عَنْ أَبِي أَيُّوبَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ حَدَّثَهُ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى الله قَالَ : ” مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Abu Ayub al-Ansori radiallahu ‘anhu meriwayatkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa selama setahun [Sahih Muslim, Kitab al-Siyam, hadis no: 1991]

Terdapat banyak faedah melakukan puasa enam di bulan Syawal. Al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyenaraikan beberapa faedah tersebut:

1) Mendapat pahala puasa setahun

أن صيام ستة أيام من شوال بعد رمضان يستكمل بها أجر صيام الدهر كله كما سبق

Berpuasa selama enam hari dalam bulan Syawal selepas Ramadhan akan melengkapkan pahala puasa menjadi seperti pahala puasa selama setahun penuh sebagaimana telah disebut pada hadis di atas

2) Menyempurnakan kekurangan pada puasa Ramadhan

 أن صيام شوال و شعبان كصلاة السنن الرواتب قبل الصلاة المفروضة و بعدها فيكمل بذلك ما حصل في الفرض من خلل و نقص فإن الفرائض تجبر أو تكمل بالنوافل يوم القيامة كما ورد ذلك عن النبي صلى الله عليه و سلم من وجوه متعددة و أكثر الناس في صيامه للفرض نقص و خلل فيحتاج إلى ما يجبره و يكمله من الأعمال

Puasa dalam bulan Syawal dan Sya’ban umpama solat sunat rawatib sebelum dan selepas solat fardhu. Ia akan menyempurnakan kekurangan yang ada pada amalan fardhu tersebut. Sesungguhnya amalan-amalan fardhu akan diperbaiki atau disempurnakan oleh amalan-amalan sunat pada hari kiamat kelak sebagaimana yang ada dalam pelbagai hadis-hadis nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Kebanyakan manusia mempunyai kekurangan dan kecacatan pada amalan fardhu mereka yang mana ia memerlukan kepada pembaikan dan penyempurnaan melalui amalan-amalan (sunat)

3) Petanda puasa Ramadhan diterima Allah

 أن معاودة الصيام بعد صيام رمضان علامة على قبول صوم رمضان فإن الله إذا تقبل عمل عبد وفقه لعمل صالح بعده كما قال بعضهم : ثواب الحسنة الحسنة بعدها فمن عمل حسنة ثم اتبعها بعد بحسنة كان ذلك علامة على قبول الحسنة الأولى كما أن من عمل حسنة ثم اتبعها بسيئة كان ذلك علامة رد الحسنة و عدم قبولها

Melaksanakan puasa sunat selepas bulan Ramadhan merupakan satu petanda bahawa puasa Ramadhan kita diterima Allah. Sesungguhnya apabila Allah s.w.t menerima amalan seseorang, Dia akan menjadikannya tetap melakukan kebaikan selepas itu. Sebahagian ulama berkata: Ganjaran kepada kebaikan adalah kebaikan selepasnya. Sesiapa yang melakukan kebaikan, lalu mengikuti selepasnya dengan kebaikan yang lain, ia merupakan petunjuk amalan kebaikan yang pertama diterima Allah. Begitu juga jika seseorang melakukan kebaikan, kemudian diikuti dengan melakukan kejahatan, ia merupakan petanda kebaikan yang pertama tadi tertolak dan tidak diterima Allah.

4) Tanda bersyukur kerana berjaya beribadat di bulan Ramadhan

أن صيام رمضان يوجب مغفرة ما تقدم من الذنوب كما سبق ذكره و أن الصائمين لرمضان يوفون أجورهم في يوم الفطر و هو يوم الجوائز فيكون معاودة الصيام بعد الفطر شكرا لهذه النعمة فلا نعمة أعظم من مغفرة الذنوب [ كان النبي صلى الله عليه و سلم يقوم حتى تتورم قدماه فيقال له : أتفعل هذا و قد غفر الله لك ماتقدم من ذنبك و ما تأخر ؟ فيقول : أفلا أكون عبدا شكورا ]

Puasa Ramadhan akan memastikan pelakunya mendapat keampunan untuk dosa-dosa yang telah dilakukan. Mereka yang berpuasa mendapat ganjaran mereka pada hari raya, dan hari tersebut merupakan satu kurniaan kepada mereka. Oleh itu melaksanakan puasa selepas hari raya merupakan satu bentuk kesyukuran untuk nikmat tersebut. Sungguh tiada nikmat yang lebih besar daripada nikmat diampuninya dosa-dosa yang telah dilakukan. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sering bangun mendirikan solat di waktu malam sehingga bengkak-bengkak kakinya, lalu dikatakan kepada baginda sallallahu ‘alaihi wasallam: Kenapa engkau lakukan semua ini sedangkan Allah telah mengampuni dosa mu yang lalu dan yang akan datang. Jawab baginda sallallahu ‘alaihi wasallam: Adakah salah aku menjadi hamba yang bersyukur?

