Bila pelajar kata ‘USTAZ BABI!’.
 
Sebagaimana dijanjikan, saya mahu menyambung kisah saya dengan seorang pelajar saya. Untuk pengetahuan mereka yang tidak tahu. Saya pernah berkhidmat sebagai guru KAFA JAIS dari Julai 2011 hingga April 2013.
.
Saya mempunyai seorang pelajar yang saya namakan pelajar A. Dia memang sering menguji kesabaran para guru yang mengajarnya, dan saya dimaklumkan bahawa ayahnya dan abangnya adalah ‘taiko’ di kawasan sekitar.
.
Pernah beberapa pelajar mengingatkan saya agar jangan tegur sangat pelajar A sebab abangnya samseng, takut-takut dia ‘report’ dekat abangnya, dan abangnya belasah saya sampai lunyai. Bila saya dengar, saya kata: Panggillah abang awak, suruh dia jumpa saya! (Walau dalam hati, mati aku ni kalau abang dia datang).

.
Satu ketika, saya sedang mengajar di dalam kelas, lalu pelajar A ini buat hal dan mengganggu rakan sekelas yang lain. Saya menegur pelajar A. Lalu pelajar A tidak berpuas hati dengan saya atas teguran itu, lalu dia jerit dalam kelas dengan kuat ‘USTAZ BABI!!!’. Kelas yang tadi riuh bertukar menjadi sepi. Tadi riuh rendah tiba-tiba menjadi sunyi. Saya melihat ke arah pelajar A, dan dia merenung tajam ke arah saya. Pelajar-pelajar lain terdiam, dan mereka melihat ke arah saya. Saya tidak tahu apa yang mereka fikirkan sehingga mereka terdiam dan membuatkan keadaan sunyi sepi.
.
Pelajar-pelajar seolah-olah menanti, apa yang akan Ustaz Masri lakukan. Atau mereka sudah menjangka sesuatu yang buruk akan berlaku. Masakan tidak, dipanggil BABI oleh seorang pelajar sekolah rendah.
.
Apa dalam hati saya ketika itu? Saya fikir apa yang ada dalam hati saya ketika itu sama seperti apa yang ada dalam fikiran pelajar-pelajar lain yang membuatkan mereka terdiam. Mungkin mereka takut kerana merasakan saya pasti akan melakukan sesuatu dan membelasah pelajar A sehingga lunyai. Ya, memanggil seorang ustaz dengan panggilan BABI, apakah lagi jawapan terbaik kecuali….
.
Saya pergi ke arah pelajar A tersebut dan terus menampar dia sekuat hati. Pelajar-pelajar terdiam, pelajar A cedera, dan guru besar masuk campur, dan ia menjadi kes polis.
.
Akan tetapi apa yang disebut di atas tidak terjadi hakikatnya. Ia hanya satu imaginasi jika ketika itu saya lakukan apa yang mengikut kata hati saya yang sakit dipanggil BABI oleh pelajar sendiri. Saya diam. Saya terus menulis apa yang saya sedang tulis di papan putih, dan menyuruh pelajar-pelajar semua menyalin apa yang saya tulis. Saya terus mengajar seperti biasa. Saya tidak menyebut apa-apa tentang hal itu, dan saya biarkan pelajar A ketika itu buat apa sahaja yang dia suka.
.
Loceng berbunyi. Tiba masa untuk rehat. Ya, ini masanya. Saya berada di kantin mengawasi pelajar yang sedang rehat. Saya memanggil pelajar A. Pelajar-pelajar kelas tadi yang ada berhampiran saya sudah berbisik-bisik. Mungkin tertanya apa yang Ustaz Masri mahu lakukan.
.
Saya panggil pelajar A, dia keberatan dan kelihatan ragu-ragu untuk datang ke arah saya. Seolah-olah dia sudah tahu apakah nasibnya kali ini, mencabar amarah seorang ustaz muda.
.
Saya panggil buat kali kedua, ketiga. Pelajar A bergerak perlahan-lahan ke arah saya. Saya suruh dia duduk. Dia duduk, dan mendiamkan diri.
.
Saya membuka mulut menyatakan sesuatu, dan pelajar A menundukkan wajah dan tidak memandang ke arah saya sedikit pun. Apa yang saya katakan kepada dia?
.
Saya berkata kepada dia: Awak sudah makan? Pelajar A terdiam, dia mengangkat kepala, hairan dengan soalan saya? Saya ulang soalan saya: Awak sudah makan? Dia jawab: Belum. Saya menyeluk saku saya, mengeluarkan dua ringgit, dan menghulurkan kepadanya. Saya kata: Nah, pergi beli makanan. Seringgit tu untuk awak, seringgit lagi belikan makanan untuk ustaz juga, jangan awak pow pula dua ringgit terus.
.
Pelajar A yang tadi terdiam sudah mula tersengih, lalu berkata: Betul ke ni ustaz? Saya kata: Betullah, nak ke tak nak saya belanja ni? Pelajar A terus ambil duit dan beli aiskrim dan belikan makanan saya.
.
Dia duduk di sebelah saya, dan makan bersama-sama saya. Sambil makan kami berbual-bual seolah-olah tak ada apa-apa yang berlaku. Pelajar lain kehairanan, ingatkan saya nak lempang pelajar A, sekali dia dapat aiskrim pula.
.
