Apabila anda kena reject…

Sesiapa yang pernah kena reject, mesti faham apa perasaannya.

Begitu jugalah orang yang duduk dalam lapangan jualan, di’reject’ merupakan satu perkara lumrah.

Misalnya, ada seorang bakal pelanggan hubungi kita selepas lihat iklan kita.

Mereka pun tanya pelbagai soalan untuk mendapatkan info tentang produk yang kita jual.

Kita pun memberikan info-info diperlukan.

Sesi konsultasi dengan pelanggan tadi sangat panjang. Semua yang diminta kita beri.

Maka sudah pasti di hujungnya, matlamat kita ialah ‘close sale’.

Kadang-kadang kita rasa dah cerah dah. Sebab nampak prospek sangat berminat sebab sesi soal jawab dengan kita dia sangat aktif.

Kemudian dia kata, dia nak bincang dengan keluarga dulu, atau fikir dulu.

Hati kita sudah berbunga-bunga. Sudah terbayang dah memang sale kali ini akan close berdasarkan respon prospek tadi.

Lalu akhirnya, 1-2 hari selepas itu kita follow up, lalu mendapat jawapan seperti berikut:

“Maaf, saya tak jadi belilah, belum ada bajet”.

Jawapan di atas ini tidaklah terlalu membekas dalam hati sangat sebab kita pun faham, takkan nak suruh orang belanja melebihi kemampuan.

Tetapi jawapan-jawapan di bawah lebih memberi kesan:

“Oh, maaf, tadi saya pergi pusat beli belah, jadi saya terus order dekat ejen Cuckoo di booth kat Giant tu”.

“Oooo, saya dah cakap dengan suami saya. Dia dah order, tetapi saya pun tak tahu dia order dengan siapa”.

“Terima kasih tuan. Tapi saya dah order dengan adik saya. Dia baru jadi ejen Cuckoo. Kenalah bantu dia kan. Hari tu nak tanya dia banyak-banyak pun, sebab dia ejen baru, banyak info dia tak tahu. Maaf ya tuan”.

Atau tiada jawapan langsung, dan mesej kita tak jadi double-tick pun, yang mana bermaksud bahawa mesej kita tak sampai kepada penerima. Sama ada mereka tak online, atau mereka dah block kita.

Apa yang kita belajar daripada ‘rejection’ yang kita dapat dalam keadaan kita sudah yakin akan ‘close’, sudah gembira, dan terbayang-bayang dah close, siap dah bayang dah wow jumlah insentif akan dapat sebab dah achieve target?

1- Saya belajar bahawa kita kena bersikap terbuka. Sebab kita sebagai penjual tiada hak memaksa pembeli. Walau dia sudah tanya macam-macam dekat kita, tawar menawar dekat kita, tetapi akhirnya tetap hak dia memilih untuk membeli daripada kita atau tidak. Maka, nasihat saya kepada diri saya dan rakan-rakan penjual; adalah tidak perlu berfikir buruk-buruk dan menghabiskan masa marah dengan pelanggan yang dah ambil masa kita banyak tetapi tak beli daripada kita.

Cuba kita fikir balik, jika kita sebagai pelanggan. Kita pergi membeli belah. Kita pergi dari satu kedai ke satu kedai. Tanya, tawar harga dan sebagainya. Lalu akhirnya daripada banyak kedai yang kita dok tawar menawar itu, kita pasti akan beli daripada satu kedai sahaja. Maka begitu jualah pelanggan kita.

Dalam masa yang sama, elok jua kita merenung, adakah ini semua balasan kepada sikap kita sendiri ketika menjadi pelanggan. Misalnya, kita nak beli satu barang daripada ahli keluarga kita. Tetapi sebab ahli keluarga kita ni bukan peniaga yang berilmu tentang produk dia jual, satu apa pun dia tak reti jawab. Jadi kita pi tanya kat peniaga-peniaga lain pasal barang tersebut, dalam keadaan kita dah set dalam otak kita nak beli daripada ‘family’ kita sendiri sebab nak tolong ‘family’. Lepas dapat info yang kita nak, dah puas hati, kita terus order daripada ‘family’ kita dan biarkan peniaga yang tadi panjang lebar hurai kat kita terkebil-kebil tengok orang lain dapat hasil daripada usaha dia. Begitulah, kita hendaklah menjadi peniaga yang bertimbang rasa, dan pelanggan yang bertimbang rasa.

2- Pengalaman-pengalaman di’reject’ dalam keadaan kita sudah ‘happy’, yakin akan berjaya, sudah terbayang dengan apa yang kita akan dapat. Ini semua menguatkan saya bahawa teori-teori yang popular dalam kalangan peniaga seperti feeling is prayer, teori getaran di mana dikatakan kita kena bayangkan kita dapat apa yang kita nak, rasa gembira seolah-olah sudah dapat apa yang diimpikan supaya menghasilkan getaran positif, yang mana teori ini menyatakan alam semesta/universal akan bertindak balas mengikut getaran itu; pengalaman saya sudah cukup untuk saya menyatakan teori-teori ini semua karut. Saya sudah melalui beberapa pengalaman yang memang saya yakin akan close, dah seronok, dah bayang akan dapat achieve target, dah bayang pasal insentif, siap order dah key in dah. Tetapi tetap jua tak closed.

Bahkan jauh lama sebelum saya jadi peniaga, saya dah lalui ‘rejection’ ketika mencari jodoh, dan ‘rejection’ itu berlaku dalam keadaan saya sangat yakin, gembira, seronok.

Begitu juga saya dah pernah melalui di mana saya menjawab peperiksaan dengan penuh yakin, keluar dalam keadaan seronok, dah terbayang akan lepas, tetapi akhirnya sangkut jua.

Semua ini sudah cukup mengajar saya bahawa teori-teori alam semesta akan memberi respon kepada getaran daripada apa yang kita fikir, rasa itu semua adalah mengarut. Bahkan, ia menguatkan lagi untuk saya menentang cubaan mengaitkan teori-teori ini dengan Islam. Cubaan mengIslamisasikan teori ini, lalu dikaitkan dengan hadis qudis yang menyatakan Allah memberi mengikut persangkaan hambaNya dan sebagainya. Teori yang pada asalnya berkaitan respon alam semesta kepada satu getaran/vibration cuba diIslamisasi dengan menukarkan alam semesta itu kepada Allah. Jadi, anda jangan hairan jika saya memang terus menentang perkara-perkara itu kerana ia pada akarnya sudah rosak, dan cuba pula nak dikaitkan dengan Islam.

Nasihat kepada rakan-rakan peniaga, tak perlu tenggelam dengan teori-teori sebegini. Memang kita elok berfikiran positif, sebab fikiran positif membuatkan kita kuat, tidak mudah putus asa, sentiasa melihat ada hikmah dan kebaikan pada setiap musibah yang menimpa. Tetapi bukannya bermaksud bila fikir positif, maka segala apa kita nak akan dapat. Bukan jua bermaksud bila kita berfikir negatif, maka apa negatif yang kita fikir itulah yang kita dapat.

Akhirnya, kita akan sedar bahawa ‘rejection’ itu lumrah dalam kehidupan kita. Kita pernah di’reject’ sama ada dalam bisnes atau soal kehidupan yang lain. Jangan lupa jua, kita pun pernah ‘reject’ orang. Jangan jadikan ‘rejection’ sebagai satu penghalang. Jadikan ia satu batu loncatan untuk kita perbaiki diri kita. Kan, kalau dah minat seorang perempuan, kena ‘reject’, takkan nak benci terus perempuan tu kan. Mana tahu nanti jodoh di masa depan 🙂