Benarkah Transgender Dibunuh Kerana Jenayah Kebencian/Hate Crime?

Pada 17 Disember 2018, seorang lelaki telah mati. Kematian beliau disebabkan serangan yang dilakukan oleh sekumpulan remaja ke atas beliau. Ia dikatakan berpunca daripada isu kecurian telefon bimbit.

Akan tetapi, satu kepelikan ialah apabila beberapa individu mengaitkannya dengan kecenderungan jantina lelaki tersebut di mana lelaki tersebut adalah seorang transgender (seorang lelaki yang menukar jantina kepada perempuan). Mereka mendakwa serangan itu berlaku disebabkan oleh jenayah kebencian (hate crime) kepada kelompok transgender.

Seorang aktivis golongan ini yang terkenal, Nisha Ayub secara jelas mendakwa ini adalah jenayah kebencian. Beliau berkata kepada Thomas Reuters Foundation:

Ini merupakan satu jenayah kebencian. Adakah anak-anak muda ini akan bertindak ganas sebegitu jika yang dipukul itu bukan seorang transgender? Ini semua disebabkan kebencian (kepada golongan ini) yang telah wujud. Nisha juga mendakwa bahawa banyak serangan kepada golongan transgender tidak dilaporkan kepada pihak polis. [ Sumber: https://www.nst.com.my/news/nation/2018/12/441473/hate-crime-fears-grow-after-murder-malaysian-transgender-woman ]

Kenyataan ini juga senada kenyataan Hanna Yeoh, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Pada 14 Disember 2018, beliau menulis di laman facebooknya:

Kejadian yang menimpa seorang transgender di Klang semalam yang dibelasah sehingga menyebabkan kematian adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

Kita sewajarnya membuat pertimbangan yang adil kepada golongan ini. Tindakan mengasari, menzalimi serta perbuatan diskriminasi ke atas mereka sehingga mendorong perbuatan kejam seperti ini wajar dihentikan segera.

Saya menggesa pihak PDRM untuk segera menyiasat dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. [Sumber: https://www.facebook.com/hannahyeoh/posts/10156743430609034 ]

Kenyataan Hanna Yeoh ini mendapat sokongan dan kritikan daripada pembaca. Sebahagian yang menyokong kenyataan Hanna Yeoh ini, cuba mengaitkan kes tersebut dengan elemen ekstrimis agama. Seorang pengguna FB bernama Charlie Ng menulis komen berikut:

Siapa lagi jika bukan golongan ekstrimis agama? Mereka tidak pernah menghormati insan yang secara semula jadi dilahirkan sebegitu. Lebih teruk lagi, agama menganggap golongan ini sebagai penjenayah. Apa boleh kita buat? Kita tetap perlu menghormati kepercayaan agama seseorang, lalu bagaimana mahu mengelakkan daripada diskriminasi?

Isu ini juga dieksploitasi sebahagian netizen yang mempunyai prejudis kepada Islam untuk menyerang Islam.

Bahkan ini jua yang dilakukan oleh NST yang memetik sumber dari Thomas Reuters Foundation yang cuba mengaitkan situasi ini dengan Malaysia sebagai sebuah negara majoriti Muslim.

Persoalan:

1- Adakah terdapat sebarang bukti yang menyatakan bahawa mangsa diserang dan dibelasah kerana dia adalah seorang transgender? Adakah timbalan Menteri, dan lain-lain yang mendakwa ini mempunyai sebarang bukti, atau ia hanyalah merupakan satu tuduhan liar mereka?

2- Jika selepas ini berlaku mana-mana pembunuhan kepada lelaki atau wanita, adakah kita mahu menyatakan jua bahawa mereka dibunuh kerana mereka wanita/lelaki?

3- Nisha merupakan aktivis golongan ini yang berjabat tangan dengan Menteri Agama, Dr. Mujahid Yusof Rawa, Menteri Agama. Menteri Agama mungkin ikhlas menyantuninya, dan berjabat tangan dengannya, dan cuba menyantuni golongan ini.

