ABANG PUN NAK TEGUR…
1. Saya mendapati kebelakangan ini semakin ramai golongan transgender khususnya lelaki berketerampilan wanita (مُخَنَّث) yang berani menonjolkan diri mereka secara berleluasa di khalayak ramai, bahkan tidak segan-silu menampilkan “boyfriend” mereka atau penampilan “keperempuanan” mereka.
Melalui medium dunia selebriti dan media sosial, mereka begitu mudah dikenali oleh masyarakat dan tidak kurang yang menerima dan menyokong perilaku tersebut dengan alasan “human-right”.
2. Saya bukannya ingin memandang serong atau mendiskriminasikan golongan ini, bahkan saya menyokong penuh usaha Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan mendekati mereka dan berusaha “merawati” mereka dengan usaha menghampirkan mereka kepada agama.
Ramai dari kalangan mereka yang sangat baik hati dan sikapnya, bahkan begitu mudah didekati. Cuma Allah menguji mereka dengan konflik dalaman yang memerlukan bantuan dan terapi berpanjangan.
3. Sangat menyedihkan apabila ada dari mereka yang berusaha untuk berubah secara berperingkat, lalu mereka dicemuh oleh segelintir makhluk yang inginkan kesempurnaan sehingga menyebabkan mereka kembali ke perilaku asal.
Perlu diingat mereka juga insan yang menghidap kecamuk perasaan dan perlukan kepada bimbingan berhikmah agar kembali kepada fitrah.
4. Namun ini tidak bermakna perilaku transgender ini perlu diterima oleh masyarakat, kerana ia jelas bertentangan dengan syariat.
Dalam hadis Ibn Abbas RA:
لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُخَنَّثِينَ مِنْ الرِّجَالِ وَالْمُتَرَجِّلَاتِ مِنْ النِّسَاءِ
“Nabi SAW melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita dan golongan wanita yang menyerupai lelaki” [riwayat al-Bukhariy].
5. Yang membimbangkan ialah apabila perilaku ini semakin diambil remeh oleh masyarakat Islam yang seakan menyokong maksiat ini dizahirkan, sehingga kini mereka tidak lagi berasa kekok dan bersalah ditonjolkan dalam klip-klip video hiburan yang diviralkan!
6. Sebagai umat Islam kita seharusnya membantu merawat dan menutup “penyakit” ini, bukan membantu meleluasakan jangkitannya kepada masyarakat.
Dalam hadis Abu Hurayrah RA:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُتِيَ بِمُخَنَّثٍ قَدْ خَضَّبَ يَدَيْهِ وَرِجْلَيْهِ بِالْحِنَّاءِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَا بَالُ هَذَا؟» فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، يَتَشَبَّهُ بِالنِّسَاءِ! فَأَمَرَ بِهِ فَنُفِيَ إِلَى النَّقِيعِ
“Suatu ketika, pernah dihadapkan kepada Nabi SAW seorang lelaki yang menyerupai wanita. Lelaki tersebut telah mewarnai tangan dan kakinya dengan inai (persis wanita). Lalu Nabi SAW bertanya : Apahal dia ini? Seseorang pun menjawab: Wahai Rasulullah, orang ini telah berpenampilan menyerupai perempuan! Lantas baginda SAW pun memerintahkan agar lelaki tersebut diasingkan di daerah al-Naqi’ (sebuah wilayah di Madinah)” [riwayat Abu Dawud].
Bahkan Nabi SAW pernah bertindak tegas dengan memerintahkan para sahabat RA mengusir mereka dari rumah:
أَخْرِجُوهُمْ مِنْ بُيُوتِكُمْ!
“Usirlah mereka dari rumah kalian!” [riwayat al-Bukhariy].
7. Hadis-hadis tersebut bukanlah simbol penganaiyaan atau diskriminasi buat golongan transgender ini, bahkan ia merupakan simbolik “penyakit” al-mutasyabbih ini sangat bahaya dan perlu dicegah serta dirawat segera, kerana ia membawa ke arah maksiat yang lebih besar, seperti keruntuhan agama, kerosakan masyarakat, pergaulan bebas, perkahwinan sejenis, penularan sodomi, lesbian dan pelbagai bala lagi!
Justeru Nabi SAW sebagai pemimpin yang melihat dari aspek maslahat di kala agama Islam gagah dan umatnya penuh iman ketika itu, memilih pendekatan tegas demi memberi kesedaran serta rawatan, begitu jua demi menyampaikan mesej kepada umat baginda SAW bahawa hal tersebut jangan diambil enteng dan perlu dibasmi!
Sebagaimana peristiwa Nabi SAW enggan mengimamkan solat jenazah kepada penghutang yang tidak melunaskan hutangnya.
Dan sebagaimana peristiwa Nabi SAW memboikot beberapa sahabat RA yang tidak menyertai jihad peperangan.
8. Ya, pada zaman ini, di masa agama Islam ditekan goyah, di saat ramai umat Islam rapuh iman, di kala kejahilan berleluasa, pelbagai pendekatan bijaksana perlu dilakukan sebagai rawatan, dakwah dan rahmat buat mereka.
Namun bukan bermakna maksiat ini wajar ditoleransi untuk diterima serta dicanangkan, sedangkan seburuk-buruk manusia ialah mereka yang mengingkari Allah dan Rasul-Nya, lalu mewar-warkannya.
Sabda Nabi SAW:
كُلُّ أُمَّتِي مُعَافَاةٌ إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ
“Setiap umatku (berhak) diampunkan melainkan mereka yang mempamerkan terang-terangan (dosa mereka)” [riwayat al-Bukhariy & Muslim].
9. Buat masyarakat, bantulah mereka kembali ke pangkal jalan tanpa kutukan dan cemuhan.
Buat mereka yang diuji, jangan berputus asa dengan rahmat dan hidayah Allah. Kuatkan diri untuk terus berjuang meluruskan diri.
KAMILIN JAMILIN
(Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan)
Sumber: FB Ustaz Kamilin Jamilin