Penggunaan Hadis Dhaif Dalam Fadhail al-A’mal.
 
Majoriti ulama hadis berpendapat bahawa hadis-hadis yang dhaif boleh digunakan untuk Fadhail al-A’mal. Ini adalah pegangan majoriti ulama.
 
Imam Al-Nawawi rahimahullah berkata:
 
الحديث ثلاثة أقسام، صحيح، وحسن، وضعيف قالوا: وإنما يجوز الاحتجاج من الحديث في الأحكام بالحديث الصحيح أو الحسن . فأما الضعيف فلا يجوز الاحتجاج به في الأحكام والعقائد وتجوز روايته والعمل به في غير الأحكام كالقصص، وفضائل الأعمال، والترغيب والترهيب
Hadis terbahagi kepada tiga bahagian: Sahih, Hasan, Dhaif. Para ulama berkata: Di dalam urusan hukum-hakam, hanyalah dibenarkan berhujah dengan hadis sahih atau hasan. Adapun hadis dhaif, tidak boleh berhujah dengannya pada hukum-hakam, akidah, akan tetapi dibenarkan meriwayatkannya dan beramal dengannya pada selain hukum-hakam seperti kisah-kisah, fadhail al-A’mal, dan At-Targhib wa At-Tarhib.
[Yahya bin Syarf Al-Nawawi, Al-Majmu’ Sharh Al-Muhazzab, 1:98].
 
Imam Abdul Rahman bin Mahdi rahimahullah berkata:
 
إذا روينا عن النبي ﷺ في الحلال، والحرام، والأحكام، شددنا في الأسانيد، وانتقدنا الرجال، وإذا روينا في فضائل الأعمال والثواب، والعقاب، والمباحات، والدعوات تساهلنا في الأسانيد
Apabila kami meriwayatkan daripada Nabi s.a.w tentang halal dan haram, hukum-hakam, kami akan bertegas dalam isu sanad, kami akan mengkritik perawi hadis. Apabila kami meriwayatkan dalam urusan Fadhail al-A’mal, pahala, dosa, perkara-perkara mubah, doa-doa, maka kami akan longgar dalam urusan sanad. [Al-Hakim, Al-Mustadrak ‘Ala Al-Sahihayn, 1:666]
 
Bahkan Imam Al-Nawawi mendakwa wujudnya ijma’ dalam hal ini. Kata beliau:
 
وقد اتفق العلماء على جواز العمل بالحديث الضعيف في فضائل الأعمال”
Ulama bersepakat dibenarkan beramal dengan hadis dhaif dalam Fadhail al-A’mal. [Al-Nawawi, Al-Arba’un Al-Nawawiyyah, 42-43]. Hal yang sama disebutkan oleh Mulla ‘Ali Qari. [Rujuk Al-Mulla ‘Ali al-Qariy, Al-Asrar Al-Marfu’ah Fi Al-Akhbar Al-Mawdhu’ah, 315].
 
Akan tetapi pernyataan ia merupakan ijma’ masih perlu diperhalusi semula kerana terdapat nukilan ulama-ulama silam yang bertentangan dengan hal ini. Akan tetapi di sini bukanlah tempat untuk membincangkannya.
 
Syarat Hadis Dhaif Dalam Fadhail Al-A’mal
 
Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani rahimahullah menyatakan:
 
“لكن اشتهر أن أهل العلم يتسامحون في إيراد الأحاديث في الفضائل وإن كان فيها ضعف، ما لم تكن موضوعة. وينبغي مع ذلك اشتراط أن يعتقد العامل كون ذلك الحديث ضعيفا، وأن لا يشهر بذلك، لئلا يعمل المرء بحديث ضعيف، فيشرع ما ليس بشرع، أو يراه بعض الجهال فيظن أنه سنة صحيحة”.
Adalah sudah diketahui bahawa para ulama bersikap longgar dalam menukilkan hadis-hadis fadhail walaupun pada hadis-hadis itu ada kelemahan selagi mana hadis itu tidak palsu. Hal itu disertai dengan syarat-syaratnya iaitu yang beramal dengan hadis itu hendaklah beri’tikad bahawa hadis itu dhaif, tidak mempopularkannya supaya seseorang tidak beramal dengan hadis dhaif, lalu mensyariatkan apa yang bukan sebahagian daripada syariat, atau sebahagian orang yang jahil akan menyangka ia merupakan sunnah yang sahih. [Ibn Hajar Al-Asqalani, Tabyin Al-‘Ajab Bi Ma Warada Fi Shahri Rajab, 23].
 
