Ayah menyuruh anak berbuat baik, ibu menyuruh anak berbuat jahat.

Assalamualaikum. Harap saudara boleh balas mesej saya ini. Saya mahukan sedikit pencerahan daripada saudara.

Ayah saya selalu menasihati adik saya supaya berpakaian menutup aurat. Mungkin adik saya belum bersedia untuk memakai tudung tetapi ayah cakap pakaian biar la sopan. Akan tetapi emak saya pula menyatakan kepada adik saya di belakang ayah saya bahawa dia tidak kisah pun ape yang ayah saya cakap dan emak saya menyatakan kepada adik saya untuk memakai pakaian sopan di hadapan ayah saya sahaja. Kalau di tempat lain di mana tiada kehadiran ayah saya, adik saya boleh pakai apa yang dia mahukan.

Saya sedih sebab emak saya tidak pernah menyokong ayah saya dalam hal ini sedangkn apa yang ayah saya lakukan adalah untuk agama kita.

Saya teringat pula orang selalu cakap isteri ini lah yang mengheret suami ke neraka walaupun suami nya alim.

Tolong saya. Macam mana nak sedarkan mak saya? Saya kasihan lihat adik saya yang tidak dididik dengan betul.

Jawapan:


Waalaikumussalam wbt.

Pertama:
Dalam hal ini, ayah saudari telah menunaikan kewajipannya sebagai seorang ayah iaitu mendidik ahli dan menasihati ahli keluarganya sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran dan al-Hadis.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu. [At-Tahrim : 6]

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ، فَالإِمَامُ رَاعٍ وَهْوَ مَسْئُولٌ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِهِ وَهْوَ مَسْئُولٌ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَهْىَ مَسْئُولَةٌ، وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ، أَلاَ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ
Daripada Abdullah bin ‘Umar radiallahu ‘anhuma, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Setiap daripada kamu adalah pengembala, dan setiap daripada kamu akan dipertanggungjawabkan. Pemimpin adalah pengembala, dan dia akan dipertanggungjawabkan. Seorang lelaki adalah pengembala keluarganya, dan dia akan dipertanggungjawabkan. Isteri adalah pengembala rumah suaminya, dan dia akan dipertanggungjawabkan. Hamba adalah pengembala kepada harta tuannya, dan dia akan dipertanggungjawabkan. Ketahuilah bahawa setiap daripada kamu adalah pengembala, dan setiap daripada kamu akan dipertanggungjawabkan.
[Sahih al-Bukhari, Kitab an-Nikah, no: 5188].

Kedua:
Apa yang dilakukan oleh ibu saudari adalah sesuatu yang salah dan berdosa kerana dia telah mengajar anaknya untuk melakukan maksiat.

Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

وَمَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَىْءٌ ‏”‏ ‏.‏
Sesiapa yang melakukan di dalam Islam satu amalan yang buruk, lalu orang lain melakukannya. Ditulis untuknya dosa sebagaimana dosa orang yang melakukannya, dan tidak dikurangkan sedikit pun daripada dosa-dosa mereka yang melakukannya. [Sahih Muslim, Kitab al-Ilm, no: 1017].

Ketiga:
Apa yang saudari sebutkan tentang isteri akan mengheret suami ke neraka hanya akan berlaku jika suami itu termakan dengan fitnah wanita@isteri sehingga melakukan perkara yang haram atau meninggalkan kewajipan. Ini tidak bermaksud suami akan menanggung dosa-dosa isteri dan anak-anaknya. Jika suami tidak menunaikan tanggungjawab mendidik isteri dan anak-anak, maka dia berdosa kerana mengabaikan kewajipan sebagai ketua keluarga. Adapun dosa isteri dan anak-anak itu mereka menanggungnya sendiri. Ini berbeza jika si suami/ayah itu yang mendidik atau mengajak anak-anak melakukan maksiat. Ketika itu dia akan berdosa bukan setakat kerana mengabaikan kewajipan mendidik, bahkan mendapat dosa apabila si anak itu melakukan maksiat kerana maksiat itu diajar olehnya.

Allah Maha Adil. Untuk suami/ayah yang sudah berusaha, dia tidak berdosa, jauh sekali untuk memikul dosa anak dan isteri yang enggan menurut didikan dan nasihatnya.

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى وَإِنْ تَدْعُ مُثْقَلَةٌ إِلَى حِمْلِهَا لَا يُحْمَلْ مِنْهُ شَيْءٌ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى إِنَّمَا تُنْذِرُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ بِالْغَيْبِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَمَنْ تَزَكَّى فَإِنَّمَا يَتَزَكَّى لِنَفْسِهِ وَإِلَى اللَّهِ الْمَصِيرُ (18)
Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri. Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah memberi peringatan kepada orang-orang yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhan semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, serta mereka mendirikan sembahyang dan sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang dilarang) maka sesungguhnya dia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan (ingatlah), kepada Allah jualah tempat kembali. [Fathir : 18]

Keempat:
Bagaimana mahu menasihati ibu saudari? Inilah bahagian paling kompleks dan yang paling sukar kerana yang membaca soalan saudari ini tidaklah mengenali ibu saudari melebihi diri saudari sendiri.

Apa yang mampu ditulis di sini hanyalah nasihat umum untuk terus bersabar dan berbuat baik kepada ibu bapa sebagaimana yang diajar oleh al-Quran.

وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ (15)
Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau dengan fikiran sihatmu tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.[Luqman : 15].

