نْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ
Daripada Abu Sa’id al-Khudri, daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:
 
‏”‏ إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ
Sesungguhnya dunia ini manis lagi hijau.
 
وَإِنَّ اللَّهَ مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا
Sesungguhnya Allah menyerahkan urusan dunia ini kepada kalian.
 
فَيَنْظُرُ كَيْفَ تَعْمَلُونَ
Lalu Allah akan melihat bagaimana kalian melakukannya.
 
فَاتَّقُوا الدُّنْيَا وَاتَّقُوا النِّسَاءَ
Berhati-hatilah dengan dunia, dan berhati-hatilah dengan wanita.
 
فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاءِ
Sesungguhnya ujian yang pertama berlaku kepada Bani Israel adalah berkaitan wanita. [Sahih Muslim, Kitab al-Riqaq, hadis no: 2742]
Ada seorang Muslimin bertanya kepada saya: Kenapa bila sebut ujian, kebanyakan tentang lelaki yang akan diuji dengan ujian wanita. Adakah ujian sebegini tidak ada pada perempuan; iaitu mereka diuji dengan ujian berbentuk seorang lelaki. Kenapa asyik-asyik lelaki sahaja yang kena?
Jawapan:

Menarik soalan ini. Jika kita lihat dalam al-Quran, ada juga dikisahkan tentang wanita yang diuji dengan fitnah/ujian lelaki. Seperti kisah isteri pembesar yang tergoda kepada Nabi Yusuf. Nabi Yusuf tidak buat apa-apa pun, tetapi isteri pembesar itu tertarik dan cuba mengajak melakukan maksiat.Dalam al-Quran juga sebut arahan menundukkan pandangan kepada kaum lelaki dahulu, kemudian kaum wanita diseru juga menundukkan pandangan.

Tetapi, kenapa kebanyakan hal sebegini ditekankan kepada kaum lelaki. Wallahua’lam, boleh jadi hikmahnya kerana:

1- Pada asalnya yang akan banyak keluar dari rumah ialah kaum lelaki. Mereka wajib cari nafkah, mereka perlu pergi solat jemaah, mereka kena pergi pasar, pasaraya dan sebagainya untuk kewajipan kepada keluarga.
2- Pada asalnya pula, kaum wanita lebih banyak duduk rumah kerana mereka tidak diwajibkan cari nafkah, tidak diwajibkan ke masjid.
3- Kebanyakan godaan datang daripada luar rumah. Jadi, mungkin ini hikmahnya bahawa kebanyakan arahan berjaga-jaga kepada ujian berbentuk manusia yang jantinanya berbeza banyak diterapkan kepada lelaki.
4- Lelaki juga lazimnya bersikap dominan, jadi bila mereka gagal dalam ujian, pelbagai keburukan akan berlaku walau tanpa kerelaan wanita. Jadi, hal ini sangat ditekankan kepada lelaki.
6- Lelaki lebih mudah terjebak ke dalam zina kerana kesan buruknya tidak zahir kepada mereka, kerana yang akan mengandung ialah wanita. Jadi, tidak hairanlah arahan berjaga-jaga banyak ditujukan kepada lelaki. Sedangkan wanita, walau mungkin tanpa taqwa, dia mungkin terfikir apa akan jadi jika dia mengandung, sedangkan lelaki akan lepas tangan sahaja.
7- Lelaki adalah ketua keluarga, jadi mereka mesti lebih terjaga agar dapat menjadi contoh kepada ahli keluarganya.
8- Ini tidak bermaksud wanita tidak teruji langsung dengan fitnah/ujian lelaki. Lihatlah berapa ramai wanita yang bila datang artis lelaki hatta yang dikatakan konsert ‘Islamik’ itu, mereka terjerit-jerit, berebut mengambil gambar. Bukankah mereka sedang melanggar arahan Allah supaya menundukkan pandangan.
9- Kesimpulannya, fitnah lawan jantina menimpa lelaki dan perempuan, cuma lelaki lebih ditekankan agar berjaga-jaga mungkin kerana hikmah-hikmah yang disebutkan di atas.

Allah lebih mengetahui hikmah-hikmahnya.

Wallahua’lam.

P/s: Dengan ini kita faham bila disebut fitnah wanita, bukan bermaksud wanita itu jahat. Fitnah itu maksudnya ujian. Adakalanya wanita tidak buat apa-apa, tetapi lelaki teruji juga, sebab itu Allah suruh tunduk pandangan, jangan berdua-duaan etc.