Imam Al-Sakhawi yang merupakan murid kepada Imam Ibnu Hajar menyebutkan:
 
“وقد سمعت شيخنا مرارا يقول وكتبه لي بخطه أن شرائط العمل بالضعيف ثلاثة:
Aku telah mendengar guru kami (iaitu Al-Imam Ibnu Hajar) beberapa kali menyatakan kepada ku dengan tulisannya bahawa syarat-syarat beramal dengan hadis dhaif ada tiga iaitu:
 
الأول: متفق عليه أن يكون الضعف غير شديد فيخرج من أنفرد من الكذابين والمتهمين بالكذب ومن فحش غلطه.
Pertama: Syarat ini disepakati, iaitu hendaklah kelemahan hadis itu tidak terlalu berat. Oleh itu terkeluarlah hadis-hadis yang perawinya bersendirian sedangkan mereka itu daripada golongan pemalsu hadis, atau dituduh pendusta, atau perawi yang tersangat teruk kesilapannya.
 
الثاني: أن يكون مندرجا تحت أصل عام فيخرج ما يخترع بحيث لا يكون له أصل أصلا.
Kedua: Hendaklah isi kandungan hadis itu termasuk dalam perkara yang mempunyai asalnya secara umum. Oleh itu terkeluarlah hadis-hadis yang mereka-reka perkara baru yang tiada asalnya.
 
الثالث: أن لا يعتقد عند العمل مع ثبوته لئلا ينسب إلى النبي ﷺ ما لم يقوله.
Ketiga: Hendaklah ketika beramal tidak beri’tikad akan kesahihannya agar tidak menisbahkan kepada Nabi s.a.w apa yang tidak baginda katakan.
 
قال: والأخيران عن ابن السلام وعن صاحبه ابن دقيق العيد والأول نقل العلائي الاتفاق عليه”.
Kata Imam Al-Sakhawi: Dua syarat yang terakhir itu adalah daripada Ibn Al-Salam, dan sahabatnya Ibn Daqiq al-Eid, manakala syarat pertama, Imam Al-‘Alaie menukilkan kesepakatan tentangnya. [Al-Sakhawi, Al-Qawl Al-Badi’ Fi Al-Solat Al-Habib Al-Shafi’, 472-473].
 
Oleh itu kita akan dapati syarat pertama dan ia syarat yang disepakati ialah hadis itu hendaklah tidak terlalu dhaif. Iaitu hadis itu mestilah bukan sebuah hadis yang ada perawi kazzab/pemalsu hadis, atau tertuduh berdusta, atau yang sangat teruk kesilapannya, dan mereka bersendirian pula dalam meriwayatkannya.
 
Oleh itu penting untuk kita mengetahui hadis-hadis yang dhaifnya ringan, dan dhaifnya berat. Pecahan hadis-hadis dhaif ini tersangat banyak, akan tetapi disebutkan di sini apa yang perlu sahaja.
 
Hadis dhaif ringan:
 
Ia adalah hadis-hadis yang dapat dikuatkan dengan mutaba’at atau syawahid yang semisal dengannya atau lebih kuat daripadanya.
Setiap hadis yang kecacatannya disebabkan oleh terputusnya sanad, maka ia termasuk dalam dhaif ringan. Antaranya:
 
Al-Mu’allaq- Hadis yang gugurnya seorang atau lebih perawi daripada awal sanad. Akan tetapi jika gugur semua perawi tanpa diketahui asal usulnya, maka jadilah ia hadis yang tiada asal padanya.
 
Al-Mursal-Gugurnya perawi selepas tabi’in.
 
Al-Mu’dhol- Gugurnya 2 perawi atau lebih secara berturut-turut.
 
Al-Munqathi- Gugurnya 1 perawi atau lebih di tengah-tengah sanad tanpa berturut-turut.
 
Al-Mudallis- Berlakunya tadlis dengan syarat tidak diketahui identiti perawi yang tersembunyi itu.
 
Manakala hadis yang lemah disebabkan oleh kritikan kepada perawinya, boleh dipecahkan kepada dua iaitu dhaif yang ringan dan berat.
 
