Sahihkah Hadis Dosa Orang Yang Berkorban Terhapus Pada Titisan Pertama Darah Haiwan Korban?

عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ لِفَاطِمَةَ : ” قَوْمِي فاشْهَدِي أُضْحِيَتَكِ، فَقُولِي :إِنَّ صَلاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ ، فَإِنَّهُ يُغْفَرُ لَكِ كُلُّ ذَنْبٍ عَمَلْتِيهِ عِنْدَ أَوَّلِ دَفْقَةٍ مِنْ دَمِهَا أَوْ قَالَ : قَطْرَةٍ “،
Daripada Imran bin Hussain r.a, diriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda kepada Fatimah: Bangunlah, dan pergilah menyaksikan sembelihan korban kamu. Lalu sebutlah: Sesungguhnya solat ku, korbanku, kehidupan ku dan mati ku untuk Allah. Sesungguhnya akan diampuni dosa yang pernah kamu lakukan pada titisan pertama darah korban haiwan tadi.

Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Ruyani dalam Musnadnya (138), At-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Awsath (2509), Al-Mu’jam Al-Kabir (600), Al-Hakim dalam Al-Mustadrak (7524), Al-Baihaqi dalam Al-Sunan Al-Kubra (10005) dan lain-lain kesemuanya daripada jalan An-Nadhr bin Ismail Al-Bajaliy daripada Abu Hamzah al-Tsamaliy daripada Sa’id bin Jubair daripada Imran bin Hussain. Al-Hakim menyatakan dalam Al-Mustadrak bahawa hadis ini sahih sanadnya.

1- Benarkah dakwaan Al-Hakim bahawa hadis ini sahih sanadnya?

Perkataan Imam Al-Hakim bercanggah dengan realiti yang ada pada hadis ini. Ia merupakan satu hadis yang ada satu jalan sahaja seperti yang disebut di atas dan perawi-perawinya bermasalah.

A- An-Nadhr bin Ismail:

Yahya bin Ma’in berkata: Soduq, dan dia tidak tahu apa yang dia riwayatkan.
Ahmad berkata: Dia tidak menghafaz sanad.
Ibn Adiy: La Ba’sa Bihi
Ibn Hibban menyatakan: Perawi yang teruk silapnya dan banyak wahamnya. Perawi ini wajar ditinggalkan atas sebab itu.
Al-Ijliy: Beliau thiqah.
Ya’qub bin Syaibah: Soduq, Dhaif al-Hadis.
Abu Zur’ah: Dia tidak kuat
An-Nasaie: Dia tidak kuat.
Ad-Daraquthni: Soleh
Abu Daud: Dia meriwayatkan riwayat-riwayat Munkar.
Al-Sajiy: Dia memiliki riwayat-riwayat Munkar.
[Ibn Adiy, Al-Kamil Fi Dhuafa’ Al-Rijal, 8:266-267; Ibn Hibban, Al-Majruhin, 3:51; Ibn Hajar, Tahzib at-Tahzib, 10: 388-389]

B- Abu Hamzah At-Tsumaliy:

Ahmad: Dhaif al-Hadis, Laisa Bisyai’
Yahya bin Ma’in: Laisa Bisyai’
Abu Hatim: Layyinul Hadis, ditulis hadisnya tetapi tidak berhujah dengannya.
Abu Zur’ah: Layyin.
An-Nasaie: Tidak thiqah
Ibn Sa’ad: Dhaif
Abdullah bin Al-Mubarak pernah mencelanya kerana beliau meriwayatkan hadis yang mencela Uthman r.a, dan Ibn Mubarak jua mengoyakkan apa yang Abu Hamzah tulis tentang Uthman.
Ibn Hibban: Banyak waham dalam riwayatnya sehingga tidak boleh berhujah dengannya apabila dia bersendirian/tafarrud, dan beliau Syiah yang ghuluw.
[Ibn Abi Hatim, Al-Jarh wa At-Ta’dil, 2:450; Ibn Hajar, Tahzib at-Tahzib, 2:7]

2- Status hadis:
Dengan keadaan perawi yang hadis yang sangat dhaif, dan bersendirian/tafarrud dalam meriwayatkan hadis ini. Maka hadis ini tersangatlah lemah, dan boleh dikatakan sebagai Munkar.

Oleh sebab itu tashih Al-Hakim dalam Al-Mustadrak telah dibantah oleh Adz-Dzahabi dalam komentarnya kepada Al-Mustadrak di mana beliau berkata: Bahkan Abu Hamzah ini dhaif jiddan.

3- Terdapat beberapa syawahid daripada sahabat-sahabat yang lain iaitu daripada Ali bin Abi Talib r.a, dan Abu Sa’id al-Khudri.

Riwayat Abu Sa’id al-Khudri r.a:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآَلِهِ وَسَلَّمَ لِفَاطِمَةَ عَلَيْهَا الصَّلاةُ وَالسَّلامُ : ” قَوْمِي إِلَى أُضْحِيَّتِكَ فَاشْهَدِيهَا، فَإِنَّ لَكِ بِأَوَّلِ قَطْرَةٍ تَقْطُرُ مِنْ دَمِهَا، يُغْفَرُ لَكِ مَا سَلَفَ مِنْ ذُنُوبُكَ “، قَالَتْ : يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا لَنَا أَهْلَ الْبَيْتِ خَاصَّةً، أَوْ لَنَا وَلِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً؟ قَالَ : ” بَلْ لَنَا وَلِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً “

Diriwayatkan oleh Al-Uqaili dalam Al-Dhuafa’ Al-Kabir (555), Al-Hakim dalam Al-Mustadrak (7525), Abu Ya’la al-Farra’ dalam Amalinya (58), Al-Bazzar sebagaimana di dalam Kasyful Astar (1125), Ibn Abi Hatim dalam Al-Ilal (1596) kesemuanya dari jalan Daud bin Abdul Hamid daripada ‘Amru bin Qais al-Mulaiy daripada ‘Atiyyah daripada Abu Sa’id al-Khudri.

