Benarkah haram berpuasa selepas 15 Sya’ban? Ini merupakan satu persoalan yang wujud dalam kitab-kitab feqh. Tulisan di bawah mengumpulkan sedikit perbahasan ulama berkaitan status hadis berkaitan, dan apakah pendapat ulama berkaitan hukum hal ini.
Hadis-hadis melarang berpuasa selepas 15 Sya’ban
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ “ إِذَا انْتَصَفَ شَعْبَانُ فَلاَ تَصُومُوا ” .
Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Apabila telah masuknya separuh Sya’ban, janganlah kalian berpuasa. [Sunan Abi Daud, Kitab al-Sawm, Bab Fi Karahat adz-Dzalik, no: 2337].
Hadis ini turut diriwayatkan di dalam Musannaf Abdul Razzaq (7325), Musannaf Ibn Abi Shaibah (9026), Musnad Ahmad (9707), Sunan ad-Darimi (1781), Jami’ at-Tirmizi (738), Sunan Ibn Majah (1651), An-Nasaie dalam Al-Sunan Al-Kubra (2923) kesemuanya daripada jalan Al-‘Ala’ bin Abdul Rahman daripada ayahnya daripada Abu Hurairah.
Madar kepada hadis ini ialah Al-‘Ala’ bin Abdul Rahman (العلاء بن عبد الرحمن). Beliau bersendirian dalam meriwayatkan hadis ini daripada ayahnya. Kata Imam an-Nasaie dalam Al-Sunan Al-Kubra:
لاَ نَعْلَمُ أَحَدًا رَوَى هَذَا الْحَدِيثَ غَيْرَ الْعَلاَءِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ.
Kami tidak mengetahui seorang pun yang meriwayatkan hadis ini selain daripada Al-‘Ala’ bin Abdul Rahman.
Ulama berbeza pendapat dalam menilai status hadis ini. Kebanyakan ulama hadis generasi awal/mutaqaddimin menilai hadis ini sebagai dhaif.
Imam Ahmad berkata:
سَأَلْتُ ابْنَ مَهْدِيٍّ عَنْهُ، فَلَمْ يُحَدِّثْنِي بِهِ، وَكَانَ يَتَوَقَّاهُ ، ثُمَّ قَالَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ : هَذَا خِلافُ الأَحَادِيثِ الَّتِي رُوِيَتْ عَنِ النَّبِيِّ
Aku bertanya kepada Abdul Rahman bin Mahdi tentang hadis ini, lalu dia tidak menyampaikan hadis itu kepada aku dan beliau memberi amaran tentang hadis itu. Kemudian Imam Ahmad berkata: Hadis ini bercanggah dengan hadis-hadis lain yang diriwayatkan daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. [Al-‘Ilal wa Ma’rifati al-Rijal ‘An Ahmad, no: 278].
Ibnu Qudamah dalam Al-Mughni menukilkan perkataan Imam Ahmad lagi:
والعلاء ثقة لا ينكر من حديثه إلا هذا لأنه خلاف ما روي عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه كان يصل شعبان برمضان
Al-‘Ala’ adalah seorang yang thiqah, tidak diinkari hadisnya kecuali hadis ini kerana ia bercanggah dengan apa yang diriwayatkan daripada nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bahawa baginda menyambungkan puasa antara Sya’ban dan Ramadhan. [Al-Mughni, 3/6].
