Ulama berbeza pendapat dalam memberikan definisi kepada dosa besar. Di sini saya ringkaskan pendapat-pendapat ulama tentang definisi dosa besar.
 
1- Dosa-dosa yang terdapatnya hukuman hudud kepada pelakunya.
(Akan tetapi definisi ini dilihat kurang tepat oleh Ibnu Hajar kerana terdapat dosa-dosa yang dinaskan sebagai dosa besar tetapi tidak dikenakan hukuman hudud seperti derhaka kepada ibu bapa, sumpah dan persaksian palsu).
 
2- Semua perkara yang disepakati pengharamannya oleh semua syariat yang dibawa oleh para nabi.
(Definisi ini dikritik oleh Ibnu Taimiyyah kerana ini akan memasukkan kesalahan-kesalahan kecil ke dalam dosa besar, dan mengeluarkan dari lingkungan dosa besar perkara yang dinaskan sebagai dosa besar seperti lari dari medan perang.)
 
3- Setiap dosa yang dipandang remeh, yang dilakukan tanpa rasa takut dan penyesalan.
(Imam al-Haitami membantah definisi ini kerana ia akan memasukkan kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan tanpa rasa takut dan penyesalan. Ia jua akan mengeluarkan dosa-dosa besar yang dilakukan oleh pelakunya dalam keadaan dia masih rasa bersalah dan takut-takut).
 
4- Bergantung kepada tahap kerosakan. Dosa-dosa yang tidak dinaskan sebagai besar atau kecil, perlu dibuat perbandingan daripada sudut kerosakannya dengan dosa-dosa yang dinaskan sebagai dosa besar. Jika tahap kerosakannya sama dengan kerosakan dosa besar yang paling rendah atau lebih, maka ia dianggap dosa besar.
(Ia sesuatu yang sukar dilakukan untuk mengukur tahap kerosakan sesuatu dosa).
 
5- Hanya dosa-dosa yang dinaskan sebagai dosa besar sahaja.
(Ini akan menyebabkan banyak kesalahan yang besar terkeluar daripada kategori dosa besar seperti dosa mencuri, rasuah kerana tiada nas menyatakan ia dosa besar).
 
6- Pendapat paling masyhur. Semua dosa yang disebutkan sebagai dosa besar, dijanjikan azab, neraka, kemurkaan Allah, laknat, adanya hukuman hudud, disifatkan pelakunya sebagai fasiq. Jika mana-mana dosa ada salah satu daripada ciri disebutkan, maka ia adalah dosa besar.
 
 
Apakah contoh dosa-dosa yang disebutkan secara jelas dalam nas bahawa ia dosa besar?
 
Daripada Abu Bakrah radiallahu ‘anhu:
 
كُنَّا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ ‏ “‏ أَلاَ أُنَبِّئُكُمْ بِأَكْبَرِ الْكَبَائِرِ – ثَلاَثًا –
Kami bersama dengan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, baginda: Patutkah aku beritahu kamu tentang dosa yang paling besar? Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali.
 
الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَشَهَادَةُ الزُّورِ أَوْ قَوْلُ الزُّورِ ‏”‏ ‏.‏
Baginda bersabda: Mensyirikkan Allah, derhaka kepada ibu bapa, persaksian palsu atau kata-kata palsu.
 
وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مُتَّكِئًا فَجَلَسَ فَمَازَالَ يُكَرِّرُهَا حَتَّى قُلْنَا لَيْتَهُ سَكَتَ ‏.‏
Ketika itu baginda sedang duduk menyandar di bahagian tepi, kemudian baginda terus duduk lalu mengulanginya sehingga kami berharap agar baginda mendiamkan diri.
[Sahih Muslim, Kitab al-Iman, no: 87]
 
Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
 
اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ ‏”‏‏.‏ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ ‏”‏
Jauhilah tujuh dosa besar. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa besar tersebut.
 
الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ،
Mensyirikkan Allah, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan kecuali dengan hak,
 
وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلاَتِ ‏”‏‏.‏
makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang, menuduh wanita beriman berzina.
[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Hudud, no: 6857]
 
*Apakah fadhilat meninggalkan dosa besar*
 
Hah, tinggalkan dosa besar pun ada fadhilat?
 
وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ لِيَجْزِيَ الَّذِينَ أَسَاءُوا بِمَا عَمِلُوا وَيَجْزِيَ الَّذِينَ أَحْسَنُوا بِالْحُسْنَى (31) الَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ إِلَّا اللَّمَمَ إِنَّ رَبَّكَ وَاسِعُ الْمَغْفِرَةِ هُوَ أَعْلَمُ بِكُمْ إِذْ أَنْشَأَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَإِذْ أَنْتُمْ أَجِنَّةٌ فِي بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ فَلَا تُزَكُّوا أَنْفُسَكُمْ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَى (32)
Dan hanya kepunyaan Allah-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi supaya Dia memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat jahat terhadap apa yang telah mereka kerjakan dan memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik dengan pahala yang lebih baik [syurga]. (31) [Iaitu] orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji yang selain dari kesalahan-kesalahan kecil. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas ampunan-Nya. Dan Dia lebih mengetahui [tentang keadaan]mu ketika Dia menjadikan kamu dari tanah dan ketika kamu masih janin dalam perut ibumu; maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa. [An-Najm: 31-32]
 
إِنْ تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُمْ مُدْخَلًا كَرِيمًا
Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu [dosa-dosamu yang kecil] dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia [syurga]. [An-Nisa: 31]
 
Ayuh, jauhi dosa besar, usaha tinggalkan dosa kecil.
 

Perlukan penceramah di tempat anda?

Klik Di Sini Untuk Whatsapp