Sahihkah hadis doa mustajab malam 1 Rejab?
.
Terdapat satu riwayat yang Marfu’ kepada Rasulullah s.a.w dalam hal ini. Ibnu ‘Asakir meriwayatkan dalam Tarikh Dimashq:
.
أَخْبَرَنَا أَبُو الْفَتْحِ نَصْرُ اللَّهِ بْنُ مُحَمَّدٍ ، حَدَّثَنَا نَصْرُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ ، أَنْبَأَنَا أَبُو سَعِيدٍ بُنْدَارُ بْنُ عُمَرَ الرُّويَانِيُّ ، أَنْبَأَنَا أَبُو مُحَمَّدٍ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ جَعْفَرٍ الْخَبَّازِيُّ ، أَنْبَأَ أَبُو عَلِيٍّ الْحَسَنُ بْنُ عَلِيِّ بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ بَشَّارٍ الزَّاهِدُ ، بِهَمَذَانَ، قِرَاءَةً عَلَيْهِ مِنْ أَصْلِ سَمَاعِهِ، أَنْبَأَنَا عَلِيُّ بْنُ مُحَمَّدٍ الْقَزْوِينِيُّ ، حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ بُرَّةَ الصَّنَعَانِيُّ ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الْقُدُّوسِ ، حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ أَبِي يَحْيَى ، عَنْ أَبِي قَعْنَبٍ ، عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ (صلى الله عليه وسلم) :
dengan sanadnya bahawa (kononnya) Rasulullah s.a.w bersabda:
خَمْسُ لَيَالٍ لا تُرَدُّ فِيهِنَّ الدَّعْوَةُ : أَوَلُ لَيْلَةٍ مِنْ رَجَبٍ، وَلَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ، وَلَيْلَةُ الْجُمُعَةِ، وَلَيْلَةُ الْفِطْرِ، وَلَيْلَةُ النَّحْرِ “
Lima malam yang doa padanya tidak tertolak: Malam pertama Rejab, malam Nisfu Sya’ban, malam Jumaat, malam Aidilfitri, dan malam Aidiladha. [Tarikh Dimashq].
.
Pada sanadnya terdapat:
.
Bundar bin Umar al-Ruyaniy: An-Nakhsyabi menyatakan beliau adalah kazzab. [Adz-Dzahabi, Mizan al-I’tidal, 1:353].
.
Ibrahim bin Abi Yahya: Beliau adalah kazzab sebagaimana disebutkan oleh Al-Qattan, Yahya bin Ma’in dan lain-lain. Imam Ahmad berkata: Dia ini Rafidhi, Jahmiy. Semua bala ada padanya. Manusia meninggalkan hadisnya. [Adz-Dzahabi, Mizan al-I’tidal, 1:58].
.
Kesimpulan: Hadis ini palsu/mawdhu’ sebagaimana diputuskan oleh Al-Albani di dalam al-Silsilah al-Dhaifah.
.
Akan tetapi benarkan Imam al-Syafie pernah menyebutkan hal yang serupa? Jawapannya benar. Imam al-Syafie pernah menyebutkan doa mustajab malam 1 Rejab.
.
Saya bawakan teks penuh Imam al-Syafie daripada kitab al-Umm dalam bab beribadah di malam 2 hari raya:
.
وبلغنا أنه كان يقال : إن الدعاء يستجاب في خمس ليال في ليلة الجمعة ، وليلة الأضحى ، وليلة الفطر ، وأول ليلة من رجب ، وليلة النصف من شعبان أخبرنا الربيع قال أخبرنا الشافعي قال أخبرنا إبراهيم بن محمد قال رأيت مشيخة من خيار أهل المدينة يظهرون على مسجد النبي صلى الله عليه وسلم ليلة العيد فيدعون ويذكرون الله حتى تمضي ساعة من الليل ، وبلغنا أن ابن عمر كان يحيي ليلة جمع ، وليلة جمع هي ليلة العيد لأن صبيحتها النحر ( قال الشافعي ) : وأنا أستحب كل ما حكيت في هذه الليالي من غير أن يكون فرضا .
