Hadis ini palsu atau dhaif?

”إذا كان أوَّلُ ليلةٍ من شهرِ رمضانَ نظر اللهُ إلى خلقِه الصِّيامِ، وإذا نظر اللهُ إلى عبدٍ لم يعذِّبْه أبدًا، وللهِ..“
“Apabila tiba malam pertama pada bulan Ramadhan, Allah akan melihat para makhluk-Nya yang berpuasa, dan tidak akan diseksa selama-lamanya bagi sesiapa dari kalangan hamba-Nya yang dilihat oleh Allah”.”

Jawapan:

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Qawwam al-Sunnah Ismail al-Asbahani dalam kitabnya Al-Targhib wa Al-Tarhib (1766), beliau berkata:
أخبرنا: عاصم بن الحسن ببغداد، أنبأ أبو الفتح ابن أبي الفوارس، ثنا أبو بكر محمد بن منذر الكبير، ثنا حماد بن مدرك، ثنا عثمان بن عبد الله الشامي، ثنا مالك، عن أبي الزناد، عن الأعرج، عن أبي هريرة -رضي الله عنه- قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :
(dengan sanadnya) bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
((إذا كان أول ليلة من شهر رمضان نظر الله إلى خلقه وإذا نظر الله إلى عبدٍ لم يعذبه أبداً، ولله في كل يوم ألف ألف عتيق من النار فإذا كانت ليلة تسع وعشرين أعتق فيها مثل جميع ما أعتق في الشهر كله فإذا كان ليلة الفطر ارتجت الملائكة وتجلى الجبار بنوره مع أنه لا يصفه الواصفون فيقول للملائكة وهم في عيدهم من الغد: يا معشر الملائكة -يوحى إليهم- ما جزاء الأجير إذا أوفى عمله؟ تقول الملائكة: يوفى أجره فيقول الله تعالى: أشهدكم أني قد غفرت لهم)).
Pada malam pertama di bulan Ramadan, Allah SWT melihat kepada hamba-Nya, dan apabila Allah SWT melihat (reda) kepada hamba-Nya, maka Dia tidak akan mengazabnya selama-lamanya. Pada setiap hari dalam Ramadan, Allah SWT membebaskan 1,000,000 hamba-Nya daripada neraka. Apabila menjelang malam ke 29 Ramadan, Allah SWT membebaskan penghuni neraka yang mana jumlahnya sebanyak bilangan hamba yang Allah SWT bebaskan sepanjang satu bulan itu. Pada malam hari raya; menggigillah para malaikat, dan muncullah Allah al-Jabbar dengan cahayaNya yang tidak dapat nak digambarkan. Allah SWT berfirman kepada para malaikat yang mana para malaikat itu sedang bergembira dengan kedatangan hari raya pada esok hari: Wahai para malaikat! Apakah ganjaran untuk orang yang beramal setelah dia menyempurnakan amalnya itu? Maka para malaikat menjawab: Mereka diberikan ganjaran (pahala). Lalu, Allah SWT berfirman: Aku bersaksi bahawa sesungguhnya Aku telah mengampunkan dosa-dosa mereka.

Imam Ibnu Jauzi turut meriwayatkan hadis ini di dalam kitabnya Al-Mawdhu’at (1024), dalam bab keampunan Allah pada malam pertama Ramadhan (باب الغفران فِي أَوَّلِ لَيْلَة من رَمَضَانَ) dengan sanadnya daripada Hammad bin Mudrik seperti di atas.

Imam Ibnu Jauzi menyatakan:
هَذَا حديث موضوع عَلَى رَسُولِ اللَّهِ وَفِيهِ مجاهيل والمتهم بِهِ عُثْمَان بْن عَبْدِ اللَّهِ.
Hadis ini palsu. Pada sanadnya terdapat perawi-perawi tak dikenali, dan pada sanadnya Uthman bin Abdullah, seorang yang tertuduh sebagai pemalsu hadis.

قَالَ ابْنُ عَدِيٍّ : حدث بمناكير عَنِ الثقات وله أحاديث موضوعة.
Ibnu ‘Adiy berkata: Dia menyampaikan hadis-hadis munkar daripada perawi thiqah, dan dia mempunyai hadis-hadis palsu.

