Antara adab apabila pergi beraya ialah minta izin dahulu sebelum masuk. Jika sudah beri salam 3 kali dan tiada jawapan. Pulanglah. Untuk elakkan hal seumpama terjadi, seeloknya sebelum datang kita telefon tuan rumah dahulu supaya mereka bersedia.

Allah berfirman dalam surah an-Nur ayat 27-28:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتَّى تَسْتَأْنِسُوا وَتُسَلِّمُوا عَلَى أَهْلِهَا ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ(27)
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu sentiasa mengambil peringatan. (27)

فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فِيهَا أَحَدًا فَلَا تَدْخُلُوهَا حَتَّى يُؤْذَنَ لَكُمْ وَإِنْ قِيلَ لَكُمُ ارْجِعُوا فَارْجِعُوا هُوَ أَزْكَى لَكُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ (28)
Jika kamu tidak menemui seorangpun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu: “Pulanglah”, maka hendaklah kamu kembali. Itu lebih bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan. (28)

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ : كُنْتُ فِي مَجْلِسٍ مِنْ مَجَالِسِ الأَنْصَارِ إِذْ جَاءَ أَبُو مُوسَى كَأَنَّهُ مَذْعُورٌ فَقَالَ اسْتَأْذَنْتُ عَلَى عُمَرَ ثَلاَثًا فَلَمْ يُؤْذَنْ لِي فَرَجَعْتُ فَقَالَ مَا مَنَعَكَ قُلْتُ اسْتَأْذَنْتُ ثَلاَثًا فَلَمْ يُؤْذَنْ لِي فَرَجَعْتُ وَقَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : إِذَا اسْتَأْذَنَ أَحَدُكُمْ ثَلاَثًا فَلَمْ يُؤْذَنْ لَهُ فَلْيَرْجِعْ فَقَالَ وَاللَّهِ لَتُقِيمَنَّ عَلَيْهِ بِبَيِّنَةٍ أَمِنْكُمْ أَحَدٌ سَمِعَهُ مِنَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ أُبَىُّ بْنُ كَعْبٍ وَاللَّهِ لاَ يَقُومُ مَعَكَ إِلاَّ أَصْغَرُ الْقَوْمِ فَكُنْتُ أَصْغَرَ الْقَوْمِ فَقُمْتُ مَعَهُ فَأَخْبَرْتُ عُمَرَ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ذَلِكَ.
Abu Sa’id al-Khudri radiallahu ‘anhu berkata: Aku berada dalam satu majlis bersama orang-orang Ansar apabila tiba-tiba Abu Musa radiallahu ‘anhu datang dalam keadaan seolah-olah ketakutan. Abu Musa radiallahu ‘anhu berkata: Aku telah meminta izin kepada Umar (untuk memasuki rumahnya) sebanyak tiga kali, tetapi beliau tidak mengizinkannya, jadi aku pun pulang. Lalu Umar telah bertanya : Apa yang menghalang engkau (daripada masuk ke dalam rumah aku)? Aku pun menjawab: Aku telah meminta izin sebanyak tiga kali, dan dia tidak mengizinkan aku, maka aku pun pulang.

Kemudian Abu Musa pun menyebutkan hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: Apabila kalian telah meminta izin sebanyak tiga kali, tetapi tidak jua diberikan keizinan. Maka pulanglah. Lalu Umar berkata: Demi Allah! Engkau hendaklah membawakan saksi yang mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berkata sedemikian rupa. Ubay bin Ka’ab radiallahu ‘anhu pun berkata: Yang akan menjadi saksi untuk engkau ialah yang paling muda di kalangan kami. Abu Sa’id al-Khudri berkata bahawa dia adalah yang paling muda di kalangan orang Ansar ketika itu, lalu aku pun pergi bersama Abu Musa (untuk menemui Umar). Aku pun memberitahu Umar bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berkata sedemikian rupa. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Isti’zan, hadis no : 6245]

Ayat di atas bukan sekadar menyuruh meminta izin, bahkan Allah menggunakan kalimah استئناس yang menunjukkan bukan sekadar izin, bahkan kita perlu pastikan tuan rumah selesa dengan kehadiran kita.

