَى إِثْرِهِ حَتَّى جَاءَ الْبَقِيعَ فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ

Kemudian aku mengikut jejak baginda sehingga baginda tiba di Baqi’. Baginda berdiri dengan lama kemudian baginda menadah tangannya sebanyak tiga kali.

Apabila kembali ke rumah, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam berkata kepada ‘Aisyah:

فَإِنَّ جِبْرِيلَ أَتَانِي حِينَ رَأَيْتِ فَنَادَانِي فَأَخْفَاهُ مِنْكِ فَأَجَبْتُهُ فَأَخْفَيْتُهُ مِنْكِ وَلَمْ يَكُنْ يَدْخُلُ عَلَيْكِ وَقَدْ وَضَعْتِ ثِيَابَكِ وَظَنَنْتُ أَنْ قَدْ رَقَدْتِ فَكَرِهْتُ أَنْ أُوقِظَكِ وَخَشِيتُ أَنْ تَسْتَوْحِشِي فَقَالَ .

Sesungguhnya Jibril datang kepada aku ketika engkau melihat aku. Jibril memanggil aku dan aku merahsiakannya daripada engkau. Aku menyahut panggilannya akan tetapi aku merahsiakan hal itu daripada engkau. Jibril tidak masuk menemui engkau kerana ketika itu engkau dalam keadaan tidak berpakaian. Aku pula menyangka engkau telah tidur jadi aku tidak suka untuk mengejutkan engkau kerana aku risau engkau akan berasa takut. Jibril menyatakan kepada aku:

إِنَّ رَبَّكَ يَأْمُرُكَ أَنْ تَأْتِيَ أَهْلَ الْبَقِيعِ فَتَسْتَغْفِرَ لَهُمْ “

Sesungguhnya Tuhan mu menyuruh kamu untuk pergi kepada penghuni Baqi’ dan memohon keampunan untuk mereka.

‘Aisyah pun bertanya:

كَيْفَ أَقُولُ لَهُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ

Bagaimana caranya untuk aku mendoakan mereka ya Rasulullah? Baginda menjawab: Sebutlah:

السَّلاَمُ عَلَى أَهْلِ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَيَرْحَمُ اللَّهُ الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لَلاَحِقُونَ

Kesejahteraan kepada penghuni tempat ini daripada kalangan orang beriman dan Islam. Semoga Allah merahmati mereka yang telah mendahului kami dan mereka yang akan datang kemudian. Sesungguhnya kami, Insya-Allah, akan menyertai kalian.
[Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab Ma Yuqal ‘Inda Dukhul al-Qubur wa ad-Dua’ li Ahliha, hadis no: 974]

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم خَرَجَ إِلَى الْمَقْبُرَةِ فَقَالَ

Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam keluar ke tanah perkuburan lalu membaca:

‏”‏ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ دَارَ قَوْمٍ مُؤْمِنِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لاَحِقُونَ ‏”‏

Selamat sejahtera ke atas kalian, penghuni rumah orang-orang beriman. Insya-Allah, sesungguhnya kami akan menyusul kalian. [Sahih Muslim, Kitab at-Taharah, hadis no: 483]

Oleh kerana itu perbuatan kita di tanah perkuburan mestilah melambangkan kita sedang mengingati kematian dan berdoa untuk si mati. Kubur bukanlah tempat berhibur, bergurau senda, bermain gendang, menyanyi, dan lain-lain. Ini semua hanya menunjukkan kita tidak menepati objektif menziarahi kubur.

3 – Tidak duduk di atas kubur.
Abu Hurairah radiallahu ‘anhu meriwayatkan, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لأَنْ يَجْلِسَ أَحَدُكُمْ عَلَى جَمْرَةٍ فَتُحْرِقَ ثِيَابَهُ فَتَخْلُصَ إِلَى جِلْدِهِ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَجْلِسَ عَلَى قَبْرٍ

Duduknya seseorang di atas bara api yang akan membakar pakaiannya dan membakar kulitnya itu lebih baik daripada seseorang duduk di atas kubur.
[Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab an-Nahy ‘An al-Julus ‘Ala al-Qabri wa al-Solat ‘Alaihi, hadis no: 971]

4- Tidak solat ke arah kubur.

