Maksud Puasa Itu MilikKu…

Ringkasan Kuliah Zuhur, 1 Ramadhan, IJN Kuala Lumpur. (Tahun 2019)

Saya menghuraikan hadis berikut:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعمِائَة ضِعْفٍ ، قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ : ” إِلَّا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي ، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ ، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي ، لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ : فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ ، وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ ، وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ ” .
Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Setiap amalan anak Adam, pahalanya akan digandakan sepuluh kali ganda sehinggalah tujuh ratus kali ganda. Allah berkata: Kecuali puasa. Sesungguhnya ia milik Aku. Aku lah yang akan memberikan pahalanya. Orang yang berpuasa itu telah meninggalkan nafsu syahwat dan makan minum kerana Aku. Orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada wangian kasturi. [Sahih Muslim]

Hadith di atas menyebutkan keistimewaan puasa sehingga Allah sebut ‘Puasa adalah milikku, dan aku yang akan memberikan pahalanya’.

Ini menimbulkan persoalan kerana hakikatnya setiap ibadah itu milik Allah. Akan tetapi jika dilihat secara umum, apabila sesuatu dinyatakan secara khusus bahawa ia dinisbahkan kepada Allah, maka itu menunjukkan keistimewaan dan keutamaan perkara itu. Contohnya dalam Al-Quran ada menceritakan tentang manusia yang dipanggil ‘Ibadurrahman yang bermaksud ‘hamba-hamba Al-Rahman’. Hakikatnya, semua manusia adalah hamba Allah, akan tetapi bila ada kelompok disebutkan secara khusus begitu menunjukkan mereka golongan istimewa. Lalu apakah keistimewaan puasa berbanding ibadah lain sehingga ia diberikan kedudukan ‘Ia adalah milikKu’?

Ibn Rajab menyebutkan beberapa pendapat:

*1- Pahala puasa tidak terbatas.*
Ini kerana puasa adalah satu ibadah yang terbina atas asas kesabaran.

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.
عَنْ رَجُلٍ مِنْ بَنِي سُلَيْمٍ ، قَالَ : عَدَّهُنَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي يَدِي أَوْ فِي يَدِهِ ، التَّسْبِيحُ نِصْفُ الْمِيزَانِ ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ يَمْلَؤُهُ ، وَالتَّكْبِيرُ يَمْلَأُ مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ ، وَالصَّوْمُ نِصْفُ الصَّبْرِ ، وَالطُّهُورُ نِصْفُ الْإِيمَانِ
Seorang lelaki daripada Bani Sulaim berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengira-ngira dengan tangannya; Tasbih (Subhanallah) itu separuh daripada timbangan mizan, Alhamdulillah pula memenuhi timbangan itu, Takbir (Allahuakbar) pula mengisi apa yang ada antara langit dan bumi. Puasa itu separuh daripada kesabaran. Bersuci itu separuh keimanan. [Sunan at-Tirmizi, Kitab ad-Daawat, hadis no: 3465, hadis hasan]

Dalam Al-Quran Allah menyebutkan tentang ganjaran bersabar:

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ
Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahala mereka tanpa batas. [az-Zumar 39:10]

Apakah bentuk kesabaran yang wujud dalam ibadah puasa?

Sabar ada 3 jenis:
1- Bersabar dalam melakukan apa yang Allah suruh.
2- Bersabar menahan diri daripada melakukan larangan Allah.
3- Bersabar dalam menghadapi musibah dan kesusahan.

Ketiga-tiga jenis sabar ini wujud dalam diri mereka yang *benar-benar berpuasa* kerana mereka bersabar menahan diri daripada makan dan minum sebagai bentuk mentaati apa yang Allah suruh, meninggalkan laranganNya, dan mereka bersabar dengan kesan puasa seperti lapar, dahaga, dan keletihan.

*2- Puasa Ibadah Rahsia Seorang Hamba dan Tuhan.*

Puasa adalah ibadah rahsia yang mana kita tidak tahu pun seseorang itu puasa atau tidak. Boleh jadi seseorang yang tidak makan dan minum di hadapan kita, tetapi dia makan dan minum ketika tiada orang. Oleh itu puasa ini istimewa kerana ia satu ibadah rahsia yang hanya dikongsi antara hamba dengan Tuhannya.