Akan tetapi adakah Nisha sendiri adalah insan yang ikhlas dalam pertemuan dengan Menteri Agama? Jika dia seorang yang ikhlas mahukan agar tidak berlaku kezaliman kepada golongan transgender, kenapa dia perlu berterusan mendakwa sesuatu tanpa bukti, dan mengaitkan segala jenayah yang berlaku kepada golongan transgender sebagai jenayah kebencian, sedangkan ramai sahaja kaum lelaki dan wanita yang dibunuh oleh penjenayah. Tidak pernah pula kita mendakwa itu satu jenayah kebencian kerana jantina mereka.

4- Sikap Timbalan Menteri yang bias, yang semberono mengaitkan kes ini dengan jenayah kebencian, telah mendapat kritikan ramai pengguna. Bukan sahaja daripada kalangan Muslim, bahkan bukan Muslim yang dapat melihat dengan jelas sikap bias Timbalan Menteri ini.

 

5- Sikap sebahagian media yang cuba mengaitkan dengan situasi Malaysia sebagai sebuah negara majoriti Muslim, menunjukkan mereka mempunyai agenda untuk memburukkan Islam. Walau hakikatnya, dalam kes ini pelakunya ialah remaja bukan Muslim.

The accused, Low Shi Haur, 21, Tan Khim Siang, 19, and two teenage boys aged 16 and 17 respectively, nodded in understanding when the charge was read to them before Magistrate Solehah Noratikah Ismail at the Magistrate’s Court here today. [ Sumber: https://www.nst.com.my/news/crime-courts/2018/12/443480/four-charged-murdering-transgender-person-nsttv ]

6- Adakah Muslim perlu bergembira dengan berita ini? Sudah pasti tidak. Pembunuhan adalah pembunuhan. Apapun kesalahan manusia, mereka perlu diadili dengan adil, dibicarakan dengan adil, diberikan peluang membela diri. Masyarakat awam tidak berhak membunuh atas apa alasan sekalipun kecuali atas dasar tiada pilihan lain untuk mempertahankan diri (itupun tetap akan disiasat benarkah ia mempertahankan diri atau melebihi had).

7- Satu perkara yang kita perlu fahami, sebahagian daripada kelompok yang mengalami krisis identiti ini sedang berusaha untuk berhijrah kembali kepada Allah. Mereka bukan sekadar menghadapi dugaan dan tentangan dalaman daripada sudut perasaan, emosi dan kehendak nafsu mereka, bahkan mereka ditentang oleh manusia daripada kelompok mereka sendiri yang tidak suka melihat mereka kembali kepada fitrah kemanusiaan yang diciptakan Allah dalam diri setiap insan. Kita akan lihat golongan yang mengaku pejuang hak asasi mula menuduh dengan pelbagai tuduhan kepada usaha JAKIM membawa golongan ini pulang ke jalan fitrah. Akan tetapi komuniti ini yang sedang berusaha untuk kembali kepada Allah mula bersuara dan menentang kelompok ini kerana cuba menafikan hak mereka untuk kembali kepada Allah.

Ini pula adalah kenyataan daripada Pertubuhan Islah Movement yang merupakan kelompok daripada komuniti ini yang sedang berusaha untuk berubah dan hidup beragama.

KENYATAAN BALAS TUDUHAN JAKIM DAN “CONVERSION THERAPY”

Kami memandang serius kenyataan MAC yang menyatakan dan menuduh JAKIM merampas hak asasi manusia dengan menganjurkan program yang memaksa komuniti dalam ‘Conversion Therapy” serta seolah olah MAC memberi sokongan terbuka kepada golongan LGBT di Malaysia.

Buat pengetahuan umum, golongan LGBT di negara ini tidak pernah dipaksa oleh mana mana pihak Jabatan Agama,Majlis Agama mahupun JAKIM dalam penyertaan segala bentuk program,Komuniti sendiri dengan rela hati menyertai program program yang dijalankan. Juga buat pengetahuan belum ada lagi unsur unsur paksaan dalam merubah komuniti serta segala bentuk tuduhan dari MAC adalah tidak benar. Di Malaysia tidak mengamalkan konsep paksaan dalam merubah seseorang atau mengunakan kaedah”Conversation Therapy” dalam memulihkan komuniti tanpa kebenaran (Paksaan).