Selain daripada itu, sebelum tuan rumah menjemput masuk, janganlah kita menjenguk-jenguk ke dalam rumahnya, ditakuti ada ahli keluarga belum menutup aurat atau keadaan rumah tuan rumah tak mahu orang tengok. Sebab itu Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam mengajar antara adab bila datang rumah orang, kita berdiri di tepi pintu dan bukan depan pintu rumah itu.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ بُسْرٍ ، قَالَ : ” كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَتَى بَابَ قَوْمٍ لَمْ يَسْتَقْبِلِ الْبَابَ مِنْ تِلْقَاءِ وَجْهِهِ ، وَلَكِنْ مِنْ رُكْنِهِ الْأَيْمَنِ أَوِ الْأَيْسَرِ وَيَقُولُ : السَّلَامُ عَلَيْكُمُ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَذَلِكَ أَنَّ الدُّورَ لَمْ يَكُنْ عَلَيْهَا يَوْمَئِذٍ سُتُورٌ “
‘Abdullah bin Busr radiallahu ‘anhu berkata: Apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sampai di pintu rumah seseorang, baginda tidak akan berdiri menghadap pintu tersebut, sebaliknya baginda akan berdiri di sisi kanan atau kiri pintu sambil mengucap ‘Assalamualaikum, Assalamualaikum’. Ini kerana ketika itu tiada langsir di pintu rumah. [Sunan Abu Daud, Kitab al-Adab, hadis no: 4514, Shaikh al-Albani mensahihkannya]

Selain daripada itu, tetamu hendaklah memperkenalkan diri apabila diminta oleh tuan rumah.

عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ الْمُنْكَدِرِ، قَالَ سَمِعْتُ جَابِرًا ـ رضى الله عنه ـ يَقُولُ أَتَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فِي دَيْنٍ كَانَ عَلَى أَبِي فَدَقَقْتُ الْبَابَ فَقَالَ ‏”‏ مَنْ ذَا ‏”‏‏.‏ فَقُلْتُ أَنَا‏.‏ فَقَالَ ‏”‏ أَنَا أَنَا ‏”‏‏.‏ كَأَنَّهُ كَرِهَهَا‏.‏
Jabir radiallahu ‘anhu berkata: Aku datang bertemu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam atas urusan hutang ayah ku. Aku pun mengetuk pintu rumah baginda. Baginda pun bertanya: Siapa itu? Aku menjawab: Saya. Baginda menjawab: Saya? Saya? Seolah-olah baginda tidak suka dengan jawapan tersebut [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Isti’zan, hadis no : 6250].

Begitu juga, ketika di dalam rumah, tetap ada etika antara kita dengan adik beradik, anak buah dll. Tak boleh main masuk bilik orang tanpa izin.

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِيَسْتَأْذِنْكُمُ الَّذِينَ مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ وَالَّذِينَ لَمْ يَبْلُغُوا الْحُلُمَ مِنْكُمْ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ مِنْ قَبْلِ صَلَاةِ الْفَجْرِ وَحِينَ تَضَعُونَ ثِيَابَكُمْ مِنَ الظَّهِيرَةِ وَمِنْ بَعْدِ صَلَاةِ الْعِشَاءِ ثَلَاثُ عَوْرَاتٍ لَكُمْ لَيْسَ عَلَيْكُمْ وَلَا عَلَيْهِمْ جُنَاحٌ بَعْدَهُنَّ طَوَّافُونَ عَلَيْكُمْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ (58)
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang Subuh dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. / (58)

وَإِذَا بَلَغَ الْأَطْفَالُ مِنْكُمُ الْحُلُمَ فَلْيَسْتَأْذِنُوا كَمَا اسْتَأْذَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ (59)
Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang (yang telah cukup umur) yang tersebut dahulu, meminta izin. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (59)

Ayat 58-59 mengajarkan adab di dalam rumah walau sesama mahram. Iaitu untuk anak-anak yang belum baligh, mereka hendaklah minta izin untuk masuk ke bilik pada 3 waktu iaitu sebelum waktu Subuh, ketika waktu qailulah (sebelum Zuhur dan selepas Zuhur), dan selepas Isya’.

Adapun untuk mahram yang sudah baligh, mereka hendaklah meminta izin untuk masuk pada *setiap waktu*.

Ini merupakan adab yang sering dilanggar. Ajarlah adab ini kepada anak-anak kita. Apabila beraya, jangan merempuh masuk kecuali disuruh masuk oleh tuan rumah. Jangan mengintai-mengintai ke dalam rumah. Jangan masuk ke bilik tanpa izin walau bilik adik beradik sendiri.

Ini merupakan adab Islami yang dilanggar ramai manusia. Ibn ‘Abbas pernah berkata:

لَمْ يُؤْمَرْ بِهَا أَكْثَرُ النَّاسِ آيَةُ الإِذْنِ وَإِنِّي لآمُرُ جَارِيَتِي هَذِهِ تَسْتَأْذِنُ عَلَىَّ
Kebanyakan manusia tidak pernah disuruh beramal dengan ayat al-Quran berkaitan meminta izin. Sesungguhnya aku akan mengarahkan hamba wanita aku untuk meminta izin daripada aku. [Sunan Abi Daud, Kitab Al-Adab, no: 5191].