Suami Larang Menziarahi Ibubapa

Terdapat sebuah riwayat menunjukkan isteri tidak boleh menziarahi hatta ibubapa yang sakit atau meninggal dunia jika suami tidak mengizinkan.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَنَّ رَجُلًا خَرَجَ، وَأَمَرَ امْرَأَتَهُ أَنْ لَا تَخْرُجَ مِنْ بَيْتِهَا، وَكَانَ أَبُوهَا فِي أَسْفَلِ الدَّارِ، وَكَانَتْ فِي أَعْلَاهَا، فَمَرِضَ أَبُوهَا، فَأَرْسَلَتْ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَذَكَرَتْ لَهُ ذَلِكَ فَقَالَ: «أَطِيعِي زَوْجَكِ» فَمَاتَ أَبُوهَا، فَأَرْسَلَتْ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «أَطِيعِي زَوْجَكِ» ، فَأَرْسَلَ إِلَيْهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّ اللَّهَ غَفَرَ لِأَبِيهَا بِطاعَتِهَا لِزَوْجِهَا»

Daripada Anas bin Malik, daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bahawa seorang lelaki keluar dan dia menyuruh isterinya untuk tidak keluar dari rumahnya. Ibu si isteri ini berada di tingkat bawah rumah tersebut, manakala si isteri di tingkat atasnya. Ayah si isteri ini jatuh sakit. Wanita ini menghantar utusan kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam lalu memberitahu baginda tentang hal itu. Baginda bersabda: Taatilah suamimu. Lalu ayah wanita ini meninggal dunia. Dia sekali lagi menghantar utusan kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam lalu baginda bersabda: Taatilah suami mu. Baginda mengutus pesanan kepadanya: “Sesungguhnya Allah telah mengampuni ayahnya kerana ketaatannya kepada suaminya”.[1]

Al-Haitsami dalam Majma’ az-Zawaid, no: 7666 menyatakan bahawa pada sanadnya terdapat seorang perawi bernama ‘Ismah bin al-Mutawakkil. Dia seorang perawi yang dhaif. Hadis ini turut didhaifkan oleh Al-Iraqi dalam semakannya kepada Ihya’ Ulumuddin.

Sebahagian ulama mazhab Syafie dan Hanbali berpendapat bahawa suami mempunyai hak menghalang isteri daripada melawat ibubapanya yang meninggal dunia.

Manakala mazhab yang membenarkan menziarahi ibubapa yang meninggal dunia, sakit walau tidak diizinkan suami adalah mazhab Abu Hanifah dan Malik.

Dalam Al-Majmu’ disebutkan:

فقد قال الشافعي رضى الله عنه: وله منعها من شهادة جنازة أبيها وأمها وولدها.

Imam Al-Syafie berkata: Si suami mempunyai hak menghalang isterinya daripada menziarahi jenazah ayahnya, ibunya dan anaknya.

Begitu juga dalam kes ibubapa sakit, si suami mempunyai hak tidak mengizinkan isteri. Ulama mazhab Syafie berhujah dengan hadis Anas radiallahu ‘anhu di atas.

Akan tetapi, Al-Shaikh Najib al-Mut’iy dalam Al-Majmu’[2] membantah pendapat ini kerana hadis di atas adalah lemah. Selain daripada itu, ia telah menafikan banyak hak-hak ayahnya. Antara hak-hak tersebut ialah:

  • Hak seorang ibu bapa untuk dilayani dengan baik. Firman Allah:

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Sembahlah Allah, janganlah engkau menyekutukannya dengan sesuatu, dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa. [An-Nisa’ : 36].

