Terdapat empat jenis manusia dalam berinteraksi dengan ilmu. Ilmu itu umpama hujan, dan manusia pula umpama tanah yang ditimpa hujan.

عَنْ أَبِي مُوسَى، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ

Daripada Abu Musa radiallahu ‘anhu, daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“‏ مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ مِنَ الْهُدَى وَالْعِلْمِ كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا،
Permisalan petunjuk dan ilmu yang aku diutuskan dengannya adalah seperti hujan yang banyak yang turun ke bumi.

فَكَانَ مِنْهَا نَقِيَّةٌ قَبِلَتِ الْمَاءَ، فَأَنْبَتَتِ الْكَلأَ وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ،
Terdapat tanah yang menyerap air dan tanah yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan yang banyak.

وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتِ الْمَاءَ، فَنَفَعَ اللَّهُ بِهَا النَّاسَ، فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا،
Terdapat jua tanah yang menakungkan air, lalu Allah memberikan manfaat kepada manusia dengannya, lalu manusia minum, memberi minum dan bercucuk tanam dengannya.

وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى، إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لاَ تُمْسِكُ مَاءً، وَلاَ تُنْبِتُ كَلأً،
Hujan itu turut menimpa tanah yang lain. Ia adalah tanah yang gersang yang tidak menakung air dan tidak jua menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.

فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقِهَ فِي دِينِ اللَّهِ وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ، فَعَلِمَ وَعَلَّمَ،
Itulah permisalan orang yang memahami agama, lalu dia memberi manfaat dengan apa yang Allah utuskan aku dengannya. Dia belajar dan mengajar.

وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا، وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى اللَّهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ ‏”‏‏.
Itu jua adalah permisalan untuk sesiapa yang tidak mengambil kisah tentangnya, dan yang tidak menerima petunjuk Allah yang aku‏ diutuskan dengannya.

[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ilm, no: 79].

Daripada Zaid bin Thabit radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

نَضَّرَ اللَّهُ امْرَأً سَمِعَ مِنَّا حَدِيثًا
Allah akan menyerikan seseorang yang mendengar daripada kami sebuah hadis,

فَحَفِظَهُ حَتَّى يُبَلِّغَهُ غَيْرَهُ
lalu dia menjaga hadis itu sehingga dia menyampaikannya kepada orang lain.

فَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ إِلَى مَنْ هُوَ أَفْقَهُ مِنْهُ
Boleh jadi orang yang membawa fiqh (iaitu orang yang mendengar hadis tadi) menyampaikan kepada orang yang lebih faham daripadanya.

وَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ لَيْسَ بِفَقِيهٍ ‏”‏ ‏
Boleh jadi orang yang membawa fiqh (iaitu hadis tadi) bukanlah seorang yang faqih.
[Jami’ at-Tirmizi, Kitab al-Ilm, no: 2656, Hadis Hasan].

Dalam riwayat daripada Ibn Mas’ud, terdapat lafaz:

فَبَلَّغَهُ كَمَا سَمِعَ
Dia menyampaikan sebagaimana yang dia dengar. [Jami at-Tirmizi, Kitab al-Ilm, no: 2657, hasan sahih].

PENGAJARAN:

1- Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam memberi perumpamaan dalam melakukan dakwah sekaligus memudahkan kefahaman pendengar.

2- Hidayah dan ilmu diumpamakan seperti hujan, manakala manusia diumpamakan seperti tanah.

3- Terdapat 4 jenis manusia yang disebutkan di atas iaitu:

Pertama: Mereka yang belajar dan memahami apa yang diajar, beramal, dan berkongsi ilmu itu dengan orang lain. Mereka ini umpama tanah yang subur yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.

Kedua: Mereka yang suka belajar tetapi tidak faqih. Dia juga hanya mencukupkan diri dengan amal-amal yang wajib sahaja. Dia memberi manfaat kepada orang lain dengan berkongsi, boleh jadi orang lain yang mendengar apa dia kongsi lebih faham daripada dirinya.

Ketiga: Mereka adalah orang Mukmin yang membuat tidak kisah kepada ilmu yang disampaikan kepadanya. Mereka inilah yang disebutkan sebagai (لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا) ‘orang yang tidak mendongakkan kepalanya kepada ilmu’.

Keempat: Mereka adalah orang yang telah sampainya ilmu kepada mereka, akan tetapi mereka kufur kepada ilmu dan petunjuk yang sampai kepada mereka. Mereka inilah orang yang tidak menerima apa yang telah disampaikan kepada mereka.