Telah sampai kepada kami bahawa DIKATAKAN: Sesungguhnya doa mustajab pada lima malam iaitu malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama Rejab, malam Nisfu Sya’ban. Al-Rabi’ mengkhabarkan kepada kami, Imam al-Syafie mengkhabarkan kepada kami, Ibrahim bin Muhammad mengkhabarkan kepada kami, beliau berkata: Aku pernah melihat tokoh-tokoh di Madinah yang hadir ke masjid Nabi s.a.w pada malam hari raya, mereka berdoa, sehingga berlalulah sebahagian malam. Telah sampai kepada kami bahawa Ibnu ‘Umar menghidupkan malam raya kerana siangnya adalah hari sembelihan korban. Imam al-Syafie berkata: Saya menggalakkan segala apa yang dihikayatkan tentang malam-malam ini tanpa menjadikannya fardhu.
.
Mungkin yang perlu kita kaji dan cari ialah daripada mana asal usul hikayat yang menyatakan doa pada lima malam ini adalah mustajab. Sebab Imam al-Syafie sendiri menggunakan perkataan (بلغنا/telah sampai kepada kami). Beliau tidak menetapkannya secara pasti.
.
Seandainya kita lihat dalam sanad hadis di atas, terdapat perawi bernama Ibrahim bin Abi Yahya.
.
Ibrahim bin Abi Yahya di atas adalah guru kepada Imam al-Syafie, dan Imam al-Syafie apabila berkata “Telah menyampaikan kepada kami seseorang yang tidak ditohmah (sebagai pendusta), maka yang dimaksudkan ialah Ibrahim bin Abi Yahya.
Al-Rabi’ pernah ditanya kenapa gurunya Imam al-Syafie meriwayatkan daripada Ibrahim bin Abi Yahya. Dia menjawab bahawa Imam al-Syafie menyatakan bahawa dijatuhkan daripada langit lebih Ibrahim bin Abi Yahya sukai daripada menipu. [Rujuk: Mizan al-I’tidal, 1:58].
.
Bagaimana pula dengan riwayat daripada para sahabat?
.
Abdul Razzaq al-Son’aniy meriwayatkan dalam Musannafnya:
.
وَأَخْبَرَنِي مَنْ، سَمِعَ الْبَيْلَمَانِيَّ يُحَدِّثُ عَنْ أَبِيهِ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: ” خَمْسُ لَيَالٍ لَا تُرَدُّ فِيهِنَّ الدُّعَاءَ: لَيْلَةُ الْجُمُعَةِ، وَأَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ رَجَبٍ، وَلَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ، وَلَيْلَتَيِ الْعِيدَيْنِ “
Telah menyampaikan kepada saya seseorang yang mendengar daripada Al-Bailamaniy, yang menyampaikan daripada ayahnya, daripada Ibnu ‘Umar bahawa: Lima malam yang doa padanya tidak tertolak: Malam pertama Rejab, malam Nisfu Sya’ban, malam Jumaat, malam dua hari raya.
.
Pada sanadnya:
Muhammad bin Abdul Rahman al-Bailamaniy: Al-Bukhari dan Abu Hatim menyatakan beliau Munkarul Hadis. Ibnu Adiy berkata: Setiap apa yang diriwayatkan oleh Ibnu al-Bailamaniy, maka balanya adalah daripadanya. [Ibnu Hajar, Tahzib al-Tahzib, 9:261].
.
Abdul Rahman bin Abi Zaid al-Bailamaniy: Dhaif. [Adz-Dzahabi, Mizan al-I’tidal, 2:551].
.
Begitu jua ‘jahalah@tidak diketahui siapakah perawi yang mendengar daripada Ibnu al-Bailamaniy.
.
Wallahua’lam.

Dapatkan buku-buku agama berkualiti di kedai Shopee kami -> https://shopee.com.my/shop/325144389

Daftar Pengajian Mingguan Online di sini

Penulis mempunyai tauliah mengajar agama di Wilayah Persekutuan. Sebarang jemputan untuk ceramah atau kuliah agama boleh terus berhubung melalui whatsapp di talian 0132506391