Yang ringan ialah yang perawjinya majhul atau mubham, dan yang perawinya lemah hafazannya atau mukhtalit. [Rujuk Abu al-Laits, Ulum Al-Hadis Asiluha Wa Mu’asiruha, 166].
 
Hadis Dhaif Berat
 
Ia merupakan hadis-hadis yang tidak dapat dikuatkan dengan sokongan syawahid atau mutaba’at. Ia adalah hadis-hadis berikut:
 
Mawdhu’- Ia merupakan hadis yang padanya ada perawi kazzab atau pemalsu hadis. Selain daripada itu, hadis palsu jua dikenali dengan matan atau teks hadis itu apabila teksnya menyanggahi al-Quran, hadis-hadis mutawatir, ijma’ yang qat’ie, atau bercanggah dengan akal yang sejahtera sehingga tak dapat diterima takwil.
 
Matruk- Ia hadis yang padanya ada perawi yang tertuduh pendusta. Telah terbukti dia berdusta dalam perkataannya bersama manusia lain, akan tetapi belum terbukti dia memalsukan hadis.
 
Munkar- Ia merupakan hadis yang diriwayatkan oleh perawi dhaif bercanggah dengan riwayat perawi thiqah. Ia jua adalah hadis yang padanya terdapat perawi yang sangat teruk kesilapannya, banyak kelalaiannya, atau jelas kefasikannya.
 
Syaz- Ia merupakan hadis yang diriwayat perawi thiqah yang bercanggah dengan perawi yang lebih thiqah atau bercanggah dengan ramai perawi thiqah yang lain.
 
Ma’lul- Hadis yang wujud padanya kecacatan tersembunyi yang merosakkan kesahihannya walau zahirnya terselamat daripada kecacatan itu.
[Rujuk Ibnu Hajar, Nuzhatun Nazhor Fi Tawdhih Nukhbatil Fikar, 107, Abu al-Laits, Ulum al-Hadis Asiluha Wa Muasiruha, 226-227, 243].
 
Kewujudan Hadis Ini Dalam Kitab Merupakan Hujah Ia Boleh Disebarkan?
 
Terdapat istilah yang popular dalam isu ini, antaranya:
 
من أسند لك فقد أحالك
Sesiapa yang membawa sanad kepada kamu, maka dia telah memindahkan tanggungjawab kepada kamu.
 
من أسند فقد برئت ذمته
Sesiapa yang membawakan sanad, maka telah terlepaslah tanggungjawabnya.
 
Ini kerana dengan membawakan sanad hadis, ia membolehkan mereka yang mendengar riwayat itu meneliti akan kesahihannya dengan memeriksa sanadnya. Oleh itu tidak hairanlah hadis-hadis sebegini wujud dalam kitab-kitab hadis yang awal yang bersanad.
 
لسان الميزان لابن حجر(تحقيق أبو غدة) (4/ 128)
وقد عاب عليه إسماعيل بن محمد بنا الفضل التيمى جمعه الأحاديث بالافرد مع ما فيها من النكارة الشديدة والموضوعات وفي بعضها القدح في كثير من القدماء من الصحابة وغيرهم وهذا أمر لا يختص به الطبراني فلا معنى لافراده اليوم بل أكثر المحدثين في الإعصار الماضية من سنة مائتين وهلم جرا إذا ساقوا الحديث بإسناده اعتقدوا انهم برؤا من عهدته والله اعلم
Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan hal ini dalam Lisan al-Mizan selepas membincangkan tentang Imam Ath-Thabarani di mana beliau banyak meriwayatkan hadis-hadis perawi yang berlakunyakan nakarah yang terlalu berat, dan palsu. Hal ini turut berlaku kepada imam-imam terdahulu di mana mereka membawakan hadis dengan sanadnya, dan mereka beri’tikad bahawa dengan membawa sanad itu maka mereka telah berlepas diri daripada hal itu.
 
