Galakan Ziarah Kubur Hari Jumaat.

 

  • Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibu bapanya, atau salah seorang daripada mereka pada setiap hari Jumaat, akan diampuni dosanya, dan dicatat sebagai berbuat baik (kepada ibu bapa)

المعجم الصغير للطبراني (2/ 160)

955 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ أَحْمَدَ أَبُو النُّعْمَانِ بْنُ شِبْلٍ الْبَصْرِيُّ، حَدَّثَنَا أَبِي، حَدَّثَنَا عَمُّ أَبِي مُحَمَّدِ بْنِ النُّعْمَانِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، عَنْ يَحْيَى بْنِ الْعَلَاءِ الْبَجَلِيِّ، عَنْ عَبْدِ الْكَرِيمِ أَبِي أُمَيَّةَ، عَنْ مُجَاهِدٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ زَارَ قَبْرَ أَبَوَيْهِ أَوْ أَحَدِهِمَا فِي كُلِّ جُمُعَةٍ غُفِرَ لَهُ وَكُتِبَ بَرًّا» . لَا يُرْوَى عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ إِلَّا بِهَذَا الْإِسْنَادِ تَفَرَّدَ بِهِ النُّعْمَانِ بْنِ شِبْلٍ

المعجم الأوسط (6/ 175)

لَا يُرْوَى هَذَا الْحَدِيثُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا بِهَذَا الْإِسْنَادِ، تَفَرَّدَ بِهِ [ص:176] يَحْيَى بْنُ الْعَلَاءِ “

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Thabarani dalam Al-Mu’jam Al-Saghir (955),  dan al-Awsath (6114). Beliau menyebutkan dalam Al-Awsath bahawa Yahya bin al-‘Ala bersendirian dalam meriwayatkan hadis ini.

Siapakah Yahya bin al-‘Ala’?

Imam Ibnu Hajar dalam Tahzib al-Tahzib (11:29) menukilkan perkataan para ulama tentang beliau, antaranya:

Imam Ahmad menyatakan: Dia pendusta, pemalsu hadis. Yahya bin Ma’in: Tidak thiqah. Al-Nasaie, dan Al-Daraquthni: Matruk al-Hadis.

Imam Ibnu Hajar menyimpulkan dalam Taqrib al-Tahzib (2:595): Tertuduh sebagai pemalsu hadis.

Kesimpulan: Riwayat ini adalah hadis mawdhu’ kerana perawinya tertuduh pemalsu hadis. Al-Albani dalam Al-Silsilah Al-Dhaifah (49) menyatakan hadis ini palsu.

Oleh itu riwayat tidak boleh disebarkan hatta untuk fadhailul ‘amal.

 

  • “Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka pada hari Jumaat, maka ia seperti ibadah haji”.

تاريخ أصبهان = أخبار أصبهان (1/ 300)

حَدَّثَ جَعْفَرُ بْنُ إِسْحَاقَ، ثنا مُحَمَّدُ بْنُ حَمْدُونَ الْمُسْتَمْلِيُّ، ثنا أَحْمَدُ بْنُ مُوسَى أَبُو جَعْفَرٍ، ثنا إِبْرَاهِيمُ بْنُ مُوسَى بْنِ خَاقَانَ الْمَرْوَزِيُّ، عَنْ أَبِي مُقَاتِلٍ السَّمَرْقَنْدِيِّ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ، عَنْ نَافِعٍ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «مَنْ زَارَ قَبْرَ وَالِدَيْهِ أَوْ أَحَدِهُمَا يَوْمَ الْجُمُعَةِ كَانَ كَحَجَّةٍ»

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Nu’aim al-Asbahani dalam Tarikh Asbahan (1:300).

Pada sanadnya terdapat Abu Muqatil al-Samarqandiy Hafs bin Salim.

