Sebahagian orang menyatakan kita perlu berilmu dalam melakukan amalan dan melakukan dakwah. Ada orang menyatakan tanpa ilmu, amal dan dakwah kita boleh jadi membawa banyak kerosakan. Benarkah begitu?

Imam Al-Bukhari dalam Sahihnya, dalam Kitab al-Ilm meletakkan sebuah bab yang bertajuk:

باب العلم قبل القول والعمل
Bab Ilmu Sebelum Perkataan dan Amalan.

Kemudian Imam Al-Bukhari membawakan dalil-dalil yang menunjukkan hal ini. Antaranya ialah firman Allah:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ
KETAHUILAH! Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah. [Surah Muhammad : 19].

Kata Imam Al-Bukhari selepas membawakan ayat ini:

فبدأ بالعلم
Lalu Allah memulakan dengan (suruhan) berilmu.

Kemudian beliau membawakan firman Allah yang berikut:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ
Sesungguhnya yang takut kepada Allah daripada kalangan hamba-hambaNya adalah ulama’. [Surah Fathir : 28].

Imam Al-Bukhari memetik beberapa ayat yang lain, dan yang terakhir beliau nukilkan ialah firman Allah:

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
Katakanlah: Adakah sama mereka yang berilmu dengan mereka yang tidak berilmu? [Surah az-Zumar : 9].

Muawiyah radiallahu ‘anhu dalam khutbahnya pernah berkata: Aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ،
Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan untuk dirinya, Allah akan memberikan kefahaman agama kepadanya. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ilmi, Bab Man Yuridi Allah Bihi Khairan Yufaqqihhu Fi ad-Din, hadis no: 71].

Kembali kita kepada tajuk bab yang Imam Al-Bukhari nukilkan:

ILMU SEBELUM PERKATAAN DAN AMALAN.

Ini menunjukkan isyarat bahawa untuk kita berkata-kata tentang agama, hendaklah dengan ilmu, begitu juga untuk beribadah kepada Allah, hendaklah dengan ilmu.

Hukum-hakam agama bukanlah sesuatu yang diteka-teka. Apabila kita tidak tahu, hendaklah kita menjawab tidak tahu, dan bukan mencuba nasib untuk menjawabnya kerana malu kepada jemaah yang mendengar atau yang bertanya.

KATAKANLAH TIDAK TAHU.

Imam Muslim dalam Mukadimah Sahihnya membawakan sebuah riwayat yang sangat mengajar kita satu pengajaran:

Abu ‘Aqil berkata:

كُنْتُ جَالِسًا عِنْدَ الْقَاسِمِ بْنِ عُبَيْدِ اللَّهِ وَيَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ فَقَالَ يَحْيَى لِلْقَاسِمِ يَا أَبَا مُحَمَّدٍ إِنَّهُ قَبِيحٌ عَلَى مِثْلِكَ عَظِيمٌ أَنْ تُسْأَلَ عَنْ شَىْءٍ مِنْ أَمْرِ هَذَا الدِّينِ فَلاَ يُوجَدَ عِنْدَكَ مِنْهُ عِلْمٌ وَلاَ فَرَجٌ – أَوْ عِلْمٌ وَلاَ مَخْرَجٌ –
Aku duduk bersama Al-Qasim bin ‘Ubaidillah dan Yahya bin Sa’id. Lalu Yahya berkata kepada Al-Qasim: Wahai Abu Muhammad! Sesungguhnya sangat teruk untuk seorang yang hebat seperti engkau apabila ditanya tentang sesuatu daripada urusan agama, tetapi engkau tidak mempunyai ilmu tentangnya dan tiada jawapan tentangnya.

فَقَالَ لَهُ الْقَاسِمُ وَعَمَّ ذَاكَ قَالَ لأَنَّكَ ابْنُ إِمَامَىْ هُدًى ابْنُ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ ‏.‏
Lalu Al-Qasim bertanya kepada Yahya: Kenapa pula begitu? Yahya menjawab: Kerana engkau adalah keturuan dua imam iaitu Abu Bakar dan ‘Umar.

قَالَ يَقُولُ لَهُ الْقَاسِمُ أَقْبَحُ مِنْ ذَاكَ عِنْدَ مَنْ عَقَلَ عَنِ اللَّهِ أَنْ أَقُولَ بِغَيْرِ عِلْمٍ أَوْ آخُذَ عَنْ غَيْرِ ثِقَةٍ ‏.‏ قَالَ فَسَكَتَ فَمَا أَجَابَهُ ‏.‏
Lalu Al-Qasim menjawab kepada beliau: Yang lebih teruk daripada itu di sisi mereka yang berilmu tentang Allah ialah untuk aku berkata tanpa ilmu atau mengambilnya daripada orang yang tidak dipercayai. Lalu Yahya mendiamkan diri dan tidak menjawab kata-kata Al-Qasim. [Mukadimah Sahih Muslim].

Abdullah bin ‘Umar radiallahu ‘anhuma pernah berkata:

إِذَا سُئِلَ أَحَدُكُمْ عَمَّا يَعْلَمُ فَلْيَقُلْ بِهِ قَالَ مَنْصُورٌ فَلْيُخْبِرْ بِهِ وَإِذَا سُئِلَ عَمَّا لاَ يَعْلَمُ فَلْيَقُلِ اللَّهُ أَعْلَمُ
Apabila seseorang ditanya tentang sesuatu yang dia tahu, hendaklah dia menjawabnya. Apabila dia ditanya tentang sesuatu yang tidak tahu, hendaklah dia berkata ‘Allah lebih mengetahui’.
[Jami’ at-Tirmizi, Kitab Tafsir al-Quran, hadis no: 3563].

Diriwayatkan bahawa Umar bin Abdul Aziz pernah berkata:

من عمل في غير علم كان ما يفسد أكثر مما يصلح

Sesiapa yang beramal tanpa ilmu, maka kerosakan yang akan dia timbulkan lebih banyak daripada kebaikan. [Riwayat Ibn Abdil Barr dalam Jami’ Bayan al-Ilmi wa Fadhlihi sebagaimana dinukilkan dalam Al-Atsar Al-Waridah ‘An ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz Fi al-Aqidah, 2/824, no: 326. Muhaqqiq berkata perawinya thiqah akan tetapi sanadnya terputus antara Sufyan bin Uyainah dan Umar bin Abdul Aziz].

Wallahua’lam.