Imam al-Iraqi menyebutkan hal serupa dalam Sharh At-Tabsirah wa At-Tazkirah:
 
شرح التبصرة والتذكرة (ص: 96)
وكل من أودع حديث أبي – المذكور – تفسيره ، كالواحدي ، والثعلبي والزمخشري مخطئ في ذلك ؛ لكن من أبرز إسناده منهم ، كالثعلبي ، والواحدي فهو أبسط لعذره ، إذ أحال ناظره على الكشف عن سنده ، وإن كان لا يجوز له السكوت عليه من غير بيانه ، كما تقدم . وأما من لم يبرز سنده ، وأورده بصيغة الجزم فخطؤه أفحش ، كالزمخشري .
Sesiapa yang membawakan hadis Ubay yang disebutkan (yang merupakan hadis palsu berkaitan fadhilat surah-surah dalam al-Quran) di dalam tafsirnya seperti Al-Wahidi, At-Tsa’labiy, Al-Zamakhsayri, mereka telah melakukan kesilapan dalam hal ini. Akan tetapi sesiapa yang membawakan sanadnya seperti At-Tsa’labiy, dan Al-Wahidiy, maka mereka diberikan keuzuran, kerana ia telah memindahkan tanggungjawab memeriksa sanad itu kepada yang mendapati riwayat itu, walaupun begitu tidak boleh dia mendimkan diri tanpa menerangkan hal itu, sebagaimana telah diterangkan. Adapun sesiapa yang tidak membawakan sanadnya, dan menukilkannya dengan lafaz jazam@pasti, maka kesalahannya adalah lebih teruk sebagaimana Al-Zamakhsyari.
 
Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan dalam An-Nukat:
 
النكت على كتاب ابن الصلاح ـ محقق (1/ 128)
وكان ذكر الإسناد عندهم من جملة البيان
Dengan menyebutkan sanad yang ada pada mereka, maka itu adalah sebahagian daripada penjelasan (tentang hadis itu).
 
Imam Al-Nawawi dalam isu penggunaan hadis lemah dalam fadhail al-A’mal ini kelihatan sangat longgar berbanding Ibnu Hajar kerana zahir perkataan beliau membenarkannya hatta hadis yang tersangat lemah selagi mana bukan hadis mawdhu’. Imam Al-Nawawi dalam kitabnya Al-Irsyad menyebutkan:
 
يجوز عند أهل الحديث وغيرهم التساهل في الأسانيد، ورواية ما سوى الموضوع من أنواع الضعيف من غير اهتمام ببيان ضعفها. ويجوز العمل بها. فيما سوى صفات الله وأحكام الشرع من الحلال والحرام وغيرهما. وذلك كالمواعظ والقصص، وفضايل الأعمال، وساير فنون الترغيب والترهيب وما لا تعلق له بالأحكام والعقايد.
Ahlul Hadis dan selain mereka meringankan tentang urusan sanad dan riwayat apa yang selain daripada mawdhu’ daripada jenis-jenis hadis dhaif yang lain tanpa memberatkan untuk menerangkan kedhaifannya, dan dibenarkan beramal dengannya, pada perkara-perkara selain sifat Allah, hukum-hakam syara’ daripada halal dan haram dan selain keduanya. Begitu juga dalam hal-hal nasihat, kisah-kisah, fadhail al-A’mal, at-Targhib wa at-Tarhib, dan apa-apa yang tidak berkaitan dengan hukum-hakam dan akidah.
 
فرع: إذا أردت رواية الحديث الضعيف بغير إسناد، فلا تقل فيه: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: كذا، وما أشبهه من الألفاظ الجازمة، وإنما تقول: روي عن رسول الله صلى الله عليه وسلم كذا، أو بلغنا عنه كذا، أو ورد عنه، أو جاء عنه، أو نقل عنه، أو روى بعضهم، وما أشبهه وهكذا الحكم فيما تشك في صحته. وإنما تقول: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم، فيما ظهر صحته. والله أعلم.
Apabila dinukilkan hadis dhaif tanpa sanad, janganlah menyebutkan: Rasulullah s.a.w bersabda atau semisal dengannya daripada lafaz-lafaz jazam/pasti. Hendaklah kamu menyebutkan: Diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w, atau telah sampai kepada kami, atau telah datang daripadanya, atau dinukilkan daripadanya, atau sebahagian orang meriwayatkan, atau apa-apa lafaz yang semisal dengannya. Begini jualah kepada hadis-hadis yang diragui statusnya. Sesungguhnya perkataan: Rasulullah s.a.w bersabda hanya disebutkan kepada apa yang jelas kesahihannya. [Al-Nawawi, Irsyad Thullab al-Haqaiq, 92-93].
 