Imam Ibnu Rajab al-Hanbali berkata dalam Lathoif al-Ma’arif:
فأما تصحيحه فصححه غير واحد منهم الترمذي وابن حبان والحاكم والطحاوي وابن عبد البر وتكلم فيه من هو أكبر من هؤلاء وأعلم وقالوا: هو حديث منكر منهم الرحمن بن المهدي والإمام أحمد وأبو زرعة الرازي والأثرم وقال الإمام أحمد: لم يرو العلاء حديثا أنكر منه ورده بحديث: “لا تقدموا رمضان بصوم يوم أو يومين” فإن مفهومه جواز التقدم بأكثر من يومين وقال الأثرم الأحاديث كلها تخالفه يشير كلها تخالفه يشير إلى أحاديث صيام النبي صلى الله عليه وسلم شعبان كله ووصله برمضان ونهيه عن التقدم على رمضان بيومين فصار الحديث حينئذ شاذا مخالفا للأحاديث الصحيحة وقال الطحاوي هو منسوخ وحكى الإجماع على ترك العمل به وأكثر العلماء على أنه لا يعمل به وقد أخذ آخرون منهم الشافعي وأصحابه ونهو عن ابتداء التطوع بالصيام بعد نصف شعبان لمن ليس له عادة ووافقهم بعض المتأخرين من أصحابنا
Terdapat lebih daripada seorang ulama yang mensahihkannya seperti Imam at-Tirmizi, Ibnu Hibban, Al-Hakim, At-Tahawi, Ibnu ‘Abdil Barr. Akan tetapi ulama-ulama yang lebih senior dan lebih ‘alim pula mengkritik hadis ini. Mereka berkata: Hadis munkar. Antara yang berpendapat sedemikian ialah Abdul Rahman bin Mahdi, Ahmad, Abu Zur’ah al-Razi, Al-Atsram. Imam Ahmad berkata: Tidaklah Al-‘Ala meriwayatkan hadis yang lebih munkar daripada hadis ini. Beliau menolak hadis ini dengan hadis ‘Janganlah kamu mendahului Ramadhan dengan puasa pada satu atau dua hari sebelumnya’. Difahami daripada hadis ini bahawa dibenarkan untuk berpuasa pada sebelum dua hari atau lebih sebelum Ramadhan. Al-Atsram berkata: Hadis-hadis ini kesemuanya bercanggah dengan hadis tersebut (iaitu hadis Abu Hurairah). Beliau memaksudkan semua hadis yang bercanggah dengannya kepada hadis-hadis puasanya nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam pada bulan Ramadhan keseluruhannya, dan menyambungnya dengan Ramadhan, dan larangan baginda daripada mendahului Ramadhan dengan berpuasa pada dua hari sebelumnya. Oleh kerana itu, hadis itu adalah hadis syaz yang bercanggah dengan hadis-hadis yang sahih. At-Tahawi pula berkata: Hadis ini mansukh dan beliau menghikayatkan kesepakatan ulama dalam meninggalkan beramal dengan hadis ini. Kebanyakan ulama berpendapat hadis Abu Hurairah ini tidak diamalkan. Sebahagian ulama antaranya Imam al-Syafie dan ulama-ulama mazhab Syafie berhujah dengan hadis Abu Hurairah. Mereka melarang daripada memulaka puasa sunat selepas separuh Sya’ban bagi sesiapa yang bukan kebiasaannya berpuasa dan sebahagian ulama mutaakhirin daripada Hanabilah bersetuju dengan pendapat ini. [Lathoif al-Ma’arif, 135-136].
Al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan dalam Fathul Bari:
وقال جمهور العلماء يجوز الصوم تطوعا بعد النصف من شعبان وضعفوا الحديث الوارد فيه وقال أحمد وبن معين أنه منكر وقد استدل البيهقي بحديث الباب على ضعفه فقال الرخصة في ذلك بما هو أصح من حديث العلاء
Majoriti ulama menyatakan dibenarkan untuk melakukan puasa sunat selepas separuh Sya’ban, dan mereka mendhaifkan hadis yang ada tentang (larangannya). Imam Ahmad, dan Yahya bin Ma’in menyatakan bahawa hadis itu munkar. Al-Baihaqi pula berhujah dengan hadis bab (iaitu larangan berpuasa 2 hari sebelum Ramadhan) untuk mendhaifkan hadis (Abu Hurairah ini). Beliau berkata: Rukhsah untuk berpuasa pada hari-hari tersebut lebih kuat daripada hadis Al-‘Ala’. [Fathul Bari, 4/129].
Sebahagian ulama hadis kontemporari seperti Al-Shaikh Mustafa al-Adawy, Al-Shaikh Abdul Aziz at-Thorifi dan lain-lain berpegang kepada pendapat di atas bahawa hadis ini munkar.