Sebagaimana hubungan kita dengan orang kita cintai, misalnya isteri kita, pasti ada rahsia yang hanya kita dan pasangan ketahui yang tidak diketahui orang lain.

*3- Pahala Puasa Tidak Terhapus Sebagai Kafarah Dosa.*

Seperti yang kita tahu bahawa jika kita menzalimi seseorang, maka pahala amal kita akan diberikan kepada orang yang kita zalimi, dan selepas habis pahala kita, kita pula kena ambil dosa mereka.

Sebahagian ulama menyatakan pahala puasa tidak termasuk dalam kaffarah ini kerana Allah menyebutkan bahawa ‘Puasa adalah milikKu’.

Seorang lelaki telah bertanya kepada al-Imam Sufyan bin ‘Uyainah:
يَا أَبَا مُحَمَّدٍ فِيمَا يَرْوِيهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ : كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ ” ،
Wahai Abu Muhammad! Terangkan kepada aku tentang hadis nabi sallallahu ‘alaihi wasallam daripada Allah: Setiap amal anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Sesungguhnya ia milik aku dan akulah yang akan membalasnya.

فَقَالَ ابْنُ عُيَيْنَةَ : هَذَا مِنْ أَجْوَدِ الأَحَادِيثِ وَأَحْكَمِهَا إِذَا كَانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ يُحَاسِبُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَبْدَهُ ، وَيُؤَدِّي مَا عَلَيْهِ مِنَ الْمَظَالِمِ مِنْ سَائِرِ عَمَلِهِ حَتَّى لا يَبْقَى إِلا الصَّوْمُ فَيَتَحَمَّلُ اللَّهُ عَنْهُ مَا بَقِيَ عَلَيْهِ مِنَ الْمَظَالِمِ ، وَيُدْخِلُهُ بِالصَّوْمِ الْجَنَّةَ .
Al-Imam Ibn ‘Uyainah menjawab: Ini merupakan hadis yang paling pemurah isi kandungannya. Apabila berlakunya hari kiamat, Allah akan menghisab amalan hambanya. Kezaliman akan dihukum dengan semua amalan pelakunya dijadikan kafarah kepada dosa kezaliman tersebut tanpa tinggal sedikit pun kecuali puasa. Lalu Allah bertolak ansur dengan pahala puasa yang berbaki daripada kezaliman tersebut. Lalu pelaku kezaliman itu dimasukkan ke dalam syurga kerana pahala puasa tadi. [Al-Sunan Al-Kubra].

Akan tetapi kesemua di atas hanya berlaku jika kita benar-benar berpuasa.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ .
Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Boleh jadi ada orang yang berpuasa, dia tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan kelaparan. Boleh jadi ada orang yang bangun melakukan qiamullail, tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada qiamullailnya melainkan berjaga malam. [Sunan Ibn Majah, Kitab as-Siyam (Puasa), hadis no: 1680. Shaikh al-Albani menyatakan ia hasan sahih dalam Sahih Ibn Majah]

Hadis-hadis lain dalam bab ini menghuraikan lagi apakah punca puasa tidak mendapat pahala:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْجَهْلَ وَالْعَمَلَ بِهِ ، فَلَا حَاجَةَ لِلَّهِ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ ” .
Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan yang keji dan bodoh, dan beramal pula dengannya. Allah tiada hajat langung kepada puasanya dia daripada makan dan minum. [Sunan Ibn Majah, Kitab as-Siyam, hadis no: 1679]

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” إِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ ، وَلَا يَجْهَلْ ، وَإِنْ جَهِلَ عَلَيْهِ أَحَدٌ ، فَلْيَقُلْ : إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ
Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Pada hari seseorang daripada kalian berpuasa, janganlah dia berkata perkataan yang keji, bukan jua perkataan yang bodoh. Jika seseorang memperbodohkannya, hendaklah dia menjawab: Sesungguhnya aku berpuasa. [Sunan Ibn Majah, Kitab as-Siyam (Puasa), hadis no: 1681]

Apakah maksud ‘Allah tiada hajat langung kepada puasanya’. Imam as-Sindi dalam Hasyiahnya menerangkan:

كِنَايَة عَنْ عَدَم الْقَبُول أَيْ لَيْسَ لِصَوْمِهِ قَبُول عِنْد اللَّه فَلَا ثَوَاب لَهُ
Ia merupakan kiasan kepada tidak diterimanya (puasa tersebut). Puasanya tidak diterima Allah, dan pelakunya tidak memperolehi pahala.