Ibnu Hibban menyebutkan dalam Al-Majruhin (1:256): Beliau merupakan seorang ahli ibadah, akan tetapi beliau mendatangkan riwayat-riwayat yang diketahui tiada asalnya dalam kitab hadis. Abdullah bin Mubarak menyatakan: Ambillah daripadanya ibadahnya sahaja. Qutaibah bin Sa’id sangat mendhaifkannya dan menyatakan: Dia tak tahu apa yang dia sampaikan. Abdul Rahman bin Mahdi menyatakan dia pendusta, tidak halal meriwayatkan daripadanya.  Abdul Rahman bin Mahdi menyatakan dia pendusta kerana dia meriwayatkan daripada ‘Ubaidillah bin Umar, daripada Nafi’ daripada Ibnu ‘Umar sesiapa yang menziarahi kubur ibunya, maka ia seperti ibadah umrah. Waki’ menyatakan dia pendusta.

 

Kesimpulan: Hadis ini palsu@mawdhu’.

 

  • “Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibu bapanya pada hari Jumaat, atau salah seorang daripada mereka, lalu membaca di sisinya surah Yasin. Diampuni untuknya dosa-dosa sebanyak ayat atau huruf yang dibaca”.

طبقات المحدثين بأصبهان لأبي الشيخ الأصبهاني (3/ 201، بترقيم الشاملة آليا)

823 – حدثنا أبو علي بن إبراهيم ، قال : ثنا أبو مسعود يزيد بن خالد ، قال : ثنا عمرو بن زياد البقالي الخراساني ، بجنديسابور ، قال : ثنا يحيى بن سليمان ، عن هشام بن عروة ، عن أبيه ، عن عائشة ، عن أبي بكر ، قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : « من زار قبر والديه في كل جمعة أو أحدهما فقرأ عندهما أو عنده يس غفر له بعدد ذلك آية أو حرفا »

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu al-Shaikh dalam Thabaqat al-Muhaddisin bi Asbahan (6:260).

Pada sanadnya terdapat ‘Amr bin Ziyad. Ibnu ‘Adiy dalam Al-Kamil Fi al-Dhu’afa’ (6:259) menyatakan dia ini Munkarul Hadis, pencuri hadis, dan menyampaikan hadis-hadis bathil. Ibnu ‘Adiy jua meriwayatkan hadis ini pada biografi ‘Amr bin Ziyad, dan beliau menyatakan: Hadis ini dengan sanad ini bathil. Ia tiada asal. ‘Amr bin Ziyad mempunyai hadis-hadis lain selain hadis ini. Hadis-hadis ini antaranya dia curi daripada perawi thiqah, antaranya palsu. Dia tertuduh sebagai pemalsu hadis.

 

Kesimpulan: Hadis ini palsu@mawdhu’.

 

Kenapa bila hari Jumaat  kita nampak lebih ramai orang ziarah kubur berbanding hari-hari yang lain?

 

Boleh jadi sebabnya kerana secara fiqhnya, masyarakat Malaysia berpegang kepada mazhab al-Syafie. Guru-guru agama mengajar fiqh berdasarkan kitab-kitab fiqh mazhab Syafie yang terkemudian. Jadi mereka menukilkan apa yang ada dalam kitab fiqh mutaakhir kepada masyarakat. Dalam sebahagian kitab fiqh mazhab al-Syafie memang disebutkan kelebihan menziarahi kubur daripada petang Khamis sampai pagi Sabtu.

 

 

Kebiasaan menziarahi kubur atas alasan kuatnya ikatan roh pada hari Jumaat disebutkan oleh ulama Syafiyyah  seperti Al-Qalyubi (m1069h) dalam hasyiahnya kepada Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Thalibin, Al-Shabramilisi (m1087h) dalam Hasyiahnya kepada Nihayatul Muhtaj, dan Sulaiman bin Umar Al-Jamal (m1204h) dalam Hasyiah al-Jamal.

 

Tiga hadis palsu yang saya kongsikan tadi, kesemuanya dinukilkan oleh Al-Shaikh Sulaiman bin Muhammad bin ‘Umar al-Bujairimi (m1221h) di dalam kitabnya Tuhfatul Habib, atau lebih dikenali sebagai Hasyiah al-Bujairimi menyebutkan seperti ulama-ulama sebelumnya:

روح المؤمن لها ارتباط بقبره لا تفارقه أبداً، لكنها أشد ارتباطاً به من عصر الخميس إلى شمس السبت ؛ ولذلك اعتاد الناس الزيارة يوم الجمعة وفي عصر يوم الخميس .