Riwayat ini dhaif. Ia mempunyai 2 perawi bermasalah iaitu Daud bin Abdul Hamid dan ‘Atiyyah bin Sa’ad al-Awfi.

Daud bin Abdul Hamid:
Abu Hatim berkata: Aku tidak mengenalinya, dan dia merupakan dhaif al-Hadis. Hadisnya menunjukkan kelemahannya.
Al-Azdiy: Munkarul Hadis.
Al-Uqailiy: Beliau meriwayatkan daripada Amru bin Qais hadis-hadis yang tidak mempunyai mutaba’ah, antaranya hadis di atas. [Ibn Abi Hatim, Al-Jarh wa At-Ta’dil, 3:418; Al-Uqailiy, Ad-Dhuafa’ ِAl-Kabir, 2:37; Ibnu Hajar, Lisan al-Mizan, 3:403]

Atiyyah bin Sa’ad al-Awfiy:

Imam Ahmad: Dhaif al-Hadis.
Atiyyah ini meriwayatkan hadis daripada Al-Kalbiy, dan memberi kuniyah Abu Sa’id kepada Al-Kalbiy sehingga orang menyangka itu adalah Abu Sa’id al-Khudri sedangkan itu sebenarnya adalah Al-Kalbiy.
Al-Tsauri: Mendhaifkan hadis-hadis ‘Atiyyah.
Yahya bin Ma’in: Beliau dhaif. Solih. Dhaif, dan ditulis hadisnya.
Abu Hatim: Dhaif al-Hadis. Ditulis hadisnya.
Abu Zur’ah: Layyin
Ibn Hibban: Tidak boleh menulis hadisnya melainkan kerana kepelikan riwayatnya.
An-Nasaie: Dhaif
Abu Daud: Bukan seseorang yang boleh manusia berpegang (kepada riwayatnya)

Ibnu Abi Hatim bertanya kepada ayahnya Abu Hatim tentang hadis di atas, lalu Abu Hatim berkata: Hadis ini Munkar.

[Al-Uqaili, Ad-Dhu’afa’ al-Kabir, 3:359; Ibn Abi Hatim, Al-Jarh wa At-Ta’dil, 6:382; Ibn Jauzi, Ad-Dhua’fa’ wa al-Matrukin, 2:180, Ibn Adiy, Al-Kamil Fi Dhuafa’ Al-Rijal, 7:84, Ibn Hibban, Al-Majruhin, 2:176, Al-Ajuri, Sualat Al-Ajuri Li Abi Daud, 104; Ibn Hajar, Tahzib at-Tahzib, 7:200; Ibn Hajar, Lisan al-Mizan, 9:372, Ibn Abi Hatim, Al-Ilal, 2:39].

Riwayat Ali bin Abi Talib r.a:

عَنْ عَلِيٍّ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآَلِهِ وَسَلَّمَ لِفَاطِمَةَ : ” قُومِي فَاشْهَدِي أُضْحِيَّتَكِ، أَمَا إِنَّ لَكِ بِأَوَّلِ قَطْرَةٍ تَقْطُرُ مِنْ دَمِهَا مَغْفِرَةً لِكُلِّ ذَنْبٍ سَلَفَ، أَمَا إِنَّهُ يُؤْتَى بِهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ لُحُومِهَا وَدِمَائِهَا سَبْعِينَ ضِعْفًا حَتَّى تُوضَعَ فِي مِيزَانِكَ “، قَالَ : فَقَالَ أَبُو سَعِيدٍ الْخُدْرِيُّ : أَيْ رَسُولَ اللَّهِ، أَهَذِهِ لآلِ مُحَمَّدٍ خَاصَّةً، وَهُمْ أَهْلٌ لِمَا خُصُّوا بِهِ مِنْ غَيْرِهِمْ أَمْ لآلِ مُحَمَّدٍ وَالنَّاسِ عَامَّةً؟ فَقَالَ : ” لا بَلْ لآلِ مُحَمَّدٍ وَالنَّاسِ عَامَّةً “

Musnad Abd bin Humayd (78), Al-Baihaqi dalam Al-Sunan Al-Kubra (18943), Ahmad bin Al-Mani’ sebagaimana disebutkan oleh Al-Busiri dalam Ittihaf al-Khiyarah (6516) kesemuanya daripada Yazid bin Harun, daripada Sa’id bin Zaid, daripada ‘Amru bin Khalid, daripada Muhammad bin Aliy, daripada ayah-ayahnya, daripada Ali bin Abi Talib.

Pada sanad ini terdapat ‘Amru bin Al-Khalid.
Al-Bukhari: Munkarul Hadis.
Ahmad: Matrukul Hadis.
Yahya bin Ma’in: Kazzab, tidak thiqah.
Ishaq bin Rahawiah: Pemalsu hadis.
Abu Hatim: Matruk al-Hadis, Dzahib al-Hadis, jangan menyibukkan diri dengan hadisnya.
Abu Zur’ah: Pemalsu hadis.
[Al-Bukhari, At-Tarikh Al-Wasith, 3:239, Ibn Abi Hatim Al-Jarh wa At-Ta’dil, 6:230]

Kesimpulan:

Kesemua hadis berkaitan hal ini tidak sahih, dan kelemahannya terlalu berat. Tidak boleh menyebarkan hadis di atas.