كان بعض السلف إذا وفق لقيام ليلة من الليالي أصبح في نهاره صائما و يجعل صيامه شكرا للتوفيق للقيام و كان وهب بن الورد يسئل عن ثواب شيء من الأعمال كالطواف و نحوه ؟ فيقول : لا تسألوا عن ثوابه و لكن اسألوا ما الذي على من وفق لهذا العمل من الشكر للتوفيق و الإعانة عليه

Sebahagian generasi salaf (tiga generasi awal Islam) apabila mereka berjaya bangun malam (untuk beribadah), mereka akan bangun pagi dan berpuasa pada siangnya. Puasa itu dijadikan sebagai tanda kesyukuran di atas petunjuk  yang membolehkan mereka bangun (beribadah) di waktu malam. Pada suatu hari, Wahab bin al-Warid ditanya tentang pahala untuk amalan seperti tawaf dan sebagainya. Lalu dia menjawab: Jangan kalian tanya tentang pahalanya. Sebaliknya tanyalah apa yang patut dilakukan oleh orang yang berjaya melakukan ibadah tersebut sebagai tanda bersyukur di atas petunjuk dan bantuan (Allah) untuk melaksanakan (ibadah tersebut). [Ringkasan daripada kata-kata Ibn Rajab al-Hanbali dalam Lathoif al-Ma’arif m/s 190-191]

Tatacara Melakukan Puasa Enam

Puasa enam di bulan Syawal boleh dilakukan pada bila-bila masa di bulan Syawal.

Imam an-Nawawi rahimahullah berkata:

قَالَ أَصْحَابُنَا : يُسْتَحَبُّ صَوْمُ سِتَّةِ أَيَّامٍ مِنْ شَوَّالٍ ، لِهَذَا الْحَدِيثِ قَالُوا : وَيُسْتَحَبُّ أَنْ يَصُومَهَا مُتَتَابِعَةً فِي أَوَّلِ شَوَّالٍ فَإِنْ فَرَّقَهَا أَوْ أَخَّرَهَا عَنْ شَوَّالٍ جَازَ

Ulama-ulama Syafiiyyah berkata: Disunatkan untuk berpuasa enam hari di bulan Syawal. Berdasarkan hadis ini (hadis Abu Ayyub al-Ansari) mereka berkata: Disunatkan melaksanakan puasa tersebut berturut-turut pada awal Syawal. Seandainya seseorang melakukannya secara berasingan (tidak berturut-turut) atau melewatkannya ke akhir Syawal, maka ia tetap dibenarkan. [al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab]

Hendaklah mengqadha puasa Ramadhan terlebih dahulu

Sewajarnya seseorang yang mempunyai hutang puasa Ramadhan, hendaklah dia menyempurnakan dahulu puasa Ramadhan tersebut. Walaupun terdapat khilaf ulama’ di dalam hal ini, akan tetapi mendahulukan qadha’ itulah yang terbaik. Ini berdasarkan hadis di atas yang menunjukkan bahawa puasa Ramadhan itu perlu disempurnakan dahulu barulah kita mendapat pahala puasa setahun penuh apabila ditambah dengan puasa enam hari di bulan Syawal.