Roh orang beriman itu terikat pada kuburnya. Ia tidak akan terpisah selamanya. Akan tetapi roh itu lebih kuat terikat pada kubur sejak  waktu Asar di hari Khamis hingga terbit matahari di hari Sabtu. Oleh sebab itu, ramai orang melazimkan ziarah kubur pada hari Jumaat dan waktu Asar di hari Kamis.

 

Kemudian pada muka surat seterusnya, Shaikh al-Bujairimi membawakan hadis-hadis berkaitan:

 

تحفة الحبيب على شرح الخطيب ـ موافق للمطبوع (2/ 573)

 وقد روى الحكيم عن أبي هريرة رفعه : ( مَنْ زَارَ قَبْرَ أَبَوَيْهِ أَو أَحَدِهِمَا في كل جُمُعَةٍ مَرَّةً غَفَرَ الله له وكان بَارًّا بوَالدَيْهِ ) وفي رواية : ( مَنْ زار قَبْرَ وَالِدَيْهِ كل جمعة أو أحدهما فَقَرأَ عِنْدَهُ يس والقُرآن الحكيم غُفِرَ له بعدد ذلك آيةً وحَرْفاً ) وفي رواية : ( مَنْ زَارَ قَبْرَ وَالِدَيْهِ أو أحدهما يَوْمَ الجُمعة كان كحجَّةٍ ) . وروي : ( إِنّ الرَّجُلَ ليَمُوتُ والداه وهو عاقٌّ لهما فَيدَعُو الله لهما من بعدهما فيكتبه الله من البارّين ) . فأفادت هذه الأخبار أن من زار قبر أبويه كان بارًّا لهما غير عاق ولا مضيع حقهما . قال الإمام السبكي : والزيارة لأداء الحق كزيارة قبر الوالدين يُسنُّ شدُّ الرحال إليها تأدية لهذا الحق ، وكان ابن واسع يزور القبور يوم الجمعة ويقول : بلغني أن الموتى يعلمون بزوّارهم يوم الجمعة ويوماً بعده

Yang mana kesemua hadis ini merupakan hadis palsu seperti telah diterangkan.

Begitu jua kemudiannya al-Syarwani (m1301h) dalam Hasyiahnya kepada Tuhfatul Muhtaj menyebutkan pasal keterikatan roh dengan kubur pada hari Jumaat.

 

Hal yang sama diikuti oleh ‘Abu Bakr Utsman bin Muhammad Syata al-Dimyathi al-Bakri  (m1310H) dalam kitabnya I’anah al-Thalibin di mana beliau menukilkan jua hadis-hadis palsu di atas.

Oleh itu, mungkin terjawab persoalan kita kenapa sebahagian kita mengkhususkan diri ke kubur pada hari Jumaat.

 

Ia tersebar dalam kitab fiqh mazhab Syafie terkemudian, tetapi malangnya hadis-hadisnya yang disebutkan adalah palsu. Alasan keterikatan yang kuat roh pada petang Khamis hingga pagi Sabtu merupakan perkara ghaibiyyat yang memerlukan dalil-dalil yang diterima untuk dijadikan hujah. Sekadar riwayat, cerita orang terdahulu sebagaiman yang Ibnu al-Qayyim sendiri kumpulkan dalam kitabnya Al-Roh berkaitan hal ini, tidaklah menjadi dalil dalam amal ibadah untuk masyarakat Islam.

 

Oleh yang demikian, tiada kelebihan khas ziarah kubur pada hari Jumaat. Adapun kita jua janganlah mudah berprasangka kepada yang ziarah kubur hari Jumaat sebagai orang yang terpengaruh riwayat palsu ini. Boleh jadi sebab itu waktu cuti di tempat mereka, atau boleh jadi hari-hari lain mereka pergi jua tanpa khusus hari Jumaat.

 

Hal ini jua menunjukkan, sangat perlu berhati-hati dengan sebarang hadis yang disebarkan di dalam kitab-kitab fiqh kerana takut terambil hadis yang palsu.

 

Wallahua’lam.