Sudahkah kita mempelajari doa ketika hati sedih dan gelisah?
Abdullah bin Mas’ud radiallahu ‘anhu bertanya: Ya Rasulullah, perlukah aku mempelajari doa ini? Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: Sudah pasti, sesiapa yang mendengarnya perlu mempelajarinya!!!
DOA KETIKA HATI SEDIH DAN GELISAH.
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :
‘Abdullah bin Mas’ud radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
” مَا أَصَابَ أَحَدًا قَطُّ هَمٌّ وَلَا حَزَنٌ ، فَقَالَ :
Tidaklah apa-apa masalah atau kesedihan menimpa seseorang, lalu orang itu membaca:
اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ ، وَابْنُ عَبْدِكَ ، وَابْنُ أَمَتِكَ ،
“Ya Allah, sesungguhnya aku hamba Mu, anak kepada hamba Mu, anak kepada hamba perempuan Mu,
نَاصِيَتِي بِيَدِكَ ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ ،
ubun-ubun ku di Tangan Mu, telah berlalunya keputusan Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas ku dalam keputusan Mu,
أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ ،
aku memohon kepada Mu dengan setiap nama Mu yang Engkau berikan pada diri Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib Mu,
أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي ، وَنُورَ صَدْرِي ، وَجِلَاءَ حُزْنِي ، وَذَهَابَ هَمِّي ،
(aku memohon kepada Mu) untuk menjadikan al-Quran sebagai musim bunga di hati ku, cahaya di dada ku, penghilang kesedihan ku, penghapus kerisauan ku” (tamat lafaz doa ini)
إِلَّا أَذْهَبَ اللَّهُ هَمَّهُ وَحُزْنَهُ ، وَأَبْدَلَهُ مَكَانَهُ فَرَجًا ” ، قَالَ : فَقِيلَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَلَا نَتَعَلَّمُهَا ؟ فَقَالَ : ” بَلَى ، يَنْبَغِي لِمَنْ سَمِعَهَا أَنْ يَتَعَلَّمَهَا ” .
melainkan pasti Allah akan menghapuskan kesusahan dan kesedihannya, dan menjadikan untuknya jalan keluar (jika seseorang membaca doa di atas). Abdullah bin Mas’ud radiallahu ‘anhu bertanya: Ya Rasulullah, perlukah aku mempelajari doa ini? Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: Sudah pasti, sesiapa yang mendengarnya perlu mempelajarinya.
[Musnad Ahmad, Musnad Abdullah bin Mas’ud, hadis no: 3712. Shaikh al-Albani mensahihkannya di dalam al-Silsilah al-Sahihah: 199]
Huraian:
1- Apakah maksud الهم dan الحزن ?
الهم= Kerisauan dengan apa yang bakal berlaku.
الحزن= Kesedihan dengan apa yang telah berlaku.
2- “Sesungguhnya aku hamba Mu, anak kepada hamba Mu, anak kepada hamba perempuan Mu”.
Ini menzahirkan sifat tunduk dan tawadhu’ kepada Allah, dan pengakuan sikap penghambaan kepada Allah.
Tidak sekadar menyebutkan “Aku hamba Mu”. Lafaz “anak kepada hamba Mu, anak kepada hamba perempuan Mu” menguatkan lagi pengakuan penghambaan dan ketundukan kita kepada Allah.
3- “Ubun-ubunku di Tangan Mu”.
Ia kiasan menunjukkan takdirNya telah berjalan ke atas diri ku, dan diriku di bawah kekuasaan Mu.
4- “telah berlalunya keputusan Mu”.
Takdir mu telah berjalan.
5- “Engkau telah berlaku adil ke atas ku dalam keputusan Mu”.
Semua yang Kau putuskan adalah adil kerana keadilan merupakan sifat Mu, dan zalim mustahil ada pada Mu. Adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya.
6- Selepas pengakuan diri sebagai seorang hamba, dan ketundukan menerima takdir Allah, barulah kita meminta kepada Allah. Ini merupakan antara adab-adab dalam berdoa. Cara begini lebih mendekatkan doa kita untuk diterima, apatah lagi kita meminta kepada yang Maha Pemurah. Apabila hambaNya merendahkan diri kepadaNya, dan menzahirkan ketundukan dan khusyu’, lalu memohon daripadaNya. Allah akan memenuhi permintaan itu pada waktu dalam bentuk yang sesuai dengan kemurahanNya.
7- “Dengan setiap nama”.
Iaitu dengan hak setiap nama.
8- “Nama Mu yang Engkau berikan pada diri Mu”
Untuk mengeluarkan nama-nama selain Allah daripada sumpah dalam doa ini. Ini kerana sumpah dengan selain nama Allah tidak boleh.
9- “Yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan Mu”
Iaitu nama-nama Mu yang telah Kamu ajarkan kepada para nabi dan malaikat.
10- “Yang telah Engkau turunkan dalam kitab Mu”
Iaitu nama-nama yang telah Kau terangkan dalam kitab-kitab Mu kepada nabi-nabi Mu.
11- “Yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib Mu”
Iaitu nama-nama yang Kau telah rahsiakan dan tidak diketahui seorang pun. Ini menunjukkan terdapat nama-nama Allah yang tiada dalam al-Quran dan al-Hadis yang hanya diketahui oleh Allah. Oleh itu hadis nabi s.a.w berkaitan 99 nama Allah bukanlah bermaksud Allah hanya ada 99 nama sahaja.
12- “Jadikan al-Quran sebagai musim bunga hati ku”
Menjadikan al-Quran sebagai penggembira dan penenang hati ku. Dikiaskan dengan musim bunga kerana manusia sangat suka dengan waktu itu berbanding musim lain.
13- “Cahaya di dada ku”
Melapangkan dada ku kerana apabila dada lapang, maka ia akan bercahaya’.
14- “Penghilang kesedihan ku dan penghapus kerisauan ku”.
Menjadi penghilang rasa sedih untuk apa yang berlaku dan membuang rasa risau untuk apa yang bakal berlaku.
Rujukan:
Majdiy bin Abdul Wahhab, Sharh Hishnul Muslim, ed. Sa’id bin ‘Ali al-Qahthani, (Riyadh: Penerbitan Safir), 209-211.
Jika anda berminat dengan terjemahan Syarah Hishnul Muslim, boleh terus whatsapp saya di sini