﴿ وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ ﴾
Apabila Luqman berkata kepada anaknya: Wahai anak ku, janganlah engkau mensyirikkan Allah. Sesungguhnya syirik itu kezaliman yang besar. (13)

Huraian:

Ini menunjukkan didikan yang paling utama kepada anak-anak ialah berkaitan agama.
Allah telah menyebutkan dalam al-Quran:

﴿ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا ﴾
Wahai orang-orang yang beriman. Selamatkan ahli keluarga kalian daripada api neraka. [At-Tahrim : 6]

﴿ وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ﴾
Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. [Taha: 132]

﴿ وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِسْمَاعِيلَ إِنَّهُ كَانَ صَادِقَ الْوَعْدِ وَكَانَ رَسُولًا نَبِيًّا (54) وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُ بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ وَكَانَ عِنْدَ رَبِّهِ مَرْضِيًّا (55(﴾
Dan ceritakanlah [hai Muhammad kepada mereka] kisah Isma’il di dalam Al Qur’an. Sesungguhnya dia adalah seorang yang benar janjinya, dan dia adalah seorang rasul dan nabi. (54) Dan dia menyuruh ahli keluarganya mendirikan solat dan menunaikan zakat, dan dia adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya. [Maryam: 54-55]

Ayat-ayat ini kesemuanya menunjukkan kepada kita bahawa tanggungjawab utama seorang ibu bapa ialah menyelamatkan anak-anaknya daripada api neraka. Hal ini hanya mampu dilakukan dengan memberikan didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak.
Perkara paling penting dalam bab agama pula ialah tauhid. Oleh sebab itu Luqman mengingatkan anaknya ((Sesungguhnya syirik itu satu kezaliman yang besar)).

Seorang ibu bapa pasti tidak mahu anak-anaknya dimasukkan ke dalam neraka. Maka, pastinya mereka perlu membuktikan cinta mereka dengan mendidik tauhid yang murni kepada anak-anak mereka.

عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ ، قَالَ : قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” يَا مُعَاذُ أَتَدْرِي مَا حَقُّ اللَّهِ عَلَى الْعِبَادِ ؟ ، قَالَ : اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ ، قَالَ : أَنْ يَعْبُدُوهُ وَلَا يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا.
Daripada Muaz bin Jabal radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Wahai Muaz, adakah engkau tahu apakah hak Allah ke atas hamba-hambaNya? Muaz menjawab: Allah dan rasulNya lebih mengetahui.
Baginda pun berkata: Iaitu mereka hendaklah menyembahNya dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu apa pun.

أَتَدْرِي مَا حَقُّهُمْ عَلَيْهِ ؟ ، قَالَ : اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ ، قَالَ : أَنْ لَا يُعَذِّبَهُمْ
Baginda bertanya lagi: Adakah engkau tahu apakah hak hamba-hamba kepada Allah? Muaz menjawab: Allah dan rasulNya lebih mengetahui. Baginda pun menerangkan: Iaitu untuk tidak mengazab mereka. [Sahih al-Bukhari, Kitab at-Tauhid, hadis no: 7373]

 Syirik kezaliman yang besar

Nasihat Luqman ini menunjukkan bahawa syirik merupakan satu kezaliman yang sangat besar. Terdapat banyak jenis kezaliman yang dilakukan oleh manusia sama ada kepada dirinya sendiri, kepada orang lain mahupun kepada Allah. Ayat ini merupakan penjelasan kepada ayat berikut:

﴿الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ أُولَئِكَ لَهُمُ الْأَمْنُ وَهُمْ مُهْتَدُونَ﴾
“Orang-orang yang beriman dan tidak menodai keimanan mereka dengan kezaliman, mereka itulah orang-orang yang mendapat ketenteraman dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” [Al-An’am: 82]

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ ـ رضى الله عنه ـ قَالَ لَمَّا نَزَلَتِ ‏{‏الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ‏}‏ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّنَا لاَ يَظْلِمُ نَفْسَهُ قَالَ ‏”‏ لَيْسَ كَمَا تَقُولُونَ ‏{‏لَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ‏}‏ بِشِرْكٍ، أَوَلَمْ تَسْمَعُوا إِلَى قَوْلِ لُقْمَانَ لاِبْنِهِ ‏{‏يَا بُنَىَّ لاَ تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ ‏}‏‏”‏‏.‏
Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Ketika turunnya ayat ((Orang-orang yang beriman dan tidak menodai keimanan mereka dengan kezaliman)), kami berkata: Ya Rasulullah. Siapakah di antara kami yang tidak pernah menzalimi dirinya sendiri? Baginda menjawab: Hal ini bukanlah sebagaimana yang kalian katakan. ((Tidak menodai keimanan mereka dengan kezaliman)) itu bermaksud syirik. Tidakkah kalian pernah mendengar kata-kata Luqman kepada anaknya ((Wahai anak ku, janganlah engkau mensyirikkan Allah. Sesungguhnya syirik kezaliman yang besar)). [Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadis al-Anbiya’, hadis no: 3360]

Besarnya dosa syirik ditunjukkan dalam banyak ayat-ayat al-Quran, antaranya:

﴿إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا﴾
Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain daripada (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendakiNya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh dia telah melakukan dosa yang besar. [An-Nisa’: 48]

﴿إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ﴾
Maksudnya: Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka. [Al-Maidah : 72]

Dalam kuliah tadi saya menimbulkan satu persoalan: Bagaimana kita nak mendidik anak-anak kita dengan Tauhid, jika sebahagian kita, ketika anak bayi, dipakaikan dengan tangkal. Kemudian bila anak dah besar sikit, ditakut-takutkan dengan hantu, misalnya dengan kata-kata: “Jangan main kat situ, ada momok”.