Sambil makan dan berbual-bual, saya terus masuk ke topik penting. Saya bertanya: Kenapa awak panggil saya BABI tadi? Pelajar A diam, dia tidak menjawab, cuma tersengih-sengih sahaja. Saya tidak mendesak untuk dia menjawab sebab saya tahu dia tidak akan ada jawapan. Saya menyambung: Tak elok cakap macam tu, jangan cakap macam tu dekat sesiapa pun. Dengan ustaz dan ustazah lain pun awak jangan cakap macam tu. Dia diam.
.
Loceng berbunyi, kami masuk ke kelas seperti biasa.
.
Tamat. Tiada apa berlaku. Cuma saya terbayang, apakah yang akan berlaku jika ketika dipanggil BABI itu saya ikutkan sahaja kata hati saya?
.
Ini bukan satu-satunya kisah saya dengan pelajar A. Dia pernah enggan menyalin apa yang saya tulis di papan putih sedangkan rakan-rakan lain sudah menyalinnya. Dan itu adalah sesi akhir sebelum pulang. Semua pelajar sudah pulang, tinggal saya dan pelajar A sahaja. Guru besar juga sudah pulang sambil berpesan agar saya kunci pintu kelas sebelum pulang nanti. Pelajar A tetap enggan menurut satu perintah yang mudah, iaitu salin nota yang saya tulis di papan putih. Rakan-rakan rapatnya yang sekepala buat hal di sekolah pun sudah pulang kerana mereka menyalin nota itu.
.
Jam sudah 6.45 petang. 15 minit lagi hari akan mulai gelap. Tinggal saya dan pelajar A. Rakan-rakan pelajar A yang sudah pulang ke rumah, kembali ke sekolah dengan menaiki basikal. Mereka memujuk dari luar jendela, meminta pelajar A buat apa yang saya suruh. Tetapi pelajar A enggan. Dia tetap kekal begitu dan bukan itu sahaja, dia mengamuk-ngamuk sambil membaling kerusi dan menterbalikkan meja-meja di dalam kelas. Saya pula tetap di situ, duduk di pintu kelas sambil menanti pelajar A menyiapkan tugasannya yang tidak dibuat sedikit pun.
.
Jam sudah pukul 7.00 malam. Hari sudah gelap, pelajar A sudah tidak ketahuan. Tidak tahu apa lagi yang mahu disepahkan, dan tetap dia kekal dengan pendirian tidak mahu menyalin nota di papan putih. Saya melihat jam, hari sudah hampir Maghrib. Saya panggil pelajar A. Saya tanya: Awak mahu balik? Dia jawab: Ya, sambil matanya sudah merah menangis sebab tidak dapat pulang ke rumah. Saya kata: Jika nak balik, kemaskan balik kelas ini seperti asal, betulkan meja dan kerusi-kerusi yang awak sepahkan tu. Pelajar A akur. Dia susun meja dan kerusi. Selesai, kelas sudah kembali kemas. Dia bergerak ke pintu di mana saya duduk. Dia menghulurkan tangan. Dia salam saya sambil mencium tangan saya. Kemudian dia berkata: Saya minta maaf. Saya tidak berkata apa-apa, dan hanya berkata: Dah, awak pergi balik sekarang, jangan buat lagi macam ini.
.
Saya bercerita kisah saya dan pelajar A untuk berkongsi bahawa kekerasan bukan satu penyelesaian. Saya tahu cabaran seorang guru. Saya tahu tekanan menghadapi pelajar yang degil. Bukan saya tidak pernah pukul pelajar. Pernah, bahkan di awal-awal saya baru menjadi guru saya pernah pukul pelajar (dan salah seorangnya ialah pelajar A) dengan batang penyapu kerana kedegilan mereka. Ketika sedang amarah meninggi itu, baru saya sedar guru besar sedang memerhatikan apa yang saya lakukan dari pintu pejabatnya. Dia sekadar melihat. Ketika rehat saya masuk ke pejabat, guru besar berkata sesuatu. Dia menegur saya atas tindakan saya. Dia mengingatkan saya akan bahaya tindakan saya, bukan sahaja kepada pelajar, bahkan kepada diri saya sendiri nanti jika ibu bapa membawa hal ini ke pihak polis.
.
Lama kelamaan saya sedar bahawa kekerasan bukan jalannya. Ya, adakalanya saya masih merotan pelajar-pelajar saya. Akan tetapi ia tetap bukan solusi terbaik. Persoalan yang perlu ditanya kepada diri saya: Benarkah saya melakukan tindakan fizikal itu untuk mendidik, atau sebenarnya saya sedang melepaskan geram dan kemarahan saya kepada pelajar yang enggan patuh.
.
Adakalanya ketika marah sedang memuncak, elok kita redakan dengan mendiamkan diri dan meneruskan mengajar. Bukan sebab kita redha kepada apa yang pelajar lakukan, akan tetapi untuk memastikan segala tindakan kita terkawal.
.
Pukul untuk mendidik? Ia satu isu yang dibincangkan dalam kalangan pengkaji psikologi dan pendidikan. Biarkan ia dibincangkan oleh ahlinya.
.
Islam benarkan memukul untuk mendidik? Ini adalah satu hujah popular berdasarkan hadis berikut:
 
Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
 
مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرِ سِنِينَ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ ‏
Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun, pukullah mereka (apabila mereka enggan mendirikan solat) ketika mereka berumur sepuluh tahun, dan pisahkanlah tempat tidur mereka. [Sunan Abi Daud, Kitab al-Solat, no: 495].
.
Akan tetapi jangan dilupa jua hadis ini:
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ إِذَا قَاتَلَ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ فَلْيَجْتَنِبِ الْوَجْهَ ‏”‏ ‏.‏
Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Apabila seseorang memerangi saudaranya, jauhilah daripada wajah saudaranya. [Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, no: 2612]
 
Dalam riwayat lain: فَلاَ يَلْطِمَنَّ الْوَجْهَ
Janganlah dia menampar wajah saudaranya.
.
Larangan menampar atau memukul wajah ini termasuklah jua ketika mendidik seseorang. Imam an-Nawawi berkata dalam Syarah Sahih Muslim:
وَيَدْخُلُ فِي النَّهْيِ إِذَا ضَرَبَ زَوْجَتَهُ أَوْ وَلَدَهُ أَوْ عَبْدَهُ ضَرْبَ تَأْدِيبٍ فَلْيَجْتَنِبِ الْوَجْهَ .
Termasuk di dalam larangan ini ialah seseorang memukul isterinya, atau anaknya, atau hambanya dengan pukulan bertujuan untuk mendidik. Hendaklah dia menjauhi daripada memukul bahagian muka.
.
Saya kehairanan dengan sikap sebahagian orang yang menggunakan nama Islam untuk menjustifikasi tindakan memukul pelajar atas nama didikan walau pukulan itu secara jelas bercanggah dengan hadis di atas.
.
Tulisan ini bukan untuk mengulas kisah guru tertentu yang sedang viral, kerana saya pun tidak tahu apa hakikat sebenar yang berlaku. Akan tetapi tulisan ini adalah untuk perkongsian dan menjawab kekeliruan mereka yang menggunakan nama Islam untuk membenarkan perbuatan melempang dan sebagainya.
.
Wallahua’lam.
.
#MMMR