Apakah hadis-hadis yang dikatakan bercanggah dengan hadis di atas?
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا ، قَالَتْ : ” كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ ، حَتَّى نَقُولَ : لَا يُفْطِرُ ، وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ : لَا يَصُومُ ، فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلَّا رَمَضَانَ ، وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ ”
‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata: “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam biasa berpuasa hingga kami menyatakan baginda tidak pernah berbuka (maksudnya setiap hari berpuasa). Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam turut berbuka sehinggakan kami menyatakan bahawa baginda tidak berpuasa. Aku tidak pernah sama sekali melihat Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa sebulan penuh selain pada bulan Ramadhan. Aku pun tidak pernah melihat baginda berpuasa yang lebih banyak daripada berpuasa di bulan Sya’ban.” [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Sawm, Bab Sawm al-Sya’ban, hadis no: 1969]
عَنْ أَبِي سَلَمَةَ ، قَالَ : سَأَلْتُ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْ صِيَامِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَتْ : ” كَانَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ : قَدْ صَامَ ، وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ : قَدْ أَفْطَرَ ، وَلَمْ أَرَهُ صَائِمًا مِنْ شَهْرٍ قَطُّ أَكْثَرَ مِنْ صِيَامِهِ مِنْ شَعْبَانَ ، كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ ، كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ إِلَّا قَلِيلًا ” .
Daripada Abu Salmah: Aku telah bertanya kepada ‘Aisyah Radiallahu ‘anhu tentang puasa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, beliau menjawab: Baginda sering berpuasa sehingga kami menyatakan sesungguhnya dia berpuasa, dan baginda sering berbuka (tidak berpuasa) sehingga kami berkata: Baginda tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat dia berpuasa melebihi jumlah puasanya di bulan Sya’ban. Baginda berpuasa di bulan Sya’ban keseluruhannya, baginda berpuasa di bulan Sya’ban kecuali sedikit sahaja (hari yang baginda tidak berpuasa) [Sahih Muslim, Kitab al-Siyam, Bab Siyam an-Nabiy Fi Ghairi Ramadhan.., hadis no: 1156]
عَنْ أَبِي سَلَمَةَ، عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُ لَمْ يَكُنْ يَصُومُ مِنَ السَّنَةِ شَهْرًا تَامًّا إِلاَّ شَعْبَانَ وَيَصِلُ بِهِ رَمَضَانَ .
Ummu Salamah Radiallahu ‘anha menyatakan bahawa nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah berpuasa sunat sebulan penuh kecuali Sya’ban dan diteruskan dengan berpuasa (fardhu) Ramadhan. [Sunan an-Nasaie, Kitab al-Sawm, Bab Sawmi an-Nabiy, hadis no: 2353].
Abu Hurairah radiallahu ‘anhu meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
لاَ تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ إِلاَّ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ
Janganlah kalian mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari kecuali seseorang yang telah biasa berpuasa, maka dia boleh berpuasa.
[Sahih Muslim, Kitab al-Siyam, Bab La Tuqaddimu Ramadhan Bi Saum…., hadis no: 1082].
Ulama yang menerima hadis ini:
Imam at-Tirmizi, beliau berkata:
: حَدِيثُ أَبِي هُرَيْرَةَ حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ ، لَا نَعْرِفُهُ إِلَّا مِنْ هَذَا الْوَجْهِ عَلَى هَذَا اللَّفْظِ،
Hadis Abu Hurairah Hasan Sahih. Kami tidak mengetahuinya melainkan dengan sanad ini untuk lafaz ini.
Imam Ibnu Hibban turut meriwayatkan hadis ini dalam Sahih Ibnu Hibban.
Beliau meletakkan tajuk bab yang menunjukkan bantahannya kepada sesiapa yang mendakwa hadis ini bercanggah dengan hadis-hadis sahih yang lain. Kata beliau:
ذِكْرُ خَبَرٍ أَوْهَمَ غَيْرَ الْمُتَبَحِّرِ فِي صِنَاعَةِ الْعِلْمِ أَنَّهُ مُضَادُّ لِلأَخْبَارِ الَّتِي تَقَدَّمَ ذِكْرُنَا لَهَا
Bab berkaitan hadis yang telah tersilap padanya orang-orang yang tidak mendalam ilmunya yang mendakwah hadis ini bercanggah dengan hadis-hadis yang telah kami sebutkan sebelum ini.