Al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali menukilkan:

قال بعض السلف : أهون الصيام ترك الشراب و الطعام و قال جابر : إذا صمت فليصم سمعك و بصرك و لسانك عن الكذب و المحارم و دع أذى الجار و ليكن عليك وقار و سكينة يوم صومك و لا تجعل يوم صومك و يوم فطرك سواء
Sebahagian ulama salaf (ulama kurun tiga terawal Islam) berkata: Seringan-ringan puasa ialah meninggalkan minuman dan makanan. Jabir berkata: Jika engkau berpuasa, maka hendaklah pandangan dan kata-kata mu turut berpuasa daripada berdusta dan perkara yang haram. Tinggalkanlah perbuatan buruk ke atas jiran. Jadilah engkau seorang yang tenang pada hari engkau berpuasa. Jangan engkau jadikan hari puasa mu sama seperti hari engkau tidak berpuasa.

Marilah kita renungi hadis ini.

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ ، ” أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَقَى الْمِنْبَرَ ، فَلَمَّا رَقَى الدَّرَجَةَ الأُولَى ، قَالَ : آمِينَ ، ثُمَّ رَقَى الثَّانِيَةَ ، فَقَالَ : آمِينَ ، ثُمَّ رَقَى الثَّالِثَةَ ، فَقَالَ : آمِينَ ، فَقَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، سَمِعْنَاكَ تَقُولُ : آمِينَ ثَلاثَ مَرَّاتٍ ؟ قَالَ : لَمَّا رَقِيتُ الدَّرَجَةَ الأُولَى جَاءَنِي جِبْرِيلُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ : شَقِيَ عَبْدٌ أَدْرَكَ رَمَضَانَ ، فَانْسَلَخَ مِنْهُ وَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ ، فَقُلْتُ : آمِينَ ، ثُمَّ قَالَ : شَقِيَ عَبْدٌ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا فَلَمْ يُدْخِلاهُ الْجَنَّةَ ، فَقُلْتُ : آمِينَ ، ثُمَّ قَالَ : شَقِيَ عَبْدٌ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ وَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ ، فَقُلْتُ : آمِينَ ” .
Jabir bin ‘Abdullah berkata Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menaiki minbar, ketika baginda menaiki anak tangga yang pertama, baginda menyebut “Amin”, kemudian apabila menaiki anak tangga yang kedua, baginda menyebut “Amin”, kemudian apabila menaiki anak tangga ketiga, baginda menyebut “Amin”. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah. Kami mendengar engkau menyebut Amin sebanyak tiga kali. Baginda menjawab: Ketika aku menaiki anak tangga yang pertama, Jibril datang kepada ku dan berkata: Celaka sungguh seorang manusia yang bertemu dengan Ramadhan, tetapi keluar daripadanya tanpa diampuni dosanya. Lalu aku pun menyebut Amin. Kemudian Jibril berkata: Celakalah manusia yang ibu bapanya masih hidup atau salah seorang daripada mereka masih hidup, tetapi hal itu tidak memasukkannya ke dalam syurga. Aku pun menyebut Amin. Kemudian Jibril berkata: Celakalah manusia yang engkau (iaitu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam) di sebut di sisinya, tetapi dia tidak berselawat ke atas engkau. Aku pun menyebut Amin.
[Al-Imam Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad, hadis no: 640. Shaikh al-Albani berkata ia Sahih Lighairihi dalam Sahih al-Adab al-Mufrad]

Semoga kita menjadi orang yang benar-benar berpuasa.

 

 

=======

Anda mempunyai anak perempuan, dan tak tahu nak bercerita tentang haidh kepada mereka? Kami boleh bantu anda. Klik gambar di bawah atau link ini

 

ejen cuckoo

Assalamualaikum/Selamat Sejahtera

Saya Mohd Masri Mohd Ramli. Saya merupakan wakil jualan Cuckoo- Natural Executive Cuckoo (NE035476).

Saya bersedia membantu anda untuk memilih produk Cuckoo yang sesuai dengan keperluan anda. Saya berpengalaman menguruskan tempahan untuk individu, syarikat, sekolah, masjid, universiti dan lain-lain.

Mahukan konsultasi percuma bersama saya, klik sahaja link ini untuk whatsapp saya