Sa’id bin al-Musayyib  pernah ditanya berkaitan puasa Zulhijjah, beliau menjawab :

لَا يَصْلُحُ حَتَّى يَبْدَأَ بِرَمَضَانَ

Tidak sewajarnya ia dilakukan kecuali selepas dia sudah mula (mengqadhakan) puasa Ramadhan [Sahih al-Bukhari, Kitab Puasa, Bab Bilakah Qadha Puasa Ramadhan]

Khusus mengenai puasa sunat Syawal, al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan:

فمن كان عليه قضاء من شهر رمضان فليبدأ بقضائه في شوال فإنه أسرع لبراءة ذمته و هو أولى من التطوع بصيام ستة من شوال فإن العلماء اختلفوا فيمن عليه صيام مفروض هل يجوز أن يتطوع قبله أو لا

Sesiapa yang mempunyai hutang puasa Ramadhan, hendaklah dia memulakan dengan melakukan qadha puasa tersebut dalam bulan Syawal. Sesungguhnya ini akan mempercepatkan pembebasan dirinya daripada kewajipan yang ada, dan ia lebih utama daripada melakukan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal. Ilmuan Islam berbeza pendapat tentang mereka yang mempunyai hutang puasa wajib, adakah dibenarkan atau tidak untuk melakukan puasa sunat sebelum melaksanakan hutang-hutang puasa wajib tersebut.

 و على قول من جوز التطوع قبل القضاء فلا يحصل مقصود صيام ستة أيام من شوال إلا لمن أكمل صيام رمضان ثم أتبعه بست من شوال

Untuk pendapat yang menyatakan dibolehkan untuk melakukan puasa sunat sebelum qadha puasa wajib. Pahala (puasa setahun) untuk puasa sunam enam hari di bulan Syawal tidak akan diperolehi melainkan untuk sesiapa yang menyempurnakan dahulu puasa Ramadhannya kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal.

و من بدأ بالقضاء في شوال ثم أراد أن يتبع ذلك بصيام ستة من شوال بعد تكمله قضاء رمضان كان حسنا لأنه يصير حينئذ قد صام رمضان و أتبعه بست من شوال

Sesiapa yang memulakan dengan mengqadha puasa Ramadhan dalam bulan Syawal, kemudian dia mahu meneruskan dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal selepas menyempurnakan qadha’nya, maka itulah yang bagus.  Ini kerana dengan cara itu dia telah menyempurnakan puasa Ramadhan dan diikuti dengan enam hari di bulan Syawal. [Ringkasan daripada Lathoif al-Ma’arif m/s 192]

Tidak sempat puasa sunat kerana qadha puasa?

Seorang Muslimah dari Jordan pernah bertanya kepada Shaikh Abdul Aziz bin Baz:

بدأت في صيام الست من شوال ولكني لم أستطع إكمالها بسبب بعض الظروف والأعمال حيث بقي عليَّ منها يومان، فماذا أفعل يا سماحة الشيخ؟ هل أقضيها؟ وهل عليَّ إثم في ذلك؟

Saya telah mula melakukan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, akan tetapi aku tidak mampu menyempurnakannya kerana sebab-sebab dan urusan tertentu hingga menyebabkan masih ada berbaki dua hari lagi. Apa yang perlu lakukan wahai sheikh? Adakah aku perlu mengqadhanya? Adakah aku berdosa untul hal tersebut?

Shaikh Bin Baz rahimahullah menjawab:

صيام الأيام الستة من شوال عبادة مستحبة غير واجبة، فلك أجر ما صمت منها ويرجى لك أجرها كاملة إذا كان المانع لك من إكمالها عذراً شرعياً؛ لقول النبي صلى الله عليه وسلم: ((إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا)) رواه البخاري في صحيحه. وليس عليك قضاء لما تركت منها. والله الموفق.

Puasa enam hari di bulan Syawal merupakan ibadah sunat dan bukannya wajib. Saudari akan mendapat pahala untuk puasa-puasa yang telah saudari lakukan, dan semoga saudari juga memperolehi pahala yang penuh seandainya perkara yang menghalang saudari daripada menyempurnakan puasa itu merupakan satu keuzuran yang diiktiraf syara’. Ini berdasarkan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:  Seandainya seseorang itu sakit, atau bermusafir, nescaya Allah akan menulis untuknya (ganjaran) seperti amalan yang dia akan lakukan ketika bermukim dan sihat [Sahih al-Bukhari : 2791]. Oleh kerana itu, saudari tidak perlu mengqadha puasa sunat yang telah saudari tinggalkan. [http://www.binbaz.org.sa/mat/613]

Ini menunjukkan jika seorang Muslimah tidak sempat menghabiskan puasa enam kerana dia sibuk mengqadha puasa Ramadhan sedangkan dia berazam untuk berpuasa enam, dia tetap akan memperolehi pahala puasa enam tersebut.

