Riadussolihin (رياض الصالحين). Buku yang sangat kerap saya gunakan. Kulit pun sudah hampir koyak. Jika ditanya kepada saya buku apa yang mesti ada dan dibaca. Saya akan jawab Riadussolihin. 

Saya mempunyai beberapa naskhah Riadussolihin. Satu naskhah yang saya sentiasa letakkan di dalam kereta agar mudah mengikuti majlis-majlis ilmu yang menggunakan kitab ini. Naskhah ini takhrij dan ta’liq hadisnya menggunakan hasil kerja Al-Shaikh Al-Albani.

Satu lagi naskhah di pejabat. Ia digunakan oleh isteri saya. Ia adalah dengan tahqiq Dr. Mahir Yasin Fahl. (Saya turut mempunyai naskhah ini tetapi entah hilang di mana).

Saya juga mempunyai beberapa syarah kepada Riadussolihin iaitu: Syarah Riadussolihin oleh Al-Shaikh Muhammad bin Soleh al-Utsaimin, Nuzhatul Muttaqin oleh Dr. Mustafa al-Bugha dan rakan-rakan, dan terjemahan Bahjatun Nazirin oleh Dr. Salim al-Hilali.

Pasti ada yang menarik tentang kitab ini sehingga saya memiliki beberapa naskhah untuk satu kitab yang sama.

*RIADUSSOLIHIN*

Dr. Mahir Yasin al-Fahl yang melakukan semakan kepada kitab Riadussolihin menyatakan dalam mukadimahnya:

وأنا أنصح كل مسلم بالاهتمام بهذا الكتاب العظيم كتاب ” رياض الصالحين ” ، ،
Aku menasihati setiap Muslim untuk mengambil berat kepada kitab yang mulia ini, iaitu kitab ‘RIADUSSOLIHIN’.

وأنصح بمداومة قراءته مرة بعد مرة
Aku menasihati agar kalian berterusan membacanya, dan mengulangi membacanyanya.

والاهتمام بحفظ أحاديثه ، .
Aku menasihati kalian agar berusaha menghafaz hadis-hadis yang ada di dalamnya.

وعلى صاحب العائلة أنْ يفقّه عائلته بهذا الكتاب
Aku juga menasihati ketua keluarga agar mengajarkan kitab ini kepada ahli keluarganya.

Al-Imam An-Nawawi dalam mukadimahnya menyatakan tentang kitab Riadussolihin:

فَرَأَيتُ أَنْ أَجْمَعَ مُخْتَصَراً منَ الأحاديثِ الصَّحيحَةِ ، مشْتَمِلاً عَلَى مَا يكُونُ طَرِيقاً صَاحبهِ إِلى الآخِرَةِ ومُحَصِّلاً لآدَابِهِ البَاطِنَةِ وَالظَاهِرَةِ . ،
Aku mahu mengumpulkan sebahagian hadis-hadis yang sahih yang merangkumi segala aspek yang akan membawa pembacanya ke akhirat, yang akan menghasilkan adab pada batin dan zahir.

جَامِعاً للترغيب والترهيب وسائر أنواع آداب السالكين : من أحاديث الزهد ورياضات النُّفُوسِ ، وتَهْذِيبِ الأَخْلاقِ ، وطَهَارَاتِ القُلوبِ وَعِلاجِهَا ، وصِيانَةِ الجَوَارحِ وَإِزَالَةِ اعْوِجَاجِهَا ، وغَيرِ ذلِكَ مِنْ مَقَاصِدِ الْعارفِينَ .
Ia merangkumi hadis-hadis galakan berbuat kebaikan dan ancaman daripada melakukan maksiat, dan segala jenis adab; daripada hadis-hadis berkaitan zuhud dan menguatkan jiwa, penyucian akhlak, pembersihan hati dan rawatannya, memelihara anggota badan dan menghilangkan kecacatannya, dan selain daripada itu yang merupakan tujuan orang-orang yang mengetahui.

وَألتَزِمُ فيهِ أَنْ لا أَذْكُرَ إلاّ حَدِيثاً صَحِيحاً مِنَ الْوَاضِحَاتِ ، مُضَافاً إِلى الْكُتُبِ الصَّحِيحَةِ الْمَشْهُوراتِ .
Aku beriltizam untuk tidak menyebutkan kecuali hadis jelas kesahihannya, yang diambil daripada kitab-kitab sahih yang masyhur.

وأُصَدِّر الأَبْوَابَ مِنَ الْقُرْآنِ الْعَزِيزِ بِآياتٍ كَرِيماتٍ ، .
Aku letakkan bab-bab berdasarkan ayat-ayat al-Quran yang mulia,

وَأَوشِّحَ مَا يَحْتَاجُ إِلى ضَبْطٍ أَوْ شَرْحِ مَعْنىً خَفِيٍّ بِنَفَائِسَ مِنَ التَّنْبِيهاتِ
Aku tuliskan jua penjelasan mana-mana hadis yang memerlukan huraian kepada makna-maknanya yang kurang jelas yang mana ia perlu diberikan perhatian.