Ini jua menunjukkan bagaimana tauhid merupakan aspek utama dalam mendidik anak-anak, cuma hendaklah dibezakan mendidik anak bertauhid dengan mengajar mereka pengajian akidah. Pengajian akidah adalah seperti ajar sifat 20, tauhid 3 dll. Adapun didikan Tauhid ialah kita mendidik mereka dengan cara yang ‘simple’. Misalnya, bila nampak pokok, kita tanya anak: “Siapa yang cipta pokok ini? Siapa yang cipta diri kita?”. Kemudian, kita ajar anak berdoa, kata kepada anak kita “Allah yang beri kita rezeki ini”. Kalau tangan anak sakit ke, luka ke, ajar dia “Jom doa kat Allah, minta Allah hilangkan sakit ini”.

Saya jua menyentuh tadi tentang prioriti mendidik anak tentang agama. Adakalanya kita terlalu ghairah nak mendidik sehingga anak-anak berumur 5-6 tahun sudah disuruh berpuasa. Adakalanya keghairahan ini yang baik tetapi perlu dipandu dengan cermat mengikut prioriti. Kadangkala keghairahan yang sama tiada dalam mendidik anak mendirikan solat. Bahkan solat yang paling penting pun kita disuruh menyuruh anak solat pada umur 7 tahun.

Abdullah bin Amr bin al-‘As radiallahu ‘anhu meriwayatkan:

مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرِ سِنِينَ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ
Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika mereka berusia tujuh tahun. Pukullah mereka apabila mereka berumur sepuluh tahun, dan pisahkanlah tempat tidur mereka.
[Sunan Abi Daud, Kitab al-Solat, no: 495].

Dalam riwayat at-Tirmizi, Sabrah al-Juhaniy radiallahu ‘anhu meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

عَلِّمُوا الصَّبِيَّ الصَّلاَةَ ابْنَ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا ابْنَ عَشْرٍ
Ajarlah kanak-kanak mendirikan solat ketika berumur tujuh tahun, dan pukullah dia jika tidak mendirikan solat apabila berumur sepuluh tahun.
[Jami’ at-Tirmizi, Kitab al-Solat, no: 407, hasan sahih].

Saya sebutkan tadi, anak-anak kita umur 5-6 tahun tu, kalau dia main-main solat, tunggang terbalik. Biarkanlah, memang mereka sedang pada tahap nak bermain. Apatah lagi nak suruh berpuasa, sedangkan umur itu mereka perlu banyak bermain, dan perlukan tenaga.

Nasihat Luqman ini seperti nasihat Nabi s.a.w kepada Ibn ‘Abbas yang masih kanak-kanak belum baligh ketika itu.

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ كُنْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَوْمًا فَقَالَ
Daripada Ibn ‘Abbas radiallahu ‘ahuma, beliau berkata: Aku berada di belakang Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, lalu baginda bersabda:

‏ “‏ يَا غُلاَمُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظِ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ
Wahai budak lelaki, sesungguhnya aku akan mengajar engkau beberapa perkataan. Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjaga engkau. Jagalah Allah, nescaya engkau akan mendapatiNya di hadapan engkau.

إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ
Apabila engkau memohon, pohonlah kepada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan daripada Allah.

وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ
Ketahuilah, seandainya umat berkumpul untuk memberikan apa-apa manfaat kepada kamu, mereka tidak akan dapat memberikan manfaat kepada kamu kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tuliskan untuk mu.

وَلَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ ‏.
Seandainya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu, mereka tidak akan dapat memudharatkan kamu kecuali dengan apa yang telah Allah tuliskan untuk kamu. ‏

رُفِعَتِ الأَقْلاَمُ وَجَفَّتِ الصُّحُفُ ‏”‏
Pen-pen telah diangkat, lembaran-lembaran telah pun kering.

[Jami’ At-Tirmizi, Kitab Sifat al-Qiyamah wa al-Raqaiq wa al-Wara’, no: 2516. At-Tirmizi berkata hadis ini hasan sahih].

Dalam riwayat Ahmad disebutkan:

تَعَرَّفْ إِلَيْهِ فِي الرَّخَاءِ، يَعْرِفْكَ فِي الشِّدَّةِ
Perkenalkanlah diri kamu kepada Allah ketika kamu senang, nescaya Dia akan mengenali mu ketika kamu susah.

وَاعْلَمْ أنَّ فِي الصَّبْرِ عَلَى مَا تَكْرَهُ خَيْرًا كَثِيرًا،
Ketahuilah, kesabaran dalam perkara yang kamu tidak suka itu mempunyai banyak kebaikan,

وَأَنَّ النَّصْرَ مَعَ الصَّبْرِ،
pertolongan itu bersama-sama kesabaran,

وَأَنَّ الْفَرَجَ مَعَ الْكَرْبِ،
jalan keluar itu bersama-sama kesulitan,

وَأَنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
dan kesukaran itu bersamanya kemudahan.
[Musnad Ahmad, Musnad Ib ‘Abbas, no: 2803]

Begitulah sebahagian isi kandungan kuliah saya tadi. Maafkan saya sebab tiada LIVE seperti biasa. Ada masalah teknikal sedikit tadi sehingga tak sempat nak set-up buat live.