Kenapa Solat Subuh Pagi Jumaat Tiga Rakaat?
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” كَانَ يَقْرَأُ فِي الصُّبْحِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ بِ الم تَنْزِيلُ فِي الرَّكْعَةِ الْأُولَى ، وَفِي الثَّانِيَةِ هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا “
Daripada Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam sering membaca dalam solat Subuh di hari Jumaat “Alif Lam Mim Tanzil …” (surah As-Sajdah) pada rakaat pertama dan surah al-Insan pada rakaat kedua.”
[Sahih Muslim, Kitab al-Jumu’ah, no: 880].
Berdasarkan hadis ini, maka di sisi mazhab Al-Syafie disunatkan untuk membaca surah Al-Sajdah dan Al-Insan pada solat Subuh hari Jumaat.
Oleh kerana pada surah Al-Sajdah ada ayat yang disunatkan sujud tilawah, maka selepas imam membaca ayat yang ke 15, maka imam dan makmum akan sujud tilawah.
*Sujud Sajdah/Tilawah ini disunatkan sama ada di dalam dan di luar solat.*
عَنِ ابْنِ عُمَرَ، قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ السَّجْدَةَ وَنَحْنُ عِنْدَهُ فَيَسْجُدُ وَنَسْجُدُ مَعَهُ فَنَزْدَحِمُ حَتَّى مَا يَجِدُ أَحَدُنَا لِجَبْهَتِهِ مَوْضِعًا يَسْجُدُ عَلَيْهِ.
Daripada Ibnu ‘Umar radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam membaca ayat al-Quran yang mengandungi ayat al-Sajdah, ketika itu kami ada bersama baginda. Lalu baginda sujud, kami pun sujud bersama baginda, kami bersesak-sesak sehingga sebahagian daripada kami tidak mendapati tempat untuk meletakkan dahi ketika sujud. [Sahih al-Bukhari, Kitab Sujud al-Quran, no: 1076.]
Di bawah kami ringkaskan serba sedikit hukum-hakam berkaitan sujud tilawah.
*Ringkasan berkaitan hukum-hakam sujud tilawah*
– Sujud tilawah di sunatkan kepada yang membaca al-Quran dan yang mendengar bacaan al-Quran, sama sahaja sama ada yang membaca itu dalam solat atau di luar solat.
– Di sisi mazhab Syafie dan majoriti ulama: Diharamkan melakukan sujud tilawah bagi wanita haidh. Ini kerana ianya seperti solat dan antara syarat sahnya adalah suci. Ia perlu kepada syarat-syarat sah solat seperti suci daripada hadas dan najis, menghadap qiblat dan menutup aurat.
– Tetap disunatkan untuk sujud bagi yang mendengar bacaan al-Quran walaupun yang membaca tidak sujud.
– Jika seseorang solat secara bersendirian dan dia membaca ayat yang disunatkan sujud, maka sunat untuknya sujud. Akan tetapi jika dia terlupa sujud, maka tidak perlu dia sujud apabila dia telah ruku’. Akan tetapi jika dia belum ruku’, maka boleh dia sujud.
– Apabila imam melakukan sujud tilawah, maka wajib makmum turut melakukan sujud tilawah. Jika dia tidak sujud mengikut imam, maka batal solatnya kerana telah menyelisihi imam.
– Apabila imam tidak melakukan sujud tilawah walau pada ayat yang disunatkan sujud, maka tidak boleh makmum sujud. Jika makmum sujud, maka batal solatnya.
– Jika makmum tidak mengikut imam sujud tilawah kerana tidak tahu imam sujud, dan hanya menyedari selepas imam bangun daripada sujud, maka solat makmum tidak terbatal kerana dia menyalahi imam disebabkan keuzuran.
[Ringkasan daripada Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab]
Maka ini sudah menjawab persoalan solat Subu pagi Jumaat 3 rakaat. Sebenarnya bukan 3 rakaat, sebaliknya 2 rakaat sahaja.