وإِذا قُلْتُ في آخِرِ حَدِيث : مُتَّفَقٌ عَلَيهِ فمعناه : رواه البخاريُّ ومسلمٌ .
Apabila aku berkata di akhir hadis: Muttafaq ‘Alaih, maka ia bermaksud: Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim.

وَأَرجُو إنْ تَمَّ هذَا الْكِتَابُ أنْ يَكُونَ سَائِقاً للمُعْتَنِي بِهِ إِلى الْخَيْرَاتِ حَاجزاً لَهُ عَنْ أنْواعِ الْقَبَائِحِ والْمُهْلِكَاتِ .
Aku berharap seandainya sempurna penulisan kitab ini, ia akan menjadi pemandu bagi mereka yang mengambil berat dengannya untuk menuju kebaikan dan mencegahnya daripada pelbagai jenis keburukan dan kecelakaan.

وأَنَا سَائِلٌ أخاً انْتَفعَ بِشيءٍ مِنْهُ أنْ يَدْعُوَ لِي ، وَلِوَالِدَيَّ ، وَمَشَايخي ، وَسَائِرِ أَحْبَابِنَا ، وَالمُسْلِمِينَ أجْمَعِينَ .
Aku memohon kepada saudara yang mengambil apa-apa manfaat daripada kitab ini untuk mendoakan aku, kedua ibu bapa ku, guru-guru ku, dan semua yang kita cintai, juga buat semua umat Islam.

وعَلَى اللهِ الكَريمِ اعْتِمادي ، وَإِلَيْهِ تَفْويضي وَاسْتِنَادي ، وَحَسبِيَ اللهُ وَنِعْمَ الوَكِيلُ ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ .
Hanya Allah yang menjadi pergantunganku, kepadaNya aku berserah dan bergantung, cukuplah Allah sebagai sebaik-baik pelindung, tiada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah yang Maha Hebat lagi Bijaksana.

*Pujian ulama kepada kitab Riadussolihin*

Al-Shaikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin merupakan antara ulama yang ada mensyarahkan kitab Riadussolihin. Beberapa kali dalam syarahnya beliau meletakkan pujian yang tinggi kepada kitab ini.

Kata beliau:

والحقيقة أن هذا الكتاب رياض الصالحين كتاب جامع نافع ويصدق عليه أنه رياض الصالحين ففيه من كل زوج بهيج فيه أشياء كثيرة من مسائل العلم ومسائل الآداب لا تكاد تجدها في غيره
Hakikatnya, kitab ini iaitu Riadussolihin, adalah sebuah kitab yang jami’ (merangkumi banyak perkara) lagi sangat bermanfaat. Benarlah bahawa ialah adalah ‘taman orang-orang soleh’. Di dalamnya terdapat perkara yang indah, padanya terdapat banyak perkara yang berkaitan dengan ilmu dan adab. Hampir sahaja hal seumpama ini tidak ditemui di dalam kitab-kitab yang lain.

Kata beliau lagi dalam kitab yang sama.
وهذا يدل على أن هذا الكتاب أعني رياض الصالحين كتاب شامل عام ينبغي لكل مسلم أن يقتنيه وأن يقرأه وأن يفهم ما فيه .
Ini menunjukkan bahawa kitab ini iaitu Riadussolihin merupakan kitab yang yang merangkumi semua perkara. Hendaklah setiap muslim melaziminya, membacanya dan memahami isi kandungannya.

Al-Shaikh Ibn al-Uthaimin ketika ditanya tentang Imam an-Nawawi, beliau menjawab dengan panjang lebar, dan antara jawapannya ialah:

فالآن كتاب رياض الصالحين يُقرأ في كل مجلس, ويقرأ في كل مسجد، وينتفع الناس به انتفاعاً عظيماً، وأتمنى أن يجعل الله لي كتاباً مثل هذا الكتاب، كلٌّ ينتفع به في بيته وفي مسجده.
Zaman sekarang, kitab Riadussolihin dibaca di setiap majlis, dibaca di setiap masjid. Manusia mendapat manfaat yang besar daripada kitab ini. Aku berharap agar Allah menjadikan untuk aku satu kitab seperti kitab ini, yang mana setiap manusia mengambil manfaat daripadanya di rumah dan di masjid. [Liqa’ al-Bab al-Maftuh, 43/15].

Al-Shaikh Abdul Razzaq al-‘Afifi pernah ditanya:

السؤال: ما هو رأى فضيلتكم في كتاب: (الترغيب والترهيب) للحافظ المنذري رحمه الله؟ أيهما اقرأ: (الترغيب) أو (رياض الصالحين)؟
Apakah pendapat tuan tentang kitav *At-Targhib wa at-Tarhib* oleh Al-Hafiz Al-Munziri? Manakah yang lebih utama untuk dibaca; kitab At-Targhib atau Riadussolihin?