Majlis rumah terbuka adalah satu adat kebiasaan umat Islam di Malaysia. Ia sering menimbulkan konflik apabila yang dijemput ingin melakukan puasa enam, apatah lagi wanita yang perlu mengqadhakan puasa Ramadhannya. Di bawah dibawakan hadis-hadis berkaitan dan fatwa ulama berkaitan hal ini.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : يَبْلُغُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وقَالَ زُهَيْرٌ : عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى طَعَامٍ وَهُوَ صَائِمٌ ، فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu meriwayatkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Apabila salah seorang daripada kalian dijemput untuk makan sedangkan dia berpuasa, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa.

[Sahih Muslim, Kitab al-Siyam, Bab al-Soim Yud’a Littho’am, hadis no: 1947]

Kata Imam an-Nawawi dalam Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim:

قَوْله صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا إِذَا دُعِيَ وَهُوَ صَائِم : ( فَلْيَقُلْ : إِنِّي صَائِم ) مَحْمُولٌ عَلَى أَنَّهُ يَقُول لَهُ اِعْتِذَارًا لَهُ وَإِعْلَامًا بِحَالِهِ ، فَإِنْ سَمَحَ لَهُ وَلَمْ يُطَالِبْهُ بِالْحُضُورِ سَقَطَ عَنْهُ الْحُضُور ، إِنْ لَمْ يَسْمَح وَطَالَبَهُ بِالْحُضُورِ لَزِمَهُ الْحُضُور ، وَلَيْسَ الصَّوْم عُذْرًا فِي إِجَابَة الدَّعْوَة ، وَلَكِنْ إِذَا حَضَرَ لَا يَلْزَمهُ الْأَكْل وَيَكُون الصَّوْم عُذْرًا فِي تَرْكِ الْأَكْلِ ، بِخِلَافِ الْمُفْطِر فَإِنَّهُ يَلْزَمهُ الْأَكْل عَلَى أَصَحّ الْوَجْهَيْنِ عِنْدَنَا

Arahan berkata: Sesungguhnya aku berpuasa bertujuan untuk dia memohon keuzuran (daripada yang menjemput) dan untuk memaklumkan hal keadaannya (yang sedang berpuasa). Jika si penjemput memberikan keuzuran dan tidak menuntutnya untuk hadir, maka dia tidak perlu hadir. Jika si penjemput tidak memberikan keuzuran dan tetap menuntutnya untuk hadir, maka wajib untuk dia hadir. Puasa bukanlah satu keuzuran untuk tidak memenuhi jemputan. Akan tetapi apabila dia hadir ke majlis itu, dia tidak wajib untuk makan, dan puasanya itu menjadi sebab keuzuran untuk dia tidak makan. Ini berbeza dengan orang yang tidak berpuasa, dia wajib untuk makan. Ini merupakan pendapat yang kuat daripada dua pendapat mazhab kami (mazhab Syafie).

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ ، فَلْيُجِبْ فَإِنْ كَانَ صَائِمًا ، فَلْيُصَلِّ ، وَإِنْ كَانَ مُفْطِرًا ، فَلْيَطْعَمْ

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Apabila salah seorang daripada kalian dijemput, hendaklah dia memenuhi jemputan itu. Jika dia berpuasa, hendaklah dia berdoa, jika dia tidak berpuasa, hendaklah dia makan.

[Sahih Muslim, Kitab al-Nikah, Bab al-Amr bi Ijabati ad-Da’I ila Da’wah, hadis no: 2493]

Kata Imam Nawawi:

اِخْتَلَفُوا فِي مَعْنَى ( فَلْيُصَلِّ ) قَالَ الْجُمْهُور : مَعْنَاهُ فَلْيَدْعُ لِأَهْلِ الطَّعَام بِالْمَغْفِرَةِ وَالْبَرَكَة وَنَحْو ذَلِكَ ، وَأَصْل الصَّلَاة فِي اللُّغَة الدُّعَاء

Ulama berbeza pendapat tentang maksud “Falyushol”. Majoriti ulama berkata: Ia bermaksud doakanlah untuk yang menyediakan makanan dengan keampunan dan keberkatan dan selainnya. Ini kerana asal perkataan solat daripada sudut bahasa adalah doa.

