Firman Allah:
فَإِذَا فَرَغْتَ فَانْصَبْ
Maka apabila kamu telah selesai [dari sesuatu urusan], kerjakanlah dengan sungguh-sungguh [urusan] yang lain
[Al-Sharh: 7].
Imam al-Thabari dalam Jami’ al-Bayan menerangkan bahawa ulama tafsir berbeza pendapat dalam memahami ayat ini.
Antara pendapatnya ia bermaksud ‘Apabila kamu telah selesai mendirikan solat, hendaklah kamu bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah’.
Ibn ‘Abbas berkata:
فإذا فرغت مما فُرض عليك من الصلاة فسل الله، وارغب إليه، وانصب له.
Apabila kamu telah selesai daripada mendirikan solat fardhu, mohonlah kepada Allah, mengharaplah kepadanya, dan bersungguh-sungguhlah.
Qatadah berkata:
أمره إذا فرغ من صلاته أن يبالغ في دعائه
Allah menyuruh apabila seseorang selesai mendirikan solat, untuk bersungguh-sungguh berdoa.
Imam al-Syafie berkata dalam Al-Umm:
وَأَسْتَحِبُّ لِلْمُصَلَّى مُنْفَرِدًا وَلِلْمَأْمُومِ أَنْ يُطِيلَ الذِّكْرَ بَعْدَ الصَّلاَةِ وَيُكْثِرَ الدُّعَاءَ رَجَاءَ الإِجَابَةِ بَعْدَ الْمَكْتُوبَةِ.
Disukai untuk orang yang solat sendirian dan makmum untuk memanjangkan zikir selepas solat, dan membanyakkan doa mengharapkan agar ia dimakbulkan selepas solat fardhu.
عَنْ أَبِي أُمَامَةَ، قَالَ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ الدُّعَاءِ أَسْمَعُ قَالَ ” جَوْفُ اللَّيْلِ الآخِرُ وَدُبُرَ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوبَاتِ ” .
Daripada Abu Umamah, beliau berkata, baginda ditanya: Ya Rasulullah, doa yang manakah yang paling akan didengari? Baginda menjawab: Doa di hujung malam, dan selepas solat fardhu. [Jami’ al-Tirmizi, Kitab al-Da’awat, no: 3499, Al-Tirmizi berkata: Hadis Hasan]
عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَخَذَ بِيَدِهِ وَقَالَ
Daripada Mu’az bin Jabal radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam menarik tangannya dan bersabda:
” يَا مُعَاذُ وَاللَّهِ إِنِّي لأُحِبُّكَ وَاللَّهِ إِنِّي لأُحِبُّكَ ” .
Wahai Mu’az, demi Allah, sesungguhnya aku mencintai mu. Demi Allah, sesungguhnya aku mencintai mu
فَقَالَ ” أُوصِيكَ يَا مُعَاذُ لاَ تَدَعَنَّ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ تَقُولُ
Baginda bersabda lagi: Aku menasihati mu wahai Mu’az agar janganlah engkau meninggalkan daripada membaca di hujung setiap solat:
اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ “
Ya Allah. Tolonglah kami untuk mengingati Mu, mensyukuri Mu dan memperelokkan ibadat kepada Mu.
[Sunan Abi Daud, Kitab al-Witr, Bab Fi al-Istighfar, hadis no: 1522].
*Ulama berbeza pendapat maksud دبر الصلاة: Ada yang berpendapat selepas solat, ada yang berpendapat dihujung solat sebelum salam.