Al-Shaikh Abdul Razzaq menjawab:

كتاب الترغيب والترهيب للحافظ المنذري هو كتاب جيد، لكن ليس انتقاؤه للأحاديث الصحيحة بدرجة رياض الصالحين، لذلك: (رياض الصالحين) للنووي أنقى حديثاً منه.
Kitab at-Targhib wa at-Tarhib oleh Al-Hafiz al-Munziri merupakan sebuah kitab yang bagus. Akan tetapi hadis-hadis sahih yang dipilihnya tidaklah setaraf dengan Riadussolihin. Oleh itu hadis-hadis dalam Riadussolihin lebih bersih daripadanya.

أما كتاب: (الترغيب والترهيب) ففيه أحاديث ضعيفة، وله اصطلاح خاص به، وهو أنه إذا قال في صدر الحديث روى أو حكى أو صيغة من صيغ التمريض المبنية للمجهول فإن ذلك يدل على أن الحديث ضعيف، وقد أشار المنذري إلى هذا الاصطلاح في المقدمة. و له اصطلاح آخر، ذلك أنه إذا ذكر رجلاً أو رجلين من السند قبل الصحابي يُعلم من ذلك أن السند فيه ضعف في الرجل أو الرجلين الذين ذكرهما من السند.
Adapun kitab At-Targhib wa At-Tarhib. Di dalamnya terdapat hadis-hadis dhaif, dan Imam al-Munziri mempunyai istilah-istilah yang khusus (dalam memberikan isyarat bahawa hadis itu dhaif). Apabila beliau menyebutkan hadis itu dengan lafaz ‘rawa روى’ atau ‘haka حكى’ atau sighah tamridh, maka ia menunjukkan bahawa hadis itu dhaif. Imam al-Munziri mengisyaratkan tentang istilah ini pada mukadimahnya. Beliau juga mempunyai isyarat lain. Apabila beliau menyebutkan nama seorang atau dua perawi sebelum sahabat nabi, maka diketahui bahawa pada sanad hadis itu terdapat kelemahan pada perawi yang beliau sebutkan itu.

وقد ترجم الحافظ المنذري لهؤلاء الرواة الذين ذكرهم وتكلم فيهم في آخر الكتاب، وبهذا أصبح المنذري رحمه الله معذوراً فيما يذكر من الاحاديث، وذلك أنه بيّن حال غالبها وحال رجالها المتكلم فيهم، ثم يبقى دورك أنت: تقبل الحديث أو لا تقبله، لكن الحكم على الحديث من خلال المصطلحات التي استعملها المنذري يحتاج إلى خبرة في هذا الشأن،
Al-Hafiz Al-Munziri meletakkan biografi perawi-perawi yang disebutkan dan diperbincangkan kekuatan mereka oleh para ulama di hujung kitabnya. Dengan ini, Imam al-Munziri mendapatkan keuzuran dalam menyebutkan hadis-hadis (yang dhaif tersebut). Ini kerana beliau telah menerangkan tentang perihal riwayat itu dan perawi yang diperkatakan hal mereka oleh ulama. Kemudian, yang tinggal ialah tanggunjawab anda: Anda menerima hadis tersebut atau tidak. Akan tetapi menghukum status hadis berdasarkan istilah yang Al-Munziri gunakan memerlukan kepada pengalaman dalam bidang ini.

فمن كان يجد في نفسه هذه الخبرة فلا بأس أن يقرأ في كتاب: (الترغيب) ويستفيد مما فيه، ومن كان يرى أنه لا تتوفر عنده مثل هذه الخبرة فالأفضل له أن يقرأ في كتاب: (رياض الصالحين) للنووي، فهو أنقى حديثاً من كتاب: (الترغيب والترهيب)، وأوضح مسلكاً ومنهجاً. والله أعلم، وصلى الله وسلم على عبده ورسوله محمد.
Sesiapa yang mendapati dirinya berkemampuan dalam hal ini, tidak mengapa untuk dia membaca kitab At-Targhib dan mengambil faedah daripadanya. Akan tetapi sesiapa yang mendapati dirinya tidak mempunyai kemampuan dalam hal tersebut, maka lebih utama untuknya membaca kitab Riadussolihin oleh Imam an-Nawawi. Hadis-hadisnya lebih bersih daripada hadis dalam kitab At-Targhib wa At-Tarhib, dan lebih jelas cara penjelasannya.

رابط المادة: http://iswy.co/e3vjh

Penutup:

Oleh itu, tidaklah melampau dikatakan bahawa ia merupakan satu bacaan yang perlu dan mesti ada dalam rumah setiap orang Islam. Bukan sekadar dibaca, bahkan diamalkan dan disebarkan.

Semoga Allah memberikan kurniaan pahala yang besar atas khazanah sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang Al-Imam An-Nawawi tinggalkan kepada kita.