Katanya lagi:

وَأَمَّا الصَّائِم فَلَا خِلَاف أَنَّهُ لَا يَجِب عَلَيْهِ الْأَكْل ، لَكِنْ إِنْ كَانَ صَوْمه فَرْضًا لَمْ يَجُزْ لَهُ الْأَكْل لِأَنَّ الْفَرْض لَا يَجُوز الْخُرُوج مِنْهُ ، وَإِنْ كَانَ نَفْلًا جَازَ الْفِطْر وَتَرْكه . فَإِنْ كَانَ يَشُقّ عَلَى صَاحِب الطَّعَام صَوْمه فَالْأَفْضَل الْفِطْر ، وَإِلَّا فَإِتْمَام الصَّوْم . وَاَللَّه أَعْلَم

Orang yang berpuasa, tiada perbezaan pendapat bahawa dia tidak wajib untuk makan. Jika puasanya itu adalah puasa wajib, maka tidak boleh dia makan ini kerana puasa wajib tidak boleh dibatalkan. Jika itu adalah puasa sunat, maka dia boleh membatalkan puasanya itu. Jika meneruskan puasa akan menyusahkan tuan rumah yang sudah pun menyediakan hidangan, maka lebih elok berbuka, jika tidak, hendaklah dia menyempurnakan puasanya.

 

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ ، أَنَّهُ قَالَ : ” صَنَعْتُ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَعَامًا فَأَتَانِي هُوَ وَأَصْحَابُهُ ، فَلَمَّا وُضِعَ الطَّعَامُ , قَالَ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ : إِنِّي صَائِمٌ ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : دَعَاكُمْ أَخُوكُمْ وَتَكَلَّفَ لَكُمْ ، ثُمَّ قَالَ لَهُ : أَفْطِرْ وَصُمْ مَكَانَهُ يَوْمًا إِنْ شِئْتَ “

Abu Sa’id al-Khudri radiallahu ‘anhu berkata: Aku menyediakan makanan untuk Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, lalu baginda dan sahabat-sahabatnya datang kepada aku. Apabila makanan telah dihidangkan, salah seorang daripada mereka berkata: Sesungguhnya aku berpuasa. Lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Saudara kalian telah menjemput kalian dan bersusah payah untuk kalian. Lalu baginda berkata kepada lelaki itu: Berbukalah, dan gantilah pada hari lain jika engkau mahu.

[Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Jumu’ah, Jumma’u Abwabi Zakati al-Fitr, hadis no: 7723. Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathul Bari berkata: Isnadnya hasan]

Di dalam Ensiklopedia Fiqh Kuwait disebutkan:

وَإِنْ كَانَ الْمُدْعُوُّ مُتَطَوِّعًا بِالصَّوْمِ . . فَقَدْ ذَهَبَ الشَّافِعِيَّةُ وَالْحَنَابِلَةُ إِلَى أَنَّهُ يُسْتَحَبُّ لَهُ الْفِطْرُ وَالأْكْل إِنْ كَانَ يَشُقُّ عَلَى صَاحِبِ الدَّعْوَةِ صَوْمُهُ وَعَدَمُ أَكْلِهِ مِنْ طَعَامِهِ لإِمْكَانِ تَدَارُكِ الصَّوْمِ بِنَدْبِ قَضَائِهِ…. وَلِمَا فِيهِ مِنْ إِدْخَال السُّرُورِ عَلَى أَخِيهِ الْمُسْلِمِ (4) . وَإِنْ لَمْ يَشُقَّ عَلَى صَاحِبِ الدَّعْوَةِ فَالإْمْسَاكُ أَفْضَل لِلصَّائِمِ .

Seandainya yang dijemput itu sedang melakukan puasa sunat. Ulama-ulama mazhab Syafie dan Hanbali berkata disunatkan untuk dia membuka puasanya jika tindakan dia berpuasa dan tidak makan akan memberatkan kepada yang menjemput, dan kerana dia boleh mengqadhakan puasa sunatnya pada hari yang lain… ini kerana hal ini juga akan menyenangkan hati saudaranya yang menjemput itu. Akan tetapi jika hal itu tidak memberatkan orang yang menjemput, maka meneruskan puasa adalah lebih afdhal.