Ibnu al-Qayyim berkata dalam Tahzib al-Sunan menolak pendapat yang mendhaifkan hadis ini atas alas an bersendiriannya Al-‘Ala bin Abdul Rahman, dan dakwaan ia bercanggah dengan hadis-hadis sahih yang lain.
– Hadis ini menepati syarat Muslim. Imam Muslim meriwayatkan dalam Sahih Muslim banyak hadis daripada Al-‘Ala daripada ayahnya daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu.
– Al-‘Ala merupakan perawi yang thiqah, dan bersendiriannya dalam meriwayatkan hadis tidaklah menjejaskan status kesahihan hadis itu. Tafarrud perawi thiqah tidaklah menjejaskan status hadis. Banyak hadis-hadis nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam yang perawi thiqah bersendirian meriwayatkannya dan hadis itu diamalkan oleh umat ini.
– Tafarrud atau bersendiriannya perawi yang menyebabkan dhaifnya riwayat itu ialah apabila perawi yang bersendirian itu contohnya meriwayatkan dengan sanad yang bersambung, sedangkan perawi lain meriwayatkan secara mursal, atau perawi yang bersendirian itu meriwayatkan secara marfu’ sedangkan yang lain meriwayatkan secara mawquf, atau perawi yang bersendirian itu mempunyai penambahan lafaz pada teks yang tidak dimiliki oleh perawi-perawi lain.
– Dakwaan berlaku percanggahan dengan hadis-hadis sahih lain tertolak kerana hakikatnya tidak wujud percanggahan. Ini kerana hadis-hadis sahih yang lain menunjukkan puasa pada separuh akhir Sya’ban berserta dengan separuh awal Sya’ban, dan puasa yang sudah biasa dilakukan yang jatuh pada separuh akhir Sya’ban. Adapun hadis Al-‘Ala’ menunjukkan larangan dengan sengaja berpuasa pada separuh akhir Sya’ban, bukan kerana kebiasaan dan bukan kerana menambah puasa yang telah dilakukan pada separuh pertama Sya’ban.
– Dakwaan Al-‘Ala tidak mendengar daripada ayahnya adalah dakwaan yang bathil kerana telah tsabit beliau mendengar daripada ayahnya. Dalam Sahih Muslim terdapat riwayat Al-‘Ala’ daripada ayahnya menggunakan lafaz عن. [Rujuk Tahzib al-Sunan, 3/1040-1044].
Begitu juga hadis ini disahihkan oleh ulama hadis kontemporari seperti Shaikh Syu’aib al-Arnaouth dalam semakannya kepada Musnad Ahmad, Sunan Abi Daud, Sunan Ibnu Majah dan Sahih Ibnu Hibban. Begitu juga oleh Shaikh al-Albani.
Seperti yang diketahui, antara punca berlakunya perbezaan pendapat di kalangan ulama ialah disebabkan perbezaan pendapat dalam menilai status hadis. Ini jua yang berlaku dalam kes ini.
Jumhur ulama membenarkan berpuasa selepas 15 Sya’ban tanpa makruh.
Manakala di sisi mazhab Syafie hukumnya terlarang.