Kata beliau dalam Al-Azkar:
 
قال العلماءُ من المحدّثين والفقهاء وغيرهم: يجوز ويُستحبّ العمل في الفضائل والترغيب والترهيب بالحديث الضعيف ما لم يكن موضوعاً
Ulama hadis, fiqh, dan selain mereka berkata: Dibenarkan dan digalakkan beramal dalam fadhail al-A’mal, dan al-Targhib wa at-Tarhib dengan hadis dhaif selagi mana ia bukan palsu. [Al-Azkar, 8]
 
Al-Shaikh Nuruddin al-Itr dalam tahqiqnya kepada kitab Al-Irsyad menyebutkan pada bahagian nota kaki kenyataan di atas berkaitan hadis dhaif dan fadhail al-A’mal bahawa ia hendaklah mematuhi 3 syarat yang ditetapkan, sebagaimana telah disebutkan sebelum ini syarat-syarat yang digariskan oleh Imam Ibn Hajar.
 
Imam Ibnu ‘Allan ketika mengulas perkataan Imam Al-Nawawi ini menyatakan:
 
قوله: (والترغيب والترهيب) أي بسائر فنونه وكذا كل ما لا تعلق له بالأحكام والعقائد كما قاله في الإرشاد. قوله: (ما لم يكن موضوعاً) وفي معناه شديد الضعف فلا يجوز العمل بخبر من انفرد من كذاب ومتهم بكذب ومن فحش غلطه فقد نقل العلائي الاتفاق عليه وفي صلاة النفل من المجموع ما يقتضي ذلك وبه
Perkataan Imam Al-Nawawi: Selagi mana bukan mawdhu’/palsu. Ia bermaksud dhaif yang berat. Tidak dibenarkan beramal dengan khabar yang bersendirian perawi kazzab, tertuduh berdusta, yang sangat teruk kesilapannya. Al-‘Alaie menukilkan kesepakatan ulama tentang hal ini. (Penolakan Imam Al-Nawawi) kepada solat sunat (Raghaib) di dalam Al-Majmu’ menunjukkan hal ini. [Al-Futtuhat Al-Rabbaniyyah, 1:83].
 
Ini kerana Imam Al-Nawawi dalam Al-Majmu’ mengeluarkan perkataan keras kepada solat Raghaib:
 
الصلاة المعروفة بصلاة الرغائب وهي ثنتى عشرة ركعة تصلي بين المغرب والعشاء ليلة أول جمعة في رجب وصلاة ليلة نصف شعبان مائة ركعة
Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sunat sebanyak 12 rakaat yang didirikan antara Maghrib dan Isya pada malam Jumaat pertama dalam bulan Rejab, dan solat malam Nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat;
 
وهاتان الصلاتان بدعتان ومنكران قبيحتان
kedua-dua ini adalah solat yang bid’ah lagi munkar lagi keji.
 
ولا يغتر بذكرهما في كتاب قوت القلوب واحياء علوم الدين ولا بالحديث المذكور فيهما فان كل ذلك باطل
Janganlah tertipu dengan nukilan tentang solat ini di dalam kitab Qutul Qulub (oleh Imam Abu Talib al-Makki) dan Ihya Ulumuddin (oleh Imam al-Ghazali), dan tidak juga dengan hadis yang disebutkan tentang kedua solat ini. Sesungguhnya semua itu adalah bathil.
 
Perawi-perawi hadis solat Raghaib kalau kita lihat dalam kitab Al-Jarh wa Al-Ta’dil, mereka adalah yang tertuduh berdusta, dan bukannya disepakati sebagai perawi yang kazzab. [Lihat Mizan al-I’tidal, 3:142, Lisan al-Mizan: 5:555].
 
Oleh itu perkataan mawdhu’ oleh Imam al-Nawawi ini boleh difahami termasuk di dalamnya hadis-hadis yang tersangat lemah. Ini berdasarkan kritikan keras Imam Al-Nawawi sendiri kepada solat Raghaib.
 
Jika mahu difahami secara zahirnya ia hanya untuk hadis yang ada perawi kazzab, maka Imam al-Nawawi tetap meletakkan syarat agar ia dinukil tanpa sanad dengan lafaz menunjukkan kelemahannya, dan bukan dengan lafaz yang jazam/pasti.
 
Kesimpulan:
 
1- Hadis dhaif yang boleh digunakan untuk Fadhail al-A’mal adalah hadis yang dhaifnya ringan.
 
2- Hendaklah dinukilkan dengan lafaz yang menunjukkan ia dhaif.
 
Jazakumullahu khair.