Di dalam Matholib Aula an-Nuha disebutkan:

إذَا لَمْ يَكُنْ فِي تَرْكِهِ الْأَكْلَ كَسْرُ قَلْبِ الدَّاعِي كَانَ تَمَامُ صَوْمِ التَّطَوُّعِ أَوْلَى مِنْ فِطْرِهِ .

Apabila tidak makan itu tidak memberikan kesan buruk kepada hati si penjemput, maka menyempurnakan puasa sunat itu lebih utama daripada membatalkannya.

قَالَ الشَّيْخُ تَقِيُّ الدِّينِ : وَهُوَ أَعْدَلُ الْأَقْوَالِ ، وَقَالَ : وَلَا يَنْبَغِي لِصَاحِبِ الدَّعْوَةِ الْإِلْحَاحُ فِي الطَّعَامِ أَيْ : الْأَكْلِ لَلْمَدْعُوِّ إذَا امْتَنَعَ مِنْ الْفِطْرِ فِي التَّطَوُّعِ أَوْ الْأَكْلِ إنْ كَانَ مُفْطِرًا ؛ فَإِنَّ كِلَا الْأَمْرَيْنِ جَائِزٌ ، وَإِذْ أَلْزَمَهُ بِمَا لَا يَلْزَمُهُ كَانَ مِنْ نَوْعِ الْمَسْأَلَةِ الْمَنْهِيِّ عَنْهَا

Ibn Taimiyyah berkata: Ini merupakan pendapat yang paling adil. Tidak patut tuan rumah@orang yang menjemput untuk memaksa tetamu memakan makanan apabila dia enggan membatalkan puasa sunatnya, atau dia enggan makan jika dia tidak berpuasa. Sesungguhnya kedua-dua hal ini adalah boleh. Apabila mewajibkan ke atasnya sesuatu yang tidak wajib, maka itu adalah daripada perkara yang dilarang.

Markaz Fatwa pimpinan Dr. Abdullah al-Faqeh dalam fatwa no 11515 menyebutkan:

فمن دعي إلى طعام وكان صائماً صوماً غير واجب فالأفضل له أن يفعل ما يراه أصلح من إتمام الصوم مع الامتناع عن إجابة الدعوة، أو إتمام الصوم مع حضور الوليمة والمشاركة بالدعاء لأهلها، أو إجابة الدعوة وقطع الصوم بالأكل معهم.

Sesiapa yang dijemput untuk makan sedangkan dia sedang melakukan puasa sunat. Maka yang lebih afdhal untuk dia ialah melakukan apa yang dia lihat lebih baik, iaitu sama ada meneruskan puasa dan tidak menghadiri jemputan itu, atau meneruskan puasa tetapi tetap hadir majlis tersebut dan mendoakan kepada tuan rumah, atau dia memenuhi jemputan dan membatalkan puasa lalu makan bersama-sama mereka.

http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=11515 ]

Berdasarkan kesemua di atas, dapat kita simpulkan:

1-     Puasa sunat boleh dibatalkan jika ada jemputan makan

2-     Mana yang lebih afdhal, ia bergantung kepada keadaan, adakah puasanya kita itu akan menyakitkan hati tuan rumah atau tidak. Jika ia menyakitkan hati tuan rumah, maka lebih elok berbuka, jika tidak, lebih elok teruskan puasa.

3-     Jika kita meneruskan puasa, hendaklah kita mendoakan tuan rumah.

4-     Hal ini juga perlu melihat situasi yang dijemput. Jika dia seorang wanita, dia perlu mengqadhakan puasa Ramadhannya, kemudian melakukan puasa enam, jika dia tetap membatalkan puasa enamnya, ditakuti dia tidak sempat melakukan puasa enam kerana akan tamat bulan Syawal atau haidhnya akan datang lagi.

5-     Sebagai umat Islam, kita perlu sedar, puasa enam adalah sunnah dalam bulan Syawal, tidak wajar kita berkecil hati jika ada tetamu kita tidak makan kerana mereka berpuasa. Open-house adalah adat dalam hari raya, puasa enam adalah sunnah, tidak wajar kerana adat kita mendesak orang lain meninggalkan sunnah.

6-     Open-house realitinya sering menjemput ramai orang, jadi tiada masalah jika kita tidak memakannya apatah lagi jika situasi wanita haidh yang sudah disebutkan.