  • Haknya sebagai seorang Muslim. Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menerangkan tentang 6 hak sesama Muslim:

إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ فَسَمِّتْهُ وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ ‏

Apabila engkau berjumpa dengannya, ucapkanlah salam kepadanya. Apabila dia menjemput engkau, penuhilah jemputannya. Apabila dia meminta nasihat daripada engkau, berikanlah nasihat kepadanya. Apabila dia bersin dan mengucapkan Alhamdulillah, doakanlah rahmat untuknya. Apabila dia sakit, ziarahilah dia. Apabila dia mati, ikutilah jenazahnya.[3]

  • Hak silaturahim. Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إِنَّ الرَّحِمَ سُجْنَةٌ مِنَ الرَّحْمَنِ، فَقَالَ اللَّهُ مَنْ وَصَلَكِ وَصَلْتُهُ، وَمَنْ قَطَعَكِ قَطَعْتُهُ

Perkataan ‘rahim’ berasal daripada perkataan Al-Rahman. Allah berkata: Sesiapa yang menyambungkan mu (iaitu hubungan silaturahim), Aku akan menyambung (hubungan) dengannya. Sesiapa yang memotong engkau (iaitu silaturahim), Aku akan memotongnya.[4]

  • Hak kemanusiaan. Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لاَ يَرْحَمُ اللَّهُ مَنْ لاَ يَرْحَمُ النَّاسَ ‏”‏‏.‏

Allah tidak penyayang kepada sesiapa yang tidak penyayang kepada manusia lain.[5]

  • Hak untuk meneruskan kehidupan. Jika membiarkan haiwan kelaparan sudah berdosa besar, apatah lagi membiarkan ayah sendiri yang sakit. Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ مِنْ جَرَّاءِ هِرَّةٍ لَهَا – أَوْ هِرٍّ – رَبَطَتْهَا فَلاَ هِيَ أَطْعَمَتْهَا وَلاَ هِيَ أَرْسَلَتْهَا تُرَمِّمُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ حَتَّى مَاتَتْ هَزْلاً ‏

Seorang wanita masuk ke neraka kerana kucing yang dikurungnya dan dia tidak memberinya makan, dan tidak pula dia melepaskan kucing itu agar dia dapat mencari makanan di tanah, sehingga akhirnya kucing itu mati.[6]

  • Hak sebagai jiran. Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

مَا زَالَ جِبْرِيلُ يُوصِينِي بِالْجَارِ حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُهُ

Jibril sentiasa menasihati ku berkaitan jiran sehingga aku menyangka dia akan menjadikan mereka waris.[7]

Arahan suami untuk tidak membenarkan menjaga ibubapa yang sakit dan meninggal dunia adalah satu arahan berbentuk maksiat. Tidak boleh mentaati arahan berbentuk maksiat sebegitu. Hatta dalam bab mentaati pemimpin sekalipun ketaatan itu diikat dengan syarat arahan itu bukan arahan yang melanggar syariat.

Daripada Ibnu ‘Umar radiallahu ‘anhu, nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ إِلاَّ أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ ‏”‏ ‏.‏

Wajib ke atas seorang Muslim untuk mendengar dan taat dalam perkara yang dia suka dan dia benci kecuali jika dia disuruh dengan maksiat. Jika dia disuruh melakukan maksiat, tidak boleh mendengar arahan itu dan mentaatinya.[8]

Ibnu Nujaim al-Hanafi berkata:

وَلَوْ كَانَ أَبُوهَا زَمِنًا وَلَيْسَ لَهُ مَنْ يَقُومُ عَلَيْهِ مُؤْمِنًا كَانَ أَوْ كَافِرًا فَإِنَّ عَلَيْهَا أَنْ تَعْصِيَ الزَّوْجَ فِي الْمَنْعِ

Seandainya ayah si isteri sakit dan tiada orang untuk menjaganya; tidak kira sama ada si ayah itu kafir atau mukmin. Sesungguhnya wajib ke atas si isteri untuk tidak mentaati suaminya yang menghalangnya.[9]

[1] Riwayat At-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Awsath, no: 7648.

[2] Al-Majmu’, jilid 18, m/s 69.

[3] Sahih Muslim, Kitab al-Salam, no: 2162.

[4] Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab, no: 5988.

[5] Sahih al-Bukhari, Kitab at-Tauhid, no: 7376.

[6] Sahih al-Bukhari, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, no: 2619.

[7] Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab, no: 6015.

[8] Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, no: 1839.

[9] Al-Bahr Al-Raiq, jilid 3, m/s 273.