Teguran Kepada Pondan Dan Penyokongnya
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ ـ رضى الله عنهما ـ قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ.
Daripada Ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhuma, beliau berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melaknat kaum lelaki yang menyerupai wanita, dan kaum wanita yang menyerupai lelaki. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Libas, Bab Al-Mutasyabbihun Bi An-Nisa’ wa Al-Mutasyabbihat Bi Al-Rijal, hadis no: 5885]
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ .
Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki. [Sunan Abi Daud, Kitab al-Libas, Bab Libas an-Nisa’, hadis no: 4098].
1- Hadis di atas secara jelas menunjukkan bahawa perlakuan berpakaian dan bertingkah laku dengan gaya jantina lawan sesuatu yang terlarang.
2- Ada orang berkata bahawa golongan-golongan pondan ini makhluk yang terindah. Kenyataan ini jelas bercanggah dengan apa yang Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam katakan di mana baginda melaknat golongan ini.
3- Pengharaman dalam berpakaian dengan pakaian jantina lawan adalah sesuatu yang jelas berdasarkan hadis di atas.
4- Termasuk jua dalam kategori ini ialah yang dengan sengaja bercakap, gaya berjalan atau melakukan apa-apa gaya atau aksi yang merupakan perwatakan lawan jantina.
5- Yang terkecuali ialah apa yang tidak disengajakan yang mana ia berlaku secara semulajadi. Akan tetapi hendaklah dia berusaha untuk mengubah gaya percakapan atau berjalan atau apa-apa sahaja aksinya yang menyerupai lawan jantina. Jika dia tidak berusaha mengubahnya, maka dia termasuk dalam celaan di atas. Jika dia sudah berusaha semampunya, maka dia tidak termasuk dalam celaan di atas.
6- Apa yang disebutkan dalam no 5 hanyalah berkaitan perwatakan seperti gaya bercakap dan sebagainya yang adakalanya di luar kemampuan seseorang. Pakaian tidak termasuk kerana pakaian memang manusia mampu mengubahnya dan hendaklah memilih untuk memakai pakaian yang sesuai dengan jantinanya
7- Apa yang disebutkan di atas adalah untuk pondan iaitu lelaki yang menyerupai wanita pada pakaian atau perwatakannya. Termasuk jua tomboi atau perempuan yang memakai pakaian lelaki atau bertingkah laku dengan perwatakan lelaki.
8- Mereka yang diuji dengan kehendak untuk menyerupai lawan jantina hendaklah berusaha menahan diri mereka. Sekurang-kurangnya, berhenti daripada menzahirkan perbuatan itu di khalayak umum apatah lagi mempromosinya dengan tampil di media-media sosial. Ingatlah hadis nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam tentang manusia yang melakukan dosa secara terang-terangan.
Abu Hurairah radiallahu ‘anhu menyatakan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ، فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ
Setiap orang daripada umat ku dimaafkan kecuali golongan yang melakukan maksiat secara terbuka. Sesungguhnya antara sifat tidak malu ialah apabila seseorang melakukan amal (maksiat) di waktu malam, kemudian dia bangun pada waktu pagi dalam keadaan Allah telah menutupi (aib)nya, lalu dia berkata: Ya fulan, malam tadi aku telah melakukan itu dan ini. Dia telah tidur dalam keadaan Allah menutupi aibnya, dan pada waktu pagi dia membuka aib yang Allah telah tutup itu. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab, hadis no: 6069]
Apakah yang dimaksudkan dengan hadis ini? Adakah mereka tidak akan diampunkan jika bertaubat? Para ulama menghuraikan hadis ini bermaksud:
– Manusia yang dengan sengaja menzahirkan maksiatnya, Allah tidak akan menutup keaibannya.
– Manusia yang dengan sengaja menzahirkan maksiatnya, maka tidak dilarang daripada orang ramai mengumpat tentang dirinya.
– Manusia yang dengan sengaja menzahirkan maksiatnya, maka dia tidak akan terlepas daripada hukuman hudud atau takzir oleh pemerintah.
– Manusia yang dengan sengaja menzahirkan maksiatnya, maka dia akan termasuk orang yang mengajak manusia lain melakukan maksiat. Dia akan berdosa di atas setiap dosa orang yang termotivasi melakukan maksiat di atas perlakuannya itu.
– ‘Tidak dimaafkan’ dalam hadis ini bukan bermaksud tidak akan diampuni dosa. Ini kerana selagi mana seseorang bertaubat, Allah pasti akan mengampuni dosanya.
Firman Allah mengenai orang yang bertaubat:
وَهُوَ الَّذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ وَيَعْفُو عَنِ السَّيِّئَاتِ وَيَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ
Dialah yang menerima taubat hamba-hambaNya, dan memaafkan kesalahan-kesalahan mereka, dan Dia mengetahui apa yang kalian lakukan. [Al-Syura : 25].
Apabila difahami hadis ini, mereka yang melakukan perbuatan terlaknat ini secara terang-terangan perlu sedar bahawa mereka tiada hak untuk marah apabila mereka diumpati atau keaiban mereka disebarkan kerana mereka sendiri melakukan maksiat itu secara terang-terangan. Mereka sendiri yang mengaibkan diri sendiri dan bukannya orang lain.
9- Perbuatan mempromosi perbuatan yang dilaknat oleh Allah ini dengan tampil di pentas-pentas pertunjukan dan sebagainya merupakan satu dosa yang sangat bahaya kepada pelakunya. Ia termasuk dalam perbuatan mengajak orang lain melakukan maksiat tersebut. Dia bukan sahaja berdosa dengan dosa perbuatan terlaknat itu, bahkan dia mendapat dosa yang banyak iaitu dosa-dosa orang yang terpengaruh dengan promosi maksiat yang dia lakukan.
Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
مَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَىْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَىْءٌ ” .
Sesiapa yang melakukan di dalam Islam satu perkara yang baik, maka baginya pahala untuk amalan itu dan pahala orang yang beramal dengannya selepas itu tanpa mengurangkan pahala mereka sedikit pun. Sesiapa yang melakukan di dalam Islam satu perkara yang buruk, maka dia menanggung dosa perbuatan itu dan dosa mereka yang beramal dengannya selepas itu tanpa mengurangkan dosa mereka sedikit pun. [Sahih Muslim, Kitab al-Ilm, no: 1017].
10- Termasuk jua dalam mempromosi perbuatan terlaknat ini ialah orang-orang lain yang menyokong dan memberikan sokongan moral kepada mereka yang melakukan perbuatan terlaknat ini.
Ingatlah firman Allah:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Saling tolong menolonglah dalam melakukan kebaikan dan ketaqwaan. Janganlah kamu saling tolong menolong dalam melakukan dosa dan permusuhan. Sesungguhnya Allah itu sangat pedih hukumannya. [Al-Maidah : 2]
Semoga Allah memberikan hidayah kepada saya dan sahabat-sahabat semua, dan semoga kita diberikan kekuatan untuk istiqamah di atas jalan yang benar, diberikan hidayah untuk bertaubat apabila berdosa, dan diberikan kekuatan untuk terus mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.