Kisah Bendera Malaysia Plastik

Siapa pernah tengok bendera Malaysia plastik ini?

Hari tu beli bendera plastik untuk Haura, tak ada coklat macam dalam gambar pun. Bendera sahaja.

Zaman saya budak-budak dulu, coklat bendera ini antara favorite saya. Bila habis makan coklat dia, kita letaklah bendera tu dekat basikal ke, sangkut dekat rumah ke.

Pernah dulu, waktu tu saya dalam darjah 1@2, ketika tu bulan Ogos. Setiap hari saya beli coklat bendera ni. Habis je makan, saya cucuk dekat pokok bunga kertas dekat tepi tangga rumah saya. Sampailah penuh pokok tu dengan bendera Malaysia. Mak & abah pun tak kisah. Kira waktu tu, dekat Kg. Kerjasama tu, rumah sayalah yang paling banyak bendera.

Sehinggalah satu hari, bila bangun pagi, saya buka pintu, tengok dekat pokok bunga kertas tu, satu batang bendera pun dah tiada. Apa lagi, menangislah 🙁

Penat kot, tiap hari beli bendera cucuk dekat pokok bunga kertas. Tiba-tiba bangun pagi tengok semua bendera dah tiada. Hilang begitu sahaja. Tak tahu siapa yang curi@cabut. Dengki betul.

Disebabkan saya menangis je sebab semua bendera saya dah hilang. Mak pun beritahu abah. Apa lagi abah balik kerja terus bawa balik bendera Malaysia yang besar. “Oooo kau curi bendera plastik anak aku ya, ni aku pasang bendera besar terus”, mungkin itu lah kot kata abah saya waktu tu.

Hingga kini di rumah mak & abah, setiap bulan Ogos akan kibar bendera Malaysia dan bendera negeri.

Tahun ini, saya pula pasang 1 bendera di rumah, 1 bendera kecil atas kereta, dan belikan Haura 1 bendera plastik. Nak sangkut kat pokok, rumah tak ada pokok pula.

Semoga Haura satu hari nanti memahami erti bendera itu.