Terdapat 3 kategori dosa yang manusia lakukan. Setiap dosa ini berbeza di sisi Allah.

 

عَنْ أَنَسٍ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : الظُّلْمُ ثَلاَثَةٌ :
Daripada Anas bin Malik radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Kezaliman ada tiga.

فَظُلْمٌ لاَ يَتْرُكُهُ اللَّهُ ، وَظُلْمٌ يُغْفَرُ ، وَظُلْمٌ لاَ يُغْفَرُ ،
Kezaliman yang tidak Allah biarkan, kezaliman yang diampuni, dan kezaliman yang tidak diampuni.

فَأَمَّا الظُّلْمُ الَّذِي لاَ يُغْفَرُ فَالشِّرْكُ لاَ يَغْفِرُهُ اللَّهُ ،
Kezaliman yang tidak Allah ampuni adalah syirik. Allah tidak akan mengampuninya.

وَأَمَّا الظُّلْمُ الَّذِي يُغْفَرُ فَظُلْمُ الْعَبْدِ فِيمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ رَبِّهِ ،
Kezaliman yang diampuni pula ialah kezaliman yang dilakukan seorang hamba antara dirinya dengan Tuhannya.

وَأَمَّا الَّذِي لاَ يُتْرَكُ فَقَصُّ اللهِ بَعْضُهُمْ مِنْ بَعْضٍ.
Kezaliman yang tidak akan akan biarkan sehingga Allah menegakkan qisas antara sesama mereka. [Musnad at-Thayalisi, Yazid bin Aban ‘An Anas, no: 2223].

Daripada ‘Aisyah radiallahu ‘anha, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

الدَّوَاوِينُ عِنْدَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ ثَلَاثَةٌ: دِيوَانٌ لَا يَعْبَأُ اللهُ بِهِ شَيْئًا، وَدِيوَانٌ لَا يَتْرُكُ اللهُ مِنْهُ شَيْئًا، وَدِيوَانٌ لَا يَغْفِرُهُ اللهُ،
Allah mempunyai 3 buku rekod amalan. Iaitu buku rekod yang Allah tidak mengendahkannya sedikit pun, buku rekod yang Allah tidak akan biarkan sedikitpun daripadanya, dan buku rekod yang Allah tidak akan ampuni.

فَأَمَّا الدِّيوَانُ الَّذِي لَا يَغْفِرُهُ اللهُ: فَالشِّرْكُ بِاللهِ، قَالَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ {إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللهِ، فَقَدْ حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ} [المائدة: 72]
Buku rekod amalan yang tidak akan Allah ampuni ialah: Syirik kepada Allah. Allah berfirman: Sesiapa yang mensyirikkan Allah, maka Allah telah mengharamkan syurga kepadanya. [Al-Maidah: 72].

وَأَمَّا الدِّيوَانُ الَّذِي لَا يَعْبَأُ اللهُ بِهِ شَيْئًا: فَظُلْمُ الْعَبْدِ نَفْسَهُ فِيمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ رَبِّهِ مِنْ صَوْمِ يَوْمٍ تَرَكَهُ، أَوْ صَلَاةٍ تَرَكَهَا، فَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ يَغْفِرُ ذَلِكَ وَيَتَجَاوَزُ إِنْ شَاءَ،
Adapun buku rekod amalan yang Allah tidak mengendahkannya sedikit pun: Kezaliman seorang hamba kepada dirinya sendiri yang berlaku antara dirinya dengan Allah, daripada puasa yang dia tinggalkan, solat yang dia tinggalkan. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa itu, dan membiarkannya jika Allah Mahu.

وَأَمَّا الدِّيوَانُ الَّذِي لَا يَتْرُكُ اللهُ مِنْهُ شَيْئًا: فَظُلْمُ الْعِبَادِ بَعْضِهِمْ بَعْضًا، الْقِصَاصُ لَا مَحَالَةَ “
Adapun buku rekod yang Allah tidak akan biarkan sedikit pun: Kezaliman hamba-hamba antara satu sama lain. Akan berlaku qisas, dan tiada cara yang lain.
[Musnad Ahmad, Musnad ‘Aisyah, no: 26031].

Kedua-dua riwayat di atas adalah dhaif sanadnya. Al-Shaikh Al-Albani menyatakan ia hasan lighairihi kerana ia saling menyokong antara satu sama lain.

Apa yang disebutkan di atas untuk dosa syirik dan dosa antara kita dengan Allah ialah jika kita tidak bertaubat daripada dosa itu. Jika kita bertaubat dengan taubat yang benar, ia akan diampunkan.

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ (53)
Katakanlah wahai hambaku yang telah melampau batas ke atas diri mereka sendiri. Janganlah kalian berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni kesemua dosa. [Az-Zumar : 53].

Imam Ibnu Kathir menerangkan tentang ayat di atas:

هذه الآية الكريمة دعوة لجميع العصاة من الكفرة وغيرهم إلى التوبة والإنابة، وإخبار بأن الله يغفر الذنوب جميعا لمن تاب منها ورجع عنها، وإن كانت مهما كانت وإن كثرت وكانت مثل زبد البحر. ولا يصح حمل هذه الآية على غير توبة ؛ لأن الشرك لا يغفر لمن لم يتب منه.
Ayat yang mulia ini merujuk kepada semua pelaku maksiat yang kufur dan selain mereka untuk bertaubat. Pengampunan Allah kepada semua dosa ini adalah untuk sesiapa yang bertaubat daripada dosa itu, dan berpaling daripada dosa itu, tidak kira apakah dosa tersebut, walau dosa itu banyak, walau ia seperti buih-buih di latut. Tidaklah benar memahami ayat ini untuk pelaku dosa yang tidak bertaubat. Ini kerana dosa syirik tidaklah Allah ampuni kecuali kepada yang bertaubat sahaja.

Adapun untuk mereka yang tidak bertaubat, ayatnya ialah seperti berikut:

إِنَّ اللّهَ لاَ يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَن يَشَاء
Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa menyekutukannya, dan mengampuni dosa-dosa selain itu untuk sesiapa yang Dia Kehendaki. [An-Nisa’ : 48]

Ini bukanlah bermaksud kita perlu mengambil ringan tentang dosa antara kita dengan Allah kerana kita sendiri tidak tahu adakah kita termasuk orang yang Allah akan lepaskan daripada hukuman jika Dia Mahu, atau kita akan dihukum dengan keadilanNya.

Semoga kita menjauhkan diri daripada semua dosa, dan bertaubat daripada semua dosa.