Daripada Abu Marsad al-Ghanawi radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لاَ تَجْلِسُوا عَلَى الْقُبُورِ وَلاَ تُصَلُّوا إِلَيْهَا

Janganlah kalian duduk di atas kubur dan janganlah kalian solat ke arahnya.
[Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Bab an-Nahy ‘An al-Julus ‘Ala al-Qabri wa al-Solat ‘Alaihi, hadis no: 972]

Satu-satunya solat yang dibenarkan di kubur ialah solat jenazah kerana kita tidak sempat solat sebelum jenazah ditanam.

5- Tidak memakai kasut.

Daripada Bashir radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam pernah melihat seseorang berjalan di kubur dengan memakai kasut, lalu baginda berkata:

يَا صَاحِبَ السِّبْتِيَّتَيْنِ وَيْحَكَ أَلْقِ سِبْتِيَّتَيْكَ ” فَنَظَرَ الرَّجُلُ فَلَمَّا عَرَفَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم خَلَعَهُمَا فَرَمَى بِهِمَا ..

Wahai orang yang memakai kasut. Celaka engkau, bukalah kasut engkau! Lelaki yang memakai kasut itu melihat (ke arah baginda). Apabila dia menyedari bahawa itu adalah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, dia terus menanggalkan kasutnya dan mencampakkan kedua-dua kasutnya.
[Sunan Abu Daud, Kitab al-Janaiz, Bab Al-Masyi Fi an-Na’li Baina Al-Qubur, hadis no: 3230, Shaikh Muqbil menyatakan ia sahih, rujuk Al-Sahih Al-Musnad].

Ulama berbeza pendapat tentang hukum memakai kasut di kubur. Di sisi mazhab Syafie ia tiada masalah. Manakala di sisi mazhab Ahmad ia adalah perbuatan yang makruh. Sebahagian ulama menyatakan sebab larangan ialah kerana kesombongan, penghormatan kepada si mati, kasut itu ada kotoran dan lain-lain.

Ulama mazhab Syafie menyatakan hukumnya harus berdasarkan hadis berikut:

عَنْ أَنَسٍ ـ رضى الله عنه ـ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ الْعَبْدُ إِذَا وُضِعَ فِي قَبْرِهِ، وَتُوُلِّيَ وَذَهَبَ أَصْحَابُهُ حَتَّى إِنَّهُ لَيَسْمَعُ قَرْعَ نِعَالِهِمْ،

Daripada Anas radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Apabila seorang hamba diletakkan di dalam kubur, maka sahabat-sahabatnya akan pulang sehingga si mati akan mendengar bunyi tapak kasut mereka… [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Janaiz, hadis no: 1338].

Imam al-Qurtubi berkata dalam al-Tadzkirah:

فينبغي لمن عزم على الزيارة أن يتأدب بآدابها ويحضر قلبه في إتيانها ولا يكون حظه منها الطواف على الأجداث فقط فإن هذه حالة تشاركه فيها بهيمة

Hendaklah sesiapa yang mahu menziarahi kubur untuk mengamalkan adab-adabnya, dan menghadirkan hatinya ketika tiba di kubur. Janganlah dia sekadar berjalan-jalan di kubur sahaja. Sesungguhnya keadaan sedemikian sama seperti keadaan haiwan.

 

Kesimpuan:

1- Tiada dalil menunjukkan ziarah kubur antara sunnah yang khas berkaitan hari raya.

2- Ziarah kubur disunnahkan secara umum pada bila-bila masa.

3- Faedah ziarah kubur ialah kita dapat mengingati kematian, dan memberi salam kepada si mati.

4- Hendaklah kita menjaga adab dan etika ketika menziarahi kubur.

5- Tulisan ini tidak mengajak pembaca untuk bersangka buruk kepada mereka yang menziarahi kubur pada pagi raya. Boleh jadi mereka mengambil peluang di hari cuti untuk menziarahi kubur. Ada sebahagian kubur pula terpencil, jadi kaum wanita misalnya, memilih waktu hari raya yang ramai orang agar dapat menziarahi kubur tanpa takut keselamatan mereka. Tulisan ini hanya untuk membetulkan kesilapan terjemahan kepada teks jabbanah, dan salah faham yang terhasil sehingga mengaitkan ziarah kubur dengan sunnah-sunnah di hari raya.