وَقَالَ ابْن حِبَّانَ : يضع على الثقات
Ibnu Hibban berkata: Dia membuat hadis palsu ke atas riwayat perawi thiqah.

Potongan pertama hadis ini iaitu “Pada malam pertama di bulan Ramadan, Allah SWT melihat kepada hamba-Nya, dan apabila Allah SWT melihat (reda) kepada hamba-Nya, maka Dia tidak akan mengazabnya selama-lamanya” diriwayatkan dengan sanad yang lain oleh Ibnu Syahin dalam Fadhail Shahr Ramadhan (19), beliau berkata:
حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ إِسْمَاعِيلَ الأَدَمِيُّ ، حَدَّثَنَا الْفَضْلُ بْنُ سَهْلٍ الأَعْرَجُ ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَهَّابِ بْنُ عَطَاءٍ ، حَدَّثَنَا الْهَيْثَمُ بْنُ الْحَوَارِيِّ ، عَنْ زَيْدٍ الْعَمِّيِّ ، عَنْ أَبِي نَضْرَةَ ، أَنَّهُ قَالَ : سَمِعْتُ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ ، يَقُولُ : قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم:
(dengan sanadnya), Jabir r.a berkata: Nabi s.a.w bersabda:
” أُعْطِيَتْ أُمَّتِي فِي رَمَضَانَ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ نَبِيٌّ قَبْلِي : أَمَّا وَاحِدَةٌ : فَإِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ نَظَرَ اللَّهُ عز وجل إِلَيْهِمْ، وَمَنْ نَظَرَ اللَّهُ عز وجل إِلَيْهِ لَمْ يُعَذِّبْهُ أَبَدًا، وَأَمَّا الثَّانِيَةُ : فَإِنَّ خُلُوفَ أَفْوَاهِهِمْ حِينَ يُمْسُونَ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ، وَأَمَّا الثَّالِثَةُ : فَإِنَّ الْمَلائِكَةَ تَسْتَغْفِرُ لَهُمْ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ، وَالرَّابِعَةُ : فَإِنَّ اللَّهَ عز وجل يَأْمُرُ جَنَّتَهُ فَيَقُولُ : ” تَزَيَّنِي وَاسْتَعِدِّي لِعِبَادِي “، وَالْخَامِسَةُ : فَإِذَا كَانَ آخِرُ لَيْلَةٍ غُفِرَ لَهُمْ “
“Telah diberikan kepada umatku di bulan Ramadhan, lima perkara yang belum pernah diberikan kepada nabi sebelumku iaitu: Pertama, pada awal malam bulan Ramadhan, Allah subhanahu wata’ala melihat umatku. Siapa yang Allah melihat kepadanya, maka dia tidak akan diseksa untuk selama-lamanya. Kedua, bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi. Ketiga, para Malaikat memohon keampunan untuk umatku pada siang dan malam. Keempat, Allah subhanahu wata’ala memerintahkan syurga-Nya dengan berkata: ‘Berhiaslah kamu, dan bersiap sedialah untuk hamba-hamba-Ku. Kelima, pada akhir malam bulan Ramadhan Allah mengampuni dosa-dosa mereka semuanya.”

Hadis ini turut diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3326), dan Fadhail al-Awqat (36) dengan sanad yang sama melalui Abdul Wahhab bin ‘Atho’.

Pada sanad ini terdapat seorang perawi yang dhaif iaitu Zaid bin al-Hawariy al-‘Ammiy زيد بن الحواري العمي. [Taqrib al-Tahzib, 1:223, Tahzib al-Tahzib, 3:351].

Selain daripada itu, terdapat perawi yang majhul iaitu al-Haitsam bin al-Hawariy الهيثم بن الحواري.

Kesimpulan:
Potongan hadis “Pada awal malam bulan Ramadhan, Allah subhanahu wata’ala melihat umatku. Siapa yang Allah melihat kepadanya, maka dia tidak akan diseksa untuk selama-lamanya” adalah dhaif, dan bukannya palsu/mawdhu’.

Al-Shaikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani dalam Al-Silsilah Al-Dhaifah, membezakan penilaian kepada kedua-dua riwayat. Untuk riwayat yang pertama, beliau menilainya sebagai palsu sebagaimana yang diputuskan oleh Imam Ibnu Jauzi (299), untuk riwayat yang kedua pula beliau menilainya sebagai dhaif (5081).

#MMMR