Bersabarlah, dan mohonlah doa agar Allah membuka pintu hati ibu saudari dan semua ibu-ibu kita sebagaimana Allah membuka pintu hati ibu Abu Hurairah radiallahu ‘anhu.

عَنْ أَبِي كَثِيرٍ يَزِيدَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ ، حَدَّثَنِي أَبُو هُرَيْرَةَ، قَالَ : ” كُنْتُ أَدْعُو أُمِّي إِلَى الْإِسْلَامِ وَهِيَ مُشْرِكَةٌ ، فَدَعَوْتُهَا يَوْمًا فَأَسْمَعَتْنِي فِي رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَكْرَهُ ، فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا أَبْكِي ، قُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِنِّي كُنْتُ أَدْعُو أُمِّي إِلَى الْإِسْلَامِ ، فَتَأْبَى عَلَيَّ ، فَدَعَوْتُهَا الْيَوْمَ فَأَسْمَعَتْنِي فِيكَ مَا أَكْرَهُ ، فَادْعُ اللَّهَ أَنْ يَهْدِيَ أُمَّ أَبِي هُرَيْرَةَ ،
Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata : Aku mengajak ibu ku yang masih musyrik untuk memeluk Islam. Satu hari, aku menyerunya memeluk Islam, dan dia berkata sesuatu tentang Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang aku tidak suka. Aku pun pergi menemui Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam keadaan menangis. Aku berkata kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam : Ya Rasulullah. Sesungguhnya aku mengajak ibu memeluk Islam, tetapi beliau enggan. Hari ini aku mengajaknya lagi, tetapi dia berkata sesuatu yang buruk tentang mu yang aku tidak suka. Tolonglah mohon kepada Allah untuk memberi petunjuk kepada ibu Abu Hurairah.

فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اللَّهُمَّ اهْدِ أُمَّ أَبِي هُرَيْرَةَ ، فَخَرَجْتُ مُسْتَبْشِرًا بِدَعْوَةِ نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَلَمَّا جِئْتُ فَصِرْتُ إِلَى الْبَابِ ، فَإِذَا هُوَ مُجَافٌ ، فَسَمِعَتْ أُمِّي خَشْفَ قَدَمَيَّ ، فَقَالَتْ : مَكَانَكَ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ ، وَسَمِعْتُ خَضْخَضَةَ الْمَاءِ ، قَالَ : فَاغْتَسَلَتْ وَلَبِسَتْ دِرْعَهَا وَعَجِلَتْ عَنْ خِمَارِهَا ، فَفَتَحَتِ الْبَابَ ، ثُمَّ قَالَتْ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ : أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ ،
Lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pun berdoa : Ya Allah, berilah petunjuk kepada ibu Abu Hurairah. Maka Abu Hurairah radiallahu ‘anhu pun keluar dengan gembira selepas mendengar doa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Apabila aku tiba di rumah, aku mendapati pintu rumah tertutup. Ibu ku mendengar bunyi tapak kaki ku, beliau berkata : Tunggulah di sana wahai Abu Hurairah! Aku mendengar bunyi air. Ibu ku sedang mandi. Beliau pun memakai pakaian dan tudung kepala, kemudian membuka pintu. Kemudian ibu ku berkata: Wahai Abu Hurairah! Aku bersaksi tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, dan Muhammad adalah hamba dan rasul Nya!

قَالَ : فَرَجَعْتُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَتَيْتُهُ وَأَنَا أَبْكِي مِنَ الْفَرَحِ ، قَالَ : قُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَبْشِرْ قَدِ اسْتَجَابَ اللَّهُ دَعْوَتَكَ وَهَدَى أُمَّ أَبِي هُرَيْرَةَ ، فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ، وَقَالَ : خَيْرًا ، قَالَ : قُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، ادْعُ اللَّهَ أَنْ يُحَبِّبَنِي أَنَا وَأُمِّي إِلَى عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ وَيُحَبِّبَهُمْ إِلَيْنَا ، قَالَ : فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اللَّهُمَّ حَبِّبْ عُبَيْدَكَ هَذَا يَعْنِي أَبَا هُرَيْرَةَ وَأُمَّهُ إِلَى عِبَادِكَ الْمُؤْمِنِينَ ، وَحَبِّبْ إِلَيْهِمُ الْمُؤْمِنِينَ ، فَمَا خُلِقَ مُؤْمِنٌ يَسْمَعُ بِي وَلَا يَرَانِي إِلَّا أَحَبَّنِي ” .
Aku pun terus kembali menemui Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam keadaan menangis kegembiraan. Aku berkata kepada Rasulullah: Ya Rasulullah! Aku ingin menyampaikan berita gembira. Sesungguhnya Allah telah mengabulkan doa mu, dan memberi petunjuk kepada ibu Abu Hurairah. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam terus mengucapkan syukur dan memuji Allah dan berkata: Bagus…Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Ya Rasulullah, berdoalah kepada Allah agar aku dan ibu ku dicintai oleh orang beriman, dan orang-orang beriman dicintai oleh kami. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pun berdoa: Ya Allah! Jadikan kedua hambamu ini dicintai oleh orang beriman, dan jadikanlah orang beriman dicintai mereka. Abu Hurairah berkata: Semenjak hari itu, tidak seorang pun yang mendengar nama ku atau melihat ku melainkan mereka mencintai ku.
[Sahih Muslim, Kitab Fadhail al-Sahabah, hadis no: 2491]

Semoga Allah memudahkan urusan saudari dalam hal ini.

Wallahua’lam.