Imam an-Nawawi menyatakan selepas menyebutkan tentang haramnya berpuasa pada hari syak tanpa sebab:
هذا كله إذا لم يصل يوم الشك بما قبل نصف شعبان ، فأما إذا وصله بما قبله فيجوز بالاتفاق ; لما ذكره المصنف ، فإن وصله بما بعد نصف شعبان لم يجزه ; لما ذكره المصنف ، أما إذا صام بعد نصف شعبان غير يوم الشك ففيه وجهان ( أصحهما ) وبه قطع المصنف وغيره [ ص: 454 ] ومن المحققين لا يجوز للحديث السابق ( والثاني ) يجوز ولا يكره ، وبه قطع المتولي وأشار المصنف في التنبيه إلى اختياره ، وأجاب المتولي عن الحديث السابق ” { إذا انتصف شعبان فلا صيام حتى يكون رمضان } بجوابين : ( أحدهما ) أن هذا الحديث ليس بثابت عند أهل الحديث . ( والثاني ) أنه محمول على من يخاف الضعف بالصوم فيؤمر بالفطر حتى يقوى لصوم رمضان ، والصحيح ما قاله المصنف وموافقوه ، والجوابان
Ini semua adalah jika seseorang tidak menyambung puasa hari Syak dengan puasa sebelum separuh Sya’ban. Adapun jika dia berpuasa semenjak sebelum separuh Sya’ban, maka ia dibenarkan menurut kesepakatan ulama sebagaimana yang penulis (iaitu Imam al-Syirazi) sebutkan. Seandainya dia berpuasa pada hari Syak sebagai kesinambungan daripada puasa selepas separuh Sya’ban, ia tidak dibenarkan sebagaimana disebutkan penulis. Adapun jika dia berpuasa selepas separuh Sya’ban bukan pada hari syak, maka terdapat dua pendapat. Pendapat yang paling kuat iaitu yang diputuskan penulis dan muhaqqiq lain ialah tidak dibenarkan sebagaimana hadis yang telah disebutkan. Pendapat kedua adalah dibenarkan tanpa makruh. Ini adalah pendapat yang dipegang oleh Imam al-Mutawalli, dan penulis telah mengisyaratkan peringatan kepada pendapat pilihan Al-Mutawalli ini. Imam al-Mutawalli menjawab hadis “Apabila telah masuknya separuh Sya’ban, janganlah kalian berpuasa” dengan dua jawapan. Pertama: Hadis ini tidak sahih di sisi ulama hadis. Kedua: Ia bermaksud untuk sesiapa yang takut akan menjadi lemah disebabkan berpuasa. Maka disuruh untuk untuk tidak berpuasa agar dia kuat untuk melakukan puasa Ramadhan. Adapun pendapat yang benar ialah apa yang disebutkan penulis dan ulama yang menyetujuinya (iaitu tidak dibenarkan). [Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, 6/453-454].
Al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan:
وقال الروياني من الشافعية يحرم التقدم بيوم أو يومين لحديث الباب ويكره التقدم من نصف شعبان للحديث الآخر
Imam al-Ruyani daripada ulama mazhab Syafie menyatakan haramnya berpuasa sehari atau dua hari sebelum Ramadhan berdasarkan hadis bab. Dimakruhkan pula mendahului Ramadhan dengan berpuasa pada separuh (akhir) Sya’ban berdasarkan hadis lain. [Fathul Bari, 4/129].
Dalam Al-Fiqh Al-Manhaji susunan Dr. Mustafa al-Bugha, Dr. Mustafa al-Khin, dan Al-Shaikh Ali al-Syirbaji diletakkan puasa selepas 15 Sya’ban di bawah kategori puasa yang diharamkan. Akan tetapi terdapat pengecualian seperti berikut:
لكن تنتفي حرمة صوم يوم الشك، والنصف الثاني من شعبان إذا وافق عادة للصائم، أو وصل صيامه بما قبل النصف الثاني من شعبان.
Tidaklah haram berpuasa pada hari Syak dan separuh kedua Sya’ban apabila ia bersamaan dengan hari seseorang biasa berpuasa, atau apabila dia menyambung puasanya daripada sebelum separuh Sya’ban. [Al-Fiqh Al-Manhaji, 2/103-104].
Dalam mazhab Hanbali pula tidak makruh berpuasa selepas separuh Sya’ban. Ini adalah pendapat mazhab. Adapun sebahagian ulama mazhab Hanbali berpendapat makruh. [Rujuk al-Inshof, 3/246].
*Tulisan ini bukan untuk mentarjih/menguatkan mana-mana pendapat. Ia sekadar kumpulan maklumat untuk dikongsi dengan pembaca. Untuk mendapatkan tarjih dalam hal ini, boleh rujuk kepada guru-guru yang dipercayai keilmuannya.