*Sahihkah hadis fadhilat amalan 10 awal Zulhijjah: Puasa 10 hari sama seperti 1 tahun, puasa Qiamullail 10 malam sama seperti malam al-Qadar.*

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ نَافِعٍ الْبَصْرِيُّ، حَدَّثَنَا مَسْعُودُ بْنُ وَاصِلٍ، عَنْ نَهَّاسِ بْنِ قَهْمٍ، عَنْ قَتَادَةَ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ الْمُسَيَّبِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ مَا مِنْ أَيَّامٍ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ أَنْ يُتَعَبَّدَ لَهُ فِيهَا مِنْ عَشْرِ ذِي الْحِجَّةِ يَعْدِلُ صِيَامُ كُلِّ يَوْمٍ مِنْهَا بِصِيَامِ سَنَةٍ وَقِيَامُ كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْهَا بِقِيَامِ لَيْلَةِ الْقَدْرِ ‏”‏
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: Tiada hari-hari yang Allah lebih cintai untuk manusia beribadah kepadanya pada hari tersebut berbanding 10 hari Zulhijjah. Puasa pada setiap harinya bersamaan dengan puasa setahun. Qiamullail pada setiap malamnya sama dengan bangun malam di malam al-Qadar.
[Jami’ at-Tirmizi, Kitab al-Siyam, no: 758].

Hadis ini turut diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan lain-lain.

Seandainya kita membaca komentar Imam at-Tirmizi selepas meriwayatkan hadis ini, kita akan mengerti bahawa beliau sedang mendhaifkan hadis ini.

Kata Imam at-Tirmizi:
‏ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ لاَ نَعْرِفُهُ إِلاَّ مِنْ حَدِيثِ مَسْعُودِ بْنِ وَاصِلٍ عَنِ النَّهَّاسِ ‏.‏
Hadis ini gharib, kami tidak mengetahuinya melainkan daripada riwayat Mas’ud bin Washil daripada An-Nahhas.
قَالَ وَسَأَلْتُ مُحَمَّدًا عَنْ هَذَا الْحَدِيثِ فَلَمْ يَعْرِفْهُ مِنْ غَيْرِ هَذَا الْوَجْهِ مِثْلَ هَذَا ‏.‏
Aku telah bertanya kepada Muhammad (iaitu Imam al-Bukhari) tentang hadis ini. Beliau menyatakan bahawa beliau tidak mengetahuinya melainkan dengan sanad ini.

وَقَالَ قَدْ رُوِيَ عَنْ قَتَادَةَ عَنْ سَعِيدِ بْنِ الْمُسَيَّبِ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم مُرْسَلاً شَيْءٌ مِنْ هَذَا ‏.‏ وَقَدْ تَكَلَّمَ يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ فِي نَهَّاسِ بْنِ قَهْمٍ مِنْ قِبَلِ حِفْظِهِ ‏.‏

An-Nahhas bin Qahm ini merupakan seorang perawi yang lemah. Dilemahkan oleh Yahya bin Ma’in, An-Nasaie, Ad-Daraquthni dan lain-lain [Ibn Hajar,Taqrib at-Tahzib 2: 566; Al-Uqaili, Ad-Dhuafa’, 4:312; Ibnu Jauzi, Ad-Dhuafa’ wa al-Matrukin, 3:166]

Anak muridnya pula iaitu Mas’ud bin Washil juga dhaif. Di dhaifkan oleh Abu Daud at-Thoyalisi. [Adz-Dzahabi, Al-Kasyif, 2:257]

Oleh itu riwayat ini adalah dhaif, dan hal ini telah disebutkan sendiri oleh At-Tirmizi dalam komentarnya seperti di atas.

Al-Baghawi jua menyatakan isnadnya dhaif. [Syarhus Sunnah, 4:346]

Riwayat ini terdapat jalan-jalan yang lain, yang marfu’ atau mursal. Akan tetapi kata Ad-Daraquthni yang benar adalah mursal. [Ad-Daraquthni, Al-‘Ilal, no: 1719, 9:199]

Akan tetapi perlu diingatkan bukan keseluruhan hadis ini dhaif. Hal ini telah Al-Albani ingatkan, beliau berkata:

واعلم أنني خرجت الحديث هنا من أجل الشطر الثاني منه ، وإلا ؛ فشطره الأول صحيح
Ketahuilah bahawa aku mentakhrijkan hadis ini disebabkan bahagian kedua hadis ini. Adapun bahagian pertamanya adalah sahih. [Al-Silsilah Al-Dhaifah, no: 5142, 11:151]

Bahagian pertama: Tiada hari-hari yang Allah lebih cintai untuk manusia beribadah kepadanya pada hari tersebut berbanding 10 hari Zulhijjah.

Bahagian kedua:
Puasa pada setiap harinya bersamaan dengan puasa setahun. Qiamullail pada setiap malamnya sama dengan bangun malam di malam al-Qadar.

Bahagian pertama hadis ini wujud dalam riwayat yang sahih.
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُ قَالَ ‏”‏ مَا الْعَمَلُ فِي أَيَّامِ الْعَشْرِ أَفْضَلَ مِنَ الْعَمَلِ فِي هَذِهِ ‏”‏‏.‏ قَالُوا وَلاَ الْجِهَادُ قَالَ ‏”‏ وَلاَ الْجِهَادُ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَىْءٍ ‏”‏‏.‏
Daripada Ibnu ‘Abbas radiallahu ‘anhuma, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Tiada amalan yang dilakukan pada hari lain yang lebih afdhal daripada amalan pada 10 hari ini. Para sahabat bertanya: Tidak juga jihad? Baginda menjawab: Tidak juga jihad, kecuali jika seseorang keluar dengan nyawa dan hartanya dan tidak kembali lagi. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Eid, hadis no: 969].