Kami memohon agar pendirian,keputusan serta usaha kami dan rakan rakan kami untuk kembali kepada fitrah mendapat sokongan, dihormati dan tidak dipersoalkan atau juga dipandang rendah,serta jangan cuba mewujudkan sentimen agama dalam isu perawatan LGBT.

Kami adalah kumpulan sokongan LGBT hijrah yang sedang berusaha berubah dan sedang mengikuti pelbagai kelas kerohanian, agama, Fardu Ain dan kelas Al Quran di bawah bimbingan Majlis Agama, Jabatan Agama dan JAKIM bagi mengukuhkan dan menguatkan lagi keazaman kami ke arah perubahan.

Program yg dianjurkan untuk kami oleh pihak berkenaan seperti MAIS, JAKIM dan lain lain disertai oleh kami tanpa sebarang paksaan dari mana-mana pihak dan ianya bukan bertujuan utama untuk mengubat seksualiti, tetapi sebaliknya menyediakan platform kepada individu yang memilih secara sukarela untuk kembali kepada fitrah mengikut ajaran Islam yang sebenar.

Kami menentang sekeras kerasnya tuduhan dan artikel dari MAC.

Kami berjuang sebaik mungkin untuk berubah ke arah kebaikan dan tidak bersetuju dengan kenyataan dan perjuangan yang cuba dibawa oleh MAC

Sekian, terima kasih.

MOHD AL KHUSYAIRI BIN MOHD ARIFF
PENGERUSI PERTUBUHAN HIJRAH REPUBLIQUE Network
0147185061
hrmalaysianetwork@gmail.com

Bersama sama sokongan : –

Ryn Rasidi 
Founder Usrah Iqra’

Hanani Rahayu Abd Jalil
Setiausaha Kehormat
Pertubuhan Islah Movement

Permata Pintas [Sumber: https://www.facebook.com/islahmovementmelaka/posts/2054274354640389 ]

8- Apa yang perlu kita lakukan apabila bertemu insan sebegini? Saya mempunyai pengalaman sekelas dan satu kumpulan tugasan/assignment dengan insan begini, cuma tidaklah sampai ke tahap transgender. Tetapi memang dengan beg tangan perempuannya, pakaian keperempuanannya. Saya melayan dia sebagai lelaki, bercakap seperti bercakap dengan lelaki. Jumpa dengan dia saya jabat tangan dia. Kadang-kadang jumpa dia dengan kawan-kawan dia pun saya tegur dan salam dengan kawan-kawannya. Saya melihat ada masalah terutama segelintir kaum perempuan melayan lelaki-lelaki ini seperti perempuan, sehingga menyebabkan mereka terasa diri mereka benar-benar perempuan. Begitu jua, jika mereka datang ke masjid, raikanlah, janganlah pandang dengan 1001 pandangan sinis. Hadirnya mereka ke masjid itu menunjukkan mereka sedang berusaha untuk kembali kepada Allah.

Berbalik kepada isu keganasan dan jenayah kebencian kepada golongan ini. Ia perlu ditentang sebagaimana kita menentang jenayah-jenayah yang lain. Dalam masa yang sama, kita jangan terperangkap dengan pelbagai dakwaan golongan aktivis ini yang mendakwa itu dan ini sebagai jenayah kebencian sedangkan hal yang sama berlaku jua kepada lelaki dan perempuan.

Rujukan:

Facebook Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, YB Hannah Yeoh

Facebook Nisha Ayub

NST- Hate crime fears grow after murder of Malaysian transgender woman

NST- Four charged with murdering transgender person

Thomson Reuters Foundation- Death of transgender woman in Malaysia sparks fears of rising hate crime

Pertubuhan Islah